Kita perlu segera bertaubat dan tunaikan haji dan umrah

(إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِنْ قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ
اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا)
(Surat An-Nisa : 17)

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Penjelasan Taubat

Taubah dari asal perkataan Arab bermakna kembali, ia memberi makna kembali setelah melakukan sesuatu dosa kepada kesedarannya lalu berhenti daripada meneruskan dosa itu.

Taubat tidak berlaku melainkan dengan kesedaran yang menyentaknya berhenti daripada berterusan melakukan perkara yang terlarang dalam hidup. Di kala itu seseorang akan segera bertaubat.

Taubat yang diterima

Taubat yang diterima oleh Allah ialah Taubat yang apabila seseorang hamba melakukan dosa atas dasar kejahilan, iaitu dia tidak mengetahui bahawa perbuatannya adalah satu dosa.

Namun setelah diberitahu maka hendaklah dia berhenti dan segera bertaubat dengan penuh keikhlasan maka barulah Allah menerima taubatnya.

Mengapa manusia berdosa

Dosa adalah akibat daripada sebarang bentuk perlakuan yang dilakukan oleh manusia yang dilarang oleh Allah. Perbuatan yang dilarang itu mengakibatkan kita tertanggung beban dosa yang akan dihisabkan oleh Allah kelak.

Sebab itu perkataan dosa dalam bahasa Arab ialah zunub dari za na ba yang membawa makna mengekori, dan ekor. Ia seolah-olah mengambarkan perbuatan terlarang itu tidak habis di situ sahaja malah akan menjadi ekor yang senantiasa di belakang si pelaku umpama mempunyai ekor di belakangnya.

Manusia berdosa kerana jahil, dikuasai hawa nafsu dan terpengaruh dengan perbuatan orang yang berdosa. Jahil menyebabkan seseorang terjebak tetapi ia tidak boleh berterusan dalam kejahilan kerana menjadi kewajiban bagi yang tahu untuk memberitahu si jahil.

Istilah ‘jahil tak boleh diajar’ pula ialah kejahilan yang paling teruk kerana walaupun diberitahu ia tetap meneruskan perbuatan yang dilarang, maka kini dia telah dikuasai oleh hawa nafsunya. Hawa nafsu tidak mengenali lagi dosa dan pahala, ia hanya ingin memenuhi keinginannya yang berubah menjadi sembahannya.

Adapun persekitaranyang mempengaruhi si pelaku, ia adalah kerana suasana persekitaran dari keluarga mahupun rakan yang tidak banyak mendorong seseorang ke arah kebaikan malah sebaliknya mengheretnya ke arah kejahatan.

Sebab itu suasana persekitaran rumahtangga, jiran, rakan dan tempat kerja mesti dibentuk suka kepada kebaikan malah Nabi s.a.w bersabda:

Jika allah mengkehendaki Kebaikan kepada seseorang hamba, Allah akan kurniakan kepadanya seorang sahabat yang baik. Iaitu apabila kita lupa dia akan mengingati kita dan apabila kita sedar dia akan membimbing kita ke aarah kebaikan.

Jalan taubat

Taubat adalah matlamat untuk kembali kepada fitrah yang suci bersih. Bagi mencapai maksud itu Islam telah menetapkan jalan ke arah itu.

  1. Berzikir – Zikir memberikan kita kekuatan untuk melangkah daripada dosa. Ia juga adalah pendinding yang mengalang antara kita dan kemaksiatan. Kemuncak zikir ialah melahirkan jiwa yang tenang kerana segala keinginan kepada kejahatan menyebabkan jiwa bergelojak dan bergelora. Zikir membekalkan satu tanda aras samada kita dalam ketenangan ataukah sebaliknya.
  2. Beristighfar – Istigjfar adalah memohon keampunan kepadaNya dengan bersungguh-sungguh. Allah menjadikan istighfar kerana manusia sering melakukan kesalahan. Malah tanpa melakukan kesalahan seseorang hamba tidak mungkin merasai kelazatan beristighfar. Melakukan dosa bukanlah satu kesalahan, ia menjadi kesalahan apabila kita tidak beristighfar memohon keampunan daripadaNya. Istighfar adalah jambatan antara dosa dan taubat.
  3. Berdoa – Doa adalah senjata mukmin dan ia juga adalah pusat kepada segala ibadah kerana dengan berdoa kita menyimpulkan tali harapan kepada Allah dan Allah menyintai hambaNya yang senantiasa mengharapkanNya. Berdoa memberikan kekuatan untuk kita menjauhi maksiat dan senantiasa mengharapkan petunjuk supaya terdorong kepada kebaikan.
  4. Berilmu – Ilmu memberikan kita tanda-tanda sepanjang jalan manakah kebaikan manakah kejahatan. Berbekalkan zikir, istighfar, doa maka mudahlah untuk kita mengenali dan mengetahui tanda-tanda penting ini. Ilmu bukan sesuatu yang sukar, ia hanya perlu mempelajari dari mereka yang mengetahui. Dosa harus diketahui dan apakah kesannya dalam kehidupan, bukan sekadar mengetahui ianya dosa atau maksiat.

Moga-moga kita kembali segera bertaubat dari segala kesalahan kita dan moga-moga taubat kita diterima oleh Allah swt. Salam Taubat dari Ibnu Ar-Rawi.

Total
4
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

9 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge