8 jenis fikiran bercelaru yang melemahkan diri anda dari bergerak maju ke hadapan


Fikiran yang bercelaru merupakan antara perkara besar yang kerap berlaku yang sering melemahkan diri anda.

Cara berfikir yang bercalaru ini selalunya menjadi batu penghalang yang besar untuk bergerak maju ke depan.

Ianya bertapak dalam minda membuatkan kemajuan hampir mustahil untuk di capai.

Anda tentu tahu bahawa tindakan yang dilakukan oleh seseorang, bermula dari cetusan idea yang muncul dalam fikiran.

Kalau baik dan tersusun cara berfikir, akan baik dan tersusunlah juga segala tindakan. 

Begitu juga sebaliknya. Jika fikiran bercelaru, maka bercelarulah juga segala tindakan. Bila tindakan berserabut, maka perjalanan hidup juga menjadi sempit.

Bertemu corak fikiran celaru

Untuk makluman pembaca, sejak tahun 2014 saya libatkan diri dalam projek bimbingan usahawan di seluruh negara. Mulanya sebelum 2014, buat projek suka-suka santai sahaja untuk khidmat bantu usahawan berniaga. 

Secara tak terduga, jadi serius pulak usaha itu.

Sejak itu, saya dah bertemu samada secara one to one, atau secara kumpulan, lebih dari 4 ribu orang usahawan mikro, kecil dan sederhana dari Perlis sampai ke Johor, masuk ke Pantai Timur dan ke seberang laut sana ke Sabah dan Sarawak.

Ada beberapa orang rakan niaga lain yang turut sama membantu saya jalankan usaha tersebut.

Biasanya saya akan minta kawan-kawan yang bantu itu, kongsikan pengalaman setiap kali mereka selesai bertemu dan berbincang dengan para usahawan.

Hasil dari maklum balas yang mereka kongsikan dengan kerap pada, saya nampak dengan jelas, ada beberapa jenis corak fikiran celaru yang berulang, ada dalam diri para usahawan yang cuba di bantu.

Bila dah nampak keadaan begitu, akhirnya saya dah boleh agak dengan mudah dan tepat apa masalah sebenar yang dihadapi oleh setiap usahawan yang saya cuba bantu.

Corak fikiran celaru yang ada dah melekat masuk dalam hafalan saya. Bincang sekejap saja dah boleh jangka apa jenis fikiran celaru yang sedang dihadapai oleh usahawan di depan saya.

Pencerahan corak fikiran celaru

Dalam usaha untuk membantu diri sendiri, kawan-kawan dan juga para usahawan dengan lebih mantap, saya telah ikuti satu kelas khas ‘teknik membimbing dengan lebih berkesan‘.

Saya laburkan duit yang agak tinggi juga untk tambah pengetahuan itu. Lebih kurang RM15 ribu harganya.

Kosnya tinggi sebab ia dikendalikan oleh guru yang profesional dan berpengalaman serta punya reputasi peringkat antara bangsa.

Walaupun mahal, saya pejam mata saja. Saya yakin keluarkan duit untuk tambah ilmu tak pernah rugi. 

Kita perlu sentiasa mencabar diri untuk belajar perkara baru jika mahu hidup ini menjadi lebih bermakna.

Hanya dengan sentiasa menyusahkan diri dengan mencuba perkara baru sahaja, kita akan dapat tonjol dan keluarkan potensi diri kita yang sebenar.

Kalau tak buat macam tu, akhirnya segala potensi kurniaan Tuhan yang tertanam dalam diri akan disia-siakan begitu sahaja. Semua akan dibawa masuk ke kubur bila mati nanti. Terus terpendam tak dapat digunakan lagi.

Dalam kelas atau kursus tersebut, saya bertemu jawapan kepada corak fikiran celaru yang sering dihadapi oleh usahawan, malah adakalanya, ada pada saya sendiri.

Dan sudah pasti, tentu ada pada diri anda yang sedang membaca juga.

Semua orang ada kecenderungan untuk berfikir dengan cara yang bercelaru bila berada dalam keadaan leka.

8 fikiran celaru yang melemahkan diri

Berikut saya kongsikan apakah 8 fikiran celaru yang sering merampas kewarasan diri setiap kali berhadapan dengan cabaran hidup.

Jom kita lihat satu persatu ..

#1. Berfikiran serius yang ketara

Jenis ini sentiasa berfikiran serius secara berlebihan. Ini fikiran celaru yang paling kerap berlaku. Buat keputusan berdasarkan cara berfikir yang terlalu serius terhadap apa yang berlaku banyak membuatkan kita susah.

Contohnya anggap segala sudah hancur kiamat apabila gagal dalam sesuatu perkara. Rasa dunia sudah gelap apabila gagal peperiksaan dan lain-lain seumpamanya.

Dalam keadaan ini, anda perlu kembalikan semula pemikiran yang betul. Anggap apa saja yang berlaku adalah satu permainan ujian ketahanan. Pasti ada yang memang dan ada yang kalah.

#2. Asyik dok ‘Try’ tak habis

Ini juga pemikiran ketara yang ada pada semua orang. Mulut sentiasa berkata saya akan cuba. Kemudian ditambah pula dengan perkataan ‘jika’.

Pemikiran ini perlu ditukar kepada pemikiran yang sentiasa bersedia memberikan komitmen secara penuh. Cuba-cuba tak main lagi selepas ini, berikan ketegasan pada diri dengan berkata Ya! saya akan buat yang terbaik ! (dan jangan lupa kata Insyaallah).

#3. Tangguh menangguh

Memberikan komitmen sahaja tak akan ke mana-mana jika tiada tindakan susulan. Ramai orang tegas dalam berikan komitmen, tapi cara berfikir yang suka menangguh pulak jadi penghalang.

Buang segala alasan samada urat baloq tengah naik atau apa saja alasannya padamkan terus dari fikiran. Sentiasa cari jalan bagaimana untuk mula bertindak dan bergerak walaupun hanya setapak sahaja.

#4. Sentiasa salahkan orang lain

Ini juga amat kerap berlaku pada hampir semua orang yang tak bergerak maju. Semua orang salah kat muka bumi ini selain dari diri sendiri. Asyik dia menjadi mangsa sama mangsa orang atau mangsa keadaan.

Untuk mengubahnya, sentiasalah fikirkan satu perkara yang masih dalam penguasaan diri sendiri yang boleh dilakukan segera. Tak perlu nak tunggu orang lain atau nak tunggu keadaan berubah untuk melakukan sesuatu.

Hanya dengan menjadi manusia yang bertanggung jawab penuh terhadap dirinya sendiri sahaja, kita akan maju ke hadapan.

#5. Mat Over

Berfikiran seperti Mat Over ini banyak menyusahkan diri sendiri dan juga orang lain. Biasanya fikiran sebegini ada pada orang yang panas baran dan terlalu mudah beremosi. Perkara mudahpun nak marah berlebihan dan mahu bertindak secara keterlaluan.

Atasinya dengan sentiasa berfikir secara lebih luas. Sentiasa membuat analisa sesuatu keadaan secara objektif untuk pertimbangkan kedudukan sebenarnya.

#6. Waswas

Ini tak payah nak huraikan lagi. Orang yang terkena masalah fikiran waswas ini akan menyusahkan dirinya sendiri dan kadang kala susahkan orang lain juga. Biasanya ia berpunca dari kekurangan ilmu dan pemahaman terhadap sesuatu perkara dengan cara mencukupi.

Hilangkan segala keraguan dengan sentiasa mencari maklumat untuk lebih faham duduk perkara sebenar.

#7. Pukul rata

Hanya keranja seekor kambing makan sayur yang ditanam, habis semua kambing dibencinya sampai tak makan daging kambing. Itu juga satu contoh sikap pukul rata.

Ini amat kerap berlaku terutamanya pada usahawan yang sentiasa berurusan dengan manusia. Kerana gagal mendapatkan pekerja yang baik setelah 5 kali ambil dan buang pekerja, habis kesemua 30 juta rakyat Malaysia dikatakan tidak layak berkerja dengannya.

Hilangkan cara berfikir sebegini dengan sentiasa melihat bukti dan maklumat statistik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang rumusan.

#8. Gelap fakta

” Aku sanggup mati, asalkan hati akau puas setelah berjaya membalas dendam aku padanya ! “, amboi ! sanggup mati !. Berbaloikah mati sebegitu ?. Itu contoh orang yang gelap fakta. Biasanya gelap fakta membuat seseorang jadi ego, degil, bangga diri dan seribu satu macam keburukan lagi.

Usahawan selalu juga hadapi masalah gelap fakta ini. Hasil jualan bisnesnya baru mencecah RM300 ribu setahun dah rasa pandai dan tak perlukan tunjuk ajar orang.

Sebab dia rasa RM300 ribu dah besar sangat. Fakta yang dia tak tahu adalah ramai usahawan lain yang dapat RM5 juta setahun rasa terlalu kecil bisnesnya dan sentiasa mencari mentor untuk belajar.

Berhati-hati dengan fikiran celaru

Samada diri saya sendiri mahupun orang lain, biasanya 8 fikiran bercelaru kat atas tu sering memerangkap diri tanpa disedari.

Hanya orang yang sentiasa punya kesedaran yang penuh sahaja mampu keluar dari dilema pemikiran bercelaru seperti kat atas tu. 

Dan tahap sebegitu bukanlah mudah untuk kita capai melainkan dengan latihan sepanjang hidup.

Dalam solat yang kita buat sehari sekurang-kurangnya 5 kali, ada latihan kesedaran diri yang amat hebat. 

Tapi malangnya walaupun dah 40 tahun bersolat, setiap kali solat kita tak sedar, tiba-tiba imam dah bagi salam. Entah apa yang kita melalut sepanjang 4 rakaat itu sangat misteri!.

Sedar diri ertinya sentiasa peka dengan apa yang sedang berlaku samada di sekeling kita mahupun terhadap diri sendiri. 

Orang yang sedar boleh rasakan dirinya sedang marah atau sedang sedih. Malah dia juga sedar dan mampu melihat fikirannya sendiri ang sedang melayang melalut tak tentu hala.

Cara paling mudah untuk kenal pasti bahawa diri kita sedang berfikiran secara bercelaru adalah dengan mendapatkan seorang kawan atau 'coach' atau 'mentor' setiap kali berbincang untuk selesaikan sesuatu masalah.

Orang yang terlatih akan dapat membimbing anda untuk sedar semula kedudukan sebenar sesuatu keadaan dan seterusnya mampu membuat perancangan dan tindakan yang lebih berkesan untuk maju ke hadapan.

Post a Comment

Previous Post Next Post