Derma dan amalan kebaikan macam mana yang perlu dan tak perlu di pamerkan


'Derma bukan tontonan'.
 

Itu tajuk lagu Herman Tino yang popular satu ketika dahulu.

Saya suka dengar lagu tu. Rentaknya kena. Paling menarik adalah liriknya yang sangat benar.

Tajuk lagu itu muncul dalam kepala lanjutan isu yang berkisar dalam media sosial sebelum ini.

Bermula dari kes video yang jadi viral seorang jejaka muda yang kaya menghulurkan bantuan kepada seorang lelaki tua. Upacara derma itu disulam dengan ceramah motivasi untuk naikkan semangat. 

Dah tentu matlamatnya adalah untuk timbulkan kesedaran kepada semua orang agar ambil sikap berusaha sungguh-sungguh supaya dapat keluar dari kesusahan.

Tetapi malangnya orang tua yang ambil sumbangan itu dijadikan model umpama bahan contoh.

Dalam keadaan seseorang yang sangat membutuhkan bantuan, apalah daya untuk menolak dirinya dari diperlakukan sedemikian rupa. Duduk terpacak depan audience, tunggu diberi sumbangan, sambil biar diri dimalukan. 

Telan saja demi secebis sumbangan.

Dah tentu itu lebih penting sekalipun menitik jatuh ke tanah habis air mukanya rasa hina.

Apa nak buat!.

Derma bukan tontonan

Saya lampirkan lirik lagu Herman Tino untuk direnungi kat bawah ni ..

Tangan kanan memberi
Sorokkan tangan kiri
Derma bukan tontonan
Lakukan dalam sepi
Sematkanlah keikhlasan
Huraikanlah kebuntuan

Kerana sesuatu
Suratan kehidupan
Mengharap dan dipinta bantuan

Harta bukan milikmu
Untukmu hanya rezeki
Terkurang himpun lagi
Terlebih memberilah
Begitu lebih kurangnya
Sedikit tulisan janji

Dari isu tersebut juga saya cari ayat Al-Quran yang berkaitan dengan 'memberi'. Berikut di bawah ini, saya temukan.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”

Al-Baqarah, ayat 264


Budaya pamerkan derma sumbangan

Secara peribadi, saya dari dulu tak suka budaya pamerkan derma dan sumbangan kepada orang yang dilanda kesusahan dalam hidup mereka.

Budaya itu makin menjadi-jadi di zaman media sosial sekarang.

Nak kritik jadi serba salah. Apatah lagi ramai yang lakukan aktiviti kebajikan tersebut adalah mereka yang sudah naik ke tahap celebriti, mengalahkan pemimpin negara.

Jadi diamkan saja.

Dar9 satu sudut, ada baiknya juga budaya pamerkan kebaikan secara besar-besaran begitu. Ia membuatkan lebih ramai lagi tampil ke depan usahakan aktiviti yang sama.

Saya ada terlihat juga sebelum ini, ada ahli politik muda berbangsa Cina yang usahakan konsep sama. Berikan sumbangan pada mereka yang susah. Disusuli juga dengan posting medsos. Juga dengan konsep penceritaan hampir sama.

Senario, jumpa orang susah, muncul hero, berikan solusi dan akhirnya semua bahagia. Macam kisah-kisah filem yang selalu kita tonton.

Manusia memang dah sebati, suka dan mudah tersentuh dengan kisah-kisah sedemikian.

Dalam satu kajian yang saya baca tentang cara terbaik meraih simpati. Fokuskan hanya kepada satu orang. 

Buat kisah sedihnya, kesukaran hidupnya, dan pamerkan gambar-gambar keadaan orang itu. 

Konsep penciptaan satu watak utama.

Taktik itu adalah sangat besar impaknya. Berbanding pamerkan sekumpulan manusia yang susah kehidupannya. Macam dalam filem, satu kampung kena tibai mati bergelimpangan tidak trajis lansung.

Segalanya mula jadi pilu hanya bila anak Ketua Kampung, Milah dipukul, dikoyak pakaiannya dan ditampar muka comelnya hingga lebam. 

Emak Milah pula ditikam dan ayah Milah diterajang dan rumah Milah di bakar. Itu saja yang mampu naikkan kemarahan Darma, Hero filem tersebut.

Contohnya. Jika anda minta sumbangan untuk didermakan kepada rakyat sebuah negara yang kebuluran, ianya adalah lebih sukar dapat sambutan berbanding minta derma kepada seorang individu yang ditimpa malapetaka. 

Derma yang fokus pada seorang individu lebih mudah, pantas dan banyak jumlah yang dapat diraih berbanding derma kepada satu populasi penduduk. Jika dibandingkan secara per kapita.

Sebab itu kebanyakan kisah yang dipamerkan mesti diselitkan juga tumpuan pada satu susuk tubuh utama. 

Perlu ada satu watak individu yang dinaikkan kisahnya. Selain dari individu tersebut, adalah watak tambahan saja, yang menyerlahkan lagi penceritaan.

Maksudnya, semua proses mempamerkan amalan derma atau sumbangan sering dipaparkan selama ini, telah disusun secara terperinci dan bukan secara spontan. 

Semua dah dikaji terlebih dahulu untuk mendapatkan impak maksimum dari perkongsian. Pengamalnya tahu formula tersebut sangat berkesan.

Apa yang anda tonton

Setiap kali ada upacara derma atau sumbangan yang dipertontonkan, saya sering bertanya soalan di atas.

Apa sebenarnya yang ditonton?

Adakah orang yang mendapat derma tersebut. 

Atau

Orang yang memberikan derma dan sumbangan?

Bila saya tanya pada kawan-kawan, perkara pertama yang dilihat adalah pemberi derma. 

Alhamdulillah! bagusnya orang itu. Syurgalah balasannya. Alangkah baiknya kalau aku juga dapat buat perkara yang sama ..

Dari segi matlamat, itu adalah satu kejayaan terhadap si pemberi derma. Dapatlah dia gunakan kemahsyuran itu untuk giatkan lagi aktiviti kebajikannya.

Macam syarikat yang buat CSR.

Aktiviti CSR adalah sangat baik untuk strategi pemasaran. Menaikkan jenama syarikat dan meningkatkan lagi hasil jualan dalam perniagaan mereka. Rasa berbaloi untuk membeli produk dari syarikat sebegitu.

Syarikat akan lebih polular.

Jika individu yang buat begitu. Samalah juga. Individu dapat membina jenamanya sendiri. Tapi kesannya lebih hebat. Bila dia naik nama, semua usaha perniagaannya juga sudah tentu akan naik sama. Serampang dua mata yang sangat berkesan.

Memang baik semua itu. Jika difokuskan kepada pemberi derma.

Tapi, cuba lihat disudut penerima derma pula.

Tentu timbul rasa kasihan padanya disusuli rasa lega dia sudah dibantu. Kalau anda berada sama ketika kejadian berlaku, kerana anda salah seorang dari team yang menderma. Semuanya sangat baik. Penderma akan berterima kasih tak terhingga.

Tapi jika ada satu team media yang merakamkan semua kejadian, adakah kisah yang dipamerkan kepada semua orang dalam media sosial baik untuk diri penerima derma.

Saya bayangkan jika saya penerima derma.

Habis satu Malaya melihatnya. Paling malu, jika yang melihat itu mereka yang kenali diri saya. Mana nak letak muka selepas itu?

Malu. Dah tentu rasa sangat aib. Mana ada glamour gambar sendiri jadi viral segenap ceruk sebagai menerima sumbangan derma belas ehsan orang!

Dalam kesukaran begitu, dah pasti tak ada kekuatan untuk menolak dari dirakam dan dipamerkan. Sekalipun diminta izin terlebih dahulu sebelum itu.

Kebutuhan saya terhadap bantuan membataskan diri dari menolaknya. Biarlah berkecai hancur maruah diri, terpaksa ditelan juga demi kesinambungan hidup menerima bantuan.

Itu semua adalah pendapat perbadi saya. Tidak bertujuan untuk menidakkan sumbangan dari para aktivis kebajikan. Buatlah.Teruskan lah semangat kebaikan itu untuk masyarakat.

Cuma seandainya saya ditakdirkan susah melarat satu hari nanti, saya pohon dan doakan kepada Allah, janganlah dihadirkan orang-orang yang datang memberikan sumbangan bantuan dan derma, lengkap dengan team media mereka. Membuat rakaman untuk pamerkan keadaan saya yang hina serba daif di media sosial.

Dalam keadaan sebegitu, saya khuatir tidak punya kekuatan untuk menolak bantuan kerana sangat memerlukannya. 

Sekalipun lumat remuk hati rasa diri dihina. Jadi bahan pameran, contoh manusia gagal yang diberi sumbangan. Kini dijadikan bahan tontonan.

Si penderma mangaut hasilnya dengan populariti berlipat ganda. Dia pulang dengan kejayaan.

Penerima derma, mendapat bantuan melepaskan keperluan hidupnya. Bukan percuma sebenarnya. Habis maruah dirinya tergadai. Sangat tinggi bayarannya! Jauhkan aku dari malapetaka itu ya Allah!

Derma bukan tontonan ..

Senario 2 pamerkan derma

Cuba lihat kes ekstrim. Anda selamatkan seorang pelacur. Keluarkan dia dari lembah pelacuran dimana dia terperangkap dalamnya.

Bawa dia ke satu tempat yang selamat. Berikan bantuan kewangan, makanan, tempat tinggal dan lain-lain keperluan supaya dia dapat mulakan satu kehidupan yang baru.

Semua itu satu amalan kebaikan yang sangat mulia. Tiada tolok bandingnya.

Untuk galakkan amalan kebaikan itu turut sama dilakukan oleh lebih ramai orang. Anda bawa satu team media. Semua aktiviti yang anda buat dirakamkan dengan baik dan bergaya.

Kemudian satu tampalan dimuatkan ke media sosial. Ayat yang sayu menyayat hati dikarang. menceritakan keadaan dan kisah pelacur itu. Gambar lengkap disebarkan seantero dunia.

Apa agaknya yang anda rasa tak kena dalam aktiviti kebaikan di atas?

Bukan semua kebaikan perlu pamer

Memang bagus pamerkan kebaikan supaya orang dapat tengok. Rasa kagum dan timbul keinginan untuk buat perkara sama.

Tapi tak semua kebaikan itu perlu buat begitu.

Macam kes di atas. Buat diam-diam saja kerana ia melibatkan individu yang sepatutnya dirahsiakan sahaja sejarah hitam sebelum itu. Biar dia mulakan hidup baru.

Kalau pamerkan, malah memang kerja gila jika ada yang sanggup buat begitu, akan musnahlah usaha untuk pulihkannya kepada kehidupan yang lebih baik.

Kalau dilihat kes yang lebih ringan, seperti yang banyak berlaku dalam masyarakat kita. Membantu orang susah yang ditimpa kesempitan. Lebih elok jika di diamkan sahaja. Tak perlu pamerkan juga.

Ia melibatkan maruah orang itu.

Tak ada orang yang suka pamerkan dirinya susah, miskin papa kedana.

Jika dia suka, mahu satu dunia tahu dan dapat hubunginya, maka dia ada tujuan untuk ambil kesempatan. Hidup dengan bergantung harap kepada derma dan sumbangan orang ramai.

Macam sindiket peminta sedekah yang berleluasa sekarang. Minta sedekah jadi kerjaya. Boleh berulang balik naik kapal terbang dari Indonesia datang ke Malaysia hanya untuk minta sedekah.

Kalau nak tunjuk juga, elok rahsiakan si penerima. Tak payah nak rakam gambarnya dan siarkan dalam media sosial.

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 271, Firman Allah yang maksud berhampiran dengannya berbunyi begini,

“Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapus sebagian kesalahan-kesalahanmu. Dan Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan”

Al-Baqarah : 271


Boleh tunjuk tak apa. Tapi sembunyikan adalah lebih baik terutamanya bila anda berikan kepada fakir miskin.

Itu apa yang saya dapat faham secara mudah. Tapi saya bukan ahli yang layak untuk buat rumusan dari mana-mana ayat Al-Quran. Elok pergi rujuk pada para Ustaz yang anda kenal. Hanya mereka saja layak berikan penerangan yang lebih tepat dalam hal beragama.

Pendapat saya hanya berdasarkan keupayaan akal yang waras sahaja.

Kebaikan yang elok dipamerkan

Kebaikan yang wajib amat elok dipamerkan. Contohnya solat, zakat, puasa, dan lain-lain seumpamanya. Lebih ramai yang pamerkan lebih baik. Ini akan menjadikan amalan wajib sebagai norma biasa.

Jika anda buang halangan yang mengganggu jalan raya, juga elok dipamerkan. Itu tak melibatkan maruah sesiapa. Begitu juga aktiviti tampal lubang besar di jalan. Rakam, dan siarkan supaya pihak berwajib yang sepatutnya buat kerja itu berusaha untuk jadi lebih cekap dari anda.

Jika anda berniaga. Ada majlis meraikan pekerja. Berikan hadiah dan ganjaran kepada para pekerja cemerlang. Itu juga kebaikan. Pamerkan lah. Supaya majikan lain berlumba sama untuk berikan ganjaran pada pekerja yang cemerlang.

Rumusannya, saya berpendapat, perlu fikirkan terlebih dahulu setiap kali nak pamerkan kebaikan. Jangan terlalu teruja nak jadi popular sampai semua benda nak pamerkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post