Jangan lari keluar dari landasan yang anda sedang duduk


Dulu, sebelum ada internet, belum ada media sosial, telefon pintar dan seumpamanya, TV jadi pilihan utama melayan masa lapang.

Banyak masa di habiskan dengan melangut depan TV, lebih-lebih lagi pada hari cuti.

Awal petang hari sabtu ketika itu, pasti ada disiarkan cerita hindustan, yang hampir semua orang kampung seronok layan.

Ada juga siaran, kalau tak salah saya, Siaran TV2, yang siarkan dalam tempoh waktu sama, cerita Tamil.

Agak pelik sikit ketika itu bila saya lebih cenderung untuk layan cerita Tamil berbanding cerita Hindustan.

Puncanya hanya satu saja.

Saya lebih suka melihat filem yang memaparkan realiti kehidupan sebenar. Bukannya hidup penuh imaginasi dan khalayan seperti yang sering di paparkan dalam kebanyakan cerita Hindustan.

Filem Tamil banyak berikan tumpaun kepada kehidupan sebenar yang berlaku dalam masyarakat India. Dan saya rasa keadaannya adalah ham;ir sama saja dengan masyarakat orang susah di nusantara atau di negara kita Malaysia.

Antara babak yang agak kerap ada ketika mennton filem Tamil adalah adengan bunuh diri dilanggar kepala keretapi yang datang laju.

Paparan seorang yang sengsara kehidupannya, dah tak tahan.

Lalu pergi di kawasan di mana ada landasan yang keretapi akan lalu laju di situ. Perlu pilih lokasi di mana landasannya lurus dan perjalanan adalah di pertengahan jaduh dari perhentian. Itu kawasan yang kelajuan keretapi adalah maksimum.

Bila mamat yang nak bunuh diri itu sampai dilandasan, dia perlu kekal berada dalam landasan, tunggu di situ sampai keretapi datang.

Walau apapun yang berlaku, dia tak boleh keluar dari landasan tu sekiranya dia benar-benar mahu dilanggar oleh kepala kereta apa yang laju di situ.

Sekiranya dia keluar juga, mungkin sebab lama sangat tunggu kepala lokomotif tak muncul-muncul, berjalan balik ke rumah semula, peluang untuk mati dilanggar menjadi lebih sukar.

Katakan dia keluar juga dari landasan, tetiba, tak lama lepas itu, kedengaran keretapi datang dari jauh. Nak patah balik memang dah tak sempat. Nak bolos pagar masuk ke kawasan landasan dan duduk di tengah landasan tu juga dah tak sempat.

Maka terlepaslah peluangnya hari itu untuk dilanggar keretapi laju.

Kekal duduk dalam landasan

Babak bunuh diri macam di atas tu memang ngeri, walaupun ianya adalah perkara biasa di India terutamanya. Malah sering juga didengar di malaysia atau Thailand. 

Tapi anda boleh bayangkan realiti dengan putarkan kes kepada perkara yang lebih relevan.

Hanya perlu ubah, “kepala keretapi” laju tu kepada “peluang besar” yang jadi durian runtuh, untuk ubah hidup atau perniagaan anda ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam perumpamaan di atas. Kalau dah memang nak dilanggar keretapi tu, perlu pastikan sentiasa kekal duduk dalam landasan tu. 

Jangan lah keluar sekejap masuk sekajap ikut mood. Melencong ke tempat lain pulak sedangkan anda tak tahu bila masanya keretapi tu akan datang.

Oklah jika nak keluar juga jika ada keperluan. Tapi, jangan pergi jauh sangat dari landasan tu supaya senang masuk semula nanti. Sempat masuk semula bila dah nampak kedatangan keretapi.

Itulah asalnya kenapa ada nasihat 'jangan lari keluar dari landasan' jika anda benar-benar mahu mencapai kejayaan tertinggi dalam bidang yang anda ceburi. 

Projek jual ayam masak kicap

Hari itu saya ada bersembang dengan seorang kawan yang datang ke pejabat. Memang dia kerap datang di waktu petang. Kami duduk berborak sambil minum kopi di pejabat Shah Alam saya.

Dia ceritakan perihal kawannya yang buat bisnes ayam kicap.

Panjanglah sedikit cerita tu, tapi saya cuba pendekkan.

Atan, kawannya itu, berkahwin dengan adik kepada 3 orang taukeh restoran bisnes ayam masak kicap yang sangat laris.

Atan ni lebih geliga akal berbanding ketiga-tiga abang iparnya. Dia bantu besarkan bisnes kedai makan tu.

Hasilnya satu demi satu cawangan baru restoran berkonsepkan masakan sama berjaya dibuka di merata lokasi baru. 

Bisnes membesar ..

Tapi kejayaan tu tak lama. Timbul masalah, pertelingkahan dan Atan telah dihalau keluar dari bisnes yang dah membesar itu. Sedih juga Atan. Hasil akal geliganyalah bisnes itu menjadi besar.

Tapi Atan tak putus asa. Tak lama lepas itu, dia usahakan bisnes nasi ayam masak kicap formulanya sendiri. Tapi dia tak buka restoran. Dia jual secara online.

Peningkatan jualan bisnes yang Atan buat sanat luar biasa. Tiga bulan selepas itu saja, jualan bulanan mencecah lebih dari RM1.4 juta!

WOW! itu gambaran yang berlaku dalam benak kepala saya mendengar cerita kawan tu.

Tak dapat dinafikan, sangat hebat!

Untuk cuba faham, saya korek maklumat untuk selidik bagaimana Atan buat.

Macam mana dia atur strategi pemasaran dan strategi tunaikan pembelian dalam skala yang besar bermula dari kecil, dengan amat pantas.

Menarik untuk melihat cara orang lain buat marketing. Boleh dijadikan rujukan nanti jika mahu diguna pakai dalam bisnes yang saya buat.

Tapi lain pulak kawan saya tadi tu.

Dia sangat teruja dengan idea tersebut dan berfikir macam mana nak jalankan bisnes nasi ayam masak kicap.

Antara strategi Atan adalah melantik wakil untuk masak resepi nasi ayam masak kicapnya.

Kerja wakil tu hanya masak dengan menggunakan semua ramuan yang dibekalkan dan bungkus. Lepas itu, tunggu saja ajen penghantar makanan datang ambil untuk diedarkan kepada pembeli.

Setiap wakil yang Atan lantik menjana lebih kurang RM30 ribu jualan sebulan. Ada ramai wakil sebegitu bertaburan sekitar Lembah Kelang. Mereka beroperasi hanya dari rumah untuk memasak dan bungkus ayam masak kicap.

Jadi, itulah yang kawan saya nak buat. Dia nak jadi salah seorang ajen Atan. Tentulah mudah dan boleh sangat sebab dia kenal Atan.

Jangan keluar dari landasan

Bila dengar hasrat kawan saya tu, saya geleng kepala. 

Dia sendiri dah memang ada bisnes yang sedang berjalan. Masih ada banyak ruang lagi untuk penambah baikan bisnesnya sendiri.

“Kenapa hang nak pi buat bisnes ayam masak kicap pulak?” Tanya saya.

“Bisnes aku lambat sangat! awat orang lain buat bisnes mudah saja buat berjuta sedangkan aku masih terkial-kial macam ni” jawabnya.

“Sebab hang selalu suka terjun keluar dari landasan”, terpancul dari mulut saya spontan.

“Tak sempat kepala keretapi datang, hang dah terjun nak pergi duduk kat landasan lain pulak. Sampai bila nak kena langgaq dengan kepala keretapi?”, saya sambung.

Pantang dengar ada orang lain dah kena langgar kepala kereta pi kat satu landasan, dah nak pergi duduk kat landasan itu pula. 

Macam itulah kawan saya tu. Banyak bisnes dia buat melompat sana melompat sini. 

Akhirnya dia patah baik buat apa yang memang dia pandai buat.

“Tolonglah fokus buat apa yang hang pandai buat. Kekal kat situ dan terus berusaha sehinggalah datang kepala keretapi laju langgar hang pulak!”, sambung saya. 

Kami bangun dari berjalan keluar pejabat menuju ke kereta Toyota Alphard barunya untuk keluar.

Sepanjang perjalanan kami berbahas. Dia tak setuju dengan pandangan saya.

Namun, saya kekal dengan pendirian untuk terus istiqamah buat apa yang sedang dibuat. Lantaklah orang lain nak meletup jadi billionaire ke apa, saya akan tunggu kepala keretapi saya datang atas landasan yang saya setia berada di dalamnya.

Saya suruh dia fikirkan masak-masak sambil ketawa padanya.

Dan keesokkan harinya selepas itu, masa kami sembang pasal bisnes, dia beritahu nak kekal teruskan buat apa yang dia sedang buat sampai kena langgar kepala keretapi.

Dia beritahu setelah bersembang hari tu, malam tu dia tak dapat tidur fikirkan apa yang saya kata.

Dia ketawa sendirian rasa geli hati kenapa dia boleh nak pi buat bisnes ayam masak kicap la pulak .. nasib baik bincang dan bahas dulu. Kalau tak, ayam masak kicaplah pulak dia buat!

Mesej yang sama saya sarankan pada anda yang membaca artikel ni. 

Sila kekal dalam landasan anda sendiri. Tunggu sambil berusaha. Bisnes memang macam tu, bila dah naik sampai ke peringkat selesa, untuk lonjakkan lagi lebih tinggi adalah sangat sukar dan mencabar.

Ramai yang kecundang sebab tak tahan menunggu, akhirnya keluar landasan.

Post a Comment

Previous Post Next Post