6 perkara yang anda perlu buat untuk bergerak menuju ke hadapan yang tak pasti


Sekarang dah nak masuk bulan Ogos 2022. Sekali lagi negara akan cuba disibukkan dengan sambutan hari merdeka. Kemungkinan lebih meriah tahun ni lanjutan dari semangat cerita Mat Kilau yang masih segar dalam ingatan ramai.

Laju sungguh masa berlalu. Aktiviti kehidupan dan perniagaan masih tunggang langgang sejak cuba dipulihkan akibat dari wabak covid sejak tahun 2020 lalu.

Mungkin bukan untuk semua orang. Tapi bagi saya itulah kenyataannya. Terpaksa berhadapan dengan masalah kemerosotan sumber pendapatan bila banyak aktiviti manusia terpaksa dihentikan. Itu pengalaman pertama kali dalam sejarah hidup.

Tahun 2020 dan 2021 habis macam tu saja. Baik aktiviti persekolahan anak-anak, mahupun aktiviti cari makan mak bapak.

Untuk orang yang sara hidup sendiri dengan berniaga macam saya, cabaran itu jauh lebih berat berbanding orang yang makan gaji. Tak ada perniagaan, bererti tak ada pendapatan. Sedangkan tanggungan hidup, tanggungan kos perniagaan dan pekerja terpaksa diselesaikan macam biasa.

Syukur pada Tuhan tahun 2022 nampak segar semula segala aktiviti.

Hari esok yang tak pasti

Masa pertama kali harung PKP dulu, memang sangat teruja. Walaupun dalam masa sama ada perasaan takut. Menanti apa yang akan berlaku. Tapi teruja juga sebab bila fikir yang semua orang hadapi keadaan sama, fikiran tenang semula.

Ada satu perkara penting yang dapat saya pelajari sepanjang wabak, tentang ketakutan dan kerisauan hidup.

Dalam hidup ni, ketakutan sering muncul bila ada perasaan risau dipersalahkan terhadap masalah yang muncul di hadapan.

Maksud saya begini ..

Sebagai seorang suami, ayah, anak dan usahawan, ada amanah besar yang sentiasa dipikul atas bahu.

Makan minum, perlindungan, kesihatan, kebajikan, ketenangan dan lain-lain seumpamanya untuk anak isteri, orang tua, semua pekerja dalam syarikat, dan lain-lain yang berada dibawah tanggungan, perlu diselesaikan.

Itu kerisauan paling awal menerjah masuk ke fikiran sebaik saja wabak berlaku.

Jika semua amanah itu tak dapat ditunaikan, adakah diri ini yang akan dipersalahkan?

Risau dan takut itu ada keperluannya. Ia mendorong saya cari jalan untuk merangka persediaan terhadap hari esok. Salah satu tindakan yang tercetus dari risau itu adalah usaha berkomunikasi kepada semua yang ada untuk ingatkan risiko yang sedang menanti.

Bila peringatan demi peringatan diberikan dan nampak macam tak ada beza, hati mula naik darah. Rasa macam masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Melihat sikp itu menambahkan lagi risau dan takut.

Tapi ternyata hidup masih dapat diteruskan sehingga sekarang. Rasanya jika risau dan takut itu tidak dilayanpun, sampai ke sini juga. Ternyata saya masih gagal kawal emosi diri sendiri. Mungkin agak berlebihan melayan andaian terhadap hari esok yang tak pasti.

Itulah perkara penting yang saya belajar. Perlu risau dan takut memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi di hadapan. Bersedia untuk berhadapan. Tapi jangan sampai kerisauan itu menghilangkan kewarasan dan keyakinan kepada Tuhan. Percaya dan yakin saja pada Allah setelah buat apa yang terbaik yang mampu.

Bukankah Allah janji dia akan permudahkan orang-orang yang yakin pada Nya?

Dengan pegangan tersebut yang perlu semat di hati. Mari kita fikirkan pasal ekonomi. Fikir tentang perniagaan, peluang bisnes, pembesaran, pengstrukturan organisasi dan lain-lain yang bersangkutan.

Apakah cara terbaik untuk bersedia. Dan apa yang anda perlu buat untuk bergerak ke depan dalam keadaan yang tak pasti?

6 strategi bergerak semula ke depan

Saya kongsikan apa yang dibaca dari Harvard Business Review (HBR). Anda yang rajin membaca dan suka belajar boleh subscribe di www.hbr.org

Artikel tersebut saya rasa dapat membantu berikan idea untuk merangka strategi bergerak semula ke depan dalam keadaan yang tidak menentu seperti sekarang.

Kata HBR, sekarang ini suasana dan keadaan ke depan, adalah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan. Perubahan boleh saja berlaku secara mendadak.

Jika anda jadi ketua dalam apa saja organisasi, besar atau kecil, anda sentiasa terdedah kepada kemungkinan berlakunya perubahan yang pantas.

Bagi anda yang buat bisnes kecil macam saya ini, tentu turut juga terdedah kepada ketidakpastian itu. 

Dengan perkembangan pesat teknologi, kita terpaksa hadapi cabaran yang jauh lebih mencabar minda berbanding tok nenek kita dahulu.

Keadaan itu jelas kelihatan ketika dunia dilanda wabak covid-19 yang dah kita lalui selama ini.

Sekalipun dengan usaha pemberian vaksin yang nampak seperti berjaya membendung ketakutan, tapi tiada jaminan tak akan ada kes virus lain pula muncul secara tiba-tiba.

Cuma saya harap janganlah sampai muncul virus yang ubah manusia jadi zombie macam cerita ‘Train to Busan’.

Berikut di kongsikan 6 strategi yang anda boleh guna sebagai panduan untuk bergerak ke depan semula.

#1. Selesakan diri dengan ‘tak tahu’

Sejak darjah satu kita dilatih untuk berikan jawapan kepada setiap soalan. Masuk sekolah menengah, sampai universiti. Kemudian masuk kerja. Kita diharapkan untuk sentiasa ada jawapan kepada masalah.

Bukan saja takat perlu ada jawapan. Ia juga perlu betul.

Begitulah amalan kita selama ini yang membuatkan kita rasa tertekan apabila berlakunya sesuatu perkara yang tak ada kepastian, tak ada jawapan.

Keadaan tak ada kepastian sebegitu akan berterusan sampai bila-bila. Terima hakikat itu. Tak ada sesiapa yang boleh ramal masa depan dengan pasti. Sekadar melihat trend dan buat andaian semuanya akan bergerak secara linear sahaja.

Selain dari itu, tak pasti.

Jadi perlu biasakan diri dalam keadaan tidak selesa sebab anda ‘tak tahu’.

Atasi rasa tertekan tersebut dengan belajar untuk melihat, merasa, mengalami dan belajar dari apa yang sedang berlaku. Maksudnya layan saja kejadian dan perjalanannya.

Saya mula amalkan sikap sebegitu dengan buat apa yang boleh saja sekarang. Selebihnya, tunggu dan lihat dahulu apa yang akan terjadi hasil dari apa yang dah dibuat.

Tak perlu fikir takut bisnes runtuh, ekonomi parah, keluarga susah, orang mengata dan sebagainya.

Lagipun semua itu masih tak berlaku lagi. Besar kemungkinan tak berlaku pun.

Kalau dah berlaku nanti, baru fikir apa nak buat dengan apa yang ada ketika itu.

#2. Bezakan antara rumit dengan kompleks

Anda perlu tahu bezakan antara,

  • Perkara yang rumit, dengan
  • Perkara yang kompleks

Contoh perkara yang rumit adalah seperti cuba faham undang-undang cukai perniagaan.

Tapi, kerumitan itu jika diserahkan pada syarikat khidmat perakaunan untuk diselesaikan, semua isu cukai perniagaan syarikat anda, mudah saja dia uruskan.

Serumit macam manapun sesuatu perkara itu, macam contoh isu cukai tadi, ia masih boleh dipecah-pecahkankan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil. Kemudian dapat dirungkaikan satu persatu sehingga ada jalan penyelesaian.

Berbeza pula dengan perkara kompleks. 

Ia bukan boleh dipecahkan atau diselesaikan sedikit demi sedikit. Perkara kompleks membawa maksud sesuatu itu berkait rapat dengan terlalu banyak lagi perkara lain.

Kemungkinan yang bakal berlaku adalah luar biasa banyaknya. Tak boleh nak agak. Sebab, apabila setiap satu yang kecil berubah, akan menyebabkan berantai habis perkara kecil lain turut sama berubah. Itu hebatnya benda kompleks.

Macam itulah bisnes dan kaitannya dengan keadaan semasa.

Bisnes adalah sesuatu yang kompleks.

Kalau tanya orang, akan ada berbagai versi pendekatan dan macam-macam pendapat. 

Cuba tanya kawan-kawan tentang cabaran situasi bisnes yang sangat tak menentu soalan berikut ..

Apa yang boleh dibuat untuk pastikan bisnes mampu bertahan, ada untung dan mampan?"

Jika ditanya kepada 10 orang. Setiap seorang punya versi jawapan yang berbeza. Sebab perkara kompleks tak ada solusi yang jelas. Takkan ada satupun andaian yang betul.

Masalah bisnes perlu dihadapi apabila berlaku. Perlu cuba selesaikannya dengan berbagai pendekatan sampai boleh.

Orang putih kata 'try an error'.

Itu saja yang anda boleh buat terhadap perkara kompleks.

#3. Jangan berlagak sempurna

Dalam keadaan yang serba kompleks, jika anda cuba juga nak kekal jadi seorang yang gilakan kesempurnaan, memang akan makan diri.

Segala pemboleh ubah yang ada dalam keadaan yang kompleks tidak kekal. Akan ada saja perubahan yang berlaku. Itu memberikan kesan ketara kepada keseluruhan keadaan.

Kombinasi perubahan demi perubahan akan sentiasa kejutkan anda dengan perkara luar jangka. 

Bersedia untuk buat silap dan sesuaikan dengan keadaan. Buat pembetulan dan lihat hasilnya. Tak perlu risau takut nanti orang kata anda tak pakar bila salah perkiraan. Relaks saja.

Pakar macam manapun dalam bab kompleks ni tak akan tahu semua benda.

Jadi pentingkan kepada pergerakan atau kemajuan sahaja. Bukannya untuk jadi sempurna. Yang penting bergerak, adjust dan bergerak lagi ..

#4. Jangan tergesa-gesa buat rumusan

Dalam perkara kompleks tak boleh memandai dan ambil mudah.

Contoh ambil mudah adalah seperti anda pecahkan masalah kompleks kepada bahagian kecil. Kemudian zoom pada satu bahagian saja untuk cuba diselesaikan.

Cara itu akan buatkan anda rasa lebih yakin menguasai keadaan. Maklumlah, skopnya jadi lebih kecil.

Tapi ingat!

Kompleks tak sama dengan rumit. Bab perkara rumit bolehlah buat macam tu. Pecahkan dan selesaikan satu persatu.

Benda kompleks tak boleh ambil mudah main pecah-pecah sebab, semua keadaan saling berkaitan. Semuanya saling memberikan kesan dan perubahan yang berbeza setiap kali berlaku perkara baru.

Oleh itu perlu sentiasa lihat makro dan micro. Terbang ke atas untuk tengok bawah, kemudian turun bawah pula tengok lebih dekat. 

Macam itulah berulang. Tengok pecahan dan tengok juga keseluruhan sebelum nak buat apa-apa rumusan.

#5. Dapatkan bantuan

Dunia keusahawanan ni sebenarnya sangat sunyi. Anda boleh saja duduk dengan ramai orang dikiri kanan, tapi dalam diri anda tetap rasa kekosongan dan keseorangan.

Sekalipun ada grup whatsapp, sering berborak kat situ sesama kawan bisnes lain, anda masih akan rasa keseorangan juga.

Itu antara perkara yang dah lama saya alami. Saya yakin anda juga sedikit sebanyak alami perkara sama. Rasa semua masalah tak kira rumit mahupun kompleks, terpaksa diselesaikan seorang diri.

Tak ada sesiapa yang nak bantu.

JIka perkara rumit mungkin anda boleh selesaikan sendiri. Tapi bukan untuk perkara kompleks. 

Mengaku saja ada masalah dan minta bantuan.

Hebat macam mana diri kita, tak akan mampu kuasai semua perkara. Hanya dengan gabungan beberapa kepala dari kawan-kawan dan kenalan yang berbeza akan dapat berikan gambaran yang lebih jelas untuk anda hadapi cabarannya.

Jadi sentiasa dapatkan bantuan serta pandangan dari kawan-kawan atau kenalan yang luas pengalaman. Gunakan ketajaman pemikiran serta pengamatan mereka untuk membantu bisnes anda.

Tak semestinya dapat jawapan dari mereka. Cukup sekadar dapat lihat, rasa dan dengar apa yang ada dalam pemikiran mereka. Penting juga untuk dapat akses sedikit sebanyak dari jaringan yang mereka ada. Itu yang paling penting.

#6. Keluar dan lihat dari luar rumah

Asyik buat kerja kat dalam rumah baiki itu dan ini tanpa sekalipun keluar dari rumah, untuk melihatnya dari jauh, tidak akan mampu hasilkan sebuah rumah yang baik.

Sama juga asyik bersilat dalam perniagaan sendiri 24 jam 7 hari seminggu tak ambil perduli bisnes orang lain dan tak ambil endah industri lain juga tidak membantu anda dapatkan gambaran yang baik dalam suasana kompleks.

Oleh itu perlu bersedia untuk zoom out. 

Keluar dari padang dan cuba lihat permainan dari tempat penonton pula. Gambaran yang lebih menyeluruh akan nampak lebih jelas dalam menghadapi keadaan yang komplek penuh dengan ketidak pastian seperti sekarang ini.

Bukan mudah nak duduk kat depan terajui syarikat dan perniagaan supaya semuanya berjalan lancar. Supaya semua yang ada dalam syarikat selamat maju jaya.

Untuk mampu terajui syarikat, anda terlebih dahulu perlu mampu kendalikan diri sendiri.

6 cara yang saya kongsikan kat atas tu insyaalah diharapkan dapat membantu anda melayari keadaan yang serba mencabar sekarang ni. 

Idea dan rujukan untuk saya tulis artikel ni adalah dari artikel di hbr pada pautan ini. Pergilah baca untuk dapatkan kefahaman yang mungkin jauh lebih baik dari apa yang saya faham.

Post a Comment

Previous Post Next Post