Keputusan yang terbaik pernah saya buat dalam hidup ini adalah bila putuskan untuk berniaga dan berhenti dari makan gaji.
Keputusan itu membuatkan saya mula sedar, peka terhadap diri sendiri dan apa yang berlaku di sekeliling.
Selama ini, saya hanya beroperasi macam ‘zombie’ saja.
Untuk makluman, perkataan zombie digunakan dalam aliran falsafah merujuk kepada manusia yang hidup, tapi tidak punya tahap kesedaran.
Ramai zombie di sekitar anda sekarang. Cara berfikir dan bertindak mereka hanya berlandaskan ikut-ikutan tanpa sedar.
Nampak orang lain buat, lalu diikut.
Semua itu berlaku secara automatik. Diserap masuk dan terpahat dalam memori. Bila kena situasinya, emosi akan tercetus kepada tindakan, terlajak tanpa kawalan akal sedar.
Pukul anak sampai koma, buang bayi dalam tong sampah, ambil besi pukul orang tua yang lemah bila tak puas hati atas kemalangan kecil di jalan raya .. dan banyak lagi.
Itu semua contoh kes zombie ganas. Kalau nak disenaraikan kes-kes kecil memang ada terlalu banyak.
Sokong pegangan orang lain tanpa sedikitpun terdetik untuk membuat penilaian sendiri.
Marah bila orang tak setuju dengan pendapatnya.
Share fake news sebelum ambil masa menghadam maklumat.
Pilihan kerja berdasarkan kehendak orang lain.
Terima bulat-bulat pendapat pelik hanya disebabkan dia popular dan ramai pengikut ..
Dan bermacam-macam lagi.
Macam itulah juga saya, sebelum putuskan untuk jadi usahawan. Hanya fikir nak masuk sekolah, belajar sampai habis supaya mudah dapat kerja.
Kemudian makan gaji, kahwin, pencen dan tunggu mati.
Seperti mana kebanyakan orang lain buat.
Tengah sedap jadi zombie, tiba-tiba saya ubah arah. Berhenti kerja dan berniaga.
Bila terpaksa berusaha sendiri untuk hidup dengan berniaga, otak mula dikerah untuk sentiasa mencari jalan.
Mata dibuka seluasnya melihat keadaan. Dengar pendapat orang dan cuba hadam. Buat analisa keselarian nasihat yang diberikan berbanding amalan orang yang menasihat itu sendiri.
Jatuh bangun sepanjang proses nak hidup membuatkan saya banyak belajar.
Memang kalau boleh tak ada siapa pun nak jatuh. Tapi kalau tak jatuh takkan belajar cara bangun.
Kalau tak buat silap, tak akan cari jalan yang betul.
Hidup dan pengalaman adalah perkara yang sangat kompleks. Perkataan sahaja tak dapat berikan makna sebenar maksud yang mahu disampaikan.
Perkataan ‘susah’ yang disebut oleh anak raja dengan anda sama sahaja. Tapi makna dan gambaran dalam kepala adalah jauh berbeza antara anda dengan dia.
Anda juga boleh sebut ‘sabar’, saya pun boleh. Tapi gambaran sabar yang ada dalam kepala saya yang terkial-kial cari duit tepi jalan tak sama dengan anda yang jadi pegawai kerajaan selama 20 tahun direkemen masuk kerja dulu oleh ayah ketua setiausaha kementerian.
Itulah kehidupan.
Perkataan saja tidak akan lengkap tanpa disulami dengan pengalaman. Tak alami, tak akan faham walaupun anda rasa macam faham.
Sukses jalani kehidupan yang baik
Makin lama berniaga, makin kuat pencarian saya terhadap makna sukses dan hidup dengan baik.
Semua usaha yang anda lakukan dalam perniagaan adalah satu perjalanan ke arah sukses untuk hidup dengan baik.
Memang lah nak cari duit, tapi itu bukan matlamat. Cuma anda sedar duit boleh dijadikan alat untuk ke arah itu.
Dapat duit beli rumah, makan minum, jaga kesihatan, pergi jalan, bantu sanak saudara, kawan-kawan, berikan peluang kerja pada orang lain dan sebagainya. Akhirnya anda sedar bahawa yang dicari adalah sukses dan kehidupan yang baik.
Satu-satunya cara untuk ke arah itu adalah dengan melihat, membaca, mengalaminya dan berfikir untuk sesuaikan terhadap diri anda sendiri.
