Dari darjah 1 sampai darjah 6, setiap hari saya akan keluar rumah, jalan kaki, pergi ke jalan utama di Pekan Penanti, Bukit Mertajam.
Jalan utama terletak dalam lingkungan 500 meter saja dari rumah. Tak sampai 5 minit berjalan, akan sampai ke pintu pagar masuk Sekolah Rendah Penanti.
Masuk sekolah tu melalui pintu tengah, melalui bangunan satu tingkat menempatkan kelas di sebelah kanan dan sebelah kirinya pula padang permainan.
Jalan lurus terus ke depan dalam 100 meter lebih saja, sampai ke pintu masuk utama sekolah tersebut. Pagar dawai memisahkan jalan utama dengan sekolah rendah.
Di tepi pagar itulah saya akan tunggu bas datang untuk pergi ke Bukit Mertajam.
Kalau naik bas sekolah, akan terus dihantar ke sekolah rendah stowell. Kalau naik bas awam, kena turun di stesen bas pusat bandar Bukit Mertajam. Kemudian terpaksa jalan kaki beberapa kilometer menuju ke sekolah.
Saya naik bas sekolah tak lama sangat. Yang paling banyak saya ingat adalah naik bas awam sebab tambangnya lebih murah dengan kemudahan pas khas pelajar.
Jadi selama 6 tahun bersekolah, berkilo-kilometer saya berjalan kaki sampai peluh. Pergi dan balik dari rumah ke sekolah rendah stowell.
Kenapa tak sekolah kat kampung saja
Setiap kali lintas sekolah rendah Penanti tu, terlintas juga persoalan itu. Kenapa ayah tak masukkan saya bersekolah kat sekolah rendah penanti tu saja. Dekat dengan rumah. Berganda lebih mudah jika sekolah kat situ.
Tapi siapa berani tanya keputusan orang tua. Hadap saja dan harung apa yang diputuskan oleh mereka.
Logik yang saya pakai untuk jawab soalan itu adalah kerana semua abang saya, dari yang sulung, ke-2 dan ke-3 sekolah kat Stowell Bukit Mertajam. Jadi logik lah saya yang ke-4 akan turuti jejak semua abang.
Itu jawapan yang melegakan walaupun masih tak menjawab persoalan sebenar.
Dari situ ada tergerak juga satu lagi soalan. Kalau aang sulung sekolah kat kampung tu, tentu semua adik-adik turut sekolah kampung juga ..
Kenapa ayah hantar abang sulung masuk sekolah Stowell yang jauh tu?
Menyusahkan saja!
Tak ada jawapan yang betul yang saya boleh korek. Ayah dah lama meninggal dunia. Dia saja yang tahu apa alasan utama dia buat macam tu.
Sebenarnya, kalau difikirkan, ayah hanya menyusahkan dirinya sendiri. Kos lebih tinggi dari segi logistik untuk ke Bukit Mertajam berbanding sekolah kat kampung tu. Bayangkan kesukaran untuk sara semua kos itu untuk 4 orang.
Jumlahnya adalah selama 24 tahun punya kos logistik. Saya darabkan 4 orang dengan setiap orang akan bersekolah selama 6 tahun kat Bukit Mertajam tu.
Ayah tentu punya alasan yang cukup besar dan dirasakan berbaloi untuk menanggung semua masalah tu.
Pernah sekali saya borak dengan abang sulung pasal keputusan ayah hantar semua anak lelakinya ke sekolah rendah stowell. Abang akan sebut yang ayah ada pandangan jauh terhadap anak-anak lelakinya.
Sekolah rendah kat kampung tu aliran Melayu manakala sekolah kat Bukit Mertajam tu aliran Inggeris. Bapak mahu semua anak lelakinya didedahkan kepada aliran Bahasa Inggeris sejak awal. Dia nampak ada kelebihan kat situ untuk masa depan anak-anak lelakinya.
Wallahu’alam!
Mungkin betul apa yang abang sulung saya kata.
Keputusan kecil itu sebenarnya memberikan banyak kelebihan kepada anak-anaknya untuk kehidupan mereka yang seterusnya.
Buka mata buka minda
Masa awal masuk sekolah stowell memang satu kejutan budaya. Bahasa pengantar adalah dalam BI. Disiplinnya agak pelik. Pelajar semuanya lelaki dan semua bangsa ada dalam tu.
Cina, India, Melayu, Nasrani, Siam, semuanya ada. Cikgu juga macam tu. Semua bangsa ada. Tiada bangsa yang dominan.
Masa mula pergi kantin rehat waktu makan, saya kena ketuk kepala dengan abang ketika tengah makan laksa.
Terkejut besar tak faham kenapa dia hentak kepala saya ketika tengah suap laksa masuk ke mulut!.
“Awat hang makan laksa Cina!”, abang saya marah.
Dia 2 tahun lebih awal dari saya. Kawannya ada disebelah gelak besar. Kawan itu lah yang jadi tukang report pasal saya beli dan makan laksa cina.
Manalah saya tahu ada beza makanan Cina dengan makanan Melayu masa darjah satu. Bagi saya, makanan adalah makanan, tak ada bangsa. Tapi itu pelajaran pertama saya. Kena ikut norma kebiasaan kalau nak selamat. Maka saya turutkan saja.
Tapi, sebenarnya saya tak ikut sangat amalan tu. Setiap kali jalan kaki nak ke stesen bas, saya akan bedal saja air apeq dan segala buah potong cicah sambal yang mereka jual.
Malah pisang goreng emak kawan saya jual, yang berbangsa India kuning pekat penuh kunyit juga saya bedal semacam saja.
Dinding tebal untuk asing dan bezakan bangsa saya, dah runtuh sejak sekolah rendah. Dan agak sukar untuk dibina jadi tebal semula.
Sekolah menengah dekat kampung
Bila masuk ke sekolah menengah, saya buat keputusan sendiri untuk ubah masuk sekolah dekat rumah saja.
Walaupun saya boleh ke sekolah tinggi Bukit Mertajam yang terletak di atas bukit sebelah sekolah stowell, sebab saya wakili sukan bola sepak untuk sekolah, nama saya dapat keutamaan ke situ. Semua ahli sukan ketika sekolah rendah akan dipastikan naik ke BM High School.
Guru besarnya memang pentingkan sukan sama besar dengan pelajaran. Dia selalu ulang kepada para pelajar untuk pilih samada cemerlang dalam sukan atau dalam pelajaran. Pilih salah satu. Kalau boleh dua-dua lagi bagus. Bodoh dalam kedua-dua urusan itu tidak boleh diterima!
Walaupun ada kelebihan masuk ke BMHS, saya putuskan untuk ubah sekolah juga
Keputusan ubah sekolah tu saya ambil sebab nak mudahkan perjalanan pergi dan balik ke sekolah. Tak perlu naik bas lagi, berjalan kaki dan berebut beli pas bulanan. Makan minum juga lebih mudah sebab sekolah dekat dengan rumah.
Mungkin sedikit rugi bila saya nekad ubah sekolah. Sekolah kat kampung tu beraliran Melayu dan BMHS beraliran Bahasa Inggeris. Sekarang saya rasa macam agak rugi tak kekalkan di BMHS tu.
Walau macam manapun impak keputusan ayah saya nampak lebih cepat. Kesan dari pendedahan ketika sekolah rendah yang sangat terbuka memberikan perbezaan ketika sekolah menengah.
Masa sekolah rendah saya macam tak masuk apapun dalam kepala dengan pelajaran. Ketika peperiksaan penilaian saya hanya dapat 2A, 2B, 1C, kategori yang agak lembab
Tapi bila masuk sekolah menengah saya rasa lebih faham pada pelajaran. Keputusan pelajaran saya makin lama makin bagus. Sehinggalah ke tingkatan 5.
Dalam kelas sains yang hanya ada satu kelas saja ketika itu, ada 12 pelajar berbangsa cina. Mereka kuasai semua kedudukan pencapaian dalam peperiksaan sebab rajin belajar secara berkumpulan.
Fikiran terbuka ketika sekolah rendah membuatkan saya tak nampak beza antara kawan Cina dengan kawan Melayu. Kecenderungan melihat cina sebagai musuh saya lihat agak tebal pada kawan-kawan yang dari darjah 1 sampai darjah 6 sekolah sesama melayu saja.
Mereka pantang berlaga bahu dengan pelajar cina, asyik nak gaduh saja.
Saya pula pilih untuk main-main dengan kawan-kawan melayu dan bila bab belajar saya masuk grup kawan cina. Dan sikap anggap cina sebagai kawan ketika itu memberikan kelebihan untuk saya juga turut cemerlang macam mereka.
Adat kehidupan biasanya macam itu. Sekali anda bagus sedikit, ia akan jadi motivasi untuk lebih bagus ke depan. Kejayaan kecil yang ringkas akan melonjakkan anda lagi untuk kejayaan yang akan datang sedikit demi sedikit dan akhirnya anda akan mengubah haluan hidup dengan impak yang sangat besar.
Buat perubahan sedikit saja
Saya tulis cerita ni selepas berborak dengan kawan pagi tadi.
Kami berbincang untuk mencari keperluan utama yang akan dihadapi oleh anak-anak kami 10 atau 20 tahun akan datang nanti.
Jika keperluan itu dapat dikenal pasti, satu perubahan kecil dapat dilakukan untuk mereka sekarang. Perubahan kecil yang jika dilakukan dari zaman kanak-kanak mereka, akan meletakkan mereka punya kelebihan yang lebih bagus berbanding kebanyakan.
Macam yang ayah saya buat. Hanya susahkan dirinya sedikit hantar anak-anaknya semua sekolah dalam aliran Bahasa Inggeris dan bergaul dalam suasana majmuk yang sangat terbuka.
Seperti yang ayah kepada Tan Sri Samsuddin, pengasas Sapura Holding, buta juga. Dedahkan anaknya kepada persekitaran pegawai British walaupun hanya dengan menjadi pemandu kepada orang putih saja.
Sedikit lama-lama jadi bukit
Untuk ubah laluan kehidupan anda juga perlu gunakan cara yang sama. Kalau dah masuk dewasa ni memang lebih sukar sedikit. Tapi tetap akan ada impak yang besar jika dimulakan sekarang.
Ambil contoh dengan jadikan amalan membaca sehari 30 minit saja. Baca segala tulisan yang berkaitan dengan subjek yang anda terlibat sekarang. Kalau anda dalam bidang sales, beli dan baca buku yang berkaitan setiap hari macam tu.
Bayangkan apa akan berlaku dalam tempoh 5 tahun anda buat macam tu?
Baca buku 30 minit sehari untuk sebulan berturut-turut memang tak nampak apapun kesan perubahan. Tapi jika anda abaikan untuk mencari kesan, dan teruskan saja amalan itu jadi satu ketetapan, dalam jangka panjang kesannya adalah sangat luar biasa.
Macam saya kata tadi. Kemenangan atau kejayaan sangat kecil akan melonjakkan anda menemui kejayaan yang sangat besar bila dikumpulkan banyak-banyak dalam tempoh yang sangat lama.
Adalah lebih mudah untuk berikan persekitaran ubah itu pada anak-anak yang masih kecil. Ubah dan lawan arus sikit saja untuk anak-anak, akan memberikan satu perubahan besar kepada zuriat keturunan anda yang seterusnya.
Tak perlu cari perubahan yang besar-besar. Cukuplah yang kecil nampak kacang tak ada impak lansung. Biarlah apa orang nak kondem. Abaikan saja. Yang penting istiqamah sampai tua ..