Kisah panjang minat main gitar tapi masih tak cekap sampai ke tua

Saya membesar di kampung Penanti yang duduk dalam kawasan Kubang Semang. Sejak kecil didedahkan kepada pemahaman agama secara tradisi. Atau lebih popular dipanggil Fahaman Tua. 

Arwah Tok Ayah ketika hidupnya merupakan seorang guru agama di pondok. Mengajar di masjid-masjid, dah pasti aliran yang dipegang adalah aliran tua.

Macam itulah juga ayah saya. Walaupun dia tak jadi tok guru agama, fahaman yang dipegangnya sudah tentu sama macam pegangan ayahnya.

Jadi, alat musik yang bertali dah tentu merupakan satu larangan. Idea untuk main gitar bukanlah satu idea yang baik untuk dipertimbangkan.

Namun begitu, tak ada larangan untuk dengar lagu atau menyanyi. Cerita P Ramlee yang sarat dengan lagu merdu tetap ditunggu setiap hari jumaat malam sabtu.

Begitu juga setiap kali kenduri. Bagi yang berada, malam kendurinya mesti ada persembahan Ghazal Parti di atas pentas. Lagu-lagu rentak padang pasir jadi pilihan. Siap ada ‘darai’ gebu putih melepak melenggok atas pentas ikut irama ala arab.

Bila ada persembahan, saya tak pernah lepas untuk duduk di depan sekali. Kalau ada peluang, panjat balai tu duduk tepi ruang para darai salin pakaian mereka yang lip-lap.

Untuk belajar atau main gitar memang tak pernah terlintas dalam fikiran saya sehinggalah tamat sekolah rendah darjah 6.

Mula kenal gitar kapok

Masuk tingkatan satu, saya bersekolah di kampung saja. Tak mahu lagi teruskan persekolah di Bukit Mertajam yang makan kos perjalanan lebih tinggi.

Untuk ke sekolah menengah setiap hari perlu berjalan kaki rentas kampung. Melalui kebun getah yang merupakan jalan pintas ke sekolah menengah yang terletak di hujung kampung. Saya masuk ikut pintu pagar kecil di belakang sekolah.

Di pertengahan jalan, dalam kebun getah tu ada satu tempat melepak bersebelah sebuah kedai makan kecil dalam kampung.

Di tempat melepak tu ada beberapa otai kampung yang selalu berkumpul main alat musik. Ada guitar dan ada drum. Ada satu keluarga kat belakang kampung tu yang memang berkecimpung dengan kugiran.

Bila lalu di situ dan mereka sedang main, saya akan tunggu tengok untuk hiburkan diri mendengar lagu pop-yeh-yeh yang menjadi rentak pilihan mereka sepanjang masa.

Sejak itu, mata saya mula melekat tertarik pada gitar. Nampak alat musik tu sangat versatile. Boleh main sorang diri dan boleh juga main secara berkumpulan dengan alat musik lain.

Bila lalu di situ, tak ada orang, tengok gitar diletakkan pada meja tempat melepak kat situ. Saya beranikan diri pegang dan cuba petik gitar dalam keadaan tak tahu apa-apa.

Saya tiru macam mana mereka yang pandai main gitar buat. Jari tangan kiri tekan tali pada fret gitar dan tangan kanan hayun petik keluarkan bunyi. Masa itu saya mula dapat cam beza bunyi bergantung pada tali dan kat mana ia ditekan di fret gitar tersebut.

Setiap kali lalu ada orang main, saya perhatikan macam mana dia pegang dan lagu apa dia main. Saya mula kenal beza cara pegang di fret tu. Saya dapat tahu perbezaan rupa bentuk tekan tali pada fret tu di panggil chord.

Satu hari ketika leka cuba lembutkan jari pegang chord guitar yang ditinggalkan atas kerusi, Abang Aq muncul.

Dia ambil satu lagi gitar dan suruh saya main dan ubah hanya 2 chord saja, iaitu ‘Am’ ke kemudian ubah ke ‘D’. Setiap 2 strumming ubah chord dan begitulah seterusnya sambil dia petik irama yang biasanya orang panggil lead.

“Tangan hang lembut lagi, senang bentuk!” Abang Aq bagi galakan.

Saya senyum lebar seronok. Samada dia puji ambil hati atau betul, saya tak pasti. Tapi itu benar-benar membuatkan saya tak sabar. Tiap hari nak singgah petik gitar lagi supaya pandai main lagu sendiri.

