Pernah tengok siri Merlin?
Cerita berkenaan Putera/Raja Athur yang dilakonkan oleh Bradley James bersama pembantu atau macainya Merlin yang dilakonkan oleh Colin Morgan.
Saya tak tengok kesemua cerita bersiri tersebut dari mula sampai habis. Adalah sekali sekala tengok bila ada kesempatan. Kalau buka TV, kebetulan cerita itu dipaparkan, biasanya saya akan melekat.
Cerita itu mengisahkan tentang Merlin, seorang tukang sihir yang menjadi pembantu atau khadam kepada seorang putera raja bernama Athur.
Putera Athur hanya mengenali khadamnya, Merlin sebagai seorang budak suruhan yang betul bendul dan tak punya apa-apa keistimewaan selain dari buat semua kerja yang orang arahkan kepadanya.
Merlin pula hakikatnya merupakan seorang Tukang Sihir yang amat berkuasa. Dia menyediakan dirinya untuk melindungi dengan apa saja kuasa yang dia ada, supaya Putera Athur terselamat dari apa saja mara bahaya.
Merlin tolong Athur diam-diam
Apa yang menarik dalam cerita tersebut adalah kedudukan Merlin yang sentiasa bantu Athur terselamat dari mara bahaya secara diam-diam.
Putera Athur lansung tak sedar apa peranan Merlin. Dia lansung tak terlintas dalam benak kepalanya betapa selama ini, terlalu banyak Merlin menggunakan kuasanya untuk menjauhkan Athur dari bahaya.
Memang dalam cerita tersebut, Merlin terpaksa sorokkan kuasanya sebagai seorang Tukang Sihir sebab undang-undang di negara tersebut mengharamkan amalan sihir. Siapa yang amalkan sihir akan dihukum bunuh.
Begitulah keadaan perhubungan antara Merlin dan Athur sebagai seorang Putera Raja dengan khadam yang dianggap lurus bendul tak ada apa-apa keistimewaan. Berterusan dari mula sampai akhir.
Sehinggalah ke saat akhir Athur nak mati, baru dia tahu apa yang selama ini Merlin buat kat dia. Selamatkan dirinya berkali-kali dari segala bahaya secara diam-diam.
Baru dia sedar Merlin, selama ini, kekal dalam keadaan itu tanpa sedikitpun mengharapkan ucapan terima kasih. Bukan saja tak pernah ucap terima kasih, Athur malah sentiasa memandang rendah keupayaan Merlin itu, dan Merlin tak kisahpun.
Dah nak mati baru nak tahu .. ! itupun sekadar untuk membolehkan Athur sedar dan mengucapkan terima kasih pada Merlin yang lansung tak pernah mengharapkan ucapan tersebut dari Athur.
Buat baik pada orang diam-diam
Bila saya tengok sir akhir cerita tersebut, saya terfikir samada saya boleh buat perkara yang serupa itu atau tidak dalam kehidupan seharian saya.
Kalau direnung semula, memang saya gagal. Tak mampu nak diamkan diri tolong orang tanpa mengharapkan balasan sekurang-kurang ucapan terima kasih.
Kalau bantu seseorang, orang itu terima bantuan dan buat selamba saja macam tak ada apa-apa berlaku, dan tak ada keinginan ucap TQ, memang jiwa akan terasa jugak. Mula nak label dalam hati orang itu sombong dan tak kenang budi.
Apatah lagi, jika orang yang kita tolong tu memandang rendah, menghina atau buat tak elok pada saya. Pantas saja nak ungkit balik semua bantuan yang dah diberikan kepada nya sebelum ini dan berbagai lagi ungkitan menyesal.
Belajar buat baik diam-diam
Sejak tengok cerita Merlin tu, saya cuba amalkan untuk berbuat baik pada orang tanpa mengharapkan sebarang balasan, hatta sekadar ucapan terima kasih.
Tapi secara jujurnya saya boleh bagi tahu bahawa ianya memang tersangat sukar. Kecuali jika ketika berbuat baik itu, anda tanamkan perasaan sedar di dalam diri.
Untuk pastikan anda mampu buat begitu, pastikan anda sentiasa pegang kefahaman berikut:
- Buat baik itu adalah tanggung jawab anda sebagai seorang manusia yang berguna – Kalau anda rasa nak jadi manusia berguna, maka pastikan sentiasa berbuat baik terutamanya kepada sesama manusia. Paling utama, pada keluarga sendiri, saudara mara terdekat, sahabat handai dan begitulah seterusnya.
- Buat baik bukan untuk penghargaan atau balasan – Bila dah jadi satu tanggung jawab, maka tak timbul samada ada balasan atau penghargaan atau tidak. Samada orang tahu atau tak tahu apa yang anda buat bukan jadi satu masalah yang boleh dijadikan alasan untuk tidak berbuat baik.
- Ucap terima kasih atau menghargai itu kerja orang yang ditolong – Kalau anda dibantu, maka adalah menjadi tanggung jawab anda untuk menghargai orang yang bantu anda. Paling lekeh, ucapkan terima kasih dan doakan untuknya. Sebaliknya, kalau anda membantu, maka bukan kerja anda untuk marahkan orang yang tak ucap terima kasih itu. Itu kerja orang yang anda bantu dan kalau dia tak ucap terima kasih, amalan baik anda itu sedikitpun tak akan berkurangan.
- Buat baik dan segera berlalu – Selepas berbuat baik, anda perlu segera berlalu. Tak payah nak tunggu mendambakan ucapan Tq atau sebagainya. Banyak lagi orang yang sedang tunggu amalan baik anda itu kepadanya pula.
Bezakan antara kebajikan dengan perniagaan
Apa yang saya caapkan kat atas tu adalah kerja-kerja kebajikan. Bukannya urusan perniagaan.
Jika anda berniaga, maka tak boleh elak untuk mengharapkan atau menjangkakan balasan yang setimpal setiap kali anda berikan khidmat atau berikan produk pada pelanggan.
Juga tak boleh elak untuk war-warkan kebaikan produk atau perkhidmatan yang perniagaan anda sediakan pada pelanggan.
Oleh itu, jika selama ini, anda berniaga dan tak pernah peduli samada orang nak bayar atau tdak, bayar cukup atau tidak. Juga anda tak pernah ambil peduli samada orang tahu kewujudan perniagaan anda itu atau tidak …
Ertinya anda bukanlah sedang berniaga, sebaliknya, anda sedang buat kebajikan lah tu ..