Kalau tak silap, saya mula bersenam secara tetap sejak tahun 2000 lagi. Masa itu masih bujang.
Tinggal di rumah bujang. Rumah teres 2 tingkat di USJ 12 dengan 3 orang lagi kawan.
Sebelum tahun 1999, saya masih duduk kat kampung dengan emak. Kat kampung tu, bersenam tak jadi masalah. Hampir setiap petang saya turun main bola di padang.
Main bola dengan kawan-kawan waktu petang kat kampung dah jadi satu ketagihan. Jiwa bergelora setiap kali petang menjelma. Hati meronta-ronta nak salin pakaian, ambil kasut dan turun ke padang.
Jadi tak hairanlah badan kejap dan stamina mantap.
Bila datang ke Lembah Kelang, semua aktiviti bersukan terus ke laut. Tak ada masa. Kononnya nak kejar duit.
Tapi hakikatnya bukan dapat duit banyak sangat pun.
Sebaliknya jadi hamba kerja secara tak sedar untuk kayakan orang lain dengan korbankan kebajikan diri sendiri.
Stress, makan tak pantang, lansung tak bersenam, tidur lintang pukang. Semua tu resepi mujarab untuk boroikan perut.
Itulah yang berlaku pada saya dengan pantas.
Sehinggalah pada satu petang saya naik atas penimbang berat badan.
Bacaannya melebihi 80 kilogram. Saya terkejut dan nekad untuk ubah amalan hidup.
Petang itu juga saya tukar pakaian dan terus ke padang jogging.
Pakai kasut ‘Warrior’ saja masa tu.
Alhamdulllah! bermula dari situ, sampai sekarang, amalan bersenam saya masih berterusan. Dah jadi darah daging sebati sudah dengan diri.
Cuma ada sedikit saja perbezaan.
Dulu saya bersenam jogging waktu petang. Sekarang saya buat waktu pagi.
Masih ada perasaan malas bersenam
Mungkin anda fikir, dengan hampir 20 tahun amalkan aktiviti bersenam tu, saya dah tak ada cabaran, timbulnya perasaan malas untuk bersenam.
Kalau anda fikir macam tu, memang salah.
Perasaan malas untuk bersenam sentiasa ada setiap kali tiba waktunya untuk bersenam.
Apa seronoknya jalan kaki seorang diri keliling padang, keliling taman lalu depan rumah orang setiap hari?
Bukan 5 atau 10 minit. Tapi hampir sejam.
Lebih dari 10 pusingan dengan jarak lebih dari 5 kilometer! Berulang-ulang setiap pagi macam itu!
Memang tak nampak lansung keseronokkannya.
Tapi kenapa saya masih kekal amalkannya. Dan insyaallah, jika diberikan kekuatan dan nyawa, akan saya teruskan amalan itu sampai bila-bila selagi diizinkanNya.
Saya kongsikan kat sini bagaimana nak halau perasaan malas dan teruskan amalan tanpa sedikitpun ada niat untuk putus asa.
Langkah pertama - tentukan matlamat
Langkah paling penting dalam beramal adalah dengan menentukan apakah hasil yang anda nak dapat.
Bagaimana anda sekarang dan macam mana anda yang akan datang.
Dalam kes saya mula-mula dulu. Saya terkejut dengan berat badan yang naik mendadak lebih dari 10 kilogram. Di tambah lagi dengan perut yang nampak memboyot ke depan.
Saya perlu ubah dan mahukan seorang Mohd Shubhi yang punya berat badan sihat dan perut yang tidak boroi.
Itulah hasil yang saya mahu capai.
Tentukan aktiviti yang perlu dibuat
Selepas itu, saya perlu tentukan macam mana nak buat supaya saya akan jadi macam tu.
Apa amalan dan tindakan yang perlu saya lakukan agar mencapai sasaran tersebut.
Kebetulan dalam bab nak kurangkan berat badan ni, anda pun tentu tahu. Mudah sangat formulanya. Tak perlu pergi masuk kelas kuruskan badanpun.
Anda yang perlu banyakkan bergerak, amalkan senaman untuk bakar lemak yang ada dalam badan. Kalau tak tahu itu petuanya, saya yakin anda selama ini berada dalam keadaan koma sejak di lahirkan.
Jadi itulah yang saya putuskan untuk buat.
Memang ada cara lain. Buat pembedahan hisap lemak umpamanya. Atau masuk gym dengan dibantu instructor yang anda mudah jatuh cinta. Dan lain-lain lagi seumpamanya.
Tapi semua cara itu perlukan duit. Saya tak ada duit.
Kalau adapun, saya tak mahu buang duit pada perkara yang saya boleh buat tanpa keluarkan duit.
Jadi saya pilih cara mudah dengan turun, keluar rumah dan mula berlari. Itu saja.
Penting! Jangan obses terhadap hasil
Ini sangat penting untuk anda hadam dan cuba lakukan sebaik saja dah ada 2 perkara di bawah ni:
- Hasil – Apa hasil yang mahu anda capai
- Tindakan – Apa yang perlu dibuat untuk mencapainya
Bila dah rangka tindakan, anda perlu lupakan terus hasil yang nak dikejar. Fokus hanya pada tindakan sahaja.
Dalam kes saya nak turunkan berat badan tadi, sebaik saja putuskan nak jogging setiap petang, saya terus fokus pada sasaran itu saja.
Samada nak kurus atau tidak, hilang boroi atau tidak, saya terus lupakan saja.
Dalam bab turunkan berat badan ini, anda tak perlu risau samada akan berkesan atau tidak. Ianya memang dah terbukti memang berkesan.
Yang berbeza mungkin masa sahaja. Ada yang dapat hasilnya dengan pantas dan ada yang lebih lama. Tapi jika diteruskan beramal, pasti, insyaallah, akan dapat jua akhirnya.
Bila orang tanya sinis .. ‘nak kuruskan badan ke?’
Saya hanya senyum. ‘Tak aih!, memang saya suka lari petang-petang!’.
Saya nak berikan mesej pada semua orang termasuk diri saya sendiri bahawa itulah saya sekarang. Seorang jejaka hensem yang suka berlari setiap petang.
Obses kepada amalan
Sejak hari itu saya fokus hanya pada aktiviti senaman sahaja tanpa peduli lagi akan membuahkan hasil atau tidak.
Saya mula obses kepada amalan tersebut.
Setiap kali saya dengar bicara radio atau tv pasal berlari, saya akan layan untuk dapatkan dapatkan maklumat berkenaan cara yang betul untuk amalkannya. Pantang nampak artikel berkaitan, pasti nak baca.
Ada sekali saya dengar bicara radio dari seorang pengamal senaman dan instructor kesihatan ketika sedang memandu. Saya catitkan nama dan nombor telefonnya dan tak lama kemudian saya pergi bertemu minum dengannya di sebuah kedai mamak di PJ.
Saya mahu dengar nasihat tentang cara berjogging yang betul. Itu saja.
Begitulah saya mula obses dengan amalan dan baca apa saja maklumat berkenaan amalan tersebut.
Hasil atau sasaran dah tak masuk dalam pemikiran lagi.
Sebab itu, selepas 3 ke 4 bulan. Walaupun keadaan saya masih sama saiz dan berat macam mula dulu juga, saya abaikan saja. Tak ambil kisah pun. Saya teruskan juga beramal.
Paling penting tak ada apa yang nak diputus-asakan!
Itulah formulanya asasnya.
Jangan fikirkan garis penamat
Masih belum habis lagi masalah bila beramal ni.
Bila anda lupakan sasaran akhir, anda dah mula fokus pada amalan sahaja. Anda akan mudahkan diri untuk beramal.
Tapi ada satu lagi masalah.
Bagaimana nak buat amalan itu supaya lengkap sempurna setiap kali anda melakukannya.
Contoh mudah saya boleh gambar pada anda yang dah amalkan solat 5 waktu sejak kecil sampai sekarang.
Bila masuk waktu, selagi tak tunaikan solat, anda akan rasa tak selesa. Begitulah kekal rasa tak selesa tu sehinggalah anda selesaikannya.
Itu tandanya anda dah berjaya jadikan amalan bersolat 5 waktu sebagai darah daging anda.
Tapi itu masih tidak dapat menjamin setiap kali anda mula bersolat anda akan buat dengan baik dari awal sampai akhir.
Ada orang yang memang tak tinggal solat. Tapi dia mulakan solat dengan takbir pertama, kemudian mula bergerak seperti ayam sedang patuk jagung atas tanah.
Naik turun dengan pantas dan solat 4 rakaat boleh selesai hanya dalam tempoh dua tiga nafas sahaja!.
Kenapa jadi macam tu?
Untuk elakkan jadi begitu, petuanya macam kat atas tadi. Jangan fikirkan pasal pengakhiran.
Malas timbul bila fikir penamat
Walaupun dah 20 tahun lebih saya berjogging atau berjalan 5 kilometer setiap pagi, perasaan malas dan tercabar nak cepat habis sentiasa ada setiap kali nak mula bersenam.
Apa yang saya belajar selama ini. Rasa malas akan muncul apabila saya fikirkan pengakhiran.
Bayangkan saya masih tak selesaikan walaupun 1 km, dan saya perlu selesaikan 5 km! Itu yang berlaku setiap kali fikir bila nak habis.
Bayangan jauh lagi perjalanan akan membuatkan idea nak tamatkan senaman lebih awal muncul dalam benak kepala.
Macam itulah juga ketika bersolat 4 rakaat.
Baru takbir awal anda dah fikirkan ada lagi 4 rakaat nak kena buat .. maka berlakulah aksi patung jagung sebab nak cuba selesaikan sepantas mungkin.
Jadi, untuk elakkan kes yang serupa, saya tak akan layan untuk fikirkan pengakhiran. Saya akan cuba berikan tumpuan pada keadaan semasa ketika berjalan.
Lihat apa yang ada di depan. Cari perubahan dan perbezaan keadaan taman berbanding semalam. Lihat benda baru yang mungkin selama ini saya tak perasan ada dan macam-macam lagi seumpamanya.
Berterusan begitu sehinggalah sedar tak sedar, habis 1 kilometer. Dan akhirnya telefon bimbit saya menjerit dan genap 5 kilometer.
Solat macam itu juga. Jangan dok ingat nak kena habiskan 4 rakaat. Cuba perhatikan apa kepala otak anda fikirkan ketika baca Fatihah saja dapat buatkan anda lupa pasal nak kena habiskan 4 rakaat.
Fikiran ni memang sangat lucu. Bila anda tak sedar, dia akan melayang fikir dari Thailand, terus ke China sampai ke India. Sebaik saja anda perhatikan apa yang dia dok fikir, semua pemikiran tadi mengecut dan mula hilang.
Masa itu dia akan tunggu keputusan anda untuk buat apa. kalatakan anda mula putuskan nak hayati makna bacaan. Bila anda mula hayatinya, perlahan-lahan dia akan melencong pula dan bila anda tersedar, dia dah mula fikirkan pasal ‘Janna Nick’!
Jadi ringkasnya, jangan fikirkan pasal garis penamat. Anda hanya perlu berikan perhatian pada garis awal dan lalui proses amalan itu pada masa dan ketikanya.
Selamat beramal.