Tips buat apa yang perlu dibuat walau anda tak suka buat

By | 23/11/2016

buat tough taskSekali baca tajuk kat atas tu memang berirama dan agak lucu. Memang begitu tajuknya, ‘tips atau panduan buat apa yang perlu dibuat walau anda tak suka buat’.

Saya nak buat artikel ini secara ringkas yang boleh. Kalau nak diikutkan, ini satu bab yang panjang sebenarnya untuk diulas sampai faham dan praktikal. Tapi, saya cuba pendekkan kat sini.

Saya dah janji dalam artikel berkaitan, ‘2 perkara penting yang anda dapat bila henti kerja berniaga’, sebelum ini di sini, untuk kongsikan tips bagaimana nak buat urusan penting yang perlu dibuat walaupun anda tak suka nak buat.

Jadi saya tunaikan janji itu pada artikel ini.

Buat apa yang anda tak suka buat

Samada suka atau tidak, bila anda jadi usahawan, antara faktor penting yang jadi penentu samada anda ke depan atau tidak adalah keupayaan untuk buat perkara yang penting, walaupun anda sebenarnya tak suka nak buat perkara tersebut.

Tak buat perkara penting sebab malas nak buat ini merupakan perangkap yang bakal menjerat seorang usahawan masuk ke lubang kegagalan. Bila makan gaji, anda tak akan hadapi masalah itu sebab ada orang kat atas dan ada sistem yang terbukti berkesan, yang akan tekan dan paksa buat anda berjalan samada suka atau tidak.

Jadi orang yang makan gaji sebenarnya tak sedar bahawa sistem yang dirangka dalam suasana makan gaji adalah untuk pastikan semua kerja berjalan. Samada pekerja itu suka atau tidak, malas atau rajin, samada dia rasa itu kerja bodah atau tidak, mesti dilakukan dengan sebaik mungkin sampai siap dan boss puas hati.

Tapi, malangnya, sistem itulah juga yang membuatkan kebanyakan orang nak berhenti kerja.

Dia rasa terkongkong lah, rasa kena buat kerja bodoh lah, buat kerja yang sepatutnya orang lain buat dan sebagainya lagi. Dia tak tahu kat situ adalah rahsia kejayaan syarikatnya untuk terus mampu memberikan dia gaji.

Pastikan ada sistem paksa kerja berjalan

Jadi tips pertama, jika anda taukeh, pastikan anda ada sistem paksaan samada secara halus atau secara kasar, jelas atau tersembunyi, untuk pastikan semua pekerja buat apa yang sepatutnya dibuat supaya syarikat atau perniagaan anda terus maju ke depan.

Saya juga baru sedar perkara ini.

Sistem itu perlu ada walaupun anda rasa semua pekerja matang dan dapat berfikir secara rasional. Manusia tidak berfikir secara rasional sebenarnya walaupun ramai yang ‘perasan’ dia fikir secara rasional.

Itu dibuktikan dalam buku tulisan Dan Ariely.

Pergi cari dan baca semua buku tulisan Dan Ariely yang banyak menulis pasal ketidak rasionalan cara berfikir manusia dan membat keputusan.

Bila manusia dilepaskan bebas, dia akan buat hanya perkara yang mudah dan dia rasa suka nak buat saja. Jadi bila anda jadi usahawan, itulah masalah paling besar sebenarnya. Jadi anda perlu ada strategi untuk atasi masalah tersebut.

2 Sistem yang tak berkesan

Ada dua sistem yang ramai orang pakai untuk buat kerja penting yang dia tak suka buat.

Pertamanya dia berusaha keras hanya pada mulut sahaja.

Bila dia masih tak buat, dia akan ulang dalam hatinya akan berusaha lebih keras untuk pastikan kerja tu dibuat.

Tapi macam biasa dia masih tak akan buat… dia boss maaa ! siapa nak marah ?

Sistem pertama ini boleh ambil bertahun untuk kekal berjanji tapi masih tidak terlaksana sehinggalah ke satu tahap segalanya sudah terlewat dan dia masuk makan gaji semula. Masa tu baru ada akal. Dia boleh pulak buat kerja penting walaupun dia tak suka buat.

Keduanya, yang paling ramai orang buat, adalah pergi seminar yang boleh suntik semangat motivasi yang amat tinggi.

