Senarai 100 perkara yang anda perlu capai atau miliki sebelum mati


Ahad baru-baru ini saya ada berikan kursus dan latihan keusahawanan kepada anak-anak muda di Melaka.

Kursus asas keusahawanan buat mereka yang baru berhasrat nak berkecimpung dalam dunia perniagaan. Mungkin lebih tepat jika saya katakan mereka baru terdetik idea nak tambah pendapatan.

Kebanyakan yang masuk kelas pula datang atas desakan ibubapa. Jadi masing-masing datang dengan 'zero expectation'. Terkebil-kebil mata memadang saya bercakap di depan tu, tanpa sebarang reaksi samada suka atau tidak.

Mereka bersikap tunggu dan lihat saja. 

Keadaan itu sangat mencabar bagi saya. Seumpama berikan tawaran untuk tidur pada orang yang tidak mengantuk. Atau cuba berikan makan pada orang yang tidak lapar.

Untuk pecahkan kebuntuan berada dalam suasana suram, maka saya terpaksa lari keluar dari tajuk yang sepatutnya. Sengaja nak tarik perhatian mereka.

Saya ajar setiap orang cara buat kiraan nombor akar dengan menggunakan tarikh masing-masing.

Saya yakin anda tentu dah pernah dengar ajaran kenali diri dari tarikh lahir ni. Satu ketika dulu meletop jadi tajuk seminar. Dr Azizan Osman berjaya tarik ribuan pendengar penuhi dewan kuliah untuk belajar kenali diri cara itu.

Kenali diri dari tarikh lahir

Masing-masing mula buat kiraan mudah tersebut. Campurkan kesemua angka tarikh lahir untuk dapatkan satu angka akhir. Itu dipanggil angka akar yang dijadikan asas dalam mengenali sifat orang yang mempunyai angka tersebut.

Anda mungkin punyai angka akar dari 1, 2, 3 hingga ke 9.

Selepas semua dah buat kiraan. Saya tanya siapa yang punya angka nombor 5. Ada 2 orang sahaja yang angkat tangan. Lalu saya terus kepada salah seorang itu yang ada di depan saya.

Dia seorang ibu muda yang pendiam.

Maka saya berikan sifat orang yang memegang angka tersebut kepadanya satu persatu. Kebetulan semua yang saya gariskan dirasakannya benar. Dia terus teruja dan merasa seronok nak tahu lebih lanjut.

Bukan saja dia seorang. Semua orang dah mula berikan reaksi positif mahu ketahui tentang diri mereka.

Perkara utama yang saya mahu sampaikan pada mereka adalah untuk kenali diri masing-masing. Apa kelebihan yang ada dan apa kekurangannya.

Bila dah tahu kesemua itu, maka gunakan kelebihan untuk mencapai apa yang mereka mahukan dalam hidup. Mana yang mereka lemah atau tak ada kelebihan, elok pinggirkan saja. Biarkan pada orang lain yang ada kelebihan buat.

Panduan itu membawa kepada persoalan penting.

Apa yang mereka mahukan dalam hidup ini?

Ternyata masing-masing terkebil-kebil terpinga-pinga tak dapat jawab apa yang mereka mahukan. 

Sama seperti kebanyakan orang lain juga. Ramai yang tahu apa yang dia tak mahu. Boleh disenaraikan itu dan ini dia tak mahu. Tapi bila tanya betul-betul mau apa. Dia terus blur.

Ramai yang jawab nak duit banyak.

Bila saya tanya berapa banyak. Tak ramai yang dapat jawab.

Bila ada yang dapat jawab, RM1 juta seumpamanya. Saya tanya lagi nak buat apa dengan duit sejuta tu?

Tersangkut di situ pula. 

Jika dijawab nak beli rumah. Saya suruh berikan gambaran rumah bagaimana. Jem kat situ pula.

Begitulah seterusnya.

Jadi, saya minta semua peserta keluarkan buku nota masing-masing. Mula buat senarai apa yang mereka mahukan dalam hidup ini. Ertinya perkara yang dia mesti dapatkan sebelum mati.

Fikir betul-betul dan buat 100 perkara yang anda mahu dapatkan sebelum meninggal dunia.

Saya terangkan tentang sasaran 100 perkara itu di bawah.

100 perkara perlu dapat sebelum mati

Pernahkah anda terlintas untuk buat senarai sasaran 100 perkara yang mahu dicapai sebelum mati?

Mungkin ramai dah biasa dengar idea '100 destinasi yang perlu dilawati sebelum mati', itu satu idea yang amat menarik. Kaki mengembara boleh cuba buat senarai tersebut

Ada satu siri TV di Astro dulu yang saya selalu layan. Ia menceritakan tempat-tempat yang dicadangkan untuk dikunjungi sekurangnya sekali seumur hidup.

Biasanya jika anda bersungguh-sungguh tanam dalam fikiran, senarai destinasi yang anda mahu pergi, satu hari, insyaallah, akan berjaya sampai juga ke destinasi tersebut. 

Kalau anda senaraikan 100 destinasi, paling lekeh, 20 destinasidari 100 yang disenaraikan itu, insyaallah akan berjaya juga sampai.

Cuba tanya pada orang yang dah sampai merata tempat. Tentu mereka memang ada impian dan itu tersemat dalam hati sejak lama dulu.

Apa yang boleh dipelajari dari buat senarai destinasi tu?

Ia bermaksud, anda boleh ambil cara sama untuk buat satu senarai sasaran yang perlu dicapai sebelum mati. Dengan itu, kemungkinan untuk capai sasaran tersebut adalah lebih tinggi.

Apa kata kita buat senarai sasaran 100 perkara yang mahu dicapai sebelum mati hari ini.

Mungkin anda dah buat senarai sendiri. Barangkali tak berapa lengkap dan tak sampai 100 sasaran pun.

Moga dengan idea sasaran yang saya buat di bawah dapat berikan idea untuk tambah sampai jadi 100.

Kenapa perlu ada senarai 100 perkara

Majoriti daripada kita sekarang hanya ikut ke mana kaki melangkah. Ke mana kaki nak melangkah banyak ditentukan oleh orang disekeliling kita.

Sebab itu tak tergerak nak keluarkan senarai sebab kalau tak ada sasaranpun, kaki tetap melangkah mengikuti arahan semua orang lain. 

Begitulah kita teruskan kehidupan sehingga ke tua dan akhirnya terbaring nazak tunggu habis nyawa.

Sekali sekala, kita sedar seolah-olah ada sesuatu yang kurang. Rasa macam tak berapa puas sebab ada perkara yang kita nak, tapi tidak dapat dilakukan.

Puncanya adalah cuba penuhi apa yang orang lain jangkakan terhadap diri kita. Kita rela korbankan keinginan sendiri asalkan kehendak orang dipenuhi.

Mungkin ada yang berpendapat ikut dan buat apa yang orang jangkakan terhadap kita dan padamkan keinginan diri adalah sesuatu yang bagus. 

Jika anda rasa begitu, ok !, tak payah nak susah-susah buat sasaran 100 perkara ini.

Tapi jika anda nak cuba ubah haluan hidup dan melonjakkan potensi diri sampai ke tahap yang paling tinggi mampu dicapai sebelum mati, saya sarankan anda buat sasaran 100 perkara ini.

Dapat atau tidak adalah bukan isunya.

Sekurang-kurangnya, usaha membuat senarai 100 perkara yang anda mahu capai sebelum mati, mampu menyedarkan diri untuk mencari nilai dan pegangan hidup anda sendiri. 

Dan paling penting ia boleh dijadikan kompas segala aktiviti anda selepas ini.

Tak mudah nak buat sasaran 100 perkara

Sekali pandang, 100 perkara mungkin terasa sedikit. Anda rasa macam boleh keluarkan jauh lebih banyak dari itu. Memang semua orang rasa ada banyak yang dia mahu tapi belum berjaya dicapai. 100 adalah julah yang terlalu sikit.

Tapi nanti dulu. Belum buat, belum tahu.

Saya dulu rasakan macam itu juga. Terlalu mudah nak senaraikan 100 perkara yang mahu dicapai dalam hidup sebelum mati. Sehinggalah saya buka excel dan mula buat senarai tersebut.

Ternyata amat sukar nak lengkapkan sampai cukup 100 sasaran. Setiap kali saya keluar satu sasaran, saya akan tanya diri sendiri samada perkara itu penting dalam hidup saya. Kenapa saya nak dapat perkara tersebut, apa yang bagusnya buat diri saya dunia dan akhirat.

Akhirnya saya terpaksa cari jalan yang lebih mudah untuk lengkapkan 100 sasaran itu dengan cara yang lebih betul dan memuaskan hati. Saya akan cuba kongsikan kat sini sebagai panduan untuk anda keluarkan sasaran 100 perkara penting anda pula.

Pecahkan kepada beberapa perkara asas

Untuk memudahkan senarai dibuat, pecahkan dulu kepada beberapa perkara asas yang paling penting dalam hidup anda.

Anda boleh fikirkan tentang tema kesimbangan hidup untuk buat senarai asas itu. Apa yang anda takrifkan sebagai hidup yang seimbang? apa elemen-elemen yang perlu ada untuk jadikan kehidupan anda seimbang?

Nak duit banyak ! semua orang mahukan perkara tersebut. Jika anda letakkan itu sebagai satu-satunya perkara yang anda mahu capai sebelum mati, saya berani jamin anda mampu mendapatkannya dengan mudah.

