jaringan networkMungkin ramai yang dah pernah dengar tentang mastermind group. Istilah ini mula diperkenalkan oleh Napoleon Hill pada tahun 1925.

Kalau anda pernah baca buku tulisan Napoleon Hill, dan saya yakin ramai dari kalangan pembaca blog ini yang ada simpan koleksi buku tulisan beliau, tentu dah ada idea betapa mastermind group ini bagus untuk perkembangan diri anda sendiri dan juga perkembangan bisnes yang anda jalankan.

Apa itu mastermind group

Untuk mereka yang tak tahu apa itu mastermind group, ia merupakan kumpulan kawan yang sering berkumpul dan bertemu sesama mereka samada seminggu sekali atau sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Kumpulan ini bertindak sebagai pendorong kepada setiap ahli untuk memberikan hasil kerja terbaik dalam usaha mereka untuk menjadi seorang individu yang hebat.

Tentu anda pernah dengar ayat, anda adalah purata kepada 5 orang kawan-kawan yang paling banyak anda bergaul. Itu adalah kata-kata yang dibuat oleh Jim Rohn, seorang penulis dan pakar motivasi dari barat.

Persoalannya adalah, siapa kawan-kawan yang anda sering bertemu dan berbincang. Dan adakah mereka membantu untuk pertingkatkan keupayaan diri anda sebagai seorang insan yang berguna. Dan adakah mereka juga membantu anda untuk pertingkatkan perkembangan bisnes anda ke tahap yang lebih tinggi.

Seandainya anda meletakkan kejayaan diri dan kejayaan perniagaan sebagai perkara yang penting, tidak boleh tidak, anda perlu fikirkan semula dengan siapa anda sering habiskan masa bersama.

Untuk tujuan itu, menubuhkan satu kumpulan mastermind adalah satu titik permulaan untuk perbetulkan semula rangkaian kawan-kawan yang dapat membantu anda mencapai matlamat kejayaan yang diingini.

Mastermind group di kampung

Sedar atau tidak, hampir kesemua mereka yang berjaya dengan apa yang mereka lakukan sekarang ada mastermind group masing-masing. Mungkin mereka tak namakan kumpulan mereka sebagai mastermind group.

Tapi apa yang mereka buat adalah sama saja dengan apa yang Napoleon Hill ceritakan terhadap kumpulan usahawan berjaya di zamannya yang melibatkan individu seperti Benjamin Franklin, J.R.R. Tolkien, Henry Ford dan Thomas Edison.

Saya lihat perkara yang sama berlaku di kampung saya. Kumpulan mereka yang berjaya di kampung saya yang hidup di zaman aruah ayah saya dahulu juga mempunyai kumpulan rakan karib mereka sendiri dari kalangan para usahawan.

Malah saya sendiri, tanpa disedari dipengaruhi oleh rakan-rakan yang saya kerap bertemu dan bergaul. Mereka semuanya para usahawan yang banyak membantu dan mendorong untuk saya keluar dari zon selesa dan terjun jadi usahawan macam mereka.

Kenapa perlu ada mastermind group

Ada beberapa manfaat yang penting yang anda boleh dapat dengan menubuhkan atau menyertai mastermind group. Berikut saya senaraikan beberapa kelebihannya,

  1. Bertanggung jawab – Dengan adanya kumpulan ini, anda dipaksa bertanggung jawab terhadap apa yang anda usahakan dan juga kejayaan yang ingin dicapai. Bila anda bertemu setiap minggu, anda akan kongsikan perkembangan diri dan bisnes. Anda juga akan kongsikan perancangan anda untuk hari-hari yang berikutnya. Itu akan memberikan satu daya desakan untuk anda buat apa yang dikatakan supaya kawan-kawan tak hilang kepercayaan mereka pada diri anda.
  2. Maklum balas – Kumpulan rakan usahawan anda tidak ada apa-apa kepentingan terhadap diri anda. Jadi maklum balas yang mereka berikan adalah jujur dan tidak berat sebelah. Malah mereka yang terdiri dari usahawan yang turut sama bermotivasi tinggi mampu memberikan maklum balas yang berguna terhadap apa yang anda lakukan samada baik atau ada yang lebih baik berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Anda tak akan dapat maklum balas sebegitu di tempat lain.
  3. Kerjasama – Ini satu kelebihan yang pasti anda dapat dari kumpulan mastermind yang anda sertai. Semuanya punya bisnes dan projek masing-masing dan dari pertemuan yang rutin itu anda boleh bina jalinan kerjasama usaha yang berkonsepkan menang-menang. Peluang akan timbul sepanjang masa untuk anda rebut jika ianya bersesuaian untuk kemajuan diri dan bisnes anda.
  4. Jaringan – Dari kumpulan mastermind juga anda boleh luaskan lagi jaringan kenalan anda untuk kepentingan bisnes dan kemajuan diri anda. Semua kawan-kawan di situ ada jaringan mereka yang tersendiri, begitu juga anda. Semua ahli dapat bertindak sebagai penghubung dengan jaringan yang lebih luas. Dan paling penting jaringan mereka yang sudah tentu berotivasi tinggi untuk berjaya.
  5. Sumber maklumat – Kumpulan itu juga boleh menjadi satu sumber maklumat dan sumber pengetahuan untuk keperluan anda dan bisnes. Mereka semuanya berpengalaman luas dan punya kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Bila-bila masa sahaja anda boleh dapatkan sumber maklumat yang diperlukan dari mereka.
  6. Sokongan – Kumpulan itu juga mampu bertindak sebagai kumpulan yang sentiasa dapat memberikan sokongan pada anda samada dari segi moral mahupun material apabila anda memerlukannya. Banyak idea boleh dicapai bagi menyelesaikan apa saja masalah yang anda hadapi.

Bercakap pasal sokongan material, dengan kumpulan atau rangkaian usahawan yang saya ada, saya sentiasa mampu untuk kumpulkan dana sekurang-kurang RM1 juta dalam waktu yang pantas. Asalkan ada projek yang baik, untuk kumpulkan dana sebanyak itu bukanlah satu masalah yang besar.

Tubuhkan mastermind group anda segera

Baru-baru ini saya ada menjemput rakan-rakan usahawan dari Kelab Usahawan HR untuk menubuhkan satu kumpulan mastermind HR. Alhamdulillah jemputan saya itu mendapat sambutan seperti mana yang saya inginkan.

Walaupun saya dah punya kumpulan mastermind saya sendiri yang dah wujud sejak lama dahulu ketika saya mula terjun ke dunia perniagaan, dengan adanya kumpulan baru ini, saya harap dapat memberikan lebih banyak lagi faedah samada kepada saya sendiri, juga kepada semua ahli yang baru.

Anda juga boleh mula membina kumpulan mastermind anda sendiri di tempat masing-masing. Yang pentingnya biarlah mereka dari kalangan yang bermotivasi tinggi dan berfikiran positif dan merupakan usahawan.

Samada dah berjaya atau belum lagi tidak penting. Yang pentingnya, dengan adanya kumpulan tersebut, kejayaan anda dapat dupercepatkan dan dipermudahkan lagi untuk hari-hari yang mendatang.

Total
22
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge