Latih diri supaya selesa buat perubahan dengan cabar diri buat 3 perkara baru ini


‘How To Think’ merupakan antara buku awal berkenaan cara menggunakan otak yang saya beli dan baca.

Punca kenapa saya pergi cari buku itu adalah lanjutan dari amalan membaca tafsir Al-Quran, Al-Azhar tulisan Hamka selama bertahun-tahun, sejak mula membeli keseluruhan jilid kitab tersebut.

Oleh sebab banyak kali jumpa ayat yang mengajak manusia supaya berfikir, saya mula tertanya-tanya, 'macam mana nak berfikir?'.

Apa sebenarnya yang dikatakan 'aktiviti berfikir'?

Bukankah saya sentiasa berfikir. Itu pertanyaan yang bermain dalam kepala saya.

Fikir nak makan apa, nak buat apa, nak tulis apa, nak kerja apa, nak cakap apa?

Tapi kenapa Al-Quran sering ulang ayat menyuruh manusia berfikir. Ia seolah-olah kebanyakan dan kebiasaannya, manusia tidak berfikir.

Dipendekkan cerita, maka pergilah saya mencari buku di kedai, lalu terjumpa buku tu. 

Saya beli dan baca. Ternyata sangat membantu dan sedikitpun tidak rugi.

Penulis yang tulis buku itu berhadapan dengan persoalan yang sama. Tak ada sesiapa yang ajar cara untuk berfikir dengan betul sejak dia kecil sampai masuk ke universiti. Itu yang mendorong dan memberikan idea bagi menulis berkenaan "berfikir".

Bagaimana otak buat kerja

Oleh kerana yang buat aktiviti fikir adalah otak, maka perlu tahu terlebih dahulu peranan dan selok belok otak bertindak dalam aktiviti berfikir.

Dari buku tersebut, baru saya tahu rupa-rupanya, ‘arahan asal’ otak atau dalam bahasa inggeris di panggil ‘default value’, untuk otak buat dalam sebarang keadaan adalah memastikan penggunaan tenaga adalah yang paling rendah.

Kerja berfikir sangat banyak menggunakan tenaga. Sebab itu otak sentiasa mengelak dari melakukan aktiviti berfikir.

Antara muslihat yang otak pakai untuk pastikan anda tidak berfikir adalah dengan menjadikan diri berada dalam keadaan berkhayal.

Macam yang selalu berlaku ketika anda bawa kereta nak ke satu destinasi tapi tersasar. Sebab leka tak beluk simpang hasil dari berkhayal tak tahu apa yang difikirkan.

Sikap anda yang suka ikut jalan biasa, makan makanan biasa, naik kenderaan yang dah biasa dan kawan dengan orang yang dah biasa juga merupakan strategi otak mengelak dari berfikir. Sebab nak jimatkan tenaga.

Jika anda layan cara automatik otak buat kerja itu, maka kemungkinan untuk jadi lebih baik dengan melakukan perubahan pada amalan diri, akan terbantut.

Terbantut kerana satu-satunya cara untuk ubah diri jadi lebih baik adalah degan melakukan perubahan. Buat perkara baru ni melibatkan risiko. Tak tahu samada jadi lebih baik atau kurang baik. 

Tak ada orang yang suka ambil risiko. Jadi lebih banyak untuk cuba kekalkan keadaan.

Tapi, kalau kekal dengan amalan buat perkara yang sama saja, dah tentu akan jadi macam tu saja tak berubah.

Mungkin umur dan rupa diri saja yang berubah. Isi dalaman macam tu jugak. Patutlah Al-Quran selalu ingatkan manusia suruh berfikir.

Ada faedah besar yang dapat direbut seandainya anda faham bagaimana otak buat kerja. Anda boleh hack keadaan default vaue itu untuk mengambil faedah pembaikan diri.

Kenapa perlu latihan ulang tubi

Anda perlu paksa diri buat latihan ulang tubi sampai otak simpan semua maklumat dalam memori.

Otak tak akan buat kerja saja-saja, sekadar untuk buang tenaga. 

Memang baik niat otak anda tu. Dia nak berjimat cermat. Apa saja matlamat yang anda nak capai, kerja otak adalah cari jalan paling mudah tanpa guna banyak tenaga.

Kalau anda lapar, kat depan tu ada buah epal, capai saja dah boleh genggam dan kunyah, itu akan jadi pilihan bila timbul rasa lapar. 

Kalau nak pastikan anda makan makanan sihat, pastikan semua jenis makanan sihat mudah dicapai dari kedudukan anda. Sihatlah jadinya kalau sering diamalkan begitu.

Jika anda paksa diri dalam keadaan susah atau senang buat juga satu aktiviti baru. Maka mahu tak mahu otak akan mula tolong anda kuasai perkara baru itu secepat mungkin. 

Hanya pada awalnya saja otak akan cari jalan untuk anda gibab.

Tapi bila anda paksa dan paksa. Maka akhirnya otak akan mula serap semua langkah baru itu, masukkan ke dalam memori sampai ke satu tahap semuanya berlaku secara automatik.

Bila dah jadi automatik, otak separa sedar yang akan buat kerja. Dalam keadaan itu, tenaga yang perlu digunakan adalah sangat minimum.

Macam tulah otak berfungsi.

Sebab itu kalau anda buat sesuatau amalan secara konsisten, lambat laun ia akan jadi sebati.

Bila dah sebati, anda buka ruang baru untuk masukkan disiplin atau kemahiran baru pulak.

Diserap ke dalam memori lagi dan begitulah keupayaan anda akan naik dan naik jadi cekap dan hebat dari masa ke masa.

Latih diri berubah

Panjang saya cerita mukadimah kat atas tu.

Sebenarnya saya nak cerita pasal buat cabaran pada diri sendiri.

Tujuannya adalah untuk latih diri rasa selesa buat perubahan. 

Ada beberapa cabaran baru yang saya sendiri nak buat untuk tahun ini.

Saya nak ajak kawan-kawan yang selalu baca blog ini cuba buat perkara yang sama.

Berikut adalah 3 perkara baru yang saya cabar diri saya sendiri dan anda untuk mulakan minggu ini.

#1. Jangan sesekali cakap pasal diri anda setiap kali berbual

Kalau anda rasa ini satu perkara yang sangat mudah, saya cabar anda untuk buat perkara ini selama satu minggu bermula hari ni.

Satu sikap biasa manusia adalah suka cerita pasal diri dia. Termasuklah saya sendiri. Bersembang dengan kawan memang lebih menyeronokkan kalau kita berjaya cerita banyak tentang diri kita berbanding mendengar cerita kawan pasal diri dia.

Ada tentu tahu kalau setiap kali bersembang dengan kawan, berikan peluang dia cerita banyak pasal diri dia. Kita dengar dengan penuh minat dan bertanya untuk tahu lebih lanjut dengan ikhlas, tentu anda akan masuk dalam senarai manusia paling diingini oleh kawan anda itu untuk keluar makan atau pergi berjalan.

Ini yang saya akan buat bermula hari isnin ni setiap kali berbual dengan sesiapa saja.

#2. Banyak mendengar dan bertanya dari bercakap

Ini lanjutan dari perkara no 1 di atas.

Selain dari berhenti terus cakap pasal diri sendiri, saya akan berusaha untuk banyak mendengar dari banyak bercakap.

Bercakappun hanyalah untuk tujuan bertanya soalan supaya teman berbual itu dapat bercakap lebih panjang menerangkan apa yang dia nak cakap.

#3. Beli satu barang baru bagi 2 kat orang barang yang dah ada

Ini cabaran untuk kurang membeli. Juga cabaran untuk kurangkan apa yang dah ada dalam simpanan.

Setiap kali saya nak beli satu-satu barang, saya akan terlebih dahulu hadiahkan apa barang yang saya dah miliki sebanyak 2 barang kepada orang lain.

Kalau tak ada barang yang nak diberikan, bermakna saya tak boleh beli barang baru tu. Padan muka!

Cabaran ini tidak termasuk untuk barang makan dan minum yang selepas beli, atau apa saja jenis barang yang selepas beli pakai habis. Hanya barangan yang selepas beli akan kekal ada dalam simpanan saja.

Itu saja cabaran 3 perkara baru untuk minggu ini. Nanti kalau ada idea lain pulak masuk dalam otak ni, saya akan kongsikan pula cabaran baru.

Kalau anda ada apa saja cabaran yang nak saya tulis kat sini untuk kita sama-sama amalkan, sila komen atau email kat mohdshubhi@gmail.com, nanti saya kongsikan untuk artikel lain, insyaallah!

Selamat beramal!

Post a Comment

Previous Post Next Post