Bagi anda yang berniaga, secara purata, berapa jualan perniagaan anda setahun?
Jika anda masih belum berjaya mencapai RM1 Juta setahun, artikel itu mungkin dapat membantu anda untuk berusaha mendapatkannya. Insyaallah!
Soalan, bagaimana nak dapatkan jualan RM1 juta setahun itu sahaja, sebenarnya merupakan titik mula langkah anda untuk berusaha mendapatkannya. Kebanyakkan orang yang berniaga, sangat asyik dalam nikmat menjalankan perniagaan setiap hari siang dan malam sehingga pertanyaan sebegitu tak terlintas sama sekali.
Bagi yang mula bertanya pula, kemudian diikuti dengan keazaman untuk benar-benar mahu mendapatkannya, lalu mula mencari jawapan tanpa jemu, insyaallah, sampai masanya akan berjaya juga.
Jangan hanya dibiarkan saja pertanyaan itu lalu dalam kepala tanpa dipedulikan. Kerana sikap sebegitu kebiasannya, tidak dapat membantu untuk anda berjaya.
Dari makan gaji ke berniaga
Bagi manusia biasa macam saya, jumlah RM1 juta adalah satu jumlah yang amat besar. Dari kecil sampai dewasa, hidup sekadar berusaha untuk melepaskan keperluan sahaja dengan apa yang dapat perlu dibelanjakan untuk teruskan kehidupan.
Masa mula kerja makan gaji dulu selepas belajar, dapat gaji RM600 sebulan sudah dirasakan satu nikmat yang sangat besar. Tak pernah sekalipun sebelum itu dapat pegang seketul gedebuk RM600 sekali gus.
Masa berlalu, jumlah yang difikirkan mampu dimiliki mula meningkat sedikit demi sedikit. Tapi setakat jumlah orang makan gaji level eksekutif dalam industri biasa sajalah. Bukan industri glamour yang janjikan gaji tinggi seperti syarikat minyak dan seumpamanya.
Sehinggalah saya berhenti kerja dan terjun berniaga.
Di awal permulaan, saya sekadar memikirkan untuk pastikan segala kos jualan dan kos tetap dapat diselesaikan setiap bulan. Jika tak ada baki untuk syarikat pun dah rasa ok. Asalkan gaji untuk Tokeh masih dapat dilunaskan.
Begitulah adat berniaga kecil-kecilan, tak sama seperti syarikat korporat yang kos bayar gaji saja mampu mencecah jutaan ringgit. Saya boleh berikan gambaran seperti berikut, keadaan peniaga kecil macam saya.
Bisnes kemas rumah
Katakan anda mejalankan perniagaan khidmat mengemas rumah orang.
Dengan meletakkan diri anda sebagai seorang penyelia merangkap pengurus, dan juga merangkap pemilik, bersama 2 orang pekerja di bawah, sejumlah pendapatan RM5 ribu sebulan sudah cukup untuk membayar gaji pekerja. Selebihnya untuk keperluan perniagaan dan sara hidup.
Untuk pastikan syarikat anda menjana jualan RM5 ribu sebulan, perlu cari sekurang-kurangnya 17 buah rumah sebagai pelanggan. Dengan pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM300 sebulan untuk khidmat kemas rumah mereka.
Membuat kiraan sebegitu amat mudah, tapi bagi yang dah ada pengalaman jalankan perniagaan, tentu tahu betapa peritnya usaha nak dapatkan, walaupun seorang pelanggan. 10 kali cuba belum tentu dapat. Dan semua itu membuatkan anda terkial-kial macam lipas kudung buat sale sekadar untuk pastikan anda dan perniagaan kekal hidup.
Semua kesibukan menjadikan anda tak mampu untuk bersandar sebentar dan berangan-angan jauh bagi meletakkan sasaran setinggi yang mampu dicapai, seandainya tidak dibetulkan cara berfikir dan cara menguruskan perniagaan dengan betul.
Perkara penting untuk membolehkan anda duduk tersandar di kerusi pejabat untuk melakukan proses berangan-angan ke depan adalah seperti berikut.
- Urus duit keluar masuk - Anda perlu pulun seligat mungkin untuk pastikan overhead lepas, dengan ada sedikit lebihan. Tetapkan gaji anda dan Jangan ambil lebihan tersebut untuk naikkan gaji sendiri. Biarkan lebihan meningkat dari masa ke masa. Lebih pantas lebih bagus.
