Semua orang dalam zaman moden ini hidup dalam beberapa peringkat. Selepas dilahirkan anda lalui zaman kanak-kanak. Itu zaman anda menerokai dunia kehidupan di atas muka bumi. Belajar bercakap, bergerak, berinteraksi dengan alam dan sebagainya.
Saya langsung tak ingat apa berlaku ketika berada di dunia kanak-kanak dulu, tak pasti jika ada orang yang mampu ingat dengan jelas atau samar-samar dunia kanak-kanaknya. Sedar-sedar saya dah kena paksa masuk tadika yang kemudiannya saya ponteng lari dari kelas dan akhirnya orang tua biarkan saja.
Selepas masuk umur 7 tahun, kena masuk sekolah rendah pula. Kali ni tak boleh larikan diri lagi. Sekolah jauh dari rumah kena naik bas untuk ke sana. Mahu tak mahu tahan diri teruskan persekolahan. Itu saya tak berapa ingat apa berlaku secara jelas. Cuma saya tak dapat lupa hari pertama di sekolah saya terberak dalam seluar sebab tak tahan dan tak tahu di mana tandas.
Darjah 1 memenag blur, masuk darjah 2 dan seterusnya masuk darjah 6 saya ingat hanya peristiwa-peristiwa penting saja. Saya pernah masuk mewakili sekolah dalam pertandingan membaca, menang sehingga naik ke peringkat daerah untuk mewakili negeri lalu tewas kat situ.
Saya juga ingat mewakili pasukan bolasepak sekolah dengan pencapaian yang sangat cemerlang menang semua perlawanan dan jadi johan.
Bab nakal saya ingat pernah bertumbuk dengan class mate berbangsa India. Saya kena belasah teruk dengan budak itu sebab dia pandai lawan. Masa tu saya baru sedar rupanya gaduh bertumbuk di luar tak sama macam yang saya lihat dalam cerita pebdekar filem Melayu.
Dalam ingatan samar-samar begitu, syukur saya dapat kuasai kemahiran membaca menulis dan mengira. Pencapaian sederhana saja sehinggalah masuk ke sekolah menengah.
Di tingkatan 1 ke tingkatan 5 saya tukar pergi ke sekolah menengah di belakang kampung saja. Mudah nak lari balik dan memang lambat lepa saja akan cabut balik cari apa-apa yang boleh di makan kat rumah.
Sekolah menengah adalah alam baru bagi saya sebab ada pelajar perempuan dalam satu sekolah. Sepanjang sekolah rendah, kami hanya lelaki saja, tak ada pelajar perempuan. Jadi pada awalnya saya jadi macam rusa masuk kampung bila separuh dari pelajar dalam kelas semua perempuan.
Saya mula dapat merenung perempuan mana yang masuk dalam kategori cantik, menarik, comel, manis, manja dan sebagainya. Mata sudah dapat membuat penilaian sendiri tanpa sesiapapun ajar.
Mungkin daya tarikan lelaki terhadap perempuan sudah tertanam sejak azali tanpa perlu masuk kelas terlebih dahulu untuk faham. Saya yakin jika seorang lelaki yang membesar sendirian di sebuah pula hingga dewasa dan seorang perempuan yang sendirian juga sejak kecil di pulau lain, bila bertemu akan segera tahu apa yang mereka perlu rasa.
Sampai habis tingkatan 5 saya dapat keputusan SPM yang agak baik, antara yang terbaik di sekolah tu. Rendah sikit saja dari pelajar cina terbaik di sekolah no 1 kawan saya Goh Kean Joo.
Terima kasih pada Ah Joo sebab hampir semua pelajaran sains dan matematik dia lah yang ajar saya. Saya hanya perlu ajar dia Bahasa Malaysia saja sebagai balasannya. Terima kasih juga pada Arwah Cikgu Abu Bakar yang bagi kelas Bahasa Malaysia percuma kepada saya secara peribadi sorang-sorang sampai dapat skor A.
Graph peningkatan pencapaian saya dalam pelajaran sentiasa meningkat, makin lama makin bagus dan kemuncaknya adalah ketika di tingkatan 5. Itu yang dapat saya katakan terhadap pencapaian dalam hidup saya.