Begitulah hari demi hari saya singgah dan main gitar kat situ setiap kali ada kesempatan bila gitar tak digunakan oleh orang lain. Saya dah mula kenal banyak chord asas. Abang Aq banyak tolong ajarkan.

Sekali sekala, bila ada orang main gitar, tapi tak ada yang main drum, dia suruh saya pukul drum pulak. Saya belasah saja ikut rentak yang dia ajarkan. Sama juga, dia tetap puji kata saya memang ada bakat main musik.

Walaupun main drum memang seronok. Tapi gitar juga jadi pilihan saya. Mungkin sebab kalau nak teruskan hobi tu lebih mudah berbanding dengan main drum. Lagipun saya tak akan mampu beli set drum bawa balik ke rumah. Memang sengaja nak cari nahas !.

Abang hensem main lagu Alleycat

Satu hari saya balik dari sekolah seorang diri. Jalan kaki perlahan-lahan keluar dari pintu pagar di belakang kawasan sekolah menengah. Bila sampai berhampiran kedai kecil sebelah kebun getah, timbul keinginan nak pekena laksa pulak. Saya singgah sebentar.

Di tempat duduk kedai, ada seorang abang rambut lurus panjang, mencecah bahu sedang bermain gitar seorang diri. Orangnya segak, dengan pakaian kemas dan bersih membalut tubuh yang kurus dan tinggi.

Dia orang luar. Tapi rasanya macam biasa tengok sekali sekala beli barang di pekan Penanti, antara pekan yang agak sibuk di kariah Kubang Semang ketika itu.

Sambil beli laksa, saya menjeling sikit kearahnya sambil cuba dengar lagu apa yang sedang dimainkan. Bunyi petikan iramanya lembut dan kemas. Memang sah dia pandai main gitar.

Ambil laksa, terus saya pergi duduk berhadapan meja dekat dia.

Dia angkat sedikit kepala melihat saya di depan. Satu senyuman dilemparkan dan teruskan nyanyian sambil memetik gitar.

Saya diam terpegun. Kunyah laksapun perlahan takut ganggu pendengaran.

Dia main lagu Alleycats. Tapi bukan lagu yang biasa orang lain main seperti ‘Andainya aku pergi’ atau ‘Sampaikan salam cintaku’ yang sangat top ketika itu. Dia main lagu yang jarang saya dengar.

Lagu berentak perlahan, lagu jiwang, lagu syahdu.

Lepas satu, satu lagu lagi dia main bersambung-sambung. Kesemuanya lagu Alleycats. Suaranya baik sekali dan kena dengan gaya petikan gitar yang bersahaja.

Sejak itu saya mula mengidam nak ada gitar sendiri. Itu saja caranya untuk saya jadi pandai main gitar dan menyanyi lagu Alleycats macam dia.

Selesai SPM dan beli gitar

Hasrat nak beli gitar hanya jadi hasrat saja, selagi saya tak mampu cari duit sendiri.

Kalau nak minta duit kat mak untuk beli gitar, saya yakin penyapu lidi akan singgah di muka. Nak beli beras pun menggigil, inikan pula nak beli gitar, benda tak guna tu!.

Saya pendamkan saja impian itu. Fokus dulu pada SPM biar selesai. Lagi pun bila-bila masa saja boleh singgah di pondok melepak sebelah kedai kecil tu untuk petik gitar.

Bila SPM selesai, saya mula usahakan satu bisnes yang agak baru. Tak berapa ramai yang menceburinya lagi. Bisnes jual burger.

Panjang juga proses nak membolehkan saya mula berniaga burger. Dalam keadaan sesen pun tak ada modal. Apa ada pada budak baru lepas SPM macam saya?

Sikap degil yang ada banyak membantu. Saya usahakan juga sampai dapat buka stall burger setiap petang di simpang tiga pekan penanti.

Perkataan burger pun baru, apatah lagi bisnes burger. Jadi persaingan tak berapa hebat sangat. Setiap hari saya boleh buat duit antara RM50 ke RM100 bersih setelah tolak semua kos termasuk gaji seorang pekerja. Satu jumlah yang lumayan untuk budak kampung berhingus macam saya.

Hasil dari duit berniaga burger, boleh juga saya beli sebuah gitar. Beli dengan menggunakan duit sendiri. Guitar tu merah gelap warnanya. Berkilat!. Hari-hari saya lap supaya tak berhabuk.

Dengan adanya gitar sendiri dapatlah berlatih lebih lama tak kira waktu. Cekap sikit pegang, belajar chord baru dan lancarkan kecekapan ubah chord ketika main lagu.

