Rahsia formula 6:3:1 untuk taukeh perniagaan kecil amalkan supaya bisnes sukses


Apa kerja yang sepatutnya peniaga kecil berikan keutamaan dalam pengurusan bisnesnya?

Soalan itu saya dapat dalam satu program webinar.

Saya tak perasan soalan tersebut sehinggalah masa dah tamat. Oleh kerana soalan itu sangat penting, saya jawab dalam artikel ini.

Diharapkan anda dan juga peniaga lain yang tertanyakan soalan yang sama dapat ambil manfaat dari pandangan saya ini dalam artikel ini.

Kerja utama seorang peniaga kecil

Semua peniaga. Tak kira samada anda taukeh besar atau taukeh kecil. Mempunyai masa 24 jam sahaja sehari. 

Dari usahawan besar seperti Ananda Krishnan atau Syed Mokhtar Al-Bukhari. Atau usahawan kecil macam saya termasuklah diri anda sendiri. Kita punya masa yang sama tak lebih dan tak kurang.

Apa yang bezakan antara kita semua adalah bagaimana masa 24 jam yang ada itu diisi.

Bukan saja usahawan. Orang yang makan gaji juga sama jumlah masa yang diberikan setiap hari. 

Persoalannya, apa anda buat dengan masa itu. 

Kerja apa yang anda lakukan pada setiap kesempatan masa selagi masih bernyawa.

Saya kenal seorang kawan yang dah tak boleh bekerja. Masalah kesihatan membuatkan dia tak dapat teruskan kerja cari makan. 

Oleh kerana umurnya masih belum terlalu tua, maka dia tetap teruskan kehidupan macam biasa dengan habiskan masa duduk di rumahnya saja.

Saban hari dia habiskan masa dengan pergi solat berjemaah kesemua 5 waktu. Alhamdulllah! tersangat baik amalan itu.

Apa yang dia buat dengan masa di antara kesemua solat 5 waktu itu?

Itu yang tak berapa baik.

Dia habiskan masa samada dengan menonton TV atau bermain game di telefon pintarnya.

Ada juga kerja-kerja lain seperti pergi kedai atau keluar ke pekan cari barang. Bila habis, balik kerumah dia isikan masa lapang itu dengan tengok TV atau main game lagi.

Masa awalnya mungkin masih ok. Dia mungkin cuba sesuaikan diri dengan norma kehidupan barunya. Sedang berfikir apa nak buat. Itulah yang saya andaikan.

Tapi setelah masa berlalu, setahun, 2 tahun 3 tahun dan seterusnya, nampak tak ada perubahan. Saya tertanya-tanya apa nak jadi?

Tak terfikirkah dia untuk cuba kuasai satu kemahiran yang sesuai untuk dirinya bagi meningkatkan potensi diri. Kemudian dapatlah digunakan kemahiran itu untuk mula menjana ekonominya semula sedikit demi sedikit?

Paling lekeh, kalau dia cuba belajar masak sampai pandai 5 menu pilihan yang disukai orang ramai. Cari jalan agar masakan itu ada kelebihan lebih sikit dari masakan orang lain. Bukankah dia akan mampu sekurangnya menawarkan makanan dijual secara COD dengan menggunakan medium pemasaran online?

Itu contoh ketara kenapa walaupun masa yang sama ada pada semua orang, setiap orang akan menempah kejayaan dalam berbagai tahap yang amat berbeza.

Ramai yang abaikan kelebihan masa dan keupayaan bernyawa yang masih dikurniakan Tuhan kepadanya.

Meleret pula saya terangkan pasal masa dan apa yang diisi terhadap masa.

Apa yang nak saya kata kat sini adalah betapa pilihan kerja yang anda lakukan untuk mengisi masa itu sangat penting dalam menentukan hasil yang bakal anda raih di masa yang akan datang.

Untuk peniaga kecil macam pengisian kerja yang betul dalam memenuhi masa yang ada, bakal menentukan kejayaan perniagaan yang dijalankan.

Kerja apa peniaga kecil kena buat

Jawapannya adalah seperti berikut.

Anda perlu isikan masa anda, sebagai seorang taukeh kepada perniagaan kecil, dengan 3 perkara utama seperti berikut:

  • Menjual – Semua urusan yang berkaitan yang perlu dilakukan sehingga anda berjaya mencipta jualan.
  • Operasi – Semua urusan pembuatan dan penghantaran sehingga anda dapat tunaikan semua jualan yang tercipta di atas.
  • Pentadbiran – Semua urusan pentadbiran agar kesemua 2 urusan tersebut di atas dapat dijalankan dengan sempurna dan konsisten.

Itulah 3 kerja utama yang anda perlu berikan tumpuan bila mula berniaga. 

Bukan kerja sebagai seorang CEO. Bukan kerja sebagai seorang Ahli Korporat atau lain-lain seumpamanya.

Kita hanyalah peniaga kecil.

Bukan peniaga besar atau bisnes korporat. 

Bukan tak boleh berlagak atau berimpian jadi ahli korporat. Simpan impian besar itu. Bergerak kecil-kecil dahulu selayaknya sebagai seorang peniaga kecil.

