Panduan jadikan hidup anda lebih baik dengan menjauhi iklan dan propaganda syaitan

Konsep iklan diperkenalkan secara meluas sejak teknologi percetakan bermula pada abad ke 17. Itu maklumat yang saya dapat dari carian di google.

Billboard pertama

Jika anda cari sejarah pasal billboard pula, akan tertera bahawa orang pertama yang pasang billboard besar adalah Jared Bell pada tahun 1835. Dia buat iklan circus di New York dengan mencetak poster untuk tatapan umum.

Itu apa yang ada dalam internet. 

Sejarah iklan

Kalau anda baca buku A history of the World in 100 Objects, boleh rasakan bahawa aktiviti untuk sebarkan maklumat dari kaum pemerintah kepada rakyat jelata sudah berlaku sejak zaman dahulu kala lagi. Memang bukan bertujuan untuk perniagaan. Tapi ideanya sama saja. Menjual sesuatu supaya orang tahu dan menerimanya.

Bahan sejarah berkaitan iklan bertulis ada dijumpai di runtuhan sebuah bandar purba di Mesir. Ia merupakan iklan yang tertulis pada bahan kertas papirus pada tahun 3000 BC. Pemilik hamba mengiklankan maklumat hambanya yang melarikan diri dalam masa sama mempromosikan kedainya. 

Kalau tak pakai teknologi percetakan, orang dulu kala, yang pada mulanya pakai mulut beriklan, kemudiannya mula pakai simbol yang boleh difahami oleh mereka yang sama zaman dengannya. Samada untuk mewartakan undang-undang, mempamerkan kuasa dan status dan sebagainya. Bagi saya itu semua adalah iklan bertujuan bagi menanam satu kefafaham ke dalam pemikiran manusia.

Propaganda moden

Kembali ke zaman kita sekarang. Anda sendiri tentu sedar bahawa manusia moden hidup dalam dunia yang dipenuhi dengan iklan. Celik mata, di mana saja anda berada, iklan akan pantas muncul di depan.

Sebelum dunia internet dan medsos meriah sekarang ini, paparan papan iklan besar dan kecil sangat laku keras. Orang yang dapat konsesi pasang tapak iklan di lebuhraya jadi jutawan segera. Syarikat iklan besar buat duit sangat banyak bila mereka jadi ajen yang temukan antara pemilik tapak iklan dengan pengiklan.

Hasilnya, satu masa tak lama sebelum ini, memandu di lebuh raya mendedahkan mata anda kepada ratusan iklan yang cukup besar dan menonjol. Masuk jalan persekutuan juga bersepah iklan. Masuk pusat bandar tak payah cakap lah. Pusing lah ke manapun anda akan nampak iklan.

Duduk di rumah pula, masa zaman TV adalah raja, buka sahaja TV, anda akan tonton iklan yang menarik, cantik, melekat, diulang-ulang untuk tatapan mata dan minda. Pejam mata, dengar iklan pada radio pula. Diulang-ulang terutamanya pada waktu utama pergi dan balik kerja supaya anda dengar dalam radio yang dibuka ketika memandu.

Buatlah apa saja, baca akhbar, majalah, naik bas, jalan kaki, naik basikal, minum di kedai mamak, tengok perlawanan bola di stadium .. semuanya ada iklan yang setia menemani anda.

Selagi anda berada di tempat yang ada manusia, selagi itulah iklan akan terpampang megah. Adalah hampir mustahil untuk anda mengelakkan diri daripada terserempak dengan iklan melainkan anda buat keputusan untuk tinggal bersama dengan Kaum Penan di dalam hutan. Itupun tak kan kekal lama sebelum iklan mula masuk ke dalam hutan pula.

Iklan atau dalam ertikata sebenarnya adalah propaganda telah berjaya meracuni fikiran manusia. Ia berkembang jadi lebih berkesan dari masa ke masa. Segala perkara yang disukai oleh nafsu manusia di gunakan termasuklah menggunakan nafsu serakah. Jadi, apa yang boleh anda lakukan?

Apa cara yang boleh kuatkan jiwa anda untuk tidak terpengaruh dengan iklan?

Kesan buruk iklan

Jika anda serius untuk hidup dengan baik, soalan di atas tadi perlu diberikan perhatian. Perlu ada satu strategi untuk pertahankan diri dari terpengaruh dan dirosakkan hidup oleh iklan.

Dengan menjadi kebal daripada pengaruh iklan, anda boleh selamat dari beberapa contoh di bawah.

  • Rumah dipenuhi oleh seribu satu macam barang yang berlebihan dan tidak diperlukan.
  • Simpanan wang berkurangan kerana dihabiskan untuk membeli apa yang tidak perlu.
  • Tertipu kononnya ada benda yang boleh membuatkan anda hebat seperti orang yang digunakan sebagai muka iklan. Hakikatnya pelakon iklan itu memang dah hebat begitu, tanpa pakai barang yang diiklankan pun.
  • Emosi tertekan sebab menyesal perancangan kewangan telah lari. Duit yang dapat tak pernah cukup. Beli barang guna kad kredit ..

Anda tentu boleh buat senarai sendiri kebahagiaan hidup yang boleh diperolehi jika tidak terpengaruh dengan iklan.

Tipudaya pengiklan

Untuk melatih diri menjadi kebal daripada iklan, anda perlu tahu apakah teknik manipulasi yang digunakan oleh para pengiklan yang membuatkan pengguna terpengaruh.

Berikut adalah 2 teknik manipulasi utama yang biasa di pakai.

a. Ketakutan yang wujud dalam diri anda

Kajian menunjukkan pengguna lebih terpengaruh untuk membeli sesuatu yang dapat mengeluarkan diri mereka daripada keadaan yang mereka takut. 

Anda akan terpengaruh untuk pasang grill besi pada rumah sebab kalau tak pasang nanti kena rompak. Anda kurang terpengaruh untuk pasang grill supaya rumah kelihatan lebih cantik sahaja tanpa adanya unsur ancaman rumah kena pecah.

Iklan takutkan pengguna terhadap kegagalan lebih berkesan berbanding iklan yang menjanjikan kejayaan.

Cuba lihat iklan barangan yang anda sering tonton. Perkara seperti bau ketiak busuk, mulut busuk, jeragat, jerawat dan seribu satu macam lagi ancaman yang digambarkan dan diperbesarkan. Ia meresap bagai satu hasutan membisikkan anda terhadap kemungkinan gagal dalam menjalani kehidupan.

b. Bayangan diri anda yang ideal

Anda disogokkan dengan igauan jadi seperti seseorang yang anda kagum. Bagi merealisasikan perkara tersebut para artis atau sesiapa saja yang terkenal digunakan.

Ada banyak kelebihan pada seseorang yang terkenal seperti kecantikannya, kekuatan, kepandaian, kehebatan dan lain-lain. Bila anda beli barang yang disyorkan oleh orang itu, secara tak lansung apa yang anda idamkan yang ada padanya, akan terpalit juga pada anda. Sekurang-kurangnya itulah yang minda anda rasa secara tidak sedar.

Elakkan diri dari dikuasai iklan

Bagaimana anda dapat elakkan daripada terpengaruh dengan semua yang tersebut di atas?

Paling penting adalah untuk pastikan anda bahagia dengan keadaan diri seadanya. 

Anda mungkin gelap, pendek, tak lawa dan sebagainya, tapi kalau anda sendiri tak suka pada semua itu, bermakna anda tak suka pada diri sendiri.

Walau apapun yang terjadi belajar untuk suka dan bersyukur dengan diri anda setiap hari. Jadikan itu sebagai perkara besar yang perlu dikuasai sampai berjaya.

Hanya anda saja yang mampu jadi diri anda dengan baik. Anda sesekali tak mungkin jadi orang lain seperti orang itu sendiri. Oleh itu abaikan niat nak jadi macam orang lain.

Untuk suka pada diri sendiri, jangan cuba berangan-angan mahu menjadi orang lain.

Itu adalah tanda-tanda awal yang anda tak suka pada diri sendiri. Anda mula berangan-angan untuk menjadi seperti orang yang anda suka.

Mula berangan jadi artis atau orang terkenal, lalu apa saja yang dia pakai atau beli anda mula terikut-ikut.

Biarlah orang lain dengan caranya dan diri anda dengan cara anda sendiri. Hakikatnya, anda punya sejarah dan cerita anda sendiri. Kalau tak ada, cipta satu yang hebat-hebat.

Kalau setakat nak tonjolkan diri, banyak benda mudah dan percuma yang boleh anda lakukan untuk serlahkan diri, antaranya adalah seperti di bawah.

1. Jaga kebersihan - lumrah kejadian manusia suka kepada yang bersih. Ia lambang keamanan, lambang keselesaan dan keselamatan.

2. Jaga kesihatan - Sedar atau tidak, orang yang sihat memancarkan aura daya tarikan jauh lebih tinggi berbanding yang tak sihat. Ia ada kaitan dengan kecenderungan manusia untuk membiak.

3. Jaga makanan - Makan benda baik seperti mana yang dianjurkan dalam Al-Quran.

4. Jaga waktu tidur - Rehatkan diri supaya pembaikan sel berjalan dengan lancar. Tenaga dapat dikumpulkan semula untuk kembali melaksanakan tugas dengan baik.

Elak dari nampak iklan 

Kurangkan menonton TV, membaca majalah atau akhbar dan mendengar radio, bacalah buku.

Elakkan ‘window shopping’ dan gantikan dengan aktiviti bertemu kawan-kawan dan bersembang. Itu lebih bagus dan banyak manfaatnya dari segi kesihatan, kerja dan perniagaan.

Tengok cermin

Sentiasa bandingkan diri anda semalam dengan diri anda hari ini dan bukannya bandingkan diri anda dengan artis atau orang yang anda kagumi.

Setiap kali kita mahu membeli, tanya pada diri sendiri samada ia benar-benar diperlukan dan bukannya terpengaruh dengan iklan. Fikirkan kali terakhir kita membeli barang seumpama itu dan apa yang telah berlaku pada barang tersebut.

Untuk pastikan anda tidak jatuh masuk ke dalam lubang, perkara paling asas yang anda perlu buat adalah elakkan diri dari ikut jalan yang ada lubang.

Begitu juga dengan iklan.

Untuk pastikan anda tidak tertipu dengan iklan, paling mudah adalah untuk elakkan diri dari terlihat iklan.

2 Comments

  1. sekarang selalu tengok iklan dalam medsos dan blog...susah sungguh nak lari

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah .. memang susah nak lari dari iklan jika masuk medsos

      Delete
Previous Post Next Post