Ini cerita perjalanan hidup saya: Pengusaha bisnes kecil yang hidup secara ringkas


Ini ringkasan cerita perjalanan saya, seorang usahawan yang hidup secara ringkas. Seorang rakyat biasa yang dilahirkan di sebuah kampung bernama Penanti, dalam daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Saya merupakan anak yang ke-4 dari sebuah keluarga seramai 5 orang adik beradik. 

Sebelum pergi lebih jauh, suka untuk saya beritahu bahawa diri ini tidak ada apa-apa kejayaan luar biasa yang boleh dibanggakan. Ini hanya cerita rakyat biasa macam majoriti besar anda yang membaca. Setakat ini pencapaian saya hampir kesemuanya biasa-biasa saja.

Untuk membandingkan apa yang telah saya capai selama hayat dengan apa yang telah dicapai oleh orang lain, adalah sesuatu yang sia-sia. 

Sikap membanding begitu hanya menggambarkan betapa tidak selesanya diri seseorang dengan apa yang ada. Di samping membuatkan hidup terkejar-kejar berlumba dalam satu pertandingan yang tidak ada kesudahannya.

Perbandingan yang lebih baik, yang perlu dilakukan adalah, perbandingan terhadap diri sendiri. Jadikan masa sebagai rujukan.

Adalah diharapkan hidup saya pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan begitulah selanjutnya sehinggalah menemui ajal.

Saya ceritakan jalan hidup dan senaraikan sedikit sebanyak pencapaian sepanjang merentasi masa dari zaman muda sehinggalah sekarang. 

Moga ia menjadi satu catitan untuk renungan saya sendiri terhadap apa yang telah berlaku selama ini dan secara tidak lansung sebagai maklumat  pengenalan diri buat mereka yang mahu ambil peduli pada riwayat hidup seorang usahawan biasa-biasa yang hidup secara ringkas.

Zaman Kanak-kanak

Setiap kali baca memoir orang berjaya yang tulis cerita perjalanan hidup mereka, saya sering rasa hairan terhadap satu perkara.

Bagaimana mereka dapat ingat dan tulis peristiwa dan kehidupan diri mereka ketika zaman kanak-kanak dengan baik terang dan jelas.

Saya memang tak dapat ingat secara jelas zaman kanak-kanak terutamanya sejak sedar saya wujud sehinggalah ke umur 12 tahun. 

Yang saya ingat adalah cebisan-cebisan kabur di sana sini apa yang berlaku ketika zaman itu.

Contohnya, saya ingat sering bergaduh dengan abang yang 2 tahun lebih senior, sering kena belasah teruk dengannya. Dia jauh lebih besar berisi dari saya yang kerdil. Masa kecil dulu, orang kampung gelar saya Bihi Ketot. Gambaran betapa kecilnya saiz saya ketika itu.

Belajar Mengaji dan Sekolah Arab

Saya juga ingat zaman sekolah rendah, terpaksa pergi setiap pagi ke Masjid untuk belajar mengaji dari Pak Ndak Mud, Tok Imam masjid di kampung saya tinggal. Prestasi dan keupayaan saya baca Quran dan baca tulisan jawi boleh dikatakan hampir Zero. 

Saya memang sangat 'benak' menguasai bacaan apa saja dalam jawi. Terasa sangat berat dan lansung tak boleh masuk. Tak faham apa yang dipelajari, tak reti mengeja, tak kenal huruf arab dan tak dapat kaitkan bagaimana gabungan segala huruf tersebut boleh dijadikan sebutan bunyi.

Oleh kerana keupayaan membaca Al-Quran dikaitkan dengan ketinggian faham agama dalam budaya bangsa kita, maka saya anggap diri ini tidak berbakat dalam beragama. 

Saya biarkan saja rasa rendah diri itu melekat dalam jiwa. Sekadar mengkagumi kawan-kawan yang fasih membaca jawi dan Al-Quran serta menaruh rasa kagum terhadap ketaatan beragama mereka.

Di zaman itu juga saya sering jadi 'trouble maker'. Saya yakin puncanya adalah dek kebodohan tak mampu mengerti cara membaca segala tulisan arab dan jawi tersebut, lalu dianggap sebagai budak jahat dari keluarga bermasalah dan jahil.

