Ingatan sentiasa ke arah nak berhenti kerja dan berniaga.
Tujuan utama kerja adalah untuk timba ilmu dan pengalaman. Terutamanya untuk cuba faham bagaimana syarikat besar bergerak. Juga nak tahu sikap pekerja di syarikat besar, mereka jenis yang bagaimana.
Dengan niat tersebut, semua tugasan dan sasaran yang diberikan tak pernah dianggap satu bebanan. Seronok dan sentiasa bersedia terhadap segala cabaran dan rintangannya.
Makin perform makin berat tugasan
Hasil dari cara kerja makan gaji begitu, saya lihat satu corak yang berulang.
Setiap orang yang perform, dia akan ditambah tanggung jawab yang lebih besar. Makin perform makin naik tanggung jawab.
Itu adalah dari sudut pandang pekerja makan gaji macam saya ketika itu. Tak berkira dengan tugasan dan anggap semua itu pengalaman dan peluang timba ilmu.
Buat orang yang punya mentaliti negatif makan gaji, dia akan melihat, setiap kali dia perform orang akan susahkan lagi hidupnya, diberikan kerja lebih banyak. Tak hairanlah orang sedemikian, cuba sorokkan kuku yang dia ada. Makin lama makin tersorok. Dan berakhir lansung tak pakai dan tak ke mana.
Sepanjang pengalaman makan gaji, saya alami peningkatan kerjaya dan pangkat yang sangat konsisten. Paling cepat 6 bulan sekali nak pangkat. Dituruti oleh kenaikan gaji yang banyak.
Makin memberi, makin menerima
Dalam kehidupan biasa, perkara sama berlaku.
Orang yang banyak memberi, akan dicari oleh ramai orang. Makin banyak dia memberi, makin ramai orang cari.
Dah tentu yang cari itu bukan hanya yang meminta-minta sahaja.
Jumlah mereka yang sama-sama mahu memberi dan buat pertukaran sama naik datangnya. Berakhir dengan anda semakin banyak menerima.
Orang yang kedekut pula, membuatkan ramai orang jauhi. Makin kedekut, makin ramai orang pergi jauh.
Dia bukan saja menolak kaki minta, malah turut sama menolak mereka yang mahu buat pertukaran. Itu semua mengecilkan peluang. Dan berakhir dengan makin kedekut makin kurang menerima.
Dalam perniagaan sama juga. Makin banyak manfaat yang produk mampu berikan, makin banyak permintaan. Makin banyak pelaburan, makin banyak keuntungan.
Makin rajin makin banyak kerja
Anda boleh perhatikan semua kejadian ini di sekeliling. Di mana-mana saja orang yang ringan tulang, kerjanya tak berhenti datang.
Lihat anak-anak yang tak berkira memelihara ibubapa mereka. Makin dia rajin memberikan yang terbaik untuk ibubapanya, makin lama dan makin teruk dia kena jaga. Orang tua pulak beri signal tak mahu orang lain jaga. Makin teruk anak yang pandai jaga tu.
Anak-anak yang tak rajin jaga, makin lama makin tak perlu jaga ibubapanya. Ada saja alasan yang sah. Tahap akhir, ibubapa sendiri tak mahu duduk di bawah jagaannya.
Dan berakhir dengan anak yang rajin itu kena jaga ibubapa mereka sampai mati.
Undang-undang kelansungan hidup
Saya mula melihat semua itu dan berfikir kenapa?
Baru-baru ini saya mula sedar bahawa itulah undang-undang kelansungan hidup.
Semua kehidupan yang melata, yang merangkak, merayap, terbang dan segalanya akur dengan sunnatullah kelansungan hidup.
Macam Charles Darwin temui dalam pengamatannya lalu merumuskan teori 'survival of the fittest'.
Hukum alam sentiasa menyebelahi mereka yang mampu membantu kehidupan lain untuk melansungkan kehidupan.
Sebab itu, makin banyak anda memberi, makin ramai datang. Makin rajin, makin banyak kerja, makin perform, makin besar tanggung jawab.
Semuanya hanya menuruti hukum kelansungan hidup atas dunia ini yang memang dah jadi sunnatullah!
Jadi! moral nya, jangan pernah takut untuk memberi, untuk keluarkan tenaga dan harta serta masa. Jangan takut untuk rajin, perform,dan jangan sesekali berkira.
Alam sentiasa menyebelahi orang yang dapat membantu orang lain teruskan kelansungan hidup. Semata-mata atas dasar dia tahu orang itu mampu melangsungkan kehidupannya.
Aplikasi kelansungan hidup
Jika anda perhatikan, ada satu perbezaan besar antara benda hidup dengan benda mati.
Yang hidup, makin dipakai, makin lasak. Manakala yang mati, makin di pakai makin haus makin rosak.
Otot paling banyak dipakai yang paling kuat dan mantap. Jalan berkaki ayam buatkan tapak anda makin kuat tebal dan lasak. Pakai kasut, tapaknya makin kurang dan berlubang.
Berbalik kepada hukum kelansungan hidup. Orang yang perform makin banyak terima kerja, yang rajin makin bertambah orang bagi kerja, yang pemurah makin banyak datang meminta dan seumpamanya.
Macam otot, ada limitnya. Anda sendiri tahu takat mana nak pakai. Bila perlu rehat pulihkan tenaga. Jangan lepasi had. Boleh rosak terus.
Sama juga dalam semua bab yang melibatkan tindakan memberi. Perlu tahu di mana had. Jangan pakai sampai bateri tak boleh charge semula. Anda sendiri tahu hadnya. Kalau tak peka, tak amati, tak fikirkan, semua akan jadi sia-sia jika terlebih pakai.
Oleh itu, pemikiran perlu hidup. Fikir dan cari jalan untuk optimasikan usaha. Fikir jalan bagaimana boleh tingkatkan hasil dengan sedikit usaha. Buka aplikasi teori pareto dan selidik cari rahsiannya.
Ringkasnya, untuk hidup, perlu banyak memberi dan berfungsi. Dalam masa yang sama akal perlu ligat melihat dan belajar mencari jawapan.
Sekian .. dari kamar usang rumah kampung