Hidup ini sangat singkat, jika mahu pokok yang elok, tanam biji benih yang baik


Dah habis tahun 2021, dah habis sebulan pun tahun 2022.

Pantas!

Begitu juga pantasnya tahun beralih dari 2019 kepada 2021. Terasa macam, baru saja saya tulis ayat yang sama 2 tahun yang lalu.

Setiap tahun biasanya ada tulisan khas sempena menjelang masuk tahun baru. Tahun ni sama juga walaupun agak lewat.

Tapi bukan nak cerita pasal azam tahun baru. Saya nak kongsikan kisah kehidupan yang singkat ini.

Hari jumaat lewat petang tahun yang lalu, ketika nak masuk ke dalam kereta setelah selesai kerja di pejabat, dapat satu panggilan dari adik di Langkawi.

Melihat panggilannya, yang dibuat pada waktu tidak biasa begitu, buatkan dada berdebar.

Sebaik saja tekan untuk jawab, terus keluar pertanyaan ..

“Tau dak gi?” tanya adik saya dengan pantas.

“Pasai apa?” saya tanya balik dengan perasaan cemas.

Sambil tahan nafas takut dengar berita yang saya tak mahu dengar. Tahan nafas begitu biasanya dapat berikan kekuatan hadapi segala kemungkinan.

“Kak Nah Mak Lang meninggal! .. “, jawab adik. 

Dia baru saja terima berita tersebut dari salah seorang sepupu kami.

Saya lepaskan nafas semula.

Bukannya sebab rasa lega. Tapi sebab dah bersedia untuk berfikir dan mengimbau sebentar terhadap maklumat yang diterima.

Lawat Kuala Lumpur pertama kali

Bila dengar nama Kak Nah Mak Lang, yang akan saya ingat dari dulu sampai sekarang, ‘melawat Kuala Lumpur buat pertama kali’.

Kak Nah kahwin dengan Abang Pa. Masa saya masih sekolah rendah, mereka dah mendirikan rumah tangga dan tinggal di Kuala Lumpur.

Abang Pa berkelulusan luar negara dan kerja sebagai pensyarah di UTM masa tu.

Masa masih bersekolah rendah satu ketika, mereka balik kampung. Abang Pa dan Kak Nah ziarah rumah kami di Penanti.

Masa itu, amalan ziarah habis semua sanak saudara setiap kali balik kampung adalah perkara biasa. Tak tunggu raya baru nak ziarah. Ikatan silaturrahim terbentuk kuat dengan budaya sedemikian.

Ketika bersembang ramai-ramai, terpancul pertanyaan dari Abang Pa samada saya pernah pergi KL.

Budak kecik kampung rumah beratap rumbia. Manalah ada peluang jalan sampai ke KL masa tu.

Zaman saya kecil dulu, kalau ada orang yang nak ke KL, habis satu kampung hantar ke Stesen keretapi. Begitulah jarangnya peluang untuk jalan-jalan sejauh itu. 

Sekarang orang pergi balik KL macam pergi ke bilik air saja.

Di ringkas cerita, Abang Pa dan Kak Nah pelawa nak bawa saya jalan ke KL. Masa tu cuti sekolah. Duduk kat rumah nak buat apa. Elok melawat pusat bandar dan buka mata lihat apa yang ada kat sana. Pujuk Abang Pa.

Mata saya buka besar berkilau dan bersinar sambil melihat muka mak dan bapak masa tu. Menunggu jawapan dan keizinan.

Dan mereka izinkan.

Malam tu saya tak boleh tidur lansung sampailah ke waktu siang. Mak siapkan pakaian. Saya tak ingat beg apa saya pakai. Mungkin beg plastik yang mak simpan setiap kali beli barang kat supermarket di BM agaknya.

Bapak saya pula pesan panjang. Jangan tinggalkan solat kat manapun berada. Itu antara yang saya ingat. Macam nak pergi lama tak balik dah pula segala pesanan dan nasihat yang saya terima.

Barang kali mereka risau sebab saya nakal kot! kalau tidak, takkan nak pesan macam-macam.

Tapi apapun, yang pastinya saya yakin mereka sama saja teruja macam apa yang saya rasakan. Mereka juga tak pernah ke KL.

Nak pergi buat apa? Kalau setakat nak jalan-jalan, lebih baik simpan duit tu beli beras. Macam tulah keadaan orang kampung yang kais pagi makan pagi ..

Pengalaman di Kuala Lumpur

Terus terang, saya tak ingat secara terperinci apa yang berlaku ketika di bawa oleh Abang Pa dan Kak Nah melawat Kuala Lumpur dan tinggal di rumah mereka.

Semua ingatan adalah agak kabur.

Yang saya ingat, Abang Pa bawa saya melawat banyak tempat. Dia tak pernah kering idea macam mana nak dedahkan saya kepada sebanyak mungkin tempat yang ada di Kuala Lumpur.

Saya ingat pernah ada di depan Bank Negara kat KL tu. Pernah masuk zoo. Banyak tempat ikonik yang saya hanya lihat dalam gambar saja sebelum itu, dah ada di depan mata.

Susana sibuk. Canggih. Orang KL nampak bergaya. Jalan kaki mereka laju tak macam orang kampung. Nampak fokus dan tak ambil peduli sangat dengan orang lain sekeliling.