Manusia jika fokus terhadap sesuatu perkara dengan tahap fanatik, dengan mudah akan berjaya melakukannya. Tetapi hakikatnya manusia secara fitranya adalah makhluk yang bersosial. Jadi, perlu ada elemen kawan dan masyarakat dalam kehidupan kita.

Manusia juga adalah makhluk yang ada dua unsur. Jasmani dan rohani. Oleh tu perlu pertimbangkan kedua-dua unsur tersebut dalam memikirkan keseimbangan hidup kita.

Ringkasnya kita perlukan keseimbangan yang lengkap dalam menjalani kehidupan. Mana nak dapat takrifan keseimbangan yang betul dalam hidup. Kat mana rujukan nak ambil?

Sebagai muslim, jawapan kepada kesemua itu ada lengkap dalam Al-Quran. Kita semua akui Quran adalah panduan hidup yang paling lengkap untuk dijadikan rujukan dalam menjalani kehidupan. Jadi, carilah apa yang di sebut di dalamnya supaya kita boleh bina sasaran kehidupan kita.

Kalau nak ikut cara saya, berikut adalah perkara asas yang saya jadikan panduan dalam merangka sasaran 100 perkara penting yang mahu dicapai sebelum mati;

  1. Perkembangan diri – Kesihatan, akal fikiran, intelektual..
  2. Agama dan kepercayaan – Amalan spiritual, kefahaman agama, tadabbur Quran..
  3. Ekonomi – Perniagaan, kerjaya..
  4. Masyarakat dan kawan – sumbangan, status diri dalam masyarakat..
  5. Keluarga – Bapa, anak, adik, abang, suami..
  6. Kepuasan diri (atau hiburan dan santai) – Rumah, kebun, tulis buku..

Senarai kat atas tu hanyalah contoh.

Anda perlu buat senarai asas terlebih dahulu dan kemudian barulah pecahkan sasaran yang mahu dicapai dalam setiap asas yang disenaraikan. Pastikan gabungan kesemua sasaran itu sampai kepada 100 perkara.

Luangkan masa untuk buat sasaran 100 perkara

Penyediaan sasaran 100 perkara ini amat penting. Ia bakal menjadi satu titik tolak segala aktiviti kehidupan anda selepas ini sehingga mati. Ia akan jadi Master Plan dalam hidup anda.

Oleh itu ambil serius untuk sediakannnya. Luangkan satu hari penuh tanpa gangguan untuk lengkapkan perkara asas dan mula isikan satu demi satu sasaran yang mahu dicapai. Hentikan semua aktiviti lain untuk buat dan fikirkan perkara tersebut.

Kemudian semak dan kembangkan semula sasaran itu seminggu sekali. Bila dah jelas dan puas, jarakkan semakan sebulan sekali. Buat selama setahun semakan dan pembaikan tersebut sehingga ianya melekat dalam benak kepala anda.

Contoh:

Saya berikan satu contoh sahaja, perkara yang perlu anda fikirkan dalam menyediakan satu sasaran. Kita ambil sasaran untuk menjadi penceramah motivasi.

Sasaran itu masuk dalam agenda pembinaan atau perkembangan diri.

Nyatakan sebab utama yang memberikan inspirasi anda untuk berupaya jadi penceramah motivasi. Apa yang anda dapat dari situ dan bagaimana anda bayangkan diri anda bila dah jadi begitu.

Kemudian senaraikan perkara-perkara penting yang anda perlu buat untuk menyediakan diri anda supaya bergerak ke arah itu.

Contohnya anda tahu kelemahan diri dalam bercakap di khalayak ramai. Jadi anda perlu mula fikirkan cara untuk kuasai kemahiran tersebut. Anda perlu daftarkan diri masuk kursus pidato. Anda juga perlu ada banyak pengetahuan dan maklumat. Jadi perlu masukkan baca buku setiap hari dalam agenda aktiviti anda.

Senaraikan juga bila anda mahu sasaran tersebut dicapai. Dalam masa 3 tahun? 5 tahun atau bila?

Cari maklumat teknik buat sasaran

Saya tak berikan panduan lengkap macam mana nak lengkapkan senarai sasaran 100 perkara yang anda mahu sebelum mati itu, kat artikel ini. Takut ianya akan jadi panjang berjela pula. Untuk buat pembinaan sasaran secara berkesan, pergilah baca buku motivasi yang banyak ada di pasaran.

Apa elemen yang perlu ada dalam membuat sasaran boleh didapati dari buku-buku tersebut. Gunakan kesemua panduan tersebut untuk lengkapkan perancangan sasaran anda nanti.

Selamat berfikir.

Post a Comment

Previous Post Next Post