Macam mana nak ukur tahap sikap orang berjaya yang ada pada anda?

Susah nak ukur sikap yang ada pada manusia sebab ianya bukan objek yang boleh diambil ukuran. Tapi kalau anda nak berjaya, mahu tak mahu perlulah cari jalan untuk cuba ukur.

Kalau tidak, susah nak buat penambahbaikan.

Jika sesuatu itu boleh diukur, maka mudahlah untuk ianya dipertingkatkan.

Ramai orang kata perkara paling utama yang menentukan samada anda boleh berubah dari baik kepada lebih baik adalah sikap. Nak berjaya, perlu ubah sikap terlebih dahulu. Dari sikap yang ada sekarang kepada sikap yang lebih baik lagi.

Untuk memudahkan urusan membaiki sikap yang kita ada sekarang, elok juga kita berikan satu cara mudah untuk mengukurnya. Saya syorkan kita berikan markah dari 1 sampai 10, untuk setiap sikap baik yang perlu ada pada diri seseorang. Lebih tinggi markah yang diberikan, lebih baik.

Oleh kerana markah tersebut adalah subjektif, maka lebih afdal jika tuan punya badan yang berikan sendiri markah sikap baik yang ada padanya sekarang. Itulah yang saya cuba buat. Dan saya harap anda juga boleh cuba buat perkara yang sama nanti di bawah.

7 sikap orang berjaya

Baru-baru ini saya terbaca perkongsian dari Peter Lam, seorang ‘Business Coach’ hebat yang mendapat banyak pujian dan anugerah dari usahawan-usahawan berjaya yang mendapatkan khidmatnya.

Dia kongsikan 7 sikap orang berjaya yang perlu ada pada semua orang yang impikan pencapaian tertinggi dalam apa saja urusan yang dilakukan.

Kejayaan bermula dari sikap. Itulah petua yang beliau berikan. Dia berikan satu perumpamaan menarik tentang sikap,

” Sikap buruk adalah seumpama tayar pancit. Anda tak boleh ke mana-mana selagi tak tukar tayar tersebut. “

Memang betul kan!

Kalau anda paksa juga jalan dalam keadaan tayar kereta anda pancit, ia akan rosakkan rim. Kalau degil pecut atas jalan raya dalam keadaan tayar pancit, anda memang cari nahas. ia mendatangkan keburukan yang boleh mengancam nyawa.

Memang sesuai sangat kita panggil ‘sikap buruk’ sebagai ‘Tayar Pancit’.

Lepas ini kalau anda nak tegur seseorang yang buruk sikapnya, berikan saranan supaya dia pergi tukar tayar pancit yang sedang dibawanya ke sana kemari. Ia membahayakan diri sendiri dan juga orang lain yang berdekatan.

Sekarang saya senaraikan 7 sikap orang berjaya yang wajib ada untuk berjaya dalam apa saja urusan.

#1. Ambil tanggung jawab dan bertanggung jawab

Orang berjaya punya sikap bertanggung jawab yang amat tinggi. Dia berani ambil tanggung jawab dan bersedia untuk menerima segala akibatnya samada baik atau buruk.

Hasil dari sikap bertanggung jawab itu, dia tak sesekali salahkan orang lain. Dia tak akan berikan alasan itu dan ini. Memberikan alasan adalah sama tahap dengan menyalahkan semua orang selain dari diri sendiri.

Kalau dilihat kebanyakan orang yang tidak maju ke depan, sikap suka cari alasan ini amat tebal melekat dalam pemikiran. Tak maju dalam bisnes disalahkannya bangsa sendiri yang tak mahu tolong bangsa sendiri. Disalahkan juga kerajaan sebab tak tolong berikan bantuan dana. Dia salahkan institusi kewangan sebab tak luluskan permohonan pinjamannya.

Paling mudah disalahkan juga jin atau buatan orang halus yang menutup pandangan pelanggan dari datang ke premisnya.

