Sasar selesaikan sehari satu urusan sahaja dah mencukupi untuk maju ke depan


Awal pagi hari saya bersiap nak ke pejabat. Ada program webinar 3 hari yang perlu di selesaikan. Saya jadi penceramah untuk hari pertama dan ke-3.

Saya diminta untuk kongsikan bab bagaimana nak buat perancangan ‘day 2 day’ ke arah membesarkan perniagaan secara organik. Dalam bahasa Inggeris, perancangan itu di panggil ‘Business Operation Planning’ Itu hari pertama.

Hari ke-3 saya perlu kongsikan pula bab pengurusan perhubungan pelanggan atau biasa di sebut ‘Customer Relationship Management’.

Dalam keadaan PKP ni, aktiviti sangat perlahan. Sama macam keadaan orang asal yang tinggal di Kepulauan Pasifik.

Orang pulau, mengira waktu secara tepat, bagi mereka adalah sesuatu yang sangat jarang dibuat. Waktu hanya diperlukan sekadar ikut matahari turun naik sahaja. Selain dari itu, hampir kesemua aktiviti mereka hanya perlu tunggu arahan dari tubuh badan saja.

Bila lapar, bangun pergi cari makan. Bosan keluar bersembang. Mengantuk masuk tidur. Makan minum, berhibur, berinteraksi dengan alam, bersosial, berehat, tidur dan ulang begitu berterusan.

Saya suka layan semua dokumentari kembara, kehidupan yang terasing dari kemodenan dan seumpamanya di TV.

Nonton rencana begitu buatkan fikiran melayang teringin jadi orang asal. Alangkah indahnya duduk di kepulauan di mana segala sumber kehidupan tersedia untuk dipetik saja. Tak ada duit pun tak apa.

Di bandar perlu fikir pasal makan dan minum juga. Tapi, nak diusahakan sendiri makan minum tak boleh. Tanam pokok buat kebun depan padang permainan dah tentu pihak majlis akan datang saman. Nak bela itik dan ayam kat belakang rumah, jiran akan buat report pantas.

Mahu tak mahu kena cari kerja untuk dapatkan duit. Baru boleh beli makan dan minum untuk keperluan hidup. Itulah keburukan hidup di bandar.

Kita musnahkan kehidupan kampung orang asal. Untuk bina kilang dan tempat kerja, kepunyaan segelintir manusia kaya gila luar biasa. Kampung rosak, majoriti dari kita rosak jadi hamba kerja. Golongan kaya raya itu sapu habis semua kenikmatan hidup mewah. Kita tetap jadi hamba dan mengidam untuk kembali jadi seperti orang asal semula.

Terpesong jauh saya meleret .. asalnya nak cerita bab PKP yang bantutkan semua aktiviti jalan seperti biasa. Program 3 hari yang saya sebut kat atas tu asalnya perlu dibuat secara fizikal.

Tapi terpaksa diteruskan juga secara online sebab asyik tunda tunggu sempadan dibuka terlalu lama. Saya terpaksa akur penuhi juga program online tu walaupun memang tak suka buat program kursus pendek sebegitu secara online.

Dengan perasaan malas, bergerak ke Shah Alam nak masuk pejabat.

Sekerat jalan dapat panggilan. Program terpaksa dibatalkan hari itu atas sebab yang tidak dinyatakan. Samada ianya ada kaitan dengan Perdana Menteri nak umum letak jawatan, saya tak pasti.

Pembatalan itu melegakan. Terus buat pusingan U, balik ke rumah. Tukar pakaian dan telefon pusat servis Toyota. Mereka tawarkan temujanji pagi tu juga. Jarang dapat begitu. nampak sangat bisnes mereka juga slow. Tak boleh nak jual mahal ikut prosedut temujanji 24 jam awal lagi.

Saya pun terus ke pusat servis. Daftar dan duduk tunggu kereta siap. Sambil tunggu, saya buka laptop untuk tulis artikel ni.

Beri tumpuan satu kerja saja sehari

Saya nak cerita pasal seorang lelaki bernama Spensor Glendon. Dia merupakan seorang sarjana tajaan penuh. 

Ada Ph.D ekonomi dari Harvard. Banyak membantu usaha kebajikan. Dia juga merupakan salah seorang rakan kongsi sebuah syarikat pengurusan dana yang besar di Amerika.

Hebat kan?

Anda akan rasa dia lebih hebat jika tahu keadaan sebenarnya dirinya. Dalam hidupnya, dia lebih banyak sakit teruk dari sihat. Dalam keadaan memegang semua jawatan di atas, dia sering berada dalam keadaan tak sihat teruk.

Dari kecil lagi dia ada masalah ulser, membawa kepada masalah organ hati. Terpaksa jalani pembedahan. Nasib baik ada penderma hati, dia masih dapat bertahan.

Bila buat transplant hati, dia alami masalah terlalu lemah sistem ketahanan tubuh badan. Dia asyik demam dan banyak habiskan masa duduk atas katil.

Dia teringin nak hidup macam kanak-kanak sekolah lain. Bermain, berkumpul, berparti, bersukan, bergewe dan sebagainya. Tapi semua itu adalah mustahil dengan keadaan kesihatannya yang sangat teruk.

Sehingga dia pergi jumpa ahli terapi untuk mengadu masalahnya.

Pakar berterus terang memang keadaannya tidak mengizinkan dia dapat jadi normal macam kanak-kanak lain. Dia perlu terima hakikat tersebut.

Satu cara untuk berikan sedikit kelegaan padanya adalah dengan letakkan matlamat untuk buat hanya satu urusan sahaja setiap hari. 

Tak kisah apa dia matlamat tu. 

Masak spagethi ke, cuci sinki ke atau apa saja yang dia rasa perlu dan penting untuk berikan rasa tidak kehilangan segalanya. Jika dah siap, pergi rehat atas katil semula.

Dengan satu matlamat itu, dia sekurangnya berjaya buktikan masih ada sesuatu yang dia dapat dalam hidup.

Itulah yang dia buat.

Dia terpaksa abaikan hampir semua perkara kecuali satu yang dia pilih untuk lakukan. Semua itu jadi amalan hidupnya.

Itulah sebenarnya formula yang membuatkan dia berjaya.

Abaikan semua kecuali satu perkara

Dalam banyak buku motivasi, memang anda akan dengar saranan yang sangat popular. jangan putus asa. Jangan berhenti mencuba.

Sikap itu memang penting.

Tapi masih tak cukup untuk buatkan anda berjaya.

Perlu tambah satu lagi. Anda juga perlu nekad untuk abaikan semua perkara lain yang tidak penting dan tak membawa anda ke mana-mana.

Sebenarnya itulah yang paling banyak perlu anda lakukan. Bila anda nekad untuk buat satu perkara, anda terpaksa tinggalkan kesemua yang lain kecuali satu perkara itu.

Bayangkan jika anda tak pernah putus asa untuk buat 100 perkara yang berbeza tak saling berkait!

Memang tak akan jadi apa-apa la sampai sekarang.

Formula berikan tumpuan untuk lunaskan satu kerja sahaja memang sangat mujarab. Saya sendiri pernah amalkan masa awal mula berniaga dahulu.

Masa tu semangat tinggi. Banyak perkara nak buat. Sampai akhirnya satu bendapun tak selesai. Bila jadi berulang-ulang macam tu. Sibuk nak mampus tapi tapi ke mana. Saya nekad untuk hanya selesaikan satu kerja saja sehari.

Jadi setiap hari perlu fikir apa satu kerja yang perlu saya selesaikan. 

Takkan nak buat kerja mengarut yang tak penting. Takkan kan masuk pejabat hari tu hanya untuk isi borang bayar duit KWSP. Perlu pilih satu kerja yang bermakna. Contohnya buat analisa Profit & Lost syarikat sejak 6 bulan yang lalu.

Bila buat macam itu, barulah ada pergerakan yang memberansangkan. Paling penting tenang tapi bergerak. Bukannya sibuk ligat tapi duduk di tempat yang sama.

Post a Comment

Previous Post Next Post