Pernah sekali saya dihentak kuat oleh seorang Ustaz dengan tombol kayu rotan di kepala hanya kerana keluar pergi ke kolah air di masjid untuk ambil wuduk sambil main air. 

Ustaz itu gantikan Pak Ndak Mud yang keluar Tabligh beberapa hari. 

Terasa sangat kecewa pada Ustaz tersebut, saya terus balik. Ambil lastik dan tunggu menyorok di sebuah belukar di mana Ustaz itu akan laluinya dengan basikal. Saya nekad untuk lastik beliau sebaik saja melaluinya nanti.

Tapi malangnya, seorang kawan diarahkan oleh mudir sekolah arab, yang saya ponteng tadi untuk datang panggil masuk semula ke kelas.

Dia cari dan dapat jumpa saya sedang menyorok tunggu nak lastik ustaz brutal tadi. Dia balik semula ke masjid dan beritahu tentang niat saya nak lastik ustaz. Terus gagal niat saya untuk balas dendam.

Peristiwa itu menghitamkan lagi rekod saya sebagai seorang budak jahat. Mudir sekolah arab juga dah mula melabelkan saya sebagai anak bermasalah. Saya persetankan saja apa yang mereka anggap.

Apa yang menyedihkan adalah, saya ulang alik setiap pagi atau petang selama 6 tahun tanpa mampu mengusai bacaan Al-Quran dan tulisan jawi. Begitu juga segala pelajaran agama di sekolah arab tersebut, tiada satupun yang masuk ke dalam kepala saya.

Ringkasnya, bab agama, saya gagal teruk. Sekadar mampu menghafal bacaan Fatihah dan tahu berwuduk dan bersolat. Itu saja.

Sekolah Rendah Stowell

Dari darjah 1 hingga ke darjah 6, saya bersekolah di Sekolah Stowell, Bukit Mertajam. Yang paling saya ingat adalah perjalanan naik bas setiap hari dari rumah ke Stesen Bas di Pekan BM. Kemudian berjalan kaki sejauh lebih kurang 4 atau 5 kilometer untuk ke sekolah dari stesen bas tersebut.

Lalu, pekan, market, stesen keretapi, lintas railway, panjat bukit lintas BM High School dan akhirnya turun ke sekolah Stowell yang berada di bawah BM High School itu.

Bab pelajaran, saya bengap juga ketika itu. Paling teruk adalah sekolah tersebut menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris dan saya amat bodoh dalam menguasainya.

Segala matapelajaran tak masuk ke dalam otak secara sedar. Mungkin saya hanya menghafal saja setiap kali menjawab peperiksaan. Nasib baik saya mampu membaca dan soalan exam ada pilihan ABC.

Keseronokkan saya ketika sekolah rendah adalah sukan sahaja. Saya berjaya wakili pasukan bolasepak sekolah ketika darjah 6. Itupun lebih banyak duduk di bangku simpanan tengok kawan-kawan beraksi dari mula sampai habis.

Dalam kebodohan itupun saya dapat 2A, 3B dalam peperiksaan penilaian rendah. Macam mana saya mampu dapat itu, sering jadi tanda tanya pada diri saya sendiri. 

Sekolah Menengah Penanti

Dari Tingkatan 1 hingga ke 5, saya masuk sekolah menengah Penanti. Tak jauh dari rumah di belakang kampung saja. Boleh ke sana dengan berjalan kaki hanya dalam 2 atau 3 kilometer.

Ketika di tingkatan menengah rendah, saya belajar subjek perdagangan. Subjek itu ketara saya ingat bukan pada pelajarannya. Tapi pada cikgu berbangsa Cina yang gila kungfu.

Dia seorang yang nampak sangat fit dan suka tunjukkan aksi kungfu. Itu sering menimbulkan rasa takut pelajar untuk cari pasal atau cuba nakal di dalam kelasnya.

Bab pelajaran saya masih lagi kekal lembab. Tak masuk apa yang dipelajari ke dalam kepala. Terutamanya dalam ilmu matematik yang makin lama makin saya tak faham.

Kemuncak tak faham adalah bila mula masuk bab nombor yang ada i dan z. Saya terus jem. Ada pulak konsep -1 - 5 = -6, lagilah saya pening dan semua itu membuatkan saya gibab saja untuk cuba fahami.

Semua itu diselamatkan oleh seorang cikgu perempuan yang ambil tahu dan berusaha fahamkan saya tentang matematik. Dan ditakdirkan Tuhan, saya berjaya dia fahamkan. Dan sejak itu saya mula menaruh minat untuk belajar sikit.

Ketika di sekolah menengah rendah juga, saya dibenci oleh seorang guru lelaki berbangsa mamak. Dia cikgu sains yang masih muda dan bijak. Tapi malangnya dia chop saya sebagai budak jahat dan tidak pernah percaya saya mampu jadi seorang pelajar yang baik.

Punca hampir sama macam ustaz yang hentak kepala saya dulu. Saya keluar kelas ke surau untuk solat asar. Dia rasa saya berbohong dan sengaja mahu ponteng buang masa di surau.

Ketika Tingkatan 3, saya dapat keputusan yang agak baik dalam SRP. Bila dia tahu, bukanah nak dipujinya. Tapi disindirnya saya dengan kata, 'apa guna otak pandai, tapi akhlak buruk'. Dia punya persepsi yang saya adalah anak yang jahat.

Nasib baik saya abaikan saya segala kebenciannya terhadap saya dan teruskan hidup dengan cara saya. 

Ketika tingkatan 5 juga saya tak disukai oleh cikgu kelas. Seorang lelaki berbangsa Cina yang ajar subjek matematik. Dia pernah kata kalau saya lulus matematik, dia akan makan kasutnya sendiri.

Sumpahnya itu makan diri bila saya bukan setakat lulus, malah ketika SPM percubaan, matematik saya dapat markah 100%. Dia tak puas hati dan berulang kali periksa semula kertas saya untuk cari salah.

1985 – boleh dianggap sebagai satu tahun yang gemilang di antara banyak-bayak tahun sejak saya bersekolah dari darjah 1 sehinggalah ke sekolah menengah.

  • Ia merupakan tahun terakhir zaman persekolahan saya. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang dicapai melayakkan saya ditawarkan peluang menyambung pelajaran ke luar negara.
  • Pergi keluar negara memang merupakan satu impian semenjak masuk tingkatan 4 dan ia membuatkan fikiran saya sering melayang membayangkan suasana di luar negara. Mungkin itu merupakan salah satu faktor pendorong yang membuatkan saya berusaha mendapatkan tiket ke luar negara dengan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.

1987 – Saya didedahkan dengan suasana Kotaraya apabila mengikuti kursus persediaan pelajar dan tinggal di Damansara. Transformasi dari seorang budak kampung yang ‘perak’ berlaku perlahan-lahan sepanjang bergaul dengan rakan-rakan pelajar lain yang datang dari perbagai lapisan masyarakat.

1989 – Saya berjaya bertolak ke luar negara dari Kuala Lumpur menuju ke Frankfurt dan kemudiannya berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles De Gaule, Perancis.

  • Sepanjang perjalanan, saya hanya dapat merasakan perasaan kagum dengan apa yang dilihat dan juga pengalaman baru yang dialami lebih-lebih lagi rasa seperti duduk di dalam peti sejuk ketika keluar dari Lapangan Terbang di Frankfurt.
  • Minggu pertama di Paris, saya dan kawan-kawan di bawa melawat sekitar Kota Paris dan menikmati keindahan kota romantik dunia itu. Siapa sangka budak kampung mentah yang hidup ringkas dalam serba serbi kelihatan sedang menconteng, “Shubhi was here”, pada tiang Menara Eifel…!

1990 – Berada jauh di perantauan membuatkan rasa sunyi dan terasing.

  • Saya mula tergerak untuk membaca Al-Quran dan di situ saya dapati rupanya skill membaca ayat-ayat Quran terlalu teruk. Baru perasan bahawa saya tidak lagi membacanya semenjak habis mengaji di kampung masa sekolah dahulu.
  • Bermula dari situ saya mula mengaji hampir setiap malam sehingga bacaan menjadi lancar semula.

Bahagian 2

Perubahan drastik berlaku apabila saya bermimpi meninggal dunia dan dikumpulkan di sebuah padang yang cukup luas.

  • Suasana gelap seram dan dikawal oleh makhluk yang cukup mengerikan. Saya berada dalam satu barisan bersama ramai lagi manusia yang lain ketika itu.
  • Rupa-rupanya saya telah mati!!!. Keadaan menjadi sungguh pilu dan menakutkan apabila menyedari bahawa saya berada di dalam barisan bersama dengan mereka yang saya kenal sebagai bukan beragama Islam. Membawa maksud bahawa saya juga mati bukan dalam iman???.
  • Terhambur pertanyaan dalam kepala, “apa yang saya lakukan ketika hidup sehingga membawa saya menjadi bukan Islam?”.
  • Persoalan itu terus menghantui saya selepas saya tersedar dari tidur malam itu. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Sebaik saja hari cerah, saya bermula menjadi seorang yang dahagakan ilmu agama. Saya menjadi salah seorang pengikut Ahbash di Montpellier, France.

1993 – Saya berjaya pulang ke tanah air akhirnya. Alhamdulillah! sebab ketika berada di negara orang, saya seolah-olah merasakan kemungkinan hidup saya akan berakhir di situ sahaja tak balik dah.

  • Dengan belas ikhsan JPA, maka saya dapat bertemu semula keluarga terutamanya Ibu yang amat dirindui. Sikap saya berubah 360 darjah terhadap ibu setelah terpisah selama 5 tahun. Dari situ saya mula memahami apa erti kasih sayang ibu pada anaknya.
  • Allahu Akbar!. Teh tarik yang saya sering dambakan di luar negara akhirnya dapat dinikmati semula. Lepak dengan kawan-kawan bersambung semula dan melodi rock kapak menjadi halwa telinga saya di samping musik klasik Melayu yang sudah menjadi kesukaan sejak berada di laur negara.
  • Saya meneruskan pengajian ilmu agama secara sambilan di serata masjid. Saya memohon pada imam kampung yang juga merupakan guru mengaji sewaktu kecil untuk belajar semula mengaji darinya.
  • Saya mula mengaji Quran dengannya setiap hari selepas solat asar di Masjid.

1996 – Saya diterima bekerja di Syarikat INOKOM, sebuah syarikat Automotif berpusat di Padang Meha, Kulim.

  • Dengan bekerja di situ saya di hantar semula ke Perancis di mana seperti mimpi saya bertemu semula kawan-kawan di sana. Sesungguhnya itu semua tidak pernah saya jangkakan. Allahu Akbar!

1998 – Saya buat keputusan nekad berhenti kerja di saat ekonomi negara dan di seluruh dunia merudum teruk.

  • Boss menasihati agar jangan buat kerja gila tapi memandangkan saya amat nekad, dilepaskannya juga.
  • Kenapa saya berhenti pada waktu itu hanyalah semata-mata mahu merasakan pengalaman apa itu berniaga.
  • Berbagai perniagaan telah saya buat semenjak itu dan terlalu banyak yang saya pelajari. Suka duka, pahit manis, semuanya sekarang menjadi ramuan enak pengalaman usahawan hidup ringkas.

1999 – Saya berhijrah ke Kuala Lumpur walaupun tidak sanggup meninggalkan Kampung Penanti dan Kubang Semang.

  • Tapi demi mencari pengalaman saya lakukan juga lagipun hanya sementara sebab saya berhasrat untuk pulang semula ke kampung untuk memulakan perniagaan baru.
  • Rupa-rupanya jodoh saya dengan KL/Selangor panjang. Selesai urusan di KLCC, saya ditawarkan bekerja di sebuah syarikat Multinational dari Sweden
  • Saya menerimanya dengan hasrat untuk bertenang dan mencari perniagaan yang paling sesuai. Di samping itu saya perlu menyusun semula disiplin diri dan saya yakin boleh dapatkannya semula melalui kerja makan gaji.
Bahagian 3

Dunia perkahwinan

2001 – Ini merupakan tahun saya bertemu jodoh walaupun dah berusia lanjut.

  • Ini merupakan satu lagi perubahan besar yang berlaku terhadap diri. Perkahwinan membuatkan kita terpaksa menyesuaikan diri dengan pasangan hidup yang berbeza cara dan gaya kehidupan.
  • Selepas berkahwin saya terpaksa menyesuaikan budaya yang jauh berbeza, pegangan nilai yang tak sama dan lebih-lebih lagi cara masakan yang tak sama.
  • Saya mendapat satu ilmu baru tentang kehidupan berumah tangga. Ia membawa kepada pengalaman baru betapa sukarnya hidup bersama. Betapa sukarnya melawan ego demi mengambil kira kepentingan bersama. Tahu atau ada ilmu belum cukup, perlu berlatih sampai cekap sampai menjadi sebati.

