Habis dah tahun 2021. Pantas ..
Apa yang anda dapat belajar sepanjang tahun 2021 yang lalu. Masa yang agak banyak duduk di rumah sejak 2020, tentu banyak digunakan untuk berfikir.
Cuba kenali kehidupan. Cuba kenali diri sendiri. Paling penting cuba mencari ceruk.
Kat ceruk mana yang sesuai untuk anda duduk?
Untuk orang utara, perkataan ‘ceruk’ tentu dah biasa dengar dan pakai. Tak pasti pulak samada perkataan itu jadi kebiasaan dipakai oleh selain dari orang utara.
Dalam kamus, ceruk di beri makna seperti berikut:
[ce.ru/] | چروق
1. sudut (penjuru, pojok, pelosok) dlm bilik (rumah dll): duduk di ~ dapur;
2. lubang, liang, ruang (pd dinding, dlm tanah, dlm timbunan barang, dll), gua, celah, sela; ~ gunung lembah gunung;
3. lekuk (pd geladak kapal, jalan, dll);
4. teluk yg kecil;
5. penjuru atau sudut jalan, lorong (jalan kecil dll); di seluruh ~ rantau di merata tempat, di mana-mana; ~-meruk bermacam-macam ceruk; menceruk
Saya pakai perkataan itu untuk ganti perkataan ‘niche’.
Saya yakin anda biasa dengar dan pakai perkataan niche ni.
Jika sebut bisnes yang ada ‘niche market’, ia memberikan gambaran yang bisnes itu memberikan tumpuan pada sebahagian kecil pasaran sahaja.
Pasaran yang niche, adalah spesifik untuk pelanggan dari demografik yang ditakrif secara jelas dan tersendiri. Tak layan pasaran besar atau umum.
Sebagai contoh.
Seorang Business Coach yang usahakan khidmat coaching, atau bimbingan usahawan hanya kepada usahawan kecil dalam bidang automotif selepas jualan. Itulah niche pasaran yang dia pilih.
Kita pakai perkataan ceruk sahaja untuk artikel ni. Mudah sikit. Saya jumpa ceruk digunakan untuk ganti perkataan niche dalam kamus dewan. Bagus juga kalau kita cuba selesakan penggunaannya.
Mencari ceruk yang sesuai
Dalam dunia yang sangat luas. Diberikan pula kekangan yang sangat besar dan banyak, mencari ceruk adalah cara yang lebih pantas untuk berjaya.
Dalam perniagaan misalnya. Anda ada dua pilihan.
Samada nak layan semua jenis perniagaan atau nak layan satu jenis perniagaan atau industri saja.
Bagi organisasi yang sangat besar, ada banyak sumber dalam segenap segi, memilih pasaran yang umum adalah mudah buat mereka.
Tapi bagi anda yang punya serba kekurangan dari segi sumber, melayan pasaran umum adalah satu usaha yang sangat mencabar.
Kalau nak mudah berjaya, elok pilih dulu pasaran ceruk dan berikan tumpuan untuk membesar dengan mengoptimumkan segala sumber terhad yang ada.
Memilih ceruk adalah satu cara untuk fokus dalam bisnes yang terbaik.
Saya kongsikan di bawah macam mana nak pilih ceruk yang sesuai untuk anda.
Cara mencari ceruk
Katakan anda ada masalah untuk buat pilihan bidang yang mahu diberikan tumpuan. Ada banyak bidang yang berbeza dan kesemuanya anda rasa macam best saja.
Nak pilih bidang mana satu?
Cara terbaik adalah dengan mencari bidang yang membuatkan anda seronok dan suka melakukannya.
Penting juga untuk melihat pengalaman dan kemahiran yang anda ada dalam mencari ceruk yang sesuai.
Kalau duduk fikir saja dalam kepada, memang tak mudah nak kenal pasti apa bidang yang membuatkan anda rasa selesa dan gembira.
Jadi dia sarankan supaya anda imbau balik kisah hidup anda dari kecil sampai besar dan lihat apa yang berlaku dan perkembangannya. Mungkin dari situ anda akan dapat gambaran tentang siapa diri anda dan apa pengalaman yang dah anda tempuhi.
Imbau kisah hidup saya
Oleh sebab cadangan itu sangat menarik, maka saya teringin juga nak buat aktivit mengimbau kisah hidup saya sendiri.
Dari mengimbau secara menulis atas kertas dan membuat nota pada setiap perjalanan, elok juga saya tulis saja menjadi satu artikel.
Jadi saya mulakan di artikel ini untuk aktiviti menimbau kisah silam.
Sambilmembaca artikel ini, anda juga akan dapat idea untuk melakukan perkara yang sama.
Kisah zaman kanak-kanak
Cerita tentang zaman kanak-kanak terlalu banyak yang saya tak ingat berbanding yang saya ingat.
Jika saya ingat, tentu ianya memberikan impak besar terhadap cara saya berfikir. Jadi tak perlu nak korek semua kejadian dalam hidup anda ketika zaman kanak-kanak. Cukuplah senaraikan kisah yang anda ingat sahaja.
Sebelum masuk belajar di sekolah, orang kampung macam saya akan dihantar terlebih dahulu pergi mengaji di masjid. Saya belajar mengaji Quran di Masjid Kubang Semang lama. Tok Imam kampung saya yang jadi guru mengaji. Kami panggil Pak Ndak Mud.
Apa yang saya ingat, pergi mengaji adalah satu aktiviti yang saya sangat tak suka. Keupayaan saya untuk kenal dan hafal setiap huruf jawi sangat lemah. Apatah lagi nak belajar membaca kesemua huruf arab tersebut dan seterusnya mampu membaca mukadam dan Al-Quran.
Apa yang saya buat masa tu adalah ikut saja apa yang disuruh sebut oleh guru mengaji. Zaman tu, untuk mudahkan proses belajar, Tok Guru akan suruh anak muridnya yang lebih pandai untuk ajar anak murid yang baru masuk.
Jadi saya belajar mengeja dari abang-abang yang lebih besar saja. Sedar tak sedar, habis belajar mengeja satu persatu dalam mukadam tu dan mula masuk ke bacaan ayat-ayat dari surah lazim.
Bermula dari surah Al-Ikhlas, kemudian 3 surah Kul dan begitulah seterusnya.
Yang saya ingat, memang saya tak tahu mengeja lansung. Jadi apa yang saya buat adalah cuba menghafal saja. Bila disuruh baca, saya ambil lidi dan tunjuk serta baca bacaannya.
Begitulah satu persatu surah saya baca secara hafal sedangkan saya tak tahu mengeja.
Makin lama makin susah sebab, ayat makin lama makin panjang. Sehinggalah satu hari kebodohan saya untuk tidak mengenal huruf terbongkar. Dan saya terpaksa mula balik dari bawah!
Apa yang saya belajar dari kisah ini adalah keupayaan untuk saya memahami sesuatu pelajaran baru adalah lebih perlahan berbanding orang lain. tapi saya sentiasa cuba cari jalan untuk lepaskan diri.
Cuma cara atau jalan yang saya ambil itu adalah jalan yang sukar yang akhirnya terbongkar juga.
Semua pengalaman itu membuatkan saya tak suka pergi belajar mengaji. Terlebih lagi jika ada guru yang garang dan harapkan kegarangan dapat selesaikan orang yang degil macam saya.
Ertinya saya tak suka berhadapan dengan orang yang mahu kenakan cara yang terbukti berkesan untuk dirinya sendiri tapi tidak semestinya berkesan untuk saya.
Mungkin sebab itu saya peka dengan melihat orang lain yang saya mahu belajar terlebih dahulu dan tengok samada dia fleksibel atau tidak. Orang yang rigid keras dan tak boleh bertolak ansur memang saya akan jauhkan diri dan tak hingin berurusan.
Buat kisah anda sendiri
Sekadar contoh kisah hidup yang saya imbas semula kat atas dah dapat satu idea akan sikap dan cara saya berfikir dan belajar dalam kehidupan.
Jika saya imbau peringkat demi peringkat sampai ke tahap saya masuk universiti dan masuk dunia pekerjaan, tentu akan lebih banyak lagi yang saya dapat kenali tentang diri saya sendiri.
Jadi, cubalah anda buat sendiri imbauan kisah hidup anda pula dan kenali diri sendiri.
Seterusnya anda akan dapat cari apakah ceruk yang sesuai untuk anda berikan tumpuan dalam hidup samada pekerjaan atau perniagaan.
Selamat menyambut tahun baru 2022 dan selamat mengenali diri dan mencari ceruk yang sesuai untuk diri anda sendiri ..