Saya duduk perhatikan semua yang ada di depan mata setiap kali Abang Pa dan Kak Nah bawa berjalan.

Satu lagi perkara yang saya tak boleh nak lupa adalah bila Abang Pa bawa saya ke tempat kerjanya.

Ada sebuah radio tinggal rangka dengan speaker bogel saja. Abang Pa buat sendiri radio kecil dengan semua perkakasan elektronik terbuang dan dengan radio itulah dia dengar berita dan hiburan lagu.

Itu antara perkara yang saya paling kagum. Teringat sampai bawa ke mimpi.

Ia berikan gambaran betapa perlunya saya belajar supaya jadi pandai dan jadi hebat pandai macam Abang Pa kalau nak mampu buat radio sendiri.

Pendedahan kecil tapi impak besar

Kesemua apa yang saya tulis di atas, itulah yang saya imbau kembali ketika terkedu mendengar berita Kak Nah meninggal.

Abang Pa sudah meninggal lebih awal lama sebelum ini. Dia meninggal sebab kemalangan di lebuh raya utara selatan. Di langgar sebuah kenderaan Naza ketika Abang Pa turun keluar dari keretanya di waktu malam.

Berita tu amat menyedihkan. Dia dah jadi Professor mengajar di UTM Skudai ketika itu. Allah lebih sayangkan dia.

Semenjak itu, Kak Nah pulang semula ke rumah mereka di Kuala Lumpur. Dia tinggal dengan anak-anaknya yang dah besar belaka. Sekali sekala kami jumpa. Tapi di kampung ketika semua balik raya.

Kak Nah seorang yang tabah. Saya suka cara Kak Nah. Sikap terbuka Kak Nah membuatkannya senang di bawa berbicara. Mungkin sebab lama duduk dengan Abang Pa di luar negara, yang memang sangat cerdik dan luas pemikiran.

Sekarang baru saya sedar betapa tindakan pendedahan ketika kecil yang Abang Pa buat itu telah membuka mata hati dan pemikiran saya.

Pendedahan ke Kuala Lumpur, masuk ke pejabatnya di UTM, jalan-jalan lihat pusat bandar yang sibuk dan lain-lain lagi memberikan daya imaginasi yang sangat besar kepada benak fikiran saya.

Pada tahun 1989, sekali lagi saya datang ke KL. Kali ni satu keluarga dengan mak dan saudara-mara rapat saya yang lain. Kami datang naik kereta api dan menumpang di rumah Kak Nah dan Abang Pa juga.

Kali ni giliran saya pula nak ke luar negara. Macam disusun atur kesan dari apa yang Abang Pa dan Kak Nah buat ketika saya kanak-kanak dulu. 

Sekali lagi Kak Nah dan Abang Pa berjasa kepada saya.

Zaman tu macam tulah. Tak ada kemampuan nak tinggal kat hotel macam orang sekarang. Saudara maralah tempat bergantung bila ada keperluan untuk menumpang.

Pemergian anda di rasai?

Salah satu tanda yang anda berjasa adalah, apabila mati, pemergian itu sangat dirasai.

Malam jumaat itu, setelah makan dan solat insya, saya bersiap keluar pergi ke rumah Kak Nah di Batu Cave. Pukul 10 malam saya sampai.

Tak ramai sangat orang. Kebetulan suasana wabak macam sekarang memberikan alasan yang banyak kepada orang ramai untuk tidak ramai-ramai berkumpul.

Saudara mara terdekat yang tinggal di utara mungkin tak sempat datang. Mana yang ada di Lembah Kelang saja yang dapat luangkan waktu. 

Setelah berjumpa dengan kedua-dua anak lelaki Kak Nah, mendengar maklumat dan cerita mereka, saya balik semula ke rumah.

Dalam bab ziarah kematian, saya selalu ingatkan diri untuk cuba sedaya upaya hadirkan diri. Tak perlu buat apa-apa. Tak perlu cakap banyak. Dengan hanya hadirkan diri saja, anda sudah tunaikan kewajiban anda sebagai kawan atau saudara.

Esok paginya, sekali lagi saya pergi. Terus ke surau di mana jenazah di uruskan. Sebelum kain kafan ditutup terus pada bahagian muka, saya ambil kesempatan untuk melihat wajah terakhir orang yang berjasa pada saya.

Saya iringi jenazah sampai kekubur, dikebumikan dan dibaca talkin.

Selesai semua itu, saya balik ke rumah. Sambil pandu perlahan menuju kerumah. Saya doakan semoga roh kedua-dua mereka dirahmati Allah dan ditempatkan bersama dengan orang-rang yang soleh.

Satu azam yang makin kuat meresap ke dalam jiwa saya. Berbuat baik lah pada orang lain. Kanak-kanak terutamanya. Berikan pendedahan kepada mereka khasnya jika mereka dari kalangan orang yang tidak berada.

Anda tak akan tahu betapa besarnya kesan pendedahan awal kepada kanak-kanak dapat membuat satu transformasi dalam kehidupan mereka nanti.

Dengan banyak berbuat begitu, moga-moga pemergian anda nanti dirasai.

1 Comments

  1. Pernah juga beberapa kali datang ke KL..

    kenangan dan memori juga masih terasa sampai ke hari ini

    ReplyDelete
Previous Post Next Post