- Serahkan tugas - Anda perlu melepaskan tugas yang andalah penyelia dan anda juga manager dan anda juga tukang cuci, kepada orang lain. Gunakan duit untuk beli masa. Untuk itu jangan takut, jangan kemut untuk gajikan orang bagi mengambil tanggung jawab penyelia atau manager itu.
Apabila tugasan dah diambil orang, anda akan mula dilanda masalah risau gelabah tak tentu arah sebab tak biasa, lalu tak tahu nak buat apa. Maklumlah sekian lama asyik beraksi sampai tak sempat berfikir.
Biasanya anda yang dah terbiasa kerja macam lipas kudung sebelum itu, akhirnya akan terjun semula beraksi sebab tak pernah lagi biasakan diri buat kerja merancang dengan pakai otak saja.
Untuk atasi masalah itu, anda perlu melakukan beberapa perkara berikut di bawah. Semua perkara di bawah ini jika dilakukan, insyaallah akan langkah mula yang bakal membantu anda mendapat RM1 juta dalam bisnes anda sekarang.
- Sabar - Bersabarlah dan pujuk diri anda bahawa ini hanya sementara dan anda dalam proses menyesuaikan diri untuk menjadi jutawan. Lagipun tak ada boss yang sedang memantau apa yang anda buat.
- Jangan duduk dalam bisnes - Pantau sekejap saja anak buah yang turun buat kerja dan segera tinggalkan mereka untuk mencari kawan-kawan yang berjaya. Mereka yang dah berjaya ni biasanya kerja utama adalah melepak cari kawan share masalah atau cari idea baru. Pergi joint mereka.
- Serius dan fokus -Segala aktiviti membina jaringan dan mendapatkan idea atau maklumat mesti berobjektif. Jangan asyik berborak lama sangat.
- Bersendirian secara rutin - Sebelum pulang ke rumah menamatkan hari tersebut, menyendiri sebentar sekurangnya satu jam di pejabat.
- Guna teknologi - Keluarkan sedikit modal, jangan kemut untuk gunakan teknologi yang mempercepatkan kerja kiraan. Sediakan komputer di depan dan sediakan alat kira besar yang boleh kira lebih dari 7 angka.
- Buat simulasi kiraan - Buat kiraan berapa anda akan capai bulan tersebut. Katakan jumlahnya adalah RM7 ribu. Untuk mendapatkan jumlah jualan sejuta setahun, anda perlu dapatkan pendapatan sejumlah RM83,333.35 sebulan !, maksudnya anda perlu gandakan semua yang sedang ada sebanyak 12 kali, itu bukanlah jumlah yang banyak. Bagaimana kalau ada pelanggan lebih besar dari sebuah rumah?
- Buat kiraan terperinci - RM83,333 dibahagikan dengan RM7,000 bersamaan lebih kurang 12. Jika jumlah pelanggan yang ada sekarang adalah 20 rumah, anda perlu lagi 220 rumah untuk mencapai sasaran jualan RM83,333 sebulan. Ada tak satu pelanggan yang mewakili 3 atau lebih rumah?
- Buat perancangan terperinci - Fikirkan bagaimana nak buat semua yang anda rasa perlu untuk mencapai sasaran, sampai cukup sejam untuk hari itu dan balik.
Sebaik saja anda mula mengamalkannya, sejak balik pada hari itu selepas semua aktiviti mengira dan merancang, otak anda tak akan henti-henti berfikir macam mana nak capai semua angka tersebut, ketika sedang buang air sekalipun.
Itu menandakan anda berada dalam proses menghampiri sasaran.
Sabar, tunggu dan teruskan berfikir setiap hari sebelum balik satu jam di depan komputer, tambah satu lagi item, iaitu buku nota. Sentiasa kepilkan dalam poket. Ia perlu bila ada idea terpancul keluar yang biasanya datang tak kira masa dan tempat.
Paling lewat 2 tahun sasaran tersebut akan tercapai dan paling cepat mungkin sekitar 6 bulan. Itu bukanlah masa yang lama bagi seorang usahawan. Insyallah!
Semoga ada manfaatnya dan selamat mencuba untuk mencapai RM1 juta dalam bisnes