Antara keperluan penting dalam hidup yang anda perlu ada adalah kawan rapat.
Kawan rapat boleh difahamkan sebagai kawan yang anda sering luangkan masa bersama.
Bukan takat luangkan masa, teman kerja mungkin antara orang yang anda banyak luangkan masa. Tapi itu sekadar keperluan kerja saja. Belum tentu lagi teman kerja anda merupakan kawan rapat.
Dengan kawan rapat dan akrab, anda kerap melepak, berborak, buat projek atau aktiviti santai, dan lain-lain lagi seumpamanya, dengan mereka.
Kawan rapat juga menjadi teman yang bakal membantu, memberikan sokongan, mengkritik, menasihat, menghiburkan, mendengar masalah, ziarah waktu sakit, dan mungkin juga solatkan jenazah anda satu hari nanti.
8 kelebihan kawan rapat
Berikut saya berikan 8 perkara yang anda akan dapat dari kawan-kawan akrab.
Mungkin anda rasa ada lebih lagi dari 8 perkara ini, kalau ada, tambah saja kat ruang komen kat bawah nanti. Ini senarai yang saya boleh berikan.
Apa yang anda akan dapat dari kawan rapat adalah.
- Membina diri anda – Kawan rapat secara sedar atau tidak sedar jujur mahu melihat anda berjaya. Mereka membina diri anda dengan berbagai cara, mungkin secara nasihat dan idea, mungkin mencabar, mungkin juga mengkritik serta memerli anda. Semua itu menjadi ramuan untuk pembinaan diri anda.
- Menjadi orang yang mengkagumi anda – Kawan rapat juga jujur mengkagumi anda dalam hal yang dirasakan anda ada kelebihan. Mungkin sifat lawak, mungkin sifat berani, mungkin sifat bijak anda dan lain-lain lagi. Paling penting, mereka bukan sekadar kagumi ketika ada di depan, malah dibelakang anda juga mereka tetap konsisten mengkagumi anda.
- Menjadi kumpulan satu kepala – Kawan rapat akan jadi kumpulan tetap dalam kebanyakan aktiviti anda samada santai atau serius sebab mereka satu kepala dengan anda. Mereka kongsikan pendekatan dan pemikiran yang hampir sama dan selesa dengan anda tanpa memaksa anda ubah apa-apa yang anda dah ada.
- Jadi peneman dan pendengar yang setia – Ini satu lagi kelebihan yang ada pada kawan rapat. Walaupun anda tahu dan dia juga tahu, tak ada apa yang boleh dibantu jika anda luahkan masalah atau pendapat atau cabaran, dia akan setia mendengar dan jujur ingin tahu dalam apa saja suasana cerita anda.
- Tempat penghubung – Kawan rapat juga tidak lokek kenalan. Dia akan jadi talian hayat anda ketika anda perlukan maklumat atau bantuan dari orang lain yang dia kenal. Bila anda perlukan bantuan seorang peguan umpamanya, tanya saja dan dia akan berikan akses itu pada anda dengan rasa gembira.
- Pemberi tenaga – Ketika anda rasa lemah, letih dan murung tidak bertenaga, kawan rapatlah yang akan berupaya ubah itu semua terbalik. Pergi jumpa mereka, tak payah tunggu lama, anda akan bertenaga semula. Demam pun tetiba tak terasa dan anda mula cakap banyak dan rasa ceria semula.
- Membuka minda anda – kawan rapat juga biasanya mampu menjadikan minda anda terbuka. Perkara baru atau pengalaman baru yang ditempuhnya, lalu dikongsikan pada anda membuatkan minda anda terbuka secara rela. Sebab dia jujur dan teruja kongsikan anda tanpa paksaan atau cubaan menunjuk-nunjuk.
- Jadi penunjuk jalan – Kawan rapat juga diperlukan ketika anda rasa kosong dan keliru. Luahkan semuanya pada mereka dan insyaallah anda akan dipimpin semula secara tidak disedari. Selagi anda tidak dibawa ke jalan yang betul semula, selagi itulah mereka akan berusaha menyedarkan anda.
Siapa kawan rapat anda
Tak semestinya semua setiap seorang teman rapat anda boleh berikan kesemua 8 perkara tersebut di atas. Tapi setiap seorang yang anda ada sudah tentu akan menyumbang sekurang-kurang satu atau lebih dari kesemua itu.
Gabungan dari kesemua kawan-kawan akrab yang anda ada, akan memberikan kesemua 8 perkara tersebut.
Cuba renung sejenak…
Berdasarkan kesemua 8 perkara tadi, adakah anda punya kawan rapat sekarang?
Kalau tak ada, anda ada masalah yang besar. Ada kawan yang jenis suka sedut segala tenaga dan semangat yang anda ada. Kawan rapat macam ni adalah satu malapetaka.
Perlu segera diselesaikan sepantas mungkin dengan berusaha membina satu kumpulan kawan rapat yang anda perlukan.
Persoalannya, macam mana dan berapa lama masa yang anda perlukan untuk menjadikan seseorang itu kawan yang rapat dengan anda.
Masa diperlukan untuk buat kawan rapat
Berikut saya kongsikan proses masa yang anda perlukan dari peringkat awal untuk membina seorang kawan rapat.
- Dari kenalan jadi kawan – anda perlukan masa bersama sekurang-kurangnya 50 jam
- Dari kawan kepada ‘kawan baik’ – anda perlukan 90 jam masa bersama
- Dari kawan baik kepada kawan rapat – Anda perlu luangkan masa bersama selama 200 jam
Semua masa tersebut perlu dihimpun secara konsisten dan kerap untuk membina seorang kenalan baru, bertukar menjadi seorang kawan yang rapat.
Dari peringkat awal, sampai jadi kawan yang akrab, anda perlukan himpunan masa bersama sekurang-kurangnya selama 200 jam.
Katakan anda luangkan masa sehari sekurang-kurangnya 2 jam sehari, selama 3 kali seminggu. Ertinya anda perlukan sekurang-kurangnya selama 8 bulan untuk membina seorang teman rapat.
Kalau anda nak hidup bahagia dan rasa bermakna, pastikan buat pelaburan masa dan tenaga untuk membina rangkaian teman rapat yang anda perlu kekalkan sehingga tua.
Paling baik adalah membina teman rapat di sekitar komuniti tempat anda tinggal. Anda boleh bersama sehingga ke hari tua dan gabungkan sekali dengan aktiviti kemasyarakatan tempat anda mencurahkan sumbangan.
Berusahalah untuk menjadi manusia yang baik, buat kebajikan, curahkan sumbangan, bantu orang, mesra alam, mesra jiran dan lain-lain lagi seumpamanya. Dengan berbuat begitu, moga mati kita berbaloi dan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak, Insyaallah.
Maklumat kajian masa yang diperlukan itu boleh dilihat dari pautan kat sini.
saya sudah kurang rapat dengan kawan rapat hehehe
ReplyDeleteBerhubung la semula. Terutamanya yang banyak membantu dan memberikan sokongan sebelum ini.
Delete