Sebab hanya anda saja yang tahu macam mana nak jadi diri sendiri berdasarkan makna setiap perkataan yang sudah anda pelajari.
Jadi apa panduan yang terbaik untuk sukses dan jalani kehidupan yang baik?
Saya kongsikan kat bawah ni 6 langkah yang penting untuk anda buat agar sukses dan mampu jalani kehidupan yang baik.
#1. Pilih padang yang betul
Ini perkara paling penting untuk diberikan perhatian paling awal melebihi semua perkara lain.
“Kedudukan anda dalam masyarakat tidak sepenting kualiti masyarakat itu”
hidupringkas.com
Kualiti masyarakat adalah jauh lebih penting berbanding kedudukan anda di dalamnya.
Jika anda pilih masyarakat yang baik, samada miskin atau kaya tidak lagi penting. Jadi tukang sapu sampah pun anda akan rasa puas dan bahagia dengan kerja tersebut.
Begitulah gambaran peri pentingnya memilih masyarakat untuk anda tinggal hidup bersama. Masyarakat termasuklah kawan-kawan, jiran, pemimpin, rakan kerja dan lain-lain lagi.
Pilih dan jangan tak pilih, Itu hak anda untuk tentukan. Ia melibatkan usaha menjalani kehidupan yang baik.
Jangan dok kejar pangkat dan kedudukan dulu. Buka mata dan lihat semua orang sekeliling anda.
Selain dari itu, perlu juga lihat diri sendiri dan tentukan kesesuaiannya.
Sebab keluarga dan pembentukan peribadi sejak kanak-kanak dah tak boleh nak buat apa-apa lagi.
Apa yang dah dapat itulah yang anda ada.
Pembentukan peribadi, kemahiran dan bakat bermula dari situ yang anda perlu bawa bila dah dewasa.
Lihat diri, sejarah, pengalaman dan apa yang dah ada. Kemudian tentukan padang mana yang sesuai untuk digunakan segala kelebihan atau kekurangan itu.
Secara perumpamaannya, kalau katak, jangan lah bertanding panjat pokok.
Tak ada gunanya sebesar manapun usaha katak untuk belajar naik pokok. Lebih sesuai pergi ke kolam dan gunakan kemahiran melompat supaya anda cemerlang. Memang itupun kekuatan katak.
Pilihlah suasana di mana anda ada kelebihan.
Jika dunia korporat bukan tempat yang anda boleh guna kekuatan diri, jangan lah sertai kerja korporat.
Kalau gaya hidup mewah bukan jiwa anda, tak perlulah nak gatai bergaya glamor.
Kalau menerima arahan bukan kekuatan, jangan lah masuk askar atau kerja makan gaji.
Macam tulah lebih kurang.
Faham kan?
Jika anda dapat hadam perkara ini, perkara paling awal boleh dielakkan adalah tidak tertipu dengan iklan yang selalu sangat menipu.
Contohnya, iklan guna wanita yang dah lahir memang putih melepak, merah kulitnya, gebu menawan, badan lansing, cantik menggoda.
Sebab mak pelakon iklan itu dulu juga bekas ratu cantik. Dia dijadikan duta promosi pakaian atau bahan solekan.
Pergi tengok diri sendiri dulu kat cermin tu dan anda akan sedar apa yang diperlukan yang sesuai. Bukan tertipu dengan iklan tu.
Jadi ada dua perkara penting kat sini.
Kenali diri anda, apa kelebihan yang boleh digunakan supaya anda cemerlang dengannya. Kemudian pergi cari padang yang sesuai dengan itu.
Mudah dan jelas bukan?
#2. Mulakan dahulu, jangan tunggu
Setelah dah jumpa padang yang sesuai. Perlu mulakan usaha untuk masuk sertai mereka. Jalinkan hubungan.
Anda sejenis makhluk sosial yang perlu jalinkan perhubungan untuk jadi manusia normal. Tak boleh elak dari bersosial.
Kalau jenis kera sumbang suka sendirian dari muda sampai mati, tak apa. Samada sukses atau tidak, sudah tak penting jika begitu.
Sukses ni, tak boleh nak elak dari tafsiran orang. Suka ke tak, anda tak mampu dakwa diri tu sukses tanpa adanya pengiktirafan orang lain.
Anda tak perlupun sebut sukses atau tidak, jika tak ambil pot apa orang lain cakap. Nak buat apa, betul tak?
Jika anda hidup dikalangan Yakuza, cubaan nak kata anda sukses sebab lemah lembut. Tak pernah, walaupun sekadar jentik telinga orang, adalah cubaan yang bodoh. Sebab itu saya kata sukses bergantung kepada pengiktirafan masyarakat. Bukan syok sendiri.
Sekalipun anda berdegil nak kata anda sukses, hanya akan buat diri sediri derita makan hati saja. Semua akan tertawa dan buli anda.
Melainkan anda keluar dari grup Yakuza tu dan masuk ke grup Jemaah Tabligh. Tak dakwa sukses pun orang akan kata anda sukses!.
Harap faham maksud saya.
Untuk pastikan anda diterima dan mula diiktiraf, jangan tunggu untuk mula kan jalinan kerjasama. Perlu ada initiatif terlebih dahulu berikan khidmat kepada orang lain.
Samada mendapat balasan atau tidak, perlu mulakan juga dan jangan tunggu.
Tindakan anda memberi atau berkhidmat, akan mencetuskan balasan orang lain untuk turut sama memberi. Tawarkan diri untuk membantu, sekalipun perkara yang kecil, adalah satu tindakan yang sangat bijak.
Paling mudah, mulakan terlebih dahulu untuk berikan senyuman.
Tak ada modalpun untuk lemparkan senyum. Memang banyak kali saya mulakan beri senyum tapi tiada balasan. Tapi itu tak halang untuk saya teruskan amalan tersebut walaupun ada kalanya rasa malu la pulak senyum orang buat tak tahu!.
Dari pengalaman berurusan dan bertemu dengan orang, bab nak mulakan terlebih dahulu sangat sukar di kalangan orang kita. Dalam 10, hanya ada seorang dua saja yang spontan sentiasa jadi pemula. Dan biasanya mereka memang sukses!
Jadi ingat!
Sentiasa belajar untuk mulakan terlebih dahulu tanpa perlu tunggu orang lain. Latih amalan ini di mana saja anda berada setiap kali berpeluang untuk tawarkan khidmat tanpa ada rasa segan atau risau orang tak sudi atau tak balas.
#3. Anda bukan Wali Keramat
Saya yakin ada tahu apa makna Wali Keramat. Manusia pilihan luar biasa yang lansung tidak pentingkan diri sendiri. Tolong dan tolong walaupun pada perompak atau kaki buli.
Jangan berlagak macam wali jika anda memang bukan wali.
Maaf, seandainya anda seorang wali, tak perlulah teruskan baca artikel ini!
Tolong orang, berikan kerjasama ada batasnya. Jangan sampai diri sendiri terbakar.
Betul ada pepatah suruh jadi lilin membakar diri untuk orang lain. Tapi anda bukan lilin yang memang kerja dan kejadiannya macam tu. Tak ada pelik pun lilin bakar diri untuk cerahkan orang lain.
Jika anda asyik bantu orang sampai disalah guna jadi macai, itu sudah lebih.
Biasanya, terlalu membantu, akan berakhir dengan bantuan anda sudah tidak dihargai. Perlu tahu had supaya tak jadi macam itu.
Ada kawan-kawan yang saya kenal kat kampung terlepas pandang dengan perkara ini. Punya ringan tulang, bantu orang sampai kerja sendiri tertinggal. Keluarga sendiri terabai. Orang tak hargaipun. Malah dipergunakan sampai reput.
Penting untuk semat kemas dalam hati perkara ini supaya tak terlajak. Buat baik berpada-pada .. itu petua yang tersangat betul.
Dari kajian impak berikan bantuan secara sukarela, anda hanya perlu dalam 2 jam seminggu sahaja untuk berkhidmat pada orang lain atau pada masyarakat untuk mendapat hasil kerjasama dan timbal balik yang maksimum.
#4. Jangan abaikan marketing
Apa akan jadi jika ada produk yang sangat baik tapi tak ada satu orang pun kat muka bumi ni tahu?
Produk itu jadi sia-sia sebab tak ada orang akan beli.
Itu perumpamaan kepada kebaikan, kelebihan dan usaha kerja kuat yang ada pada diri anda. Jangan buat diam-diam, gelap-gelap sampai tak ada yang nampak. Bakat dan kelebihan yang ada itu akan jadi sia-sia.
Untuk sukses tak cukup buat baik saja. Anda juga perlu dilihat buat baik. Sebagai orang biasa, silap faham sampai timbulkan fitnah akan hancurkan hidup anda. Jadi berhati-hati dan fikir panjang semua aktiviti marketing buat baik anda tu.
