Jika semua peniaga burger tepi jalan bergabung, saiznya jauh lebih besar dari McDonald


Idea untuk gabungkan semua peniaga burger tepi jalan ni saya terfikir ketika mula-mula berniaga dahulu. Masih awal dalam dunia perniagaan dan masih mentah tetapi punya semangat yang tinggi. Maklumlah, masa mula berniaga hampir semua usahawan punya keyakinan untuk berjaya jauh lebih besar dari kemampuan sebenar mereka. Boleh dibayangkan sebagaimana gambarajah di bawah.

Saya fikir secara logik, dari segi produk makanan burger itu sendiri, peniaga burger ada segala-galanya yang jauh mengatasi McD.

Anda tentu setuju, jika dibandingkan rasa burger yang dibeli di tepi jalan hasil masakan peniaga burger kita, dengan burger McD, ternyata burger tepi jalan jauh lebih sedap. Harganya pula jauh lebih murah.

Tetapi McD menjual ratusan juta burgernya sehari manakala seorang usahawan burger jalanan menjual sekadar puluhan atau lebih sikit dari itu sehari. Tentu banyak faktor yang menyebabkan perbezaan tersebut berlaku, tapi yang pastinya bukan atas sebab faktor lazat semata-mata.

Antara faktor McD laris yang boleh saya fikirkan adalah seperti berikut.

  1. Keseragaman rasanya. Samada burger dari kedai McD di Ipoh atau dari Kuala Terengganu, anda dapat ‘jangkakan’ keseragaman rasanya. Amat jarang anda kecewa dengan apa yang telah dijangkakan.
  2. Kepantasan. Anda tak perlu berbaris setengah jam sebelum dilayan di mana-mana kedai McD. Malah anda boleh dapatkan bekalan burger lebih cepat dengan konsep Drive-Thru mereka.
  3. Kebersihan. Suasana bersih, nyaman dan selesa mana-mana kedai McD tak boleh dinafikan. Jika anda berjaya jumpa seekor lipas dalam burger mereka, muka anda bakal jadi glamour kerana cerita itu bakal disiarkan di akhbar atau mendapat liputan yang besar.
  4. Sistem yang seragam. Tidak ada beza bagaimana kedai McD menjalankan operasinya di segenap pekan di Malaysia. Bagaimana anda membeli produk McD di Paris, begitulah juga persamaannya dengan membelinya di KL, bahasa saja yang berbeza.
  5. Aktiviti pemasaran berpusat. McD menjalankan segenap usaha memasar dan mempromosi produknya secara tersusun dan berpusat. Ia dikuatkan lagi dengan kewujudannya di segenap pelusuk tanah air yang melengkapkan proses pemasarannya untuk menyampaikan produknya kepada para pengguna.

Dalam kelima faktor di atas, barangkali faktor nombor dua sahaja yang boleh peniaga burger tepi jalan tewaskan McD. Itupun jika tidak ramai yang menyerbu gerai mereka sekali gus. Selain dari itu, para usahawan burger jalanan tewas teruk. Lebih-lebih lagi faktor kebersihan.

Lalu saya cuma mefikirkan jalan bagaimana cara untuk tewaskan McD.

Idea Untuk tewaskan McDonald

Untuk tewaskan McD usahawan burger jalanan perlu bergabung membawa satu nama yang sama. Sebagai contoh, katakan anda hasilkan satu jenama “Burger Hidupringkas”.

Andainya dikumpulkan seramai mungkin usahawan burger jalanan menyertai Kelab Hidupringkas dari segenap ceruk rantau di negara ini, barangkali anda mampu laksanakan usaha tewaskan McD dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang.

Langkah yang perlu diambil

  1. Kumpulkan seramai mungkin usahawan burger di setiap negeri. Satu perjumpaan bulanan perlu diadakan untuk membina kerjasama menubuhkan rangkaian kedai burger Hidupringkas.
  2. Perlu ada seorang ketua. Seseorang perlu ke depan untuk memimpin kerjasama. Ketua perlu memimpin dan bukannya mengarah.
  3. Bersetuju untuk menggunakan jenama kedai burger Hidupringkas. Dengan meazaman menewaskan McD, semua perlu bersetuju menamakan kedai mereka sebagai “Burger Hidupringkas”
  4. Hapuskan konsep Francais. Antara faktor McD jauh lebih mahal daripada burger jalanan adalah disebabkan ada kos tambahan yuran francais yang dikenakan oleh McD pada semua franchaisee-nya. Jika tiada yuran tersebut, kos jadi lebih rendah.
  5. Bina keseragaman. Ketua yang dilantik perlu menerajui kesemua kedai burger hidupringkas yang bakal diwujudkan di seluruh negara agar dapat mengatasi kesemua faktor yang disebutkan di atas tadi iaitu:
    • Keseragaman rasa
    • Kepantasan
    • Kebersihan
    • Sistem yang seragam
    • Aktiviti pemasaran berpusat
  6. Pantau dan buat pembaikan setiap bulan. Melalui perjumpaan bulanan, masing-masing akan berkongsi pengalaman terbaik agar dapat ditiru oleh semua pengusaha lain.
  7. Tiada ikatan hak milik. Masing-masing perlu bersetuju agar mereka mempunyai hak penuh atas kedai mereka sendiri. Apa yang perlu ada hanyalah kerjasama rapat serta semangat untuk berjaya secara kolektif.

Impian sukar

Bila dah lama duduk dalam dunia perniagaan, saya sedar semua itu adalah seumpama angan-angan Mat Jenin. Satu faktor yang bakal menggagalkan usaha itu adalah dari segi kepimpinan. Dalam mana-mana organisasi, semakin besar ahli yang duduk di dalamnya, semakin sukar urusan untuk satukan organisasi tersebut.

Memimpin organisasi yang besar perlukan seorang ketua yang sangat berbakat. Kenapa saya kata berbakat, sebab saya percaya pemimpin dilahirkan, bukan dibentuk. Darah kepimpinan tak ada pada semua orang walaupun semua orang rasa dia nak jadi pemimpin.

Genetik yang ada pada anda adalah gabungan dari ibu dan bapa. Tak boleh pilih genetik jenis apa yang anda mahu. Kemudian, jika memang anda ada genetiknya, di mana anda dilahirkan dan dibesarkan juga tak boleh pilih. Di mana ibubapa anda tinggal, hantar anda bersekolah, siapa jiran, siapa kawan-kawan dan sebagainya, bukan dalam penguasaan anda. Sedangkan zaman membesar itu paling besar menentukan pendidikan dan cara anda berfikir.

Usaha untuk satukan semua burger jalanan di bawah satu bumbung jenama adalah mustahil dapat dilakukan tanpa ada adanya seorang pemimpin. Apatah lagi jika setiap peniaga burger itu tiada apa-apa ikatan atau perjanjian untuk ikut pemimpin tersebut.

Pemimpin pula jika ada yang sanggup, tak akan tahan buat kerja kepimpinan tanpa ada timbal balas yang bermanfaat. Lebih baik dia buka cawangan burgernya sendiri, satu jenama dan semua pekerja berada di bawah syarikatnya.

Buat apa nak teruk-teruk berusaha untuk bersatu dan besar serta popularkan satu jenama yang dia sendiri tidak ada apa pemilikan ke atasnya. Itu juga satu masalah sebab untuk pastikan tiada salah guna penggunaan jenama, ia mesti didaftarkan di bawah akta harta intelek. Jika didaftarkan di bawah nama ketua yang sukarela itu, akan timbul rasa tak puas hati dan tidak percaya ..

Rumusannya adalah Sukar!

Ia memang satu kerja sukar, tapi jika ada yang berani ke depan untuk mengetuai usaha murni ini saya amat alu-alukan. Mungkin anda sendiri ada strategi bagaimana mahu laksanakan konsep duduk di bawah satu jenama yang tidak dimiliki oleh sesiapa.

Secara logiknya, ia adalah hampir mustahil sebab tidak ada mana-mana usaha seragamkan apa saja perkara melainkan ia bertujuan untuk kumpulkan kuasa. Ertinya jika anda berjaya yakinkan semua orang ikut mazhab bisnes ciptaan anda secara sukarela, anda sebenarnya telah berjaya memegang satu kuasa yang besar dari segi politik dan ekonomi.

Secara terbalik pula, jika anda ada kuasa, anda ada keupayaan untuk kenakan undang-undang supaya semua orang ikut satu aliran mazhab sahaja. Kuasa dan keseragaman tidak dapat dipisahkan. 

Post a Comment

Previous Post Next Post