Walau macam manapun, belajar sendiri-sendiri macam tu, tak ada bimbingan dari mereka yang memang pakar, tak ke mana sangat.

Kemahiran bermain gitar yang mampu saya bina hanya biasa-biasa saja. Takat nak main lagu jiwang dan rock kapak secara ringkas tu boleh lah.

Pak Din Gila pinjam gitar

Belajar main gitar, sama macam belajar perkara apapun. Untuk mula bukanlah satu perkara yang sukar. Kemudian meningkat keupayaan dari zero kepada tahu sikit-sikit juga sangat mudah.

Masa yang di ambil untuk anda capai ke satu tahap sederhana ‘boleh main gitar’ tak lama.

Cabarannya adalah selepas tu.

Bila nak tambahkan lagi kemahiran dari tahu kepada separa mahir kemudiannya ke peringkat lebih mahir. Di tahap itu majoriti orang biasanya akan tewas. Sudah tidak ada lagi usaha untuk mahirkan diri.

Bukan tak mahu, tapi proses itu adalah sangat sukar. Perlu lebih teliti, lebih tinggi tahap kesedaran. Semua itu membuatkan jiwa rasa tersiksa. Dirasakan perkembangan sangaaaat perlahan. Tak ramai yang sanggup lalui cabaran itu.

Bila dah tua ni, saya baru tahu fenomena itu berlaku kepada semua orang dalam apa saja lapangan.

Paling ketara dalam dilihat pada orang yang baru dapat kerja. Perkembangan dari zero tak tahu apa-apa ketika mula kerja meningkat kepada cekap dalam masa yang sangat pantas. Setahunpun dah cukup. Anda mula cekap dengan kerja yang perlu dilakukan.

Namun selepas itu, pembelajaran dan peningkatan yang lebih baik, untuk naik ke atas lagi sudah jarang berlaku. Itulah yang terjadi kepada kebanyakkan pekerja makan gaji.

Transformasi dari awal sehingga ke satu atau dua tahun pertama adalah luar biasa 360 darjah!

Kemudian perubahan dari tahun ke-2 ke tahun ke-10 sudah tak ada. Tahap pengetahuan yang pada pada tahun ke-10 tu sama saja dengan tahap di tahun ke-2.

Maka tak hairanlah untuk dapat seorang pekerja yang baik yang sentiasa tingkatkan ilmu dan kemahirannya adalah seumpama menggali bukit untuk dapatkan intan. Sangat rare!

Dalam kes main gitar. Fenomena itu yang berlaku pada saya. Percubaan untuk jadi lebih mahir lagi selepas dah tahu main gitar dah terhenti. Apa yang saya buat adalah ulang saja apa yang dah tahu. Hanya tambah keupayaan main lagu baru sahaja.

Bila keputusan SPM keluar, saya dapat tawaran ke luar negara.

Masa sekolah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, ada beberapa orang kawan rapat satu kelas. Kami sama-sama kurang belajar dan banyak bermain bersama.

Salah seorangnya kami panggil Pak Din. Dia seorang pelajar pintar pada awalnya. Keputusan SRP nya baik. Tapi makin naik, pencapaiannya makin merosot. Saya tak pasti apa masalahnya.

Pak Din punya perangai ketara berubah bila masuk tingkatan 5. Lawan cikgu dan suka berbahas perkara pelik jadi trade mark kawan saya seorang itu. Dia macam gila-gila sikit.

Tapi pelik macam manapun dia tetap kekal jadi kawan baik.

Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur sambung belajar sebelum ke luar negara, Pak Din datang ke rumahuntuk berborak. Sebelum berpisah, dia minta nak pinjam gitar merah gelap saya. Buat kenangan sepanjang saya belajar jauh berpisah nanti, pujuknya.

Nanti bila saya habis belajar dia akan hantar balik. Itulah janjinya pada saya.

Saya setuju dan berikan gitar itu padanya. Kami berpisah lama selepas itu.

Lelaki misteri di kedai kopi

Hari agak panas. Saya singgah masuk ke kedai kopi tepi masjid di Kubang Semang. Ada meja kosong di satu sudut yang tersorok sikit ke belakang bersebelahan tempat bancuh air. Terus duduk di situ.

Boleh nampak stesen minyak mobil kat depan seberang jalan di depan sana. Di belakang pula dinding pagar masjid. Rasa selesa duduk tersorok begitu sambil tunggu staff kedai datang ambil order minuman.

