Panduan menyusun semula kehidupan anda yang berserabut dengan cara hidup ringkas


Anda tentu punya impian seperti kebanyakan orang yang inginkan kehidupan tenang tanpa serabut. Sebolehnya, bila sudah mencapai umur melebihi 40 tahun, anda mahu berada dalam keadaan terkawal.

Biasanya jika zaman muda anda hidup tak tentu arah, tiada disiplin, main ikut apa saja idea melintas, tiada usaha membina tabiat yang baik, masa tua nanti anda akan hidup dalam keadaan jiwa tertekan penuh dengan seribu satu macam keserabutan.

Sebab itu orang tua yang hidupnya serabut, ingin kembali ke zaman muda sebab dirasakannya masa itu dia hidup aman tanpa serabut. Sebenarnya serabut tak ada ketika muda sebab dia tak hidup dalam kesedaran, tiada disiplin diri dan ikut saja kaki melangkah. Masa berlalu dengan pantas dan sedar-sedar diri dah tua dengan seribu satu macam masalah terkumpul.

Walau apapun peringkat umur anda samada tua atau muda dan anda sedang menghadapi kehidupan yang serabut, saya mahu kongsikan jalan untuk menyelesaikan semua itu.

Jawapan kepada keserabutan hidup hanya satu, “ringkaskan kehidupan anda”

Berikut di bawah, saya senaraikan 6 perkara penting yang anda perlu berikan perhatian untuk diringkaskan.

1. Urusan ekonomi

Jadikan diri anda seorang yang kaya. Bukan kaya seperti kebanyakan orang faham. 

Kaya bukan bermakna perlu banyak duit atau banyak harta. Sebaliknya, kaya bermakna ada cukup duit dan cukup harta untuk hidup tanpa menyusahkan orang lain mengharap agar diri di bantu.

Sentiasa pujuk diri untuk tidak ambil peduli tahap kesenangan orang lain. Itu apa yang anda lihat saja dan semua yang orang pamerkan hanya sudut baik saja. Tak ada orang akan pamerkan sudut buruk.

Anda tidak perlu berlumba untuk menjadi pemenang siapa lebih kaya. Lagipun tak ada siapa yang menyuruh dan berhak mengarahkan anda berbuat begitu.

Kalau nak bandingkan juga, memang manusia hanya boleh faham melalui perbandingan, anda hanya perlu bandingkan diri anda hari ini dengan yang semalam. Ia hendaklah lebih baik sedikit daripada semalam.

Saya ulang sekali lagi pastikan ianya lebih baik sedikit saja. Jika hari ini anda berjaya jimatkan pembaziran hanya 10 sen berbanding semalam, itu satu kejayaan yang besar dan cukup bermakna.

Jangan keluarkan duit untuk membeli barang yang tidak perlu. Duit yang dikeluarkan untuk membeli membunuh potensi anda untuk menggandakannya.

Fikirkan segala barang kepunyaan anda yang dibeli dan hanya digunakan sekali seumur hidup, ia langsung tidak berbaloi.

Elakkan membeli sesuatu kerana mengharapkan orang menghormati anda kerana memiliki benda itu. Ia langsung tidak perlu sebab anda tidak semestinya apa yang anda miliki dan bukan juga kereta apa yang anda pandu.

Ulang semua perkara di atas setiap hari. Kalau nak lebih efektif, rekodkan semua kejayaan anda setiap hari.

2. Urusan kemasyarakatan

Manusia adalah makhluk bersosial. Jika anda tak ada kawan rapat, memang patutpun kehidupan berserabut.

Mula jalinkan semula perhubungan dengan bekas kawan-kawan lama yang anda pernah ada, dan istiqamah berkawan secara jujur. Jangan peduli apa status kawan itu kerana anda tidak perlu membandingkan antara anda dengan kedudukan atau kejayaan mereka. 

Kawan-kawan amat diperlukan sebagai rakan kongsi kita menyatakan rasa syukur, juga rakan berkongsikan masalah. 

Bagi mereka yang terlalu ramai kawan dan terlalu aktif bermasyarakat, fikirkan semula keperluan anda. Kadangkala banyak masa terbuang bersama dengan kawan yang tidak mendatangkan faedah. Jumlah maksimum seorang manusia biasa dapat kekalkan perhubungan hanyalah seramai 150 orang saha dalam satu masa. Jadi, pastikan anda pilih siapa mereka.

Hadkan juga komitmen anda dalam bermasyarakat dan jangan belasah menerima jawatan dan tanggungjawab yang banyak. Lepaskan agar orang lain juga berpeluang berbakti. 

Pegang dan aktif dalam hanya satu atau dua aktiviti yang memberikan impak serta pulangan yang optimum pada kehidupan dunia dan akhirat.

3. Urusan kerohanian

Ada dikalangan kita yang tak pernah luangkan masa bersendirian bertafakur untuk santapan rohani. Jika anda begitu, sila ubah bermula dari sekarang. Luangkan masa sekurangnya satu jam sehari untuk anda bersendirian.

Jika santapan fizikal adalah makanan, maka santapan rohani pula adalah ilmu.

Oleh itu sentiasa tambahkan ilmu dengan membaca dan berguru. Sebagai muslim anda berada dalam kerugian yang cukup besar jika tidak membaca dan cuba memahami Al-Quran. Ia mempunyai kesan yang cukup basar untuk kekuatan rohani.

Jadikan amalan membaca Al-Quran dan Tafsirnya sebagai tabiat harian. Semua itu mudah dlakukan dalam dunia serba canggih teknologi maklumat sekarang.

4. Urusan hiburan

Para saintis yang mengkaji manusia dalam rumusan terbaru mereka mengkategorikan manusia sebagai makhluk yang gemar berhibur melebihi makhluk lain.

Jika fikir betul-betul, memang tidak dapat nafikan kebenaran ini. Tak ada siapapun mamp bertahan sepanjang masa, setiap hari, minggu dan bulan untuk menjadi seorang yang sentiasa serius.

Carilah sesuatu yang berfaedah untuk dijadikan sebagai pengisian terhadap keperluan untuk hiburan anda. Biasanya anda dapat hiburkan diri dengan melayan hobi. 

Dalam kajian yang saya baca, mereka dapati, individu yang cemerlang dari dulu sampai sekarang mempunyai sekurang-kurang 2 hobi yang mereka layan dengan konsisten. Hobi membantu anda cemerlang terhadap urusan menunaikan tanggung jawab hidup.

Bagi anda yang menjadikan hiburan sebagai aktiviti sepenuh masa pula, anda sebenarnya terlalu berlebihan. Tak ada benda pun yang baik jika dilayan secara berlebihan. Melainkan anda memang bertanggung jawab dalam industri hiburan.

Limitkan masa untuk berhibur sekadar perlu sahaja untuk stabilkan emosi. Buat sikit-sikit tapi konsisten berterusan adalah cara yang terbaik untuk layan hiburan.

5. Urusan kesihatan

Pergi tanya orang yang tak sihat, tentu mereka setuju jika anda katakan pada mereka, tak ada perkara yang lebih menyeronokkan selain daripada mempunyai tubuh badan yang sihat. 

Malangnya ramai yang sentiasa mengutamakan perkara lain dan meletakkan kesihatan sebagai agenda yang paling akhir dalam hidup.

Luangkan masa untuk bersenam dan sentiasa fikirkan keadah bagaimana anda boleh selitkan senaman ke dalam rutin harian. 

Contohnya dengan parkir kenderaan ditempat yang lebih jauh dari biasa supaya dapat berjalan kaki lebih lama. Kalau anda biasanya naik lif, apakata cuba naik tangga pula.

Asas penjagaan kesihatan sebenarnya sangat mudah. Anda perlu pantau 3 perkara berikut saja.

  1. Makan - Jaga makanan, kurangkan atau elak gula, kurangkan karbo, banyakkan sayur dan buah. Panjangkan masa untuk tidak makan dengan berpuasa secara rutin.
  2. Tidur - Buatlah apa saja untuk dapatkan waktu tidur yang mencukupi dalam keadaan nyenyak.
  3. Bergerak - Banyakkan bergerak daripada duduk atau baring. 

6. Tempat perlindungan

Jika anda masih tinggal dengan ibubapa, ia adalah sesuatu yang cukup beruntung. Wang boleh dijimatkan untuk membeli penginapan anda sendiri suatu masa nanti. 

Untuk ambil manfaat dari rezeki yang Tuhan berikan itu, anda perlu bayangkan kononnya anda menyewa di kawasan tersebut. Semak berapakah sewaannya.

Ambil jumlah tersebut dan masukkan dalam akaun hartanah anda. Jangan belanja dan habiskan wang yang anda jimatkan itu.

Jika anda memiliki rumah sendiri, perkara paling utama yang perlu dilakukan adalah sentiasa bersyukur. Jangan mengeluh keadaan rumah anda kecil atau tidak elok berbanding orang lain. Anda bukan mereka dan mereka bukan anda.

Terjemahkan rasa syukur anda dengan jadikan rumah anda baik untuk diduduki. Pastikan ia sentiasa kemas tersusun dan bersih seperti hotel bertaraf lima bintang.

Luaskan ruang dalam rumah anda kurangkan barang. Anda perlu kumpulkan segala yang tidak digunakan dan hadiah atau jual saja pada scrap dealer.

Ingat rumah yang luas bukan sebab ianya besar, tetapi kerana dia hanya diisi dengan barang-barang yang benar-benar perlu sahaja.

Jika rumah anda terlalu semak berterabur dan anda tidak tahu di mana harus dimulakan untuk menyusunnya, fikirkan masa yang sesuai untuk anda mengecat semula keseluruhan rumah. Dengan berbuat begitu anda secara lansung terpaksa mengumpulkan, menyusun semula apa yang perlu dan membuang apa yang tidak perlu.

Baca artikel yang saya tulis di sini untuk mendapat idea bagi melapangkan rumah anda.

Post a Comment

Previous Post Next Post