Panduan dari 'Li Ka-Shing' untuk anak muda yang mahu berjaya jika pendapatan anda hanya RM2,000


Sekarang, dah ramai warga Malaysia yang masih muda dah mula berniaga. Ramai yang dah pandai berusaha cari duit sendiri untuk sara gaya hidup yang mereka mahu.

Kalau tak berniaga secara sepenuh masapun, ramai yang buat duit tambahan melalui peluang ekonomi GIG macam food panda atau grab. Banyak juga duit yang mereka mampu jana dari situ.

Baguslah!, Teruskan usaha baik itu.

Dalam umur yang masih muda, anda mampu buat banyak kesilapan. Banyak yang dapat dipelajari dari situ.

Kalau anda mahu berusaha dengan lebih tersusun lagi, menempuh perjalanan dunia keusahawanan tu, elok dengar apa yang orang paling kaya di Asia ni nasihatkan.

Orang itu ialah Li Ka-Shing.

Pernah dengar tak?

Kalau Google pun boleh dapat semua maklumat berkenaan dirinya. Walau bagaimanapun saya kongsikan sedikit di bawah ni.

Li Ka Shing dah bersara

Untuk makluman pembaca, Li Ka Shing dahpun bersara. Dia umumkan persaraannya pada bulan March 2018. Umurnya ketika itu dah masuk 89 tahun.

Dia bersara setelah bekerja berpuluh tahun membina empayar perniagaannya tanpa kenal erti penat.

Dia hanya bergaya sedikit pada zaman-zaman akhirnya sebelum bersara.Sebelum itu dia sentiasa bersikap merendah diri dan bersahaja dalam perwatakan dan penampilannya.

Untuk anda yang nak tahu maklumat menarik baru pasal Li Ka Shing ni, boleh pergi baca di pautan kat sini

Ceritanya sangat memberikan inspirasi.

Bermula dari menjual sabun ketul dia naik ke atas sampai ke bisnes membina bangunan pencakar langit.

Anda boleh pergi baca pautan yang saya berikan tadi untuk ketahui 5 perkara yang anda mungkin tak tahu pasal Li Ka Shing.

Nasihat lelaki terkaya asia

Setakat yang saya semak tadi kedudukan Li Ka Shing dalam senarai orang terkaya dunia, dia orang ke-43 paling kaya. Jumlah kekayaan dianggarkan dalam USD32.5 Billion.

Li Ka Shing memiliki sebanyak 8.6% saham Zoom. Saham itu dibelinya pada tahun 2013, dua tahun selepas Zoom dilancarkan

Kesan positif dari pandemik Covid-19 membantu nilai saham zoom naik sehingga 399%.

Dengan peningkatan itu, pegangan Li Ka Shing meningkat kepada USD11 Billion sekelip mata. Sama dengan 1/3 dari jumlah kekayaannya sekarang.

Li Ka-Shing ni, sekolahpun tak habis. Dia merupakan seorang kaki baca buku. Sifat itu adalah pengaruh daripada bapanya yang merupakan seorang guru yang mencintai ilmu.

Li Ka-Shing kehilangan bapanya sebelum berumur 15 tahun. Akibat daripada itu dia tidak dapat meneruskan persekolahan. Dia dilahirkan di ChaoZhou, sebuah tempat di daerah Guangdong, China pada 29hb Julai 1928.

Bermula daripada seorang buruh kasar di sebuah kilang plastik, dia mencuba nasibnya menjadi seorang jurujual, juga dalam industri barangan plastik. Cerita berkenaan lelaki paling kaya di Asia ini merupakan antara cerita paling mula yang saya tahu.

Pengaruh Li Ka-Shing

Saya banyak terpengaruh dengan cerita dan cara berjimat dan bersederhana beliau. Terbukti pengaruh itu banyak membantu untuk terus berniaga.

Walaupun kaya raya, Li Ka-Shing hanya pakai jam Seiko yang dibelinya pada masa mula berniaga dulu. Tak main pakai jam ratusan ribu sekalipun dia mampu sangat.

Ketika mula bekerja sebagai buruh kasar Li Ka-Shing berpeluang bantu majikannya karang satu surat penting.

Peluang itu datang bila kerani majikannya tak hadir. Tak ada orang yang boleh tulis surat untuk majikannya.

