AL IHSAN DAN KELAYAKANNYA

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ) [Surat Aal-E-Imran : 134]
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Al Ihsan tidak mungkin ada dalam diri seseorang tanpa peribadi yang melayakkan dia mendapat gelaran itu. Al Ihsan juga adalah ciri ideal yang diidamkan oleh setiap dari kita dan bagi mereka yang mahu hidup dalam ideal ini akan sentiasa mencari-cari jalan untuk menyempurnakan sifat itu dalam dirinya.

Setiap jalan dan usaha untuk menyempurnakan peribadi ini dalam diri kita adalah jalan yang mulia dan amat disukai dan dikasihi oleh Allah.

APAKAH IHSAN

Dari Bahasa Arab dari punca kata ح س ن membawa maksud melakukan kebaikan bertentangan dengan perlakuan kejahatan atau menyakiti diri dan orang lain.

Dari sudut istilah para ulamak membahagikan ia sebagai sebahagian daripada akhlaq yang mulia dengan melihat IHSAN kepada IHSAN dalam Ibadah dan IHSAN dalam memenuhi tuntutan sesama makhluk.

IHSAN DALAM IBADAT

Ibadat adalah kemuncak Ihsan, dan kemuncak kesan kebaikan dalam ibadah yang dapat dihayati oleh seseorang hamba ialah, apabila dia merasakan keadaan dirinya menyembah Allah seolah-olah menghayati kehadiran Allah

Dan seolah-olah menghayati pengawalan Allah dalam hidupnya supaya terdorong ke arah kebaikan.

ان تعبد الله كانك تراه، فان لم تكن تراه فانه يراك. Bukankah Tauhid merasakan kebesaran Allah?

Penghayatan IHSAN tersebut melahirkan perasaan itu, maka jelaslah kita bahawa TAUHID dan IHSAN mempunyai ikatan yang kukuh, hayatilah ikatan ini untuk kehidpan yang mulia.

IHSAN SESAMA CIPTAAN ALLAH

Apalah makna kehidupan jika kebaikan tidak dapat dirasai oleh sesama ciptaan Allah.

Segala ciptaan Allah yang bernyawa atau tidak layak mendapat sentuhan IHSAN. Memenuhi hak sesama insan, mesra kepada binatang dan alam sekeliling adalah penghayatan IHSAN.

Oleh kerana IHSAN itu mesti dilakukan bersungguh-sungguh maka kesungguhan itu sendiri dikaitkan dengan IHSAN. Jadi apabila kita membuat sesuatu dalam kerja kita untuk mencapai matlamat organisasi kita, itu maknanya kita berlaku IHSAN.

Kalau kita cuba mencapai sasaran terbaik dalam peperiksaan maka itu adalah IHSAN, perhatikanlah dalam hidup kita samada,

berkarier atau

berumahtangga mahupun

bersosial dan

berpolitik

jika dilakukan bersungguh-sungguh itulah IHSAN namanya kerana kita cuba memenuhi yang terbaik.

Perkataan belas-ihsan dalam Bahasa Malaysia hanya membawa maksud simpati walaupun makna dalam istilah Islam lebih luas daripada itu.

AKHLAQ MULIA

IHSAN diperolehi dengan kita memenuhi kriteria yang sangat disukai oleh Allah.

  • Pertama, ialah suka berbekanja di jalan Allah ke arah kebaikan dalam keadaan senang (ada berlebihan) ataupun susah (cukup makan). Sikap ini amatlah terpuji kerana ia menghalang sifat kedekut yang sangat dilarang oleh Islam.
  • Kedua, ialah mengawal kemarahan dan memilih untuk menghilangkan kemarahan itu. Ayat ini mengajar kita erti ‘Anger Management’ iaitu satu disiplin yang menjadikan kita seorang yang positif walaupun pada saat kemarahan membuak-buak. Kita berasa marah di tempat kerja, di rumah ataupun di jalanraya maka bacalah ayat ini moga kemarahan kita dikawal dan dilepaskan secara positif.
  • Ketiga, ialah suka memaafkan mereka yang bersalah kepada kita. Hanya jiwa yang besar mampu berbuat demikian tanpa kita perlu merasakan ego kita tergadai. Mengatakan ‘I’m sorry’ mungkin lebih mudah daripada mengatakan ‘I forgive you’ kerana berbuat salah pada orang lebih mudah daripada memaafkan orang yang berbuat salah kepada kita. Itulah erti kebaikan sebenarnya dan sebab itu Allah menyayangi siapa yang berbuat demikian.

IHSANKAN HIDUP INI

Ulangilah ayat ini setiap kali kita hendak memulakan urusan kehidupan kita, semoga hidup kita ini dilimpahi dengan renjisan IHSAN di mana sahaja kita berada dan dengan sesiapa sahaja kita berinteraksi.

Mulakanlah budaya ini dalam hidup kita, sejahteralah sesiapa yang berbuat demikian

Salam IHSAN dari saya

Ibnu Ar-Rawi

Total
1
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge