Adakah anda punya kawan yang sangat menonjol di mana saja dia pergi?
Atau anda ada kawan yang sedih sikit. Dia jenis yang sentiasa tidak mendapat perhatian di mana saja berada?
Kedua-dua keadaan yang ada pada kawan, atau mungkin diri anda sendiri, ada kaitan dengan karisma.
Orang yang berkarisma sentiasa mendapat perhatian. Kehadiran orang yang ada karisma mampu memberi kesan kepada suasana sekeliling.
Kalau orang berkarisma buka syarikat perniagaan, dia akan buat perubahan yang sangat besar.
Syarikatnya akan naik mencanak. nampak sangat mudah untuk berjaya.
Kalau dia usahakan sesuatu projek, usahanya itu akan menarik perhatian ramai. Orang nak turut serta dan kesannya sangat besar pada masyarakat.
Kalau dia nak tubuhkan empayarnya sendiri juga boleh.
Dia akan mampu buat macam itu dengan jumlah pengikut yang akan datang menderu.
Macam tulah hebatnya jika anda anda karisma.
Jika anda ada karisma, mudah berjaya. Mudah buat duit. Mudah naik atas. Kalau anda jadi salesman, bukan saja buah durian, pokok durian pun boleh jual sekali.
Karisma semula jadi atau dipupuk?
Kebanyakan orang berpendapat, karisma bukanlah sesuatu yang anda boleh buat-buat. Bukan juga satu watak yang anda boleh belajar.
Karisma menurut mereka, datang sekali satu set ketika anda dilahirkan. Maksudnya semula jadi.
Tapi berbeza pula pada penulis buku The Charisma Myth, Olivia Fox Cabane.
Bagi beliau, karisma ni boleh dibina dan dibentuk. Semua orang mampu untuk berlatih menjadikan dirinya berkarisma. Kalau dia mahu dan berusaha, memang boleh jadi.
Bayangkan apa yang anda mampu lakukan jika berjaya tukar diri jadi seorang yang sangat berkarisma!
Sebaik saja anda masuk mana-mana bilik yang ada ramai orang, perhatian mula bertumpu pada anda. Bila anda nak berikan pendapat, semua ramai yang tahan nafas nak dengar setiap patah perkataan anda.
Orang yang ada karisma mudah berjaya. Mudah buat duit. Mudah naik atas. Kalau anda jadi salesman, bukan saja buah durian, pokok durian pun anda boleh jual sekali.
Ok!
Kalau nak belajar secara lebih mendalam boleh pergi beli buku yang saya sebutkan kat atas tadi.
Sekarang jom kita tengok 3 perkara yang anda perlu ada untuk menjadi seorang yang berkarisma.
- Hadir
- Kuasa
- Mesra
Kita huraikan ketiga-tiga perkara itu secara ringkas satu persatu.
#1. Hadir
Hadir ni merupakan perkara pertama yang mesti ada jika anda nak jadi berkarisma.
Tahap kehadiran diri anda dalam sesuatu pertemuan menentukan samada anda berjaya menarik perhatian orang atau tidak. Ramai orang yang jasad tubuh badannya saja ada kat mana dia berada. Tapi kesedaran dan fikirannya melayang entah ke mana.
Orang yang hadir akan dapat dikesan oleh fikiran luar sedar semua orang. Memang tak boleh nak cerita macam mana kita boleh faham dan tangkap samada kawan depan kita tu hadir atau tidak.
Tapi kalau dia tak hadir, memang senang sangat nak kesan. Saya secara peribadi, memang selalu sangat dapat kesan kawan sebelah tu lansung tak hadir ketika berbual dengan saya.
Bila jadi macam tu, saya akan akur dan diamkan diri saja. Biar dia layan perasaannya. tentu dia ada masalahnya yang tersendiri.
Satu lagi jenis orang yang bila kita berbincang, nampak sangat lansung tak dengar apa kita nak luahkan atau beri pendapat. Dia anguk-anguk berlakon kononnya faham apa kita kata.
Tapi hakikatnya dia tak sabar nak buka mulut nak jawab atau nak cakap apa yang dah melimpah dalam benak kepalanya. Dia ada dalam dunianya sendiri, naikkan benteng dan kurungkan dirinya tak mau bersama. Maksudnya tak hadir bersama kita dalam perbincangan.
Itu maksud hadir. Rasanya mudah faham sebab semua orang biasa alami keadaan ini. Terutamanya dapat kesan kehadiran orang lain ketika bersama kita. Cuma untuk kesan pada diri sendiri samada hadir atau tidak biasanya sangat sukar sebab sering hanyut tak perasan.
Selepas ni rajin-rajinlah beri perhatian untuk fokus dan tak hanyut dalam dunia sendiri. Berikan perhatian pada orang, suasana, keadaan, dan lain-lain dengan sepenuhnya.
#2. Kuasa
Ini perkara kedua yang perlu ada yang mampu menjadikan anda seorang yang ada karisma.
Kuasa ni tak semestinya anda benar-benar ada. Anda hanya perlu pastikan yang orang akan beranggapan bahawa anda ada kuasa.
Biasanya isyarat berkuasa ni boleh dipamerkan melalui banyak medium. Antaranya adalah seperti di bawah:
- Kekayaan
- Kemahiran
- Kekuatan fizikal
- Status atau darjat kedudukan
- Kebijaksanaan
Kalau anda perhatikan. Kesemua perkara kat atas tu boleh saja anda lakonkan. Itulah yang ramai orang buat. Pakai kereta mewah, baju berjenama, jam mahal, bau wangi dan lain-lain seumpamanya.
Itu mahu berikan isyarat anda ada kuasa melalui medium kekayaan.
Begitu juga abang sado yang pakai baju melayu ketat sampai tak bleh nak sinting lengan baju tu untuk ambil wuduk. Itu nak bagi isyarat kekuatan fizikal.
Ada orang pakai kacamata terus nampak macam profesor. Itu isyarat bijaksana. Ada orang kepala dibotakkan. Nampak banyak berfikir. lambang kebijaksanaan.
Disebabkan semua isyarat kuasa ni boleh diadakan atau dilakonkan, maka ini yang paling banyak diguna pakai oleh ramai orang. Dan ramai orang juga yang terkena dengan teknik ini.
#3. Mesra
Ini perkara ke-3 yang paling akhir anda perlu tunjukkan ada dalam diri anda. Teknik adakan kemesraan ni sering kali diguna pakai oleh orang lelaki yang nak pikat wanita kesukaannya.
Mesra ertinya memberikan isyarat yang dia sanggup buat apa saja dan bersedia untuk menggunakan kuasa yang dia ada kat item no 2, kat atas tadi, untuk faedah orang lain.
Bayangkan seorang yang kaya raya, bersedia untuk berikan semua orang kampung masuk keluar dalam rumhanya macam rumah mereka sendiri. Benarkan orang guna kenderaan mewahnya. Bayar semua bil masjid dan surau dan sentiasa turun ke bawah gotong royong dengan orang kampung.
Itu satu isyarat mesra yang sangat ketara.
Orang politik tahu perkara ini dari dulu lagi. Sebab itu kita boleh nampak gambar mereka kacau dodol. Harung banjir, dukung kanak-kanak tanggung gula sekilo atau bahu dan lain-lain seumpamanya.
Itu semua nak tunjukkan kemesraan. Bersedia menggunakan segala kuasa yang dia ada demi kepentingan orang yang dia nak tawan.
Adakah anda berkarisma?
Sekarang cuba nilai semula kedudukan anda. Ada tak kesemua 3 perkara kat atas tu?
Untuk yang ke-2 dan ke-3 boleh dilakonkan kalau anda tahu caranya.
Tapi untuk yang pertama, ‘hadir’. Itu sangat susah untuk dilakonkan sebab yang mengesan kehadiran seseorang adalah minda separa sedar manusia.
Jadi, kehadiran diri memerlukan latihan dan amalan yang konsisten. Bukan boleh buat-buat. Kalau orang barat, mereka latih untuk mendapatkan kemampuan hadir ini melalui meditasi.
Bagi orang Islam, dah ada latihan untuk latih hadirkan diri ni. Solat !
Tapi malangnya, masa solatlah paling kuat kita merayau. Ada masanya sampai ke air terjun paling tinggi di dunia Angel Falls, di Venezuela!
Dalam solatlah kita paling tak hadir !
Saya hentikan kat sini dulu. Ada kawan ketika bersembang tempoh hari komen kata saya tulis panjang-panjang sangat. Memang saya perasa artikel saya panjang-panjang sekarang.
Sebab jarang menulis tak macam dulu lagi dah. Hanya satu atau dua artikel saja dalam satu minggu. Jadi sekali menulis, banyak yang nak diperkatakan. Banyak yang nak diluahkan. Sebab tu jadi panjang.
Jadi artikel ni, saya cuba la nak buat jadi pendek. Tapi nampaknya tersasar juga … terpanjang la pulak.
Apapun terima kasih sudi membaca sampai kat sini.
Sila kongsikan dengan kawan-kawan lain yang anda rasa boleh ambil manfaat dari artikel ni. Perkongsian anda saya ucapkan ribuan terima kasih. Moga anda di balas dengan kebaikan yang berganda lepas ini. Insyaallah !.