Bercita besar tapi mulakan dengan kerja-kerja kecil. Itulah yang terbukti berkesan dilakukan oleh semua orang yang besar-besar dalam bisnes mereka sekarang.

Dream big! start small!

Usahawan Bisnes Kecil

 

Pembahagian masa untuk 3 kerja utama

Sekarang anda dah tahu apa 3 kerja utama sebagai seorang peniaga kecil. 

Masih belum habis lagi.

Anda perlu tahu pula macam mana pembahagian masa yang perlu diperuntukkan untuk kesemua 3 kerja tersebut di atas.

Jumlah masa yang diberikan untuk kesemua kerja tersebut tidak boleh sama banyak.

Anda perlu berikan masa yang lebih besar untuk kerja yang paling penting.

Jadi, perlu tahu apakah kerja paling penting dalam kerja sebagai seorang peniaga kecil.

Saya berikan jawapannya berdasarkan amalan dan kajian saya sepanjang berkecimpung sebagai seorang peniaga kecil. Bagi saya, cara ini terbukti berkesan dan memberikan hasil yang baik untuk pastikan bisnes kecil saya dapat bertahan.

Daripada susunan ketiga-tiga urusan di atas, kerja paling utama adalah kerja ‘menjual’. Kemudian kedua utama adalah kerja operasi dan akhir sekali kerja pentadbiran.

Ramai yang berniaga tersasar dari fokus utamanya dengan memberikan tumpuan secara terbalik. Mereka fokus banyak sangat pada pentadbiran kemudian fokus pula kepada operasi dan kerja menjual paling sedikit diberikan keutamaan.

Bagi saya itu salah tumpuan. Sebagai taukeh, anda perlu ambil berat dan serius dalam aktiviti menjual. Itu saja yang akan membantu perniagaan anda stabil dan dapat bertahan.

Masa yang diperuntukkan untuk ketiga-tiga urusan tersebut adalah seperti berikut:

  • Menjual – 60%
  • Operasi – 30%
  • Pentadbiran – 10%

Pembahagian masanya lebih kurang macam itu. 

Mungkin ada lebih dan kurang sedikit sebanyak. Tapi keutamaannya tetap macam susunan di atas. Sentiasa lebihkan masa terhadap menjual.

Katakan anda berniaga sebanyak 5 hari dalam seminggu. 

Dengan pembahagian masa yang saya berikan di atas. Bermakna anda perlu peruntukkan sebanyak 3 hari untuk aktiviti menjual. 1.5 hari untuk operasi dan separuh hari sahaja untuk urusan pentadbiran!

Sekarang anda dah jelas terhadap kerja utama sebagai seorang peniaga kecil. Dah sedar betapa masa yang paling banyak adalah dalam urusan menjual.

Tentu anda tertanya-tanya apa nak buat dalam aktiviti menjual tu?

Dalam seminggu sebanyak 3 hari kena fokus pada aktiviti menjual. Nak diisikan atau nak fokus pada apa pula supaya aktiviti menjual itu mampu menaikkan perniagaan kecil anda?

Formula kerja taukeh bisnes kecil

Semua panduan dan kerja yang saya kongsikan dalam artikel ini hanya khas untuk usahawan kecil sahaja. 

Bukan untuk anda yang dah jadi multi millionaire dengan bisnes yang besar.

Untuk anda yang tak pasti macam mana nak klasifikasikan samada bisnes anda tu kecil atau sederhana kecil. Saya berikan panduannya di bawah.

  • Bisnes Mikro – Pendapatan tahunan kurang dari RM250 ribu atau jumlah pekerja tetap tidak lebih dari 5 orang ( Untuk pertanian dan sektor perkhidmatan pendapatan tahunan adalah kurang dari RM200 ribu)
  • Bisnes Kecil – Pendapatan tahunan antara RM250 ribu ke RM10 juta atau jumlah pekerja tetap antara 5 ke 50 orang. ( Untuk sektor pertanian dan perkhidmatan, pendapatan antara RM200 ribu ke RM1 juta atau pekerja antara 5 ke 20 orang)
  • Sederhana – Pendapatan tahunan antara RM10 juta ke RM25 juta atau pekerja antara 50 ke 150 orang. ( Untuk pertanian dan perkhidmatan, pendapatan antara RM1 juta ke RM5 juta atau pekerja antara 20 orang ke 50 orang)

Sekarang dah jelas kat mana kedudukan anda. Majoriti besar kita semua duduk dalam bisnes kecil atau mikro saja.

Maklumat dari Muhammed Abdul Khalid, pakar ekonomi, berkata bahawa di negara kita, dalam 10 orang pekerja, 7 darinya kerja di PKS.

Ada sebanyak 907,065 entiti perniagaan dalam keseluruhan PKS tu dan pecahannya adalah seperti berikut:

  • 2.3% Sederhana
  • 21.2% Kecil
  • 76.5% Mikro

Panduan yang saya kongsikan ini sangat sesuai untuk anda semua yang paling ramai dalam dunia perniagaan.