Dalam seminar sebegitu, biasanya penceramah yang pakar akan menggunakan segala teknik pencetus emosi yang berkesan. Dia gunakan sistem lampu, sistem bunyi atau suara, sistem testimoni tangkap nangis dan sebagainya, untuk naikkan semangat motivasi ke tahap paling tinggi.

Sistem kedua ini juga adalah hangat-hangat taik ayam sahaja. Tidak kekal lama.

Lepas seminggu atau dua minggu, semuanya kembali ke asal semula. Dan anda mula ketagihkan satu lagi suntikan motivasi tinggi supaya anda ada semangat untuk buat kerja penting, yang anda tak suka buat.

Langkah buat kerja yang berkesan

Berikut saya berikan langkah-langkah yang anda perlu buat supaya semua kerja penting yang perlu dibuat, akan anda buat walaupun anda hakikatnya tak suka nak buat.

  1. Fikirkan hasrat anda dengan serius – fikir dengan betul-betul serius apa yang anda nak buat, apa faedahnya pada kejayaan anda dan buat senarainya secara terang dan jelas. Jangan fikir dalam kepala, luahkan atas kertas. Lebih berkesan jika ada teman untuk brainstorm.
  2. Kurangkan janji pada diri sendiri – Jangan pilih terlalu banyak perkara dan janji nak buat banyak sangat perkara. Lebih banyak yang dijanjikan atau diazamkan, lebih tinggi kemungkinan semua tak dibuat. Lagi kurang janji dan azam anda, lebih banyak kemungkinan untuk anda buat.
  3. Jadikan ianya amat spesifik – Jangan janji nak kerja lebih rajin, itu amat blur dan tidak difahami oleh otak. Sebaliknya janji untuk bertemu prospek seramai 5 orang sehari. Itu amat jelas dan bermakna bagi otak anda.
  4. Jangan terlalu yakin anda akan tunaikan janji – Jangan percaya kononnya otak anda fikir secara logik. Bila anda dah sedar ianya amat penting, sudah tentu anda akan buat… salah tu !. Memang biasanya anda tak buat walaupun ianya penting, bila anda dah jadi boss. Jadi jangan bergantung pada emosi atau andaian fikiran anda dalam perkara ini.
  5. Gunakan penggerak – Oleh itu, perlu ada penggerak macam jam loceng. Walaupun anda berniat nak bangun pukul 5, jalan selamat adalah dengan kunci jam pukul 5 supaya jam itu buat bising sampai anda bangun. Begitu juga dalam bab janji nak buat sesuatu yang penting untuk dilaksanakan itu.
    1. Pastikan niat anda sentiasa diperingati – Gunakan apa saja untuk ingatkan diri anda akan tugasan penting yang perlu dilakukan. Sekarang ada smart phone yang boleh lakukan aktiviti peringatan ini. Gunakan kemudahan tersebut. Contohnya jika anda perlu semak kewangan syarikat setiap hari jumaat, set reminder yang boleh hantar message supaya anda diperingatkan.
    2. Pastikan anda sentiasa nampak – Boleh buat poster untuk dipasang atas meja kerja anda. Boleh juga lekatkan di dinding pejabat anda atau lain-lain seumpamanya.
    3. Jadikan peringatan lebih mengancam – Contohnya anda perlu pastikan jualan kerja anda meningkat dan perlu jumpa prospek sekurang-kurangnya 5 orang sehari. Buat poster dengan amaran seperti, “jangan biarkan anak isteri anda susah merana jika bisnes anda gagal…”.
  6. Jadikan urusan itu terlalu penting – Katakan anda perlu buat temujanji dan pergi jumpa prospek penting dalam bisnes anda dalam bulan ini. Berikan cheque RM2 ribu atau lebih pada kawan baik yang anda percaya untuk diberikan derma pada parti politik yang anda tak suka, kalau sampai akhir bulan ini anda masih tak buat urusan tersebut.
  7. Jadikan urusan yang anda tak suka itu mudah – Cara paling logik untuk itu adalah dengan pecahkan urusan itu kepada sebanyak mungkin proses yang ringkas dan mudah dan buat satu persatu. Fikirkan apa saja idea untuk jadikan urusan yang anda tak suka itu, amat mudah.
    • Bila dah dipecahkan segala tugasan menjadi proses yang kecil-kecil, mulakan dengan hanya buat satu perkara sahaja untuk bermula. Contohnya kalau nak review kewangan syarikat, kumpulkan semua fail, buka semua laporan kewangan excel pada komputer dan duduk tengok saja. Biasanya dengan berbuat begitu, anda akan terpaksa teruskan sampai habis.
    • Tetapi kalau tak habispun, tak apa, asalkan anda dah mula buka semua fail dan longgokkan atas meja dan buka komputer pada urusan tersebut, sudah sangat baik.
    • Kalau masih masalah nak buat juga, tinggalkan terus dan balik rumah jangan buat apa. Esok masuk pejabat semula dan buat lagi duduk tengok semua fail dan komputer sahaja sehinggalah anda mula bergerak dan buat sampai habis.
    • Penting untuk anda azam buat perkara yang paling mudah antara pecahan proses kerja tersebut. Kemudian naik perlahan-lahan kepada yang sedikit susah dan begitulah seterusnya sampai habis.
  8. Jadikan urusan yang melekakan (sampai anda tangguh urusan penting) susah – akal kita licik, biasanya dia akan lekakan anda pada urusan yang anda suka walaupun hakikatnya urusan itu tak penting untuk kebaikan bisnes anda. Jadi, jadikan ianya sukar. Semakin sukar semakin baik. Contohnya anda suka layari internet, buatlah sesuatu supaya untuk sambung masuk internet ke komputer anda, perlu proses yang sukar dan lambat.
    • Jika perlu, jauhkan diri anda terus daripada semua perkara yang boleh melekakan diri anda. Perimpamaannya adalah seperti orang yang nak berhenti merokok, jangan sesekali bertmu dengan mereka yang merokok dan yang sudah pasti ada rokok. Atau dalam kes internet, putuskan terus talian internet dari ruang kerja di pejabat anda.
  9. Hebahkan pada kawan atau mentor apa yang anda akan buat – Mempunyai mentor adalah satu perkara yang banyak membantu jika anda jenis yang tak suka buat perkara yang perlu dibuat. Senaraikan apa yang anda akan buat dan hebahkannya pada kawan atau mentor yang anda hormati dan kagumi. Janji pada mereka bahawa anda akan berikan lapran perkembangan setiap setiap kali bertemu dengan mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ini membuatkan anda terpaksa buat juga atau anda akan dilabel sebagai tidak berpotensi untuk berjaya.
  10. Bayar untuk orang paksa anda buat kerja – Ada orang yang sanggup bayar pada orang lain semata-mata untuk pastikan kerja yang perlu dilakukan akan dilakukan sampai habis secara rutin. Di sinilah gunanya seorang Biz Coach.
    • Ada orang yang memang tak tahu nak mula kat mana. Seorang coach bleh membantu anda brainstorm dan pecahkan tugasan secara sistematik. Kemudian dia akan paksa anda senarikan tugasan penting yang perlu dilakukan. Selepas itu, dia akan buat follow up setiap bulan secara konsisten sampai anda jadi biasa lakukan semua perkara penting yang perlu dilakukan. Itulah antara kerja yang HR Biz Coaching buat jika anda joint program yang kami susun untuk usahawan.
    • Ada orang yang tahu semua yang perlu dilakukan tapi masih tak buat juga sebab tidak ada orang pantau progress dirinya. Ini juga boleh dilakukan oleh biz coach yang anda bayar untuk pastikan anda buat semua urusan penting tersebut. Kalau nak lebih ekstrim lagi, izinkan coach pulas telinga jika anda tak buat apa yang dijanjikan.
  11. Sertai group sokongan usahawan – Ada kumpulan usahawan yang ditubuhkan untuk mendorong usahawan lakukan perkara penting supaya ianya benar-benar dilaksanakan. Ada yang panggil mastermind group seperti yang diperkenalkan oleh Napoleon Hill. Ada yang berbayar dan ada yang percuma. Sertia kumpulan ini untuk membantu anda buat kerja.

Saya dah kata tak mau tulis panjang ! tapi nampaknya dah lebih dari 1600 perkataan juga dah saya tulis pada artikel penting ini.

Jadi saya berhenti kat sini saja sebelum ianya menjadi lebih panjang lagi. Moga apa yang dikongsikan kat sini ada manfaatnya. Kalau ada tambahan ata jika anda ada idea lain boleh kongsikan kat runag komen di bawah ni.

Nota: Panduan di atas adalah ringkasan dari Buku ‘The Power To Get Things Done’

One thought on “Tips buat apa yang perlu dibuat walau anda tak suka buat

  1. shida idris

    sukaaa sangat. sayalah tu salah seorang yang suka sangat plan tapi tak buat (-___-)

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge