Ada satu petua menarik yang saya jumpa lama dulu, tapi tak ingat dari siapa. Pesannya berbunyi begini,
"Bergerak perlahan adalah cara yang terbaik untuk sampai awal"
Masa mula berhenti kerja dan berniaga sepenuh masa dulu, perkara pertama paling ketara yang berlaku adalah, rasa tak cukup masa, ada terlalu banyak kerja yang nak kena buat.
Setiap malam rasa tak sabar tunggu menjelangnya pagi. Nak bangun hadapi hari baru. Nak bersiap dan pergi kerja. Ada saja kerja nak buat.
Semuanya bertujuan untuk pastikan berhenti kerja itu satu keputusan yang betul.
Keputusan yang tidak sepatutnya disesalkan di kemudian hari.
Selepas lama berada dalam keadaan itu, banyak juga kerja dapat dilakukan.
Banyak juga perubahan dan pencapaian yang dinikmati.
Tapi rasa tak cukup masa dan terlalu banyak kerja nampaknya masih sama saja.
Saya mula tak puas hati.
Tertanya samada apa yang saya fikirkan dan rasakan adalah tak betul. Perlu buat sesuatu untuk atasi rasa resah gelisah macam itu.
Tak seronok hidup dalam keadaan penuh dengan rasa bersalah macam itu.
Bila diamati, saya dapati, memang banyak kerja yang akan saya cuba buat setiap hari. Tapi hampir kesemuanya tak pernah selesai.
Maksudnya semua kerja siap separuh jalan.
Buat ini dan itu dan singgah dari satu urusan ke satu urusan sebab tak rancang betul-betul dan terperangkap dengan kehadiran kerja yang lebih penting.
Yang paling sedih, semua kerja yang muncul dirasakan sangat penting dan perlu diselesaikan dengan segera.
Maka kerja yang sedang dilakukan sekarang akan berhenti. Pergi uruskan masalah baru pulak.
Macam tu lah berlaku berulang-ulang.
Saya mula buat perubahan.
Perhatikan apa yang berlaku. Catit, ubah suai, rancang dan perbaiki sedikit demi sedikit cara buat kerja sampai keadaan jadi tenang dan akhirnya rasa macam banyak masa lah pulak.
Kalau anda sedang alami sebagai mana yang pernah saya rasa di atas, saya kongsikan apa yang telah saya pelajari selama ini yang boleh cuba disesuaikan untuk anda sendiri amalkan.
Anda boleh cuba buat 6 perkara berikut.
1. Pastikan sentiasa cukup tidur
Ini paling penting. Prisnsip yang saya pegang sampai sekarang dan insyaallah tak akan saya ubah. Sebab kesannya sangat baik untuk hidup tenang dan tidak mudah gelabah macam biawak.
Walau apapun yang berlaku. Banyak mana kerja sekalipun. Jangan abaikan jumlah waktu rehat yang diperlukan untuk tidur ini. Serabut macam mana sekalipun. Rasa tertekan sebab kerja tak habis, bila kena tidur, tinggalkan kesemuanya dan pergi lah tidur.
Cuba buat macam tu. Bila anda tidur, habis hilang segala masalah. Sekurangnya tak wujud lagi masalah selagi anda masih tidur.
Tak guna cuba berjaga dan buat kerja sebab, orang yang letih tak cukup tidur tak akan dapat laksanakan kerja sebaik orang yang segar dan cukup rehat dari segi tidurnya.
Bila anda tidur dan rehat dengan cukup, daya kreativiti meningkat. Keupayaan selesaikan masalah juga jadi hebat. Mudah faham dan mudah untuk nampak segala kaitan kejadian antara satu dengan yang lain.
Bila jadi macam itu, anda akan jadi lebih cekap. Produkviti anda akan meningkat dengan banyak sekali. Jadi sila beri perhatian dan disiplinkan diri untuk jaga waktu tidur supaya sentiasa mencukupi.
2. Urus dan kemas barang fizikal
Ada orang rasa, masa yang diperuntukkan untuk santai, dengar radio tenang dan relaks sambil susun dan atur samada dokumen, peralatan atau apa saja barang-barang yang ada di sekeliling, adalah satu kerja yang tak ada faedah.
Mereka rasa rugi. Lebih baik buat kerja yang lebih hebat aksinya bagi diri mereka.
Kalau pomen kereta, dia lebih suka lambung dan pulas sepana. Check itu dan ini, repair dan lain-lain lagi seumpamanya. Itu barulah kerja namanya.
Bila berfikiran macam tu, workshop dibiarkan berselerak. Tools berterabur. Barang terpakai tak tersusun. Barang rosak bercampur aduk dengan barang baik. Semua mesin dan peralatan tak kemas dibiarkan ada di sana dan sini.
Kalau masuk pejabat pulak, segala dokumen berterabur dan bercampur aduk. Paling lawak, enjin dan gearbox lama ada kat atas meja dan kerusi dalam pejabat tu.
Orang macam itu sudah tentu kerap hilang barang itu dan ini. Akan sering rasa tertekan bila terjadi sesuatu yang sangat penting tiba-tiba dikehendaki dengan kadar segera. Tapi puas cari merata tempat masih tak jumpa-jumpa.
Setiap saat berlalu hanya menambahkan lagi rasa tertekan meningkat naik dan naik. Makin dicari makin tak jumpa. Lebih malang memang akhirnya sampai kesudah tak jumpa. Dan ia menyebabkan timbul pula masalah baru yang lain.
Macam itulah kesannya macam spring putar yang makin putar makin membesar.
Sebaik saja anda mula amalkan cara hidup yang kemas dan tersusun. Peruntukkan masa untuk buat urusan itu secara berkala dan berdisiplin. Anda akan jadi seorang yang sentiasa berada dalam kawalan penuh.
Jarang berlaku saat genting perlukan barang penting tapi cari tak jumpa.
Sepanjang saya berniaga. Sikap susun, kemas, atur dan simpan barang banyak bantu selamatkan keadaan saya bila tiba-tiba ada barang urgent nak sekarang juga. Tak susah buat saya sebab semuanya dah boleh dikesan dengan pantas.
Saya boleh tahu apa yang memang ada dan apa yang memang tak ada.
Sudah tentu urusan ini masih perlu dibaiki sentiasa. Ada kalanya perangai tangguh kemas dan susun ini menjadi-jadi. Dan pejabat mula jadi terabur semula. Kalau dah malas sangat, upah saja orang untuk jadi tukang kemas, susun dan simpan barang dan semua dokumen penting. Berikan label supaya mudah nak cari nanti.
3. Buat jadual kerja dalam kalender
Jadual apa yang anda nak kena buat wajib ada. Samada nak guna diari atau buku nota tak kisah. Ikut rasa selesa mana satu yang anda rasa mudah. nak pakai apps dari telefon pintar andapun boleh.
Tak perlulah nak lurus bendul sampai setiap setengah jam anda masukkan kerja yang perlu dilakukan. Jangan kaku dan rigid sangat.
Anda hanya perlu buka kalendar, tulis kerja apa nak kena selesaikan bila nak buat pukul berapa dan habis pukul berapa. Itu saja yang penting.
Kalau anda hanya ada satu kerjapunj tulis dan rancang macam tu juga. Malah cara terbaik adalah pastikan anda ada sekurangnya satu kerja yang dianggap paling penting perlu diselesaikan.
Dalam bab buat urus masa untuk jadual kerja ni saya cadangkan untuk pergi cari buku ‘The ONE Thing’. Antara buku terbai pernah saya baca yang sesuai untuk cara saya yang suka hidup ringkas.
Petua dia mudah saja.
Sebelum nak masukkan dalam jadual tu, buat senarai dulu kerja apa yang nak kena buat. Kemudian pilih mana yang paling penting. Mana yang boleh diabaikan keluarkan dari list. Kemudian pilih lagi dan lagi sampai akhirnya tinggal hanya satu kerja saja.
Biasanya satu kerja itu, sangat penting dan berkesan sehingga jika anda selesaikannya, semua urusan lain sudah tak relevan dan tak perlu nak risau lagi. Masukkan apa satu-satunya kerja penting itu untuk hari, minggu, bulan dan tahun.
Ruang masa dan waktu lain biarkan kosong. Jika ruang dalam kalendar anda kosong, itu tandanya anda ada banyak ruang untuk menyerap apa saja peluang baru yang bakal timbul.
4. Tolak kerja yang tak relevan
Bila anda kata ‘sorry! tak boleh’, anda sebenarnya kata tak boleh hanya pada satu perkara sahaja.
Sebaliknya, bila anda kata ‘ok!, boleh’, anda sebenarnya berkata ‘sorry! tak boleh’ pada semua perkara alternatif pilihan lain yang ada.
Itulah besarnya beza antara kata ya berbanding tidak. Untuk kata Tidak!, anda boleh buat pilihan. Tapi bila anda kata Ya!, anda terima tanggung jawab.
Itu bukan kata-kata saya. Tapi yang dipetik dari tulisan James Clear. Pemulis buku Atomic Habit.
Faham ke tak apa yang saya tulis tu?
Saya terangkan cara lain pulak.
Dalam erti kata lain, jika anda kata ya, anda sebenarnya berkata tidak terhadap terlalu banyak perkara lain. Sedangkan kalau anda kata tidak, hanya untuk satu perkara saja.
Contohnya kalau kawan ajak anda pi ngeteh dan anda kata ok boleh. Maka habislah semua pilihan yang ada selain dari ngeteh itu anda katakan tidak boleh. Baca buku ke, jumpa pelanggan ke, buat pelan bisnes ke, buat muhasabah diri ke semua dah tak boleh tertolak dengan automatik.
Tapi bila kawan ajak anda minum, anda kata sorry! tak boleh. Anda hanya tolak pelawaan itu sahaja. Satu saja. Masa itu boleh diisi dengan seribu satu pilihan kerja lain yang anda boleh pertimbangkan lagi.
Oleh itu, banyakkan kata NO!, kurangkan kata YES!. Secara automatik anda akan banyak buat kerja. Sebab itu Warren Buffet kata, orang yang berjaya ialah mereka yang kata sorry tak boleh! terhadap hampir semua perkara.
Sebab itu mereka berjaya sebab dapat buat banyak benda.
Antara tip berguna untuk tolak pelawaan secara automatik adalah tutup phone masukkan dalam laci setiap kali anda buat kerja penting yang perlu diselesaikan. Jangan buka selagi tak siap.
5. Lepaskan kerja pada orang lain
Ada masanya, memang anda tak boleh elak dari kata ok! boleh. Nak kena terima juga sebab perlu lakukan kerja atau urusan tersebut. Dalam keadaan begitu, perkara pertama perlu anda buat adalah tanya sama kerja itu boleh lepas kat orang lain atau tidak.
Kalau boleh, tak payah fikir panjang, lepaskan saja.
Ada kerja yang anda memang cekap berbanding orang lain. Dan anda suka pula buat kerja tersebut. Ok kalau nak buat sendiri. Tapi ada kerja yang anda tak berapa cekap. Ada orang lain yang lebih hebat. Jadi kenapa nak buat sendiri?
Terima saja hakikat orang lain lebih hebat dan serahkan saja pada mereka.
Perkara paling bodoh seorang usahawan selalu buat adalah rasa semua orang tidak sepandai dia buat kerja. Lalu akhirnya dia nak tapaw semua kerja. Lansung tak beri ruang dan peluang pada orang bawah. Itu bodoh namanya, bukan pandai.
6. Sedia ruang lapangkan kepala
Jadikan masa bersendirian sebagai jadual wajib dalam kalendar anda. Peruntukkan masa secara tetap untuk anda tenangkan fikiran, reflek semula segala yang telah berlaku dan merumuskan semula apa yang perlu dibuat.
Samada duduk atas kerusi bawah pokok redup ditaman hijau, depan tasik atau duduk dalam rumah yang tenang sejuk dan nyaman seorang diri, boleh saja untuk tujuan sebegitu.
Ada orang suka isikan ruang kosongkan kepala dengan memandu dua atau tiga jam. Sekali sekala saya juga suka buat macam itu.
Bila memandu untuk perjalanan yang agak jauh, fikiran akan rasa selesa melayang dan santai.
Jangan lupa juga solat dan zikir. Duduk di satu sudut dalam masjid yang sejuk damai sambil kosongkan fikiran hanya dengan ingat Tuhan juga satu cara yang sangat baik untuk lapagkan kepala.
Kesemua 6 perkara tersebut sampai sekarang masih jadi amalan saya. Nampak santai macam banyak masa kosong. Tapi, sebenarnya dengan amalkan semua itu terlalu banyak benda dah berjaya saya lakukan.
Saya layan tulis blog, saya baca buku, saya urus perniagaan sendiri, saya buat business coaching, saya layan media sosial, saya belajar main gitar, saya travel, saya beri ceramah dan macam -macam lagi saya berjaya buat dalam keadaan tenang.
Moga anda boleh cuba amalkan.