Selesai buat order, tunggu mereka hantar, letak atas meja.

Meja yang ada air, maknanya tempat duduk di situ dah ada tuan. Saya bangun ke depan. Pergi cari nasi lemak dan kuih yang disusun bertimbun atas meja panjang di tengah kedai.

Banyak perubahan berlaku sejak saya tinggalkan kampung lebih dari 8 tahun. Dulu tak ada kedai kopi tepi dinding masjid. Tak sangka akan jadi macam itu. Sambutannya luar biasa.

Kuih-muih, bungkusan nasi lemak beraneka jenis, mee, mihun dan macam-macam lagi dilonggokkan penuh atas meja. Sekejap saja, timbunan itu mula berkurangan, lalu ditambah semula naik tinggi bila masuk shif penghantaran baru. Ada lebih dari 3 shif, pertukaran dan pertambahan semua makanan akan berlaku setiap hari di kedai itu.

Selain dari makanan, air minuman, teh ais dan milo ais terutamanya, luar biasa sedap.

Masa duduk menjamah nasi lemak, saya usyar tengok budak bancuh air milo ais. Cara dia ceduk serbuk milo masukkan ke dalam gelas dah tahu memang sedap. Punyalah banyak dia bubuh. Lansung tak kedekut. Macam serbuk milo tak ada harga. Patutlah semua orang puji.

Di sapa lelaki misteri

Sedang leka bercakap sendiri dalam hati, tiba-tiba datang seorang lelaki duduk di kerusi depan meja. Dia berhadap di depan sambil merenung muka saya serius.

Saya senyum tapi dia tetap serius, tak balas.

Rasa tak selesa pula bila orang tak kenal datang buat begitu. Macam tak betul saja bisik hati kecil.

Saya buat tak tahu. Terus suap nasi lemak masuk ke mulut. Berkongsi meja di kedai makan yang sibuk begitu bukanlah perkara pelik. Saya terus bercakap dalam hati seorang diri untuk redakan perasaan curiga.

Tapi lelaki ni, walaupun masih ada banyak meja kosong, situ juga yang dipilihnya. Itu yang timbulkan sedikit tanda tanya.

“Hang kenai aku dak?”, tiba-tiba lelaki gempal tu bersuara tegas sambil matanya merenung tajam muka saya.

Puas saya cuba ingatkan. Buka habis semua fail lama yang tersimpan dalam otak, tapi masih tak dapat satupun petanda yang saya kenal dia.

“Maaf, saya tak ingat” saya berterus terang bila cubaan ingat masih gagal. Timbul rasa malu, rasa bersalah, terpaksa mengaku kalah.

Dari cara bertanya, nampak jelas yang dia kenal saya, sedangkan saya pula tak ingat lansung siapa dia. Saya harap dia maafkan dan perkenalkan dirinya untuk permudahkan urusan.

“Tak pa lah!”, jawabnya pendek, kekal dengan air muka serius, bangun dan terus pergi begitu saja.

Saya tergamam tak tau apa reaksi yang patut diberikan. Dia keluar dari kedai, ambil motosikal dan terus cabut.

Saya kaku sambil melihat dia pergi. Masih tak dapat nak ingat siapa lelaki gempal, rendah, rambut jarang yang berwajah serius tu?

Kenapa tak kenalkan diri, kenapa pergi macam tu saja?

Banyak soalan yang timbul tapi tak ada jawapan. Saya balik rumah, sampai malam masih teringat kisah di kedai tepi masjid, tapi tetap tiada jawapan.

Akhirnya semua itu berlalu begitu saja. Saya balik ke KL semula.

Orang datang rumah cari

Tak lama kemudian saya balik kampung lagi. Macam itulah ulang alik dari KL ke Pulau Pinang sangat kerap.

Pengalaman tinggalkan mak kat kampung ketika pergi ke luar negara bertahun-tahun membuatkan saya kenal erti rindu. Sebutan rindu antara dua orang tak ada beza bunyinya, tapi makna belum tentu sama. Makna setiap perkataan yang berkaitan dengan perasaan bergantung kepada pengalaman.

Rindu seorang anak kepada ibu yang lama tak jumpa tak kan sama dengan rindu anak yang duduk kat rumah saban tahun tak ke mana.

Rindu itulah yang buatkan saya, bila balik ke Malaysia, sibuk atau tidak, balik ke kampung tetap akan diusahakan juga. Mahu bersama sehari dua dengan mak kat dikampung.

