Amalkan 6 langkah berkesan ini setiap kali anda mahu selesaikan masalah


Selagi hidup atas muka bumi ini, tak akan pernah selesai berhadapan dengan seribu satu macam masalah.

Jadi, perlu ada cara yang terbaik untuk selesaikan masalah.

Tak boleh sekadar mencongak dalam kepala sambil duduk atas kerusi malas dan cuba selesaikan dalam fikiran sahaja.

Dari pengamatan selama ini, saya lihat kebanyakan yang berjaya ada cara tersendiri untuk selesaikan masalah.

Mereka tidak biarkan masalah terpendam dalam fikiran. Tidak juga cuba untuk selesaikannya seorang diri.

Biasanya mereka akan kongsikan masalah tersebut dengan orang yang boleh dipercayai.

Dari situ akan berlaku perbincangan yang mendalam dalam menguraikan satu persatu masalah yang sedang dihadapi itu.

Memang boleh pendamkan dan cuba untuk selesaikan masalah seorang diri. Tapi ianya agak sukar berbanding melakukannya secara berkumpulan.

Panduan 6 langkah selesaikan masalah.

ada cara terbaik untuk selesaikan masalah.

Anda boleh ikuti 6 langkah seperti berikut:

  1. Kenal pasti masalah yang sedang dihadapi – Anda perlu tahu apakah masalah yang sedang melanda. Cuba buatkan masalah itu dalam satu ayat yang mudah difahami.
  2. Menstrukturkan masalah yang sedang dihadapi – Susun semula masalah tersebut. Dapatkan maklumat bagaimana masalah itu ada, dari siapa dan kepada siapa masalah itu timbul, apakah masalahnya, bila masalah berlaku dan dimana ia berlaku dan seumpamanya.
  3. Mencari jalan-jalan penyelesaian yang mungkin – Buat perbincangan terhadap jalan menyelesaikan masalah dengan memerah kreativiti yang ada. Pelbagaikan jalan penyelesaian lebih daripada satu.
  4. Membuat keputusan terhadap jalan penyelesaian – Pilih satu jalan penyelesaian yang anda rasakan paling baik dan boleh dilaksanakan.
  5. Melaksanakan jalan penyelesaian yang telah diputuskan – Buat perancangan dan perlaksanaan terhadap jalan penyelesaian yang dipilih itu.
  6. Memantau perlaksanaan dan dapatkan maklum balas – Lihat kesan dan hasil daripada perlaksanaan tersebut samada berkesan atau tidak.

Bezakan antara ‘punca’ dan ‘kesan’ masalah

Ini perkara penting yang memerlukan perhatian. Sebelum menyelesaikan sebarang masalah, anda hendaklah pastikan apakah punca kepada masalah yang berlaku.

Jika punca masalah tidak dikenal pasti, anda berkemungkinan akan mencari jalan penyelesaian kepada kesan daripada masalah dan bukan puncanya.

Contoh selesaikan masalah cara salah

Sebuah surau mendapati bahawa ramai makmum lari pulang setiap kali surau menganjurkan tazkirah ramadan setelah habis solat tarawih 4 rekaat.

Oleh itu, para AJK merumuskan bahawa masalah yang perlu mereka selesaikan adalah bagaimana nak halang orang ramai lari balik dari mendengar tazkirah ramadan.

Setelah berbincang dalam satu mesyuarat tergempar bersama semua AJK, mereka putuskan untuk kunci kesemua pintu surau selepas habis solat tarawih dua rakaat.

Nampaknya para AJK cari jalan selesaikan masalah agar orang tak lari balik. Mungkin itu hanyalah kesan daripada masalah sebenar dan bukannya punca sebenar terhadap masalah.

Kalau nak tahu apakah punca sebenar masalah, mereka perlu selidik terlebih dahulu kenapa orang ramai lari balik. 

Bila dah tahu punca sebenar, baru fikirkan jalannya untuk selesaikan masalah tersebut. Baru seronok jadi AJK !.

Cara kreatif selesaikan masalah

Dalam mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku, kita mestilah cuba menjadi kreatif seboleh mungkin.

Berikut beberapa teknik yang boleh diguna pakai untuk mendapatkan jalan penyelesaian yang kreatif dalam cubaan selesaikan masalah anda.

Sebelum itu, selesaikan masalah boleh juga dilihat sebagai aktiviti mencari peluang.

Mungkin anda tidak ada sebarang masalah untuk diselesaikan, tapi mahu jadi kreatif juga dengan menggunakan teknik yang saya senaraikan di bawah, jadi, gunakannya untuk mencari peluang samada terhadap perniagaan atau kehidupan anda.

Teknik berfikir secara kreatif

  1. Besarkan lagi masalah yang ada – tulis masalah seadanya dan tanya apakah masalah yang lebih besar dari itu. Kenapa ia jadi masalah? apa yang mahu dicapai? Biasanya pertanyaan kenapa sebanyak 5 kali akan berjaya membesarkan lagi masalah yang ada.
  2. Cuba fikir macam orang lain – Jika anda sedang berbincang dengan beberapa rakan, cuba surah setiap daripada mereka termasuk anda sendiri bayangkan seolah-olah anda orang lain. Pilih watak yang anda tahu seperti Upin atau Ipin, Tun Mahathir, Arwah Harun Salim Bachik dan siapa-siapa saja. Dengan bayangkan anda watak tersebut, cari jalan penyelesaian terhadap masalah.

Ada 10 lagi cara menarik yang anda boleh gunakan dalam mencari jalan kreatif selesaikan masalah. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut dengan beli dan baca buku The Creative Problem Solver.

Semoga ada manfaatnya untuk anda dan saya, Insyaallah!

Post a Comment

Previous Post Next Post