2003 – Saya berhenti makan gaji (sekali lagi) untuk berniaga sepenuh masa.

  • Satu tindakan kamekaze yang berani!!!, begitulah kata kebanyakan dari kawan-kawan saya.
  • Memang sukar kehidupan pada waktu itu. Pendapatan berkurangan sebanyak 65% dan saya terpaksa menyesuaikan diri dengan apa yang ada.
  • Saya mula bersolat sunat Dhuha setiap pagi.
  • Saya juga mula membaca Tafsir Al-Azhar setiap malam.

2005 – Perniagaan saya dah semakin stabil dan ada harapan.

  • Saya mula berpuasa 6 sebaik saja habis raya pertama Aidil Fitri dan diikuti oleh puasa sunat Isnin dan Khamis setiap minggu.
  • Saya berjaya membeli rumah sendiri akhirnya. Walaupun sekadar rumah kecil sederhana, sekurang-kurangnya jika saya mati anak-anak serta ibu mereka ada tempat tinggal nanti.

2008 – Satu lagi peristiwa menarik dalam hidup berlaku apabila saya menjual semua saham yang saya ada di syarikat pertama kepada rakan kongsi dan memberikan tumpuan pada syarikat saya sendiri dengan cara saya sendiri.

  • Walaupun bayaran hasil jualan share yang saya dapat tak setimpal dengan nilai sebenar syarikat, saya tak kisah sebab ikutkan keputusan nekad, saya tetap akan lepaskan kesemua syarikat tersebut walaupun dengan tidak mendapat satu senpun bayaran.
  • Yang penting adalah dapat menumpukan pada pembinaan empayar perniagaan saya sendiri dengan mengamalkan falsafah perniagaan yang saya percaya. Falsafah usahawan hidup ringkas.

2009 – Satu permulaan pada pembentukan satu lagi syarikat baru dengan kerjasama seorang rakan berbangsa Cina.

  • Ini bagi memberikan laluan mudah kepada pasaran terbuka terutamanya daripada syarikat bukan Melayu.
  • Satu pengalaman baru bekerjasama dengan orang Cina yang boleh dirumuskan sebagai…”bukan mudah!”

2010 – Tahun pergolakan menguruskan perbezaan budaya antara kumpulan Cina dengan Melayu.

  • Falsafah berbeza membuatkan saya pening kepala dalam usaha menggabungkan 2 syarikat yang ada.
  • Saya mengambil berbagai-bagai pendekatan untuk menjayakan projek gabungan tersebut. Usaha itu meleret sehingga ke penghujung tahun.
  • Akhirnya saya buat keputusan untuk lupakan buat sementara waktu. Saya pisahkan terus kedua-dua syarikat tersebut samada dari segi fizikal atau ‘on paper’.
  • Hasilnya saya ada dua buah syarikat yang berbeza cara pengurusannya.

2011 – Saya terpaksa berada di dua pejabat untuk melihat kedua-dua syarikat yang berada dalam satu industri tetapi berlainan pendekatan pengurusannya. Tak apa saya teruskan membina kedua-duanya dan dalam masa yang sama mencari jalan penyelesaian agar ia menguntungkan kesemua pihak.

2012 – Saya miliki sebanyak 6 syarikat sekarang. Satu peningkatan yang cukup baik berbanding tahun 2008 di mana saya hanya mulakan dengan satu syarikat kecil. Apa seterusnya…ia masih dalam pembikinan

Begitulah sedikit kisah perjalanan hidup saya sebagai seorang usahawan hidup ringkas yang masih lagi berjalan. Insyallah akan saya sambung lagi kisah perjalanan hidup ini bila tiba masanya.

Nanti sambung lagi 


4 Comments

  1. hebat sungguh cerita tuan....sangat berinspirasi dan menakut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima Kasih Tuan Hanafi. Sudi menjenguk dan berikan komen!

      Delete
  2. Menarik.dah lama tak baca kisah tuan Bihi.tak menjemukan.tq share pengalaman tuan - nazrimi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Nazrimi. Lama tak dengar berita dari tuan.

      Delete
Previous Post Next Post