Oleh kerana Li Ka-Shing tahu membaca dan menulis, orang menunjukkan beliau pada taukeh. Diapun tulis.

Bila dah siap, majikannya kagum dengan keupayaannya mengarang. Dia ditawarkan kerja kerani.

Tapi sikap keusahawanan yang ada pada dirinya membuatkan dia menolak tawaran itu. 

Sebaliknya dia minta untuk jadi jurujual.

Taukehnya setuju.

Li Ka Shing buktikan yang dia memang pandai menjual. 

Hasil jualannya seorang diri saja, jauh mengatasi hasil gabungan jualan kesemua jurujual lain yang ada.

Diringkaskan cerita, sampai satu masa dia beritahu bossnya nak berhenti kerja sebab nak buka kilang buat bunga tiruan dari plastik. Sebab sangat yakin pada keupayaan Li Ka Shing, taukehnya itu jual semua bisnes yang dia ada ketika itu.

Duit yang dapat digunakan untuk menjayakan projek bisnes dengan Li Ka Shing. Dia jadi rakan kongsi Li Ka Shing.

Macam yang pembaca dah tahu sekarangLi Ka Shing adalah orang paling kaya di Asia. Dia masih kekal bersederhana walaupun kekayaannya amat hebat.

Ok! itu serba sedikit cerita berkenaan Li Ka-Shing. Sekarang mari kita belajar apa petua beliau anda anak muda muda yang mahu berjaya dalam hidup.

Petua Li Ka-Shing untuk anak muda

Katakan anda berpendapatan sebanyak RM2000 sebulan sekarang. Tak kira samada dah berniaga atau anda masih makan gaji.

Li Ka Shing berikan petua begini untuk cuba diamalkan.

Bahagikan pendapatan itu kepada 5 bahagian seperti berikut di bawah.

#1. Belanja untuk sara hidup

Pastikan anda bersederhana dalam belanja sara hidup. Jumlah maksima sebanyak RM600 mungkin dah cukup jika anda pandai berjimat.

Bajet sekitar RM20 sehari untuk perbelanjaan hidup walau apapun yang berlaku.

Makan pagi secara sederhana dengan makan bihun atau nasi goreng, telur sebiji dan air suam segelas. Itu dah cukup mengenyangkan.

Makan tengahari juga dengan cara yang sederhana dengan tambahan sedikit buah.

Makan malam pula pastikan anda masak sendiri dengan cara yang mudah dan sederhana. Makan sayur dan buah dan minum segelas susu sebelum tidur.

Nota: Saya rasa petua di atas masih relevan dan mampu dilaksanakan sekalipun anda tinggal di bandar kongsi sewa tempat tinggal berkumpulan. Kalau tinggal dengan keluarga lagi bagus.

#2. Belanja bina rangkaian kawan

Peruntukkan juga pendapatan anda untuk belanja bina network.

Untuk itu anda perlukan sebuah telefon bimbit. Bajet sekitar RM100 atau kurang lagi sebulan untuk bil telefon anda. Sekarang bil telefon dah murah dengan berbagai pakej yang menjimatkan

Peruntukkan sebanyak RM300 lagi untuk belanja kawan makan. Anda boleh bajet dalam 3 orang sebulan dengan kos RM100 seorang. Jadi jumlahnya adalah dalam lingkungan RM400 untuk aktiviti bina rangkaian kawan ini.

Nota: Saya rasa bajet RM100 seorang untuk belanja makan sudah cukup tinggi. Anda boleh jimatkan lagi jika pandai pilih tempat yang berpatutan dan sesuai.

Pastikan kawan yang anda belanja itu adalah terdiri dari mereka yang seperti berikut.

  1. Lebih berilmu daripada anda – Jangan belanja orang yang entah apa-apa yang berfikiran negatif dan tidak punya ilmu yang lebih baik dari anda sendiri
  2. Lebih kaya daripada anda – Belanja mereka walaupun mereka lebih kaya kerana apa yang mereka tahu perlu menjadi rahsia yang perlu dikorek.
  3. Orang yang membantu anda dalam kerjaya atau perniagaan – Tak ada usahawan yang boleh naik tanpa bantuan dari mereka yang prihatin dan besar jiwanya membantu orang lain. Jadi hargai mereka dan jangan kemut untuk belanja mereka. Ia bakal menjadi magnet untuk lebih ramai lagi orang lain datang memberikan bantuan selepas ini.

#3. Belanja aktiviti menuntut ilmu

Jangan ambil mudah dengan aktiviti menuntut ilmu untuk berjaya. Tak ada orang yang boleh pergi jauh jika malas mencari ilmu.

Untuk itu anda perlu pastikan sejumlah RM300 diperuntukkan untuk perkara berikut.

  • Beli buku pengetahuan – Jangan pula beli buku mengarut seperti surat khabar, novel, majalah mangga dan sebagainya. Belilah buku yang anda boleh kutip ilmu dan aplikasikannya dalam kehidupan. Baca betul-betul dan jangan sia-siakan wang yang dibelanjakan untuk beli buku tersebut. Mungkin anda perlu siapkan dalam RM100 sebulan untuk beli buku.
  • Ikuti seminar atau kursus keilmuan – Sertai seminar yang anda rasa penting dan dapat membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan diri anda. Belanjakan dalam lingkungan RM200 sebulan untuk kursus atau seminar yang baik. Anda akan dapat ilmu dan penting lagi anda akan berkenalan dengan mereka yang turut sama mahu berjaya dalam hidup seperti anda juga.

#4. Belanja melancong ke luar negara

Peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk aktiviti berjalan ke negeri orang.

Anda boleh tetapkan satu aktiviti berjalan ke luar negara sekali setahun. Jika anda sediakan RM200 sebulan, setahun anda akan ada sebanyak RM2,400.

Jumlah itu memadai untuk anda melancong ke negara jiran yang kosnya murah. Berjimat dengan penuh kemut ketika melancong.

Bukan kemewahan yang yang dicari, tapi apa yang boleh anda pelajari daripada pengembaraan itulah yang paling penting. Jauh perjalanan, luas pemandangan.

Nota: Sekarang aktiviti melancong tak digalakkan kecuali perlu sebab masalah Covid-19 masih belum reda. Ada mungkin boleh simpan dahulu duit peruntukan melancong itu tunggu sehingga semuanya kembali aman atau buat lawatan secara domestik saja lawat industri perniagaan di daerah lain di yang maju Malaysia.

#5. Peruntukan untuk simpanan

Baki selanjutnya sebanyak RM500 hendaklah disimpan dalam akaun simpanan. Masukkan dalam tabung haji atau mana-mana akaun yang susah nak dikeluarkan.

Ia adalah pelaburan untuk modal memulakan perniagaan anda.

Mulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Trading mungkin satu pilihan yang baik.

Bila mula kecil, gagal bermakna anda hanya hilang wang yang sedikit. Jika berjaya, ia jadi suntikan semangat untuk anda berjaya lebih tinggi sedikit lagi.

Cuba buat kerja tambahan untuk tambah pengalaman. Libatkan diri dengan aktiviti menjual kerana menjual adalah perkara penting untuk setiap usahawan yang mahu berjaya.

Nota: Sekarang cara paling mudah adalah buat dropship. Modal sikit dan platform sangat banyak. Jika anda minat buat offline, mungkin boleh jadi jujual secara part-time.

“Jika anda miskin, banyakkan masa diluar. Keluar, cari kawan dan buatlah apa saja aktiviti yang bermanfaat”

Nasihat Li Ka Shing untuk anak muda

Li Ka-Shing nasihatkan pada anak muda untuk berjimat cermat sejak dari awal. Jangan Habiskan duit dengan beli pakaian dan kasut mewah.

Simpan terlebih dulu wang anda. Bila dah kaya nanti, belilah apa saja yang anda mahu, tapi bukan ketika anda masih muda dan perjalanan masih jauh.

Satu lagi masihat menarik dari Li Ka-Shing untuk anak muda adalah, jika miskin atau susah, banyakkan masa diluar. Keluar, cari kawan dan buatlah apa saja aktiviti yang bermanfaat.

Jika dah kaya nanti baru banyakkan duduk dalam rumah dan kurangkan keluar. Kenapa dia kata begitu saya tak pasti. Kalau anda nak baca lebih lanjut lagi, sila ke sini.

Amalkan nasihat Li Ka Shing

Demikianlah serba sedikit nasihat yang saya rasa amat menarik untuk anak muda yang membaca blog ini.

Selamat berusaha dan semoga berjaya! 

Post a Comment

Previous Post Next Post