Masyarakat bangga jika anak mereka bagus dalam persekolahan dapat skor peperiksaan, kemudian dapat sambung belajar masuk universiti. Itulah yang saya terpaksa akur ikut bukan sebab rasa lazat dengan pencapaian itu. Tapi lebih kepada kelazatan mendapat pujian masyarakat, saudara masa, kawan dan rakan.
Dapat SPM Gred satu tak punya apa-apa makna pun ketika itu sebenarnya. Saya tak boleh buat apa-apa dengan SPM Gred satu, kena sambung belajr saja lagi, itu bukan satu nikmat pun, malah satu bebanan.
Masyarakat tekan suruh semua anak-anaknya pandai belajar sebab ada andaian pelajar yang baik pencapaiannya akan jadi orang yang berjaya bila dewasa nanti.
Kemudian saya ke luar negara, balik, kerja makan gaji dan akhirnya berniaga dan sedar-sedar dah tua. Ketika ini, buku motivasi atau selfhelp saya sudah muak dan tak rasa ianya sesuai untuk diri yang dah tua ini lagi.
Saya dah capai apa yang saya nak capai, sekalipun perjalanannya masih bersambung dan masih ada tugas dan tanggung jawab yang perlu diselesaikan, semua itu insyaallah dapat diselesaikan samada cepat atau lambat saja. Tak ada apa sangat nak dikejar lagi.
Tapi bagi anda yang masih muda, menoleh ke belakang dan lihat semula perjalanan naik dan turun dalam hidup anda masih lagi penting. Perlu buat refleksi apa yang anda pandai dan apa yang tidak untuk gerak lebih laju ke depan.
Mencari panduan, nasihat, dan sebagainya seperti yang ada banyak dalam buku-buku selfhelp, masih lagi penting buat anak muda yang masih berada di tengah perjalanan.
Paling penting, jika setelah toleh belakang, masih tak ada apa-apa pencapaian yang diri sendiri dapat rasa puas dan bangga, itu perlu ada satu transformasi yang agak besar.
Mungkin ada sedikit sebanyak tapi anda rasa mahu sesuatu yang lebih besar dan setakat ini, nampaknya segala usaha seperti tidak ada impak yang anda rasa dapat membantu mencapai sasaran besar anda selama ini.
Saya kongsikan sedikit apa yang boleh dilakukan untuk buat trnaformasi diri.
Hasil bergantung pada proses
Saya yakin anda tentu dah kerap dengar ayat di bawah ini.
“Ulang buat amalan yang sama dengan harapan dapat hasilkan kejayaan yang baru adalah satu kerja gila”
Semua orang nak berubah menjadi lebih baik. Tapi itu mustahil berlaku seandainya cara berfikir dan cara bertindak masih tetap sama seperti biasa.
Cara anda fikir dan bertindak selama ini menghasilkan dan manjadikan apa yang anda ada sekarang. Jika diulang cara yang sama, maka sudah tentu anda akan dapat perkara yang sama juga. Kecuali ada pengaruh atau bantuan luar tanpa diminta yang bukan di dalam kawalan anda, itu memang rezki lah.
Untuk artikel ini, saya fokus kepada urusan yang anda boleh kawal sahaja. Yang masuk dalam kategori ikhtiar yang mampu anda berikan perhatian.
Ubah cara fikir
Untuk menghasilkan sesuatu yang baru anda perlu ubah teknik berfikir. Dari situ perlu ubah pula cara bertindak terhadap apa yang difikirkan. Perkara paling penting yang anda kena usahakan terlebih dahulu adalah untuk mendapatkan fikiran yang jelas, cerah, cerdas dan bercahaya. Orang putih kata a crystal clear mind.
Fikiran yang jelas bercahaya itu dimiliki oleh semua orang yang berjaya di tahap tinggi. Mereka dapat melihat sesuatu dengan lebih jelas dan terang berbanding orang lain. Sebab itu mereka berjaya. Itu yang saya lihat ada pada semua kawan-kawan yang pergi jauh.
Nak jadikan pemikiran jelas jernih, wajib elakkan diri dari segala pemikiran atau perkara yang negatif. Ayat dan perkaraan yang anda pilih untuk dengar, peristiwa yang anda lihat dan berikan perhatian serta lain-lain seumpamanya. Jangan biarkan semua yang negatif masuk ke dalam diri.
Laut yang luas dengan air yang bergelora berombak tinggi tak akan mampu tenggelamkan sebuah kapal selagi air tdak berjaya masuk memenuhi kapal itu.
Sama lah juga segala perkara negatif yang ada di sekeliling tak akan dapat ubah apa-apa selagi ia tidak dapat masuk ke dalam minda anda.
Anda tidak dapat kawal apa yang berlaku di sekeliling. Juga tak dapat buat apa sangat pada pada orang lain yang bersikap negatif. Jadi, paling mudah untuk elakkan diri dari benda negatif adalah dengan mengelakkan diri dari berada di tempat yang negatif dan jauhi orang-orang yang berfikiran negatif.
Jika terpaksa juga berhadapat dan bersama dengan orang yang negatif di tempat ang negatif, anda perlu latih diri untuk bayangkan seolah-olah ada pelindung lutsinar yang lindungi anda setiap kali keluar rumah melaksanakan semua urusan. Bayangkan yang pelindung itu kerjanya memantulkan semula segala perkara negatif kembali pada pencetusnya.
Perlu kuasai perkara imaginasi itu dengan sentiasa berlatih dalam minda menggunakan pelindung. Buat hingga anda mampu tersenyum lebar setiap kali melihat pantulan semula perkara negatif balik kena pada pencetusnya semula.
Relaks jangan buat apa
Bila dah berjaya lindungi minda dari perkara negatif, tiba masanya untuk membina saraf-saraf otak baru supaya anda dapat gunakan bagi mencetus idea dan cara berfikir yang baru.
Untuk itu, amalkan setiap pagi duduk ditempat sunyi, nyaman dan selesa selama 20 minit. Seeloknya diawal pagi. Kat balkoni rumah pun boleh. Lakukan selepas atau sebelum solat subuh.
Duduk saja dan jangan buat apa-apa dalam tempoh 20 minit itu. Tenang dan cuba jangan fkir apa-apa. Jika otak berkeliaran keluar jauh, tarik semula supaya dia lihat jari jemari atau rasai naik turun perut pernafasan anda. Nafas guna bahagian perut bukan pada bahagian dada.
Masa tarik nafas, perut kembung besar dan masa lepas nafas perut kempis nipis. Google cara bernafas yang betul untuk belajar dan faham. Beri tumpuan pada pernafasan tersebut supaya anda sempat nak layan fikiran liar yang meronta dalam kepala tu.
Jika otak masih ligat, cuba perhatikan dari minda apa yang otak anda sedang fikirkan. Lihat saja apa yang dia cuba trik untuk bagi anda leka. Biasa bila dia sedar anda sedang perhatikannya, sekelip mata fikiran itu akan hilang. Otak malu bila tuannya sedar dan perhatikannya.
Aktiviti relaks ini membantu pembentukan jaringan saraf otak yang baru.
Buat senarai impian
Anda perlu tulis apa yang nak dicapai dengan terang, ringkas dan padat. Tak perlu buat perancangan terperinci bagaimana untuk mencapainya. Hanya perlu berlatih bayangkan setiap hari keadaan diri anda yang sudah memiliki impian tersebut.
Perumpamaannya adalah seperti nak naik ke atas, mata anda akan sentiasa mendongak tegok atas saja. Cuba gambarkan keadaannya di sana sejelas mungkin. Begitulah selalunya berlaku dan sedar tak sedar anda dah naik ke atas tu. Ada saja cara yang muncul dalam kepala anda bila dah nekad nak naik atas.
Macam mana nak dapatkan impian tu tak usah risau. Tak perlu tekan atau paksa diri fikir cari jalan. Minda separa sedar akan bantu nanti. Anda hanya perlu dapatkan gambaran jelas impian yang dah ditentukan tadi.
Berlatih sampai dapat
Berlatih semua yang saya katakan di atas tadi hingga jadi tabiat, amalan rutin harian anda.
Insyallah akan ada berubah besar dan anda akan jadi seorang yang sentiasa lebih baik dan hebat sepanjang waktu tahun demi tahun.
saya pun mahu berjaya dari satu tahap ke satu tahap biarpun sangat perlahan
ReplyDeleteAmiiin! insyaallah!
Delete