3 tugas utama peniaga kecil

Di atas tadi saya ada sebut yang 3 tugas utama anda sebagai taukeh dalam perniagaan kecil adalah, jualan, operasi dan pentadbiran.

Saya juga ada berikan pembahagian masa dan tumpuan serta sumber yang ada terhadap ke tiga-tiga urusan tersebut.

Yang paling banyak perlu diberikan tumpuan adalah terhadap aktiviti jualan. Apa nak buat dalam urusan jualan itu adalah seperti berikut ..

3 tumpuan utama dalam aktiviti jualan

Ada 3 tumpuan utama dalam aktiviti jualan.

  • Pelanggan sedia ada – 60%
  • Bakal pelanggan dalam masa terdekat – 30%
  • Bakal masa dalam jangka panjang – 10%

Peratusan yang saya berikan dihujung setiap satu tumpuan itu melambangkan masa, usaha dan segala sumber yang ada perlu diberikan pada setiap kategori.

Anda boleh lihat bahwa pelanggan sedia ada, yang memang dah pernah beli dan berurusan dengan anda perlu dilebihkan dalam kadar yang paling banyak berbanding dengan kategori yang lain.

Pelanggan sedia ada adalah penentu samada bisnes anda dapat bertahan dan berterusan serta berkembang.

Oleh itu, berikan kepada mereka layanan utama dan pastikan mereka kekal jadi pelanggan anda dalam tempoh yang cukup lama. Lagi lama mereka setia lagi bagus.

Jadi, sila ukur tempoh kesetiaan setiap pelanggan yang pernah datang dan berurusan dengan anda. Berapa lama mereka kekal dan berapa kali mereka berbelanja dengan anda.

Semua urusan itu wajib diberikan perhatian. Kalau tak lama kesetiaan mereka, tandanya anda tak cukup usaha untuk gembira dan puaskan hati mereka. Juga bermakna ada orang lain yang lebih berusaha melebihi anda untuk bahagiakan mereka.

Buatlah apa saja. Fikirkan idea-idea yang menakjubkan untuk panjangkan tempoh kesetiaan mereka dan kerapkan atau tingkatkan jumlah perbelanjaan mereka.

Sebab itu masa dan tumpuan adalah sangat banyak untuk mereka berbanding yang lain.

Tumpuan ke-2 penting dalam jualan

Selepas anda dah selesaikan urusan meningkatkan layanan dan kepuasan pelanggan utama di atas tadi, barulah berikan tumpuan kepada kategori ke-2 pula.

Iaitu bakal pelanggan anda dalam masa terdekat.

Contoh paling mudah kategori kedua ini adalah orang yang datang pertama kali ke kedai atau perniagaan anda. Dia datang survey dulu atau dapatkan maklumat. Sebelum ini dia tak pernah belipun.

Anda perlu berusaha untuk pastikan mereka jadi pelanggan anda.

Mantapkan aktiviti meyakinkan mereka supaya mereka akan selup poket dan keluarkan duit untuk menjadi pelanggan anda. Bina kepercayaan. Belajar ilmu close-sales. Belajar cara jadi penjual berkarisma.

Ajar semua pekerja anda tentang ilmu menjual yang berkesan dan cara bercakap supaya bakal pelanggan ini timbul rasa percaya dan yakin dengan perniagaan anda.

Peruntukkan untuk belajar menjual dengan betul dan cekap adalah wajib ada dalam senarai bajet perniagaan anda tu. jangan kemut, ok!.

Tumpuan ke-3 penting dalam jualan

Sekarang kita masuk kepada aktiviti ke-3 penting pula.

Ini adalah bakal pelanggan yang anda memang dah sasarkan. Mungkin mereka tak pernah tahu pasal kedai anda. Mungkin mereka memang dah setia dengan pesaing anda samada secara lansung atau tidak.

Untuk kumpulan ini, tak ada cara lain melainkan dengan melihat pada aktiviti pemasaran. Beritahu kepada mereka tenang perniagaan anda. Beritahu juga kenapa anda adalah peniaga pilihan yang semua orang mesti datang dan cuba.

Fikirkan apa saja akviti pemasaran dan tentukan sekurangnya 3 saluran pemasaran yang terbaik untuk anda fokus.

Kumpulan ini sangat sukar untuk ditukarkan jadi pelanggan baru anda. Kemungkinan mereka akan keluarkan duit untuk beli barang anda adalah jauh lebih sukar berbanding kumpulan pertama.

Kos untuk bawa mereka juga adalah sangat tinggi berbanding yang pertama dan kedua.

Tapi, jika anda ikut petua pembahagian keutamaan yang saya sebutkan tadi, iaitu fokus banyak kepada pelanggan yang sedia ada untuk puaskan hati mereka, pelanggan pertama ini akan bertindak jadi ajen pemasaran anda.

Ini akan memudah dan melancarkan kumpulan ke-3 ini menjadi pelanggan ke-2 dan seterusnya, meningkat jadi kumpulan pertama.

Mudah bukan!

Sentiasa ingat formula 6.3.1

Sekian terima kasih!

Moga bermanfaat. 

Post a Comment

Previous Post Next Post