Masa berbual makan malam dengan mak, dia ceritakan kisah berdebar satu hari ketika sedang berkemas di atas rumah.

Mak tinggal seorang diri semenjak adik perempuan berkahwin dan ikut suaminya. Itu juga jadi sebab kenapa saya asyik nak balik menjenguknya di kampung.

“Tengah dok berkemas, mak dengar orang bagi salam”, cerita mak dengan nada suspen. Dia bila bercerita memang kena sabar menunggu. Terlalu banyak perincian dan lakonan untuk jadikan cerita lebih real menggambarkan keadaan emosinya ketika keadaan itu berlaku.

‘Assalamualaikom!’, lelaki itu berikan salam kuat.

Mak hendap ikut tingkap dari atas. Nampak seorang lelaki sederhana tinggi di bawah depan pintu. Dari pakaian, kelihatan macam normal saja.

‘Waalaikomsalam!’, jawab mak dari tingkap atas tu sambil melihat ke bawah.

‘Cari siapa?’ sambung mak lagi.

‘Bihi ada?’ Tanya lelaki itu.

‘Dia tak ada. Tak duduk sini’, pantas saja mak jawab.

‘Kalau ada apa-apa bagi tau la. nanti makcik bagi tau kat dia’, sambung mak.

‘Tak pa, saya duduk atas katil bawah rumah ni’, jawab lelaki tu dan masuk ke bawah rumah.

Dengar itu, Mak gelabah. Tak boleh nampak dia lagi dari tingkap atas tu. Perlahan mak turun ke bawah. Mengendap dari celahan dinding. Kelihatan lelaki tu memang tak balik. Dia duduk saja atas katil lama yang memang jadi tempat bersantai kat bawah rumah tu.

Mak makin takut. Lelaki tu tak berganjak kekal di atas katil tu.

Akhirnya, mak terpaksa telefon Art Burger, kawan yang tinggal di belakang kampung. Dia dah jadi macam ketua kampung sekarang. Dah berjaya dengan perniagaan dan masuk aktif politik pula.

Saya tinggalkan pada Art stall burger ketika nak keluar kampung dulu. Masa tu dia masih ligat nakal suka main mesin kuda. Dia ambil alih semua bisnes burger saya dengan harga RM50. Itu saja jumlah duit yang dia ada ketika berbincang, dan saya terima jumlah itu. Memang niat nak serahkan padanya. Moga dia berubah.

Dari stall burger itu, dia akhirnya jadi ajen Ramli Burger paling besar di daerah itu. Bisnesnya naik tangan. Mesin kuda dah ditinggalkannya.

Mak minta tolong Art tengokkan lelaki kat bawah rumah tu.

Tak lama Art bergegas datang naik motor honda kapcai. Dia bersembang dengan lelaki itu beberapa minit. Art layan dan berikan dia RM10 suruh dia pergi makan. Dengan modal RM10 itu akhirnya lelaki itu beredar.

Begitulah cerita mak.

‘Dia ada tinggalkan sebuah gitar kat atas katil tu. Dia kata gitar tu hang punya’ sambung mak akhiri ceritanya.

‘Hang kenai ka budak tu?’ mak tanya ingin tahu.

Bila dengar semua cerita mak, saya teringat semula lelaki yang datang tegur ketika makan di kedai sebelah dinding masjid. Keterangan mak tentang lelaki tu sama saja orangnya. Bila dikaitkan dengan gitar, terus rasa nak menangis.

Pak Din rupanya!

‘Astagfirullah al ‘azimmm, Pak Din tu mak!’, perlahan saya beritahu mak. Saya juga tak tahu itu Pak Din sebelum ini.

Mak memang kenal Pak Din. Semua kawan-kawan sekolah macam anak-anak dia saja. Kami jadikan rumah tempat berkumpul pergi dan balik dari sekolah bertahun-tahun. Makan dan minum perkara biasa. Katil bawah rumah tu jadi port bersembang.

Kalau saya sendiri dah tak dapat cam Pak Din, apalah lagi Mak.

Pak Din benar-benar berubah. Nampak menakutkan. Terang mak yang dah mula menangis. Mak rasa pilu sangat, dia menyesal buat kat Pak Din macam tu. Rasa bersalah mula timbul.

Saya bagi tahu memang Pak Din pelik. Bukan salah mak layan dia macam tu. Biarlah.

Pak Din jadi gila

Pak Din sebenarnya selepas saya sambung belajar, dia terpaksa ambil SPM sekali lagi. Dia masuk Maktab Adabi di Bukit Mertajam.