Masyarakat tak boleh berikan pengiktirafan pada usaha anda, yang tak ada sesiapa tahu. Dan anda tak boleh nak lebarkan lagi usaha dan pergunakan bakat dan kelebihan yang ada tu.
Cerita pada tempat yang betul dan bukannya nak menunjuk-nunjuk.
Kalau ada boss, jangan lupa update apa yang dah dilakukan padanya. Tak salah jika anda jadi kaki bodek pada seorang boss yang cemerlang dan bagus budi pekertinya.
Begitu juga tak salah untuk bodek pelanggan yang anda yakin akan dapat manfaat dari produk yang dijual.
#5. Sentiasa pandang jauh ke depan
Masih lagi dalam bab berusaha, berkhidmat, dan bermasyarakat.
Setiap kali nak buat sesuatu, pastikan usaha itu dapat cetuskan lebih banyak lagi jalinan kerjasama di masa yang akan datang berlanjutan dan berkekalan.
Perumpamaannya macam ni ..
Jangan jadi macam penjual kereta second hand. Mereka biasanya fikirkan akan jual kereta tu sekali saja pada pelanggan yang datang tu. Dia janjikan bulan dan matahari agar kereta tu dapat dijual.
Sebaik saja berjaya, anda terus diabaikan. Macam dia tak pernah janjikan apa-apa. Tiada lagi ikatan dan dia juga tak ada usaha nak ambil hati anda lagipun.
Itulah yang berlaku pada penjual kereta second hand yang rata-rata saya jumpa. Tak hairanlah penjual kereka terpakai punya reputasi paling teruk bukan saja di negara kita, malah di seluruh dunia.
Sekarang, bayangkan pula perhubungan anda dengan mak. Sekali dia jadi mak, sampai mati dia tetap jadi mak anda dan ikatan itu kekal begitu.
Ringkasnya, dalam apa saja usaha, anda perlu pandang jauh dan fikirkan cara untuk ikat perhubungan dan keperluan untuk terus berhubung lagi.
Anda terikat untuk teruskan urusan dan dia juga terikat sama. Anda akan dapat faedah tidak ditekan dan pergunakan, dengan semua urusan yang begitu.
Kalau tak dapat atau tak nampak boleh buat begitu, pertimbangkan semula.
Urusan sekali atau macam mat saleh kata One-Off biasanya bukan strategi sukses dan kehidupan yang baik.
#6. Sentiasa berikan peluang kedua
Maksudnya buka hati untuk maafkan kesalahan dan kesilapan orang lain bila berlaku dan dia minta maaf.
Semua manusia sifatnya mudah alpa. Sekali sekala saya cakap tak betul, adalah pasal terdesak atau terlalu teruja dan sebagainya. Tapi itu bukan bermaksud saya budak jahat.
Bila terdedah, saya akan dapat balasannya. Itu akan jadi pengajaran untuk saya supaya lebih berhati-hati.
Jadi maafkan saya dan berikanlah peluang kedua. Janganlah terlalu keras sampai tiada kemaafan sekalipun orang dah mengaku silap.
Anda juga macam tu, ada masanya terlepas pandang, emosi, ada gangguan perasaan lalu tersilap percaturan dan terlajak sebab terdesak atau sebagainya.
Kalau anda akui manusia semua macam itu, maka bersedialah untuk maafkan pada orang lain yang tersalah langkah.
Moga sukses dan hidup dengan baik
Semua panduan yang diberikan di atas saya kumpulkan dari tulisan Eric Barker di dalam blognya Barking Up The Wrong Tree. Dia himpunkan semua petua dan panduan untuk sukses berdasarkan dari kajian-kajian yang telah dibuat oleh para pengkaji.
Bukan saja secara logik apa yang digariskan itu ada betulnya, malah ia dah dibuktikan lebih lanjut dari kajian-kajian yang dibuat.
Semua panduan itu juga sudah saya alaminya sendiri dan jadi panduan untuk diamalkan dalam proses untuk mencari kejayaan dan menjalani kehidupan yang lebih baik. Masih lagi berusaha untuk dibetulkan dan dimantapkan terutamanya dalam pangkah pertama #1 di atas tadi.
Moga anda dapat manfaat dari artikel ini
pernah jatuh ketika berkecimpung dalam dunia usahawan sepenuh masa.
ReplyDeletekini bangkit balik tanpa rasa serik.
kesan kejatuhan masih terasa hingga kini dan saya sudah reda
memang sangat bermanfaat ini...
ReplyDeletesaya suka bab marketing
dan berharap boleh mahir juga bab selling