Markah saya: Untuk sikap pertama ini, saya berikan markah 6 untuk diri saya sendiri. Masih perlu dibaiki lagi kalau nak pergi lebih jauh. Saya sentiasa bersedia untuk bertanggung jawab terhadap segala perkara yang saya pikul tanggung jawab. Cuma masalahnya adalah saya banyak mengelak ambil tanggung jawab.

#2. Buat terus

Ini sikap orang berjaya yang amat penting.

Bila dah ambil masa untuk buat perancangan yang mencukupi, dengan pantas dia terus laksanakan. Tak banyak cakap lagi. Dia elakkan terus menerus bertanya dan cerita ke sana kemari sedangkan satu habukpun tak buat lagi.

Orang yang berjaya lebih fokus pada tindakan dan belajar dari hasil yang diperolehi dari tindakan tersebut. Dia buat salah. Dari situ dia belajar, buat pembaikan ubah laluan dan buat lagi sampailah berjaya.

Markah saya: Saya berikan markah 8 untuk sikap bertindak ini. Memang saya lebih suka buat terus segala idea yang saya nak laksanakan dan buat pembaikan sedikit demi sedikit sepanjang perjalanan bertindak itu.

#3. Pantas

Bertindak segera dan diikuti dengan kepantasan melaksanakan kerja adalah satu sikap unik orang yang berjaya dalam hidup mereka.

Orang yang macam itu sebenarnya punya kefahaman tinggi terhadap kepentingan amalan bersegera dalam apa jua urusan penting. Boleh dikatakan sikap ini menjadi satu senjata kuat yang sentiasa ada pada orang-orang yang anda lihat berjaya dalam apa saja urusan atau kerja yang mereka harungi.

Sebaik saja keputusan dibuat, orang berjaya terus fokus pada perlaksanaan. Tak ada tangguh-tangguh lagi dan mereka akan bergerak dengan amat pantas berbanding semua orang lain.

Macam yang anda boleh lihat pada Perdana Menteri kita Tun Mahathir. Dia bergerak seperti Bruce Lee !

Markah saya: Ini sikap yang aling lemah ada pada saya. Markah yang saya boleh berikan untuk sikap ini hanyalah 4. Agak rendah. Banyak yang perlu diusahakan untuk menjadikan saya lebih maju ke depan.

#4. Fokus pada hasil yang disasarkan

Orang yang berjaya juga biasanya amat fokus pada hasil yang mereka sasarkan. Mereka amat bertenaga dan sanggup berusaha apa saja untuk pastikan hasil yang mereka mhu tercapai.

Macam pakar pedang Jepun Miyamoto Musashi petuakan bila orang tanya bagaimana dia berjaya menjadi pemain pedang yang terlalu sukar untuk ditewaskan. Petuanya adalah, fokus hanya pada tindakan menetak musuh, tiada lagi yang lain.

Bayangkan jika anda pegang pedang Jepun yang amat tajam itu dan meluru pada musuh tanpa fikir benda lain selain dari menetak musuh anda itu. Kalau anda terlatih bermain pedang dengan baik, sudah pasti tetakan anda akan mudah terkena sasaran.

Kalau tak kena tetak lagi dan lagi sampai kena…

Macam itu juga kalau anda buat kerja menjual. Fokus hanya pada menjual. Kalau gagal, tanya kenapa, cari jawapan dan cuba lagi. Dan begitulah seterusnya. Yang penting, lambat atau cepat mesti bleh jual.

Markah saya: Untuk sikap ini saya berikan markah 6 sahaja. Masih lemah sebab masih tidak berjaya menepis segala gangguan yang mendatang samada dari luar atau dalaman.

#5. Sasaran dan keutamaan yang amat jelas

Tak ada orang yang berjaya blur dengan apa yang mereka sasarkan. Selain dari jelas dengan kesemua malamat, mereka juga sedar dengan jelas tahap kedudukan dari segi keutamaan setiap sasaran yang telah ditentukan.