Kegilaannya menjadi-jadi. Budak-budak kampung pula suka mengusiknya. Mulanya dia macam acah-acah nak pukul budak-budak yang ganggu. lama kelamaan memang betul-betul kejar dan nak pukul.

Dari kawan-kawan selepas itu saya dapat tahu yang Pak Din akhirnya dihantar masuk ke wad gila. Dia pernah susun semua tilam atas rumah kayu ibunya. Tilam buatkan orang suka tidur, jadi perlu dibakar, kata Pak Din. Nasib baik tindakan itu disedari ibunya yang lari keluar minta tolong.

Dalam keadaan yang dah kurang siuman begitu, Pak Din tetap kotakan janjinya. 

Kedatangannya ke rumah hari itu semata-mata nak pulangkan semula gitar yang telah dipinjam sekian lama. Barangkali dia tunggu atas katil tu dengan harapan saya akan datang. Duduk, petik gitar dan nyanyi bersama. Seperti ketika zaman kami sekolah satu ketika dahulu.

Cerita Pak Din panjang sebenarnya. Nanti ada kesempatan saya kongsikan kalau rajin. Pak Din dah pun meninggal dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Moga Allah ampuni segala dosanya.

Moral dari story ni. Walaupun dah gila, janji tetap ditunaikan. Bagi anda yang masih siuman tapi mungkir janji, malulah sikit!.

Orang tua-tua pesan jangan ambil gambar 3 orang, nanti yang duduk tengah mati awal. Saya tak pernah percaya petua tu. Cuba teka Pak Din mana satu?

Hidup tanpa gitar

Selepas berikan gitar kepada Pak Din, saya ke KL sambung belajar selama 18 bulan. Kemudian pergi ke luar negara dan duduk sana lebih kurang 5 tahun.

Masa kat KL, tak main gitar. Tak ada gitar pun. Tak ambil peduli sangat bila sibuk explore dunia serba baru. Itulah kali pertama saya keluar jauh dari kampung dalam tempoh yang lama. Semuanya adalah pengalaman baru.

Bila pergi ke Perancis, di awal tahun, untuk lepaskan rasa rindu kat kampung, kami sering berkumpul ramai-ramai. masak bersama dan makan-makan.

Ada sekali tu, cikgu yang ajar kami, masih muda, lelaki Perancis, turut sertai aktiviti kami. Salah seorang kawan, seorang perempuan beragama kristian, kebetulan dia ada beli gitar untuk aktiviti gerejanya, kami pinjam untuk berhibur ramai-ramai dalam aktiviti makan-makan tu.

Masa tu saya main lagu-lagu lama. Termasuk lagu Ebiet G Ade yang sangat saya suka. Sedap atau tidak, yang paling penting adalah hilang rasa rindu kat Malaysia. Ada lagi seorang kawan yang turut sama pandai main gitar. Yang lain pakat bubuh menyanyi saja. Asalkan ada irama.

Cikgu Perancis yang turut serta tu tunggu sampai malam. Dia duduk diam dengan riak muka terhibur. Di perhatikan saja gelagat semua budak Melayu, gelak ketawa, gotong royong dan berhibur seperti sebuah keluarga.

Sebelum balik, dia beritahu betapa seronoknya melihat bagaimana kami semua berkumpul buat aktiviti begitu. Dia rasakan satu benda yang hilang. Budaya macam itu dah tak wujud pada masyarakatnya.

Apa yang kami buat sangat ringkas, sederhana tanpa ada hiburan yang liar. Tapi semuanya berjalan dengan penuh bermakna dan menggembirakan. Orang Perancis kalau berkumpul nak berseronok, tak sah kalau tak ada aktviti liar mabuk dan menghabiskan duit.

Dari segi peningkatan dalam kebolehan main gitar, memang dah tak ada. Apa yang dah tahu, itulah kekal setakat itu saja.

Beli gitar semula

Bila balik Malaysia, sibuk pula dengan zaman cari duit. Tenggelam terus semua minat bermain gitar.

Begitulah berterusan sehinggalah dah kahwin dan ada anak 5 orang.

Bila dah masuk era dewasa, saya azam untuk buat perubahan samada amalan atau belajar perkara baru setiap 5 tahun sekali.

Itulah yang membolehkan saya buat perubahan demi perubahan pada dri secara perlahan-lahan.

Antara perubahan tersebut termasuklah bina rangkaian kawan-kawan yang berniaga dan sukses. Kemudian saya sendiri berhenti kerja, berniaga dan naik turun tenggelam timbul, jatuh bangun sampai sekarang.

Amalan bersenam, mulanya jogging, kemudian brisk walk, juga salah satu perkara yang terapkan dalam kehidupandalam tempoh tersebut dan alhamdulillah masih kekal sampai sekarang.

Kemudian saya terapkan pula amalan puasa sunat setiap hari isnin dan khamis. Sampai sekarang saya masih kekal amalkan dah lebih dari 20 tahun, tak pernah gagal.

Amalan baca tafsir dan huraian Al-Quran, dari Surah pertama sehingga ke surah ke-114. Kemudian baca pula sejarah Islam dari Zaman awal sehingga ke zaman 4 sahabat jadi khalifah, sambung lagi ke zaman Muawiyah, Abasiah dan baca dan baca. 

Berterusan lagi sampai sekarang membaca aliran-aliran dan pegangan yang sangat luas dan saya pasti tak akan habis sehingga saya mati.

Amalan baca buku sejarah, baca buku biografi atau memoir, pengurusan, falsafah dan itu juga masih diteruskan sampai sekarang tak habis-habis terlalu banyak. Sehingga saya terpaksa tetapkan subjek yang tertentu saja untuk diteruskan bacaan dan tinggalkan selain dari itu.

Kemudian saya mula tulis blog. Berterusan sampai sekarang masih kekal.

Saya juga masuk kelas pidato. Belajar cara berucap sebagai satu kemahiran baru yang banyak ubah kemajuan hidup saya.

Banyak kalau nak disenaraikan perubahan demi perubahan berlaku bila saya tetapkan untuk cari benda baru untuk dibuat sekurang dalam tempoh 5 tahun sekali.

Tak perlu banyak sangat. ang penting bila dah tetapkan satu perkara, ikut istiqamah dan bergerak sedikit demi sedikit biar berkekalan.

Sehinggalah saya terfikir satu hari untuk tambah satu lagi perkara baru yang tertinggal lama dahulu. Belajar main gitar semula.

Lalu saya beli Gitar Yamaha untuk budak baru belajar yang harganya dalam lingkungan 4 ratus lebih.

Mula belajar main gitar sendiri

Apa yang saya nak belajar adalah cara bermain gitar secara finger picking. Itu matlamat asasnya.

Selama ini, bila main gitar hanya dengan cara strumming saja. Kalau tengok orang yang mampu buat finger picking, saya memang rasa sangat kagum. Teringin nak buat sama tapi tak tahu cara.

Zaman sekarang. Dengan adanya youtube, semua itu adalah mudah sekali. Mahu atau tidak saja. takat nak belajar perkara asas, terlalu banyak dan ramai yang kongsikan di youtube. Buat carian, anda akan jumpa.

Itulah yang saya buat. Buka youtube. Buat carian ‘guitar finger picking for beginner’. Ikut apa yang diajarkannya.

Banyak ilham baru tentang belajar yang saya dapat bila berusaha untuk cuba kuasai kemahiran finger picking ni.

Satu perkara penting yang saya dapat dalam bab belajar ni adalah, bila nak buat sesuatu yang baru, tak perlu terlalu banyak mencari bahan. Cukup hanya satu bahan saja, ikuti satu persatu-satu dan praktis.

Samada teknik itu adalah yang terbaik atau tidak, masih tidak berapa releven bila anda belajar perkara baru. Ikut saja sebagai langkah mula.

Bila anda masih kosong ilmu, anda tak ada keupayaan untuk memilihpun. Masih zero maklumat. Hanya dengan mulakan langkah explore saja anda akan mula serap sedikit demi sedikit.

Macam itu yang saya buat. Buka satu youtube, ikut apa yang dia cadangkan untuk saya buat dan mula buat. Bertatih-tatih sehingga jadi cekap. Akan ada banyak lagi tawaran dalam youtube tu dengan dakwaan cara mereka adalah yang terbaik dan berkesan.

Abaikan saja selagi anda masih tak mampu kuasai panduan asas dan mudah yang mula anda ikut itu.

Belajar perkara baru memang susah

Apa saja perkara, bila ianya baru bagi anda, sudah tentu akan jadi sukar. Bukan sebab perkara itu sendiri sukar. Tapi lebih kepada diri anda sendiri yang buat ianya jadi sukar.

Otak anda akan cuba sedaya upaya mengelak buat perkara baru supaya anda teruskan amalan atau pegangan kebiasaan. Itu lebih mudah dan tidak banyak menggunakan tenaga.

Itu saja puncanya. Bukan sebab subjek itu susah. Otak yang cuba yakinkan anda ianya susah.

Bila terikut-ikut dengan rasa tak selesa itu, maka mula mencari dan mencari kalau-kalau ada lagi cara lain yang lebih mudah. Sedangkan yang satu itu masih tidak dimulakan lagi.

Pandangan saya jika anda nak belajar apa saja perkara baru. Pilih satu kelas asas dan ikuti saja. Jika nasib baik, anda memang jumpa guru atau cara yang memang bagus.

Yang pastinya, anda akan mula belajar banyak perkara baru seperti terma perkataan, perkara asas, dan kebiasaan paksa diri teruskan belajar sekalipun jiwa meronta nak berhenti.

Biar perlahan asal gerak ke depan

Di peringkat awal saya cuba mulakan finger picking, sentiasa saja ada bisikan susah, susah, susah.

Itu cabaran yang sangat besar otak cuba alihkan perhatian supaya anda berhenti susahkan dirinya.

Untuk hadapi masalah itu, saya akan pendekkan masa belajar sependek mungkin supaya tak terpengaruh dan akhirnya putus asa. Setiap kali emosi mula rasa terbeban, saya akan berhenti.

Esok cuba pula.

Ada kalanya nak denar apa yang dia suruh tu pun adalah satu bebanan yang besar. Bila jadi macam itu, saya hanya buka youtube dan dengar saja. Cuba faham sedikit perkara baru yang masih saya belum dapat angkap sebelumnya.

Point penting kat sini adalah untuk bina rutin waktu dan tempoh masa belajar. Biar sedikit tapi ada pergerakan baru, walaupun sekadar 1% saja, dah mencukupi.

Untuk pastikan usaha anda berkekalan, pastikan masa, tempat dan suasananya adalah sama setiap hari. Jangan ubah-ubah masa, jangan ubah lokasi atau suasana berbeza-beza. Dengan tetapkan keadaan sebegitu, anda mula membina emosi spontan kesediaan untuk belajar sedikit perkara baru.

Saya letakkan gitar pada tempat yang tetap, mudah dilihat, selesa dan tempat duduk yang sama. Bila bertubi-tubi buat perkara tersebut, emosi untuk bersedia jadi spontan setiap kali saya duduk di tempat itu, pegang gitar dan praktis.

Di pendekkan cerita, dengan buat macam tu, saya akhirnya boleh buat apa yang selama ini adalah satu hasrat sahaja. Sekarang dah jadi mudah dan jari dah mula hidup.

Makin ke depan makin sukar

Satu lagi perkara baru yang saya belajar hasil dari cuba main gitar itu adalah betapa mudahnya untuk kuasai perkara asas. Tapi untuk bergerak dari asas kepada pertengahan ia mula menjadi sukar.

Apa yang diperlukan adalah refleksi cuba memahami kenapa begitu dan begini.

Bila masuk ke peringkat itu, praktikal saja tak mencukupi. Ia perlu disusuli dnegan refleksi otak mengkaji dan cuba tangkap dan kaitkan semua perkara yang anda buat dan dengar dari penerangan mereka yang mahir.

Ulang dengar perkara sama sangat perlu ketika itu. Sebab itu orang suruh ulangkaji dan ulang kaji. Sebab mendengar penerangan sama dalam keadaan otak bergerak akan membuatkan anda tangkap perkara baru sealipun perkara sama diulang cakap oleh orang yang sama.

Saya kaitkan dengan ilmu dan kemahiran berniaga bila belajar main gitar.

Betapa pentingnya mengerakkan akal. Betapa pentingnya disiplin dan ketelitian perlu dibina sedikit demi sedikit untuk berjaya.

Tak ada jalan mudah. Tak ada jalan pintas. Terutamanya untuk anda bergerak dari pertengahan kepada kepakaran. Perjalanannya sangat panjang dan perlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Dalam semua perkara, macam itulah prosesnya.

Oleh itu, jangan lihat dan kagum dengan kemahiran. Lihat disebalik itu. Anda perlu mampu bayangkan bahawa itu adalah terjemahan disiplin, kesungguhan, perahan otak dan kesabaran yang sangat tinggi.

Samada saya akan dapat kuasai bermain gitar sampai mahir atau tidak sudah tidak penting lagi. Tapi proses belajar dan apa yang saya belajar dari proses tersebut, untuk diterapkan kepada urusan lain adalah jauh lebih penting.


Post a Comment

Previous Post Next Post