Objektif atau sasaran yang ada pada mereka bertindak seperti jarum kompas yang tepat menunjukkan arah. Pusinglah ke manapun, jarum akan bergerak menunjukkan arah yang sama juga. Macam itulah perumpamaan mereka yang jelas dengan sasaran dan keutamaan mereka.

Markah saya: Untuk sikap ini saya boleh berikan 8. Agak baik berbanding dengan sikap yang lain. Tapi rasanya belum cukup baik berbanding insan-insan lain yang menunjukkan kemerlangan yang tinggi dalam kerjaya mereka.

#6. Berimpian besar dan berkeyakinan tinggi

Kata Prof Hamka, “jika jiwa anda besar, segala masalah yang besar menjadi kecil sahaja. Jika jiwa anda kecil, segala masalah kecil-kecilpun jadi besar”.

Itu kata-kata yang tepat untuk menunjukkan betapa pentingnya punya sasaran dan impian yang besar dalam hidup.

Di samping itu, orang berjaya juga tak malu-malu kucing untuk menyatakan impian besar mereka sebab mereka amat berkeyakinan tinggi untuk berusaha mendapatkannya. Kalau ada impian tapi takut-takut nak mengaku, itu tandanya tak ada keyakinan.

Jangan sekadar fikir nak jadi GM. Kenapa tak fikir untuk jadi CEO.

Jangan hanya fikir nak jadi pekerja. Kenapa tak fikir untuk jadi majikan.

Jangan hanya fikir untuk jadi penerima. Kenapa tak fikir untuk jadi pemberi.

Markah saya: Saya berikan sikap ini sebanyak 6 markah. Rasanya impian saya tak berapa cukup tinggi walaupun tahap keyakinan saya untuk buat apa saja agak tinggi.

#7. Tak takut gagal

Ini sikap penting yang perlu ada pada semua orang yang nak berjaya.

Jalan menuju kejayaan tidak pernahnya mudah. Anda akan berhadapan dengan berbagai rintangan. Semakin besar impian dan sasaran, semakin besar kuat rintangan dan halangan yang mendatang.

Suka atau tidak, anda terpaksa menempuh jalan buntu dan menghadapi kegagalan terlebih dahulu. Orang berjaya lihat kegagalan itu sebagai satu proses untuk berjaya. Dia akan faham gagal itu sama juga dengan ‘belum berjaya’.

Kombinasi semua sikap kat atas itu membuatkan orang yang berjaya sentiasa gagal dengan cepat. Kemudian mereka bangun lagi dan bergerak lagi ke hadapan. Jatuh dan bangun tanpa ada sikap malu atau takut untuk mencuba lagi.

Paling penting, mereka tak ambil peduli apa orang lain nak cemuh.

Markah saya: Saya berikan markah sebanyak 7 untuk sikap tak takut gagal ini. Sejak dari awal saya buat keputusan nak berhenti kerja dan berniaga, sikap ini berjaya saya bentuk sedikit demi sedikit. Tapi bila dah selesa sikit, datang pula rasa takut hilang dengan apa yang dah ada. Itu satu perasaan baru yang saya perasan bila menulis artikel ini. Perlu semak semula…

Semak markah anda sendiri

Saya dah kongsikan markah yang saya rasa sesuai terhadap kesemua 7 sikap orang berjaya yang disebutkan kat atas tu.

Seperti yang saya sebut pada awal tadi. Markah adalah amat subjektif. Anda sendiri yang lebih tahu kedudukan anda sekarang. Jadi buat penilaian sendiri.

Selepas dah siap. Boleh minta kawan-kawan yang rapat dan mengenali anda dengan baik untuk memberikan penilaian mereka pulak. Bandingkan markah yang mereka berikan dengan markah yang anda berikan sendiri.

Jika anda pembaca blog ini dan kenal saya, bolehlah cuba berikan markah terhadap kesemua 7 sikap di atas berdasarkan apa yang anda rasa sesuai untuk saya.

Itupun jika sudi.

Sumbangan anda amatlah saya hargai !

Total
7
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge