Kenapa 23 sikap tersebut menarik?
Menarik untuk diberikan perhatian sebab semua kawan-kawan yang saya lihat ada sebahagian daripada sikap tersebut, mencapai satu tahap kejayaan yang boleh dipuji. Kalau tidak, buat apa nak peduli sikap tersebut! betul tak!
Saya dah pernah cerita sebelum ini. Sejak mula buat keputusan untuk sara hidup dengan berniaga, saya mula berkenalan dan berkawan dengan seramai mungkin orang yang berniaga.
Malah, tak sempat berhenti kerja lagi pun, saya dah mula kenal pasti dan sasarkan mereka yang berniagaan sepenuh masa, untuk saya dekati. Apa kriteria usahawan yang saya sasarkan, mudah saja. Asalkan saya lihat dia berjaya, maka usahawan itu saya akan buru untuk dijadikan kawan.
Dari kawan-kawan yang berjaya tersebut, saya dapat kenal lebih ramai lagi kawan-kawan lain yang juga turut sama berjaya.
Dari mereka juga saya dapat kenal kawan-kawan usahawan lain yang tak berjaya. Atau lebih tepat lagi, tak ke mana-mana walaupun dah buat macam-macam perniagaan.
Bagi saya, yang tak berjaya tu bermaksud, mereka yang lebih banyak menyusahkan hidup mereka sendiri dan semua orang disekeliling termasuklah kawan-kawan rapat. Contoh paling mudah yang ada ramai diluar sana, adalah kawan-kawan berniaga yang hutang banyak dan tak pernah mampu bayar sehingga kawan-kawan pun dah tidak lagi berharap untuk mereka bayar.
Namun begitu, ada ramai usahawan yang berjaya sebenarnya. Berjaya bagi saya mudah saja. Mereka mampu menyara kehidupan sendiri dan dapat tunaikan semua tanggungan mereka ke tahap yang selesa.
Cara saya ukur kejayaan seperti di atas adalah lebih mudah dan tidak tersasar. Kejayaan bkan diukur secara kebendaan jenis apa yang orang pakai. Banyak atau besar tidak semestinya lebih bagus.
Yang wajib adalah mencukupi. Cukup sara hidup, saya keluarga, berbakti dan menyumbang lebihan dari apa yang ada. Itu dah kira berjaya.
Tak guna ada duit banyak, kereta besar, rumah besar, tapi sentiasa tak mencukupi. Terpaksa tampung semua itu dengan bebanan hutang yang banyak. Sekadar nampak glamour di mata orang yang melihatnya tidak ada apa-apa manfaat saja. Hidup dalam kepuraan sedang jiwa penuh siksaan.
23 perangai usahawan berjaya
Apa yang membezakan antara kawan-kawan saya yang berjaya berbanding kawan-kawan yang tidak?
Ini apa yang saya perhatikan. Ada 23 sikap yang menarik, ada pada kawan-kawan usahawan yang berjaya pergi lebih jauh berbanding kawan-kawan lain.
Saya senaraikan satu persatu di bawah ..
1. Mampu bergerak sendiri
Ini paling utama dan paling ketara ada pada semua. Mereka punya tahap initiatif sangat tinggi. Tak perlu kena ketuk baru nak bergerak seperti sikap kebanyakan orang makan gaji.
Bila dah nampak ada perkara yang perlu dilaksanakan, mereka terus mulakan. Cari ikhtiar sendiri tanpa perlu ditekan atau dipaksa oleh sesiapa.
2. Tahap motivasi tinggi
Dalam bab bersemangat ni memang tak boleh lawan. Mereka berupaya memujuk dan memotivasikan diri sendiri tanpa perlu ke kursus motivasi berbayar atau percuma.
Kalau hilang semangat pun, sekejap saja. Pergi jumpa kawan-kawan yang rapat boleh dipercayai, mengadu sikit, dah selesai. Esok tengok dah bersemangat seperti biasa semula.
3. Kurang penyabar
Selalunya, bila orang cakap kita tak sabar, maknanya adalah negatif. Tapi saya lihat kontek kurang penyabar ni dalam dmensi yang berbeza.
Tak sabar, tapi dalam ertikata yang positif. Sikap itu membuatkan mereka sentiasa mahu bersegera dalam segala tindakan.
Sikap bertangguh-tangguh ni memang pantang buat mereka.
4. Kerja cepat
Kawan-kawan yang berjaya jauh ni semuanya jenis yang buat kerja cepat. Bergerak macam Bruce Lee menewaskan lawan.
Kawan-kawan usahawan yang kurang berjaya biasanya akan merungut kalau ikut mereka buat kerja atau usahakan apa-apa projek.
5. Jiwa kental hadapi kenyataan
Biasanya mereka akan menempuh banyak kecelaruan dan berada dalam keadaan kucar-kacir lantasan sangat cepat berindak dan cepat bergerak.
Memang dah jadi lumrah, orang yang kurang sabar dan bertindak cepat, akan terus memulakan sesuatu usaha dalam keadaan tidak sempurna.
Tapi itulah formula besar orang yang berjaya. Mana ada benda yang sempurna. Jika asyik tunggu sempurna, biasanya dah terlewat.
Mungkin disebabkan dah bertubi-tubi hadapai suasana sedemikian, maka jiwa mereka dah terlatih bersedia untuk hadapi semua itu.
6. Tahan lasak
Sama macam jiwa kental kat atas, mereka juga amat lasak mental atau fizikal dalam menghadapi segala rintangan. Samada rintangan fizikal atau mental.
7. Sentiasa tengok depan dan belajar dari kesilapan
Bergerak cepat dan tak sabar nak bertindak membuatkan banyak kesilapan berlaku. Tapi macam biasa, mereka hanya tengok ke hadapan dan jadikan segala langkah silap sebelum itu sebagai pedoman untuk terus bergerak maju lagi.
8. Sentiasa berfikir pembaikan berterusan
Mereka tak pernah jemu cari jalan bagaimana nak buat pembaikan dalam semua perkara di sekeliling mereka.
9. Amat menghargai kepakaran
Samada kepakaran yang ada pada mereka atau kepakaran yang ada pada orang lain, mereka amat memandang tinggi dan menghargai semua keupayaan tersebut.
10. Sentiasa kusyuk bila buat kerja
Bila mereka buat kerja, nampak sangat kesungguhan dan daya tumpuan yang tinggi diberikan. Susah nak ganggu tumpuan mereka.
11. Sentiasa ingin tahu
Sikap nak tahu yang ada pada mereka memang amat tinggi. Seluruh deria mereka amat sensitif melihat, merasa dan mencari jawapan. Kalau seseorang yang berilmu atau pakar dalam bidang tertentu, bersembang dengan mereka memang jenuh nak jawab soalan.
12. Mudah bekerjasama
Kalau buat apa saja urusan dengan mereka memang menyeronokkan sebab sikap mudah berikan kerjasama dan bersungguh-sungguh membantu.
13. Degil
Semua kawan-kawan usahawan yang pergi jauh ini memang jenis degil sikapnya. Tak payah nak gertak atau nak patahkan semangat mereka, buang masa saja.
14. Mampu tangguh kesenangan
Bersusah-susah dahulu untuk mendapat hasil yang jauh lebih baik dalam jangkamasa panjang adalah amalan biasa mereka.
15. Sentiasa optimis
Dari riak muka, dari segala tindakan, nampak jelas sikap optimistik yang tinggi sentiasa ada pada mereka.
16. Punya sejarah kerja teruk masa muda
Hampir kesemua mereka yang berjaya pergi jauh dalam dunia keusahawanan ni punya sejarah dan pengalaman kerja rutin macam hamba di zaman muda mereka.
Mereka dah biasa kerja teruk dan pengalaman itulah yang banyak membentuk fizikal dan mental mereka.
17. Mampu lihat gambaran besar
Mereka punya keupayaan dan gerak hati yang baik untuk melihat gambaran besar. Kalau orang biasa melihat sesuatu, mereka hanya sekadar melihat apa yang berlaku depan mata sahaja.
Tapi kawan-kawan usahawan berjaya ini biasanya mampu meneropong lebih jauh dan mampu melihat gambaran yang lebih besar dan dapat mencari corak berulang yang boleh dipelajari.
18. Kreatif
Ini memang amat jelas ada pada semua kawan-kawan usahawan yang berjaya. Perkara susah bagi kebanyakan orang lain (yang hanya pandai merunggut), bila dapat pada mereka terus diselesaikan dengan amat kreatif sekali. Tak terfikir oleh kebanyakan orang.
19. Sentiasa bersedia untuk berubah
Bila bila masa saja jika diperlukan untuk berubah, mereka mampu lakukannya dengan mudah sekali. Tak main sentimen malu dan segan seandainya untuk mencapai sesuatu mereka terpaksa berubah haluan.
20. Sentiasa fokus pada objektif
Segala keputusan mereka biasanya tidak dipengaruhi oleh isu peribadi atau masalah peribadi. Mereka fokus pada objektif dan itulah biasanya prinsip yang diambil dalam segala keputusan.
21. Selesa ikut gerak hati
Ini salah satu dari keupayaan yang ada pada mereka. Tiba-tiba saja buat keputusan dan tindakan yang tak disangka. Tak ada angin tak ada ribut mereka boleh saja bertindak berdasarkan gerak hati.
22. Ada kecelaruan peribadi atau gila-gila
Samada suka atau tidak suka, saya memang lihat ramai dari mereka yang ada sedikit masalah ini. Mereka biasanya berpotensi ada 2 watak yang berbeza kalau diperhatikan betul-betul.
Kalau tak ada krisis identitipun, mereka ada sedikit perangai gila gila yang ringan.
Hanya kawan-kawan yang kenal lama akan dapat kenal pasti perkara ini. Tapi bukanlah ke tahap yang teruk tak terkawal. Hanya sedikit saja …
23. Sangat cenderung selesaikan kerja
Mereka punya kecenderungan amat tinggi untuk laksanakan urusan yang ada dalam tangan. Kalau diberikan 10 kerja, paling lekeh 7 darinya anda boleh yakin akan diselesaikan.
Paling kerap, kesemuanya akan selesai jika masa mengizinkan.
Berbeza pula dengan kawan-kawan yang tak berapa nak menjadi. Kalau beri 10 kerja, paling kurang 7 hampas malah ada yang satupun tak selesai.
Bina 23 sikap menarik ini sekarang
Kalau dilihat kesemua 23 sikap menarik yang ada pada kawan-kawan usahawan yang berjaya di atas, kelihatan macam tak ada harapan bagi mereka yang tak punya sikap-sikap tersebut.
Macam mana nak ubah kalau sikap yang ada pada anda seperti dah sebati sejak sekian lama.
Mungkin sebab itu ada yang berpandapat sikap keusahawanan yang ada pada diri seseorang tak boleh dipelajari.
Tapi saya yakin semua sikap yang ada pada diri seseorang boleh untuk diubah.
Apa saja sikap boleh dibuang atau boleh ditambah. Sebab sikap yang dah melekat dalam diri hanyalah hasil daripada aktiviti berulang mengamalkan perkara yang sama. Dari amalan berulang itulah akhirnya melekat jadi sikap.
Oleh itu, anda hanya perlu kenal pasti satu sikap demi satu sikap ang mahu diterap ke dalam diri dan ulang sampai jadi sebati. Ianya bermula dari memujuk hati untuk bersahabat dengan sikap yang kita nak terapkan itu terlebih dahulu.
Untuk memujuk hati agar berkawan dengan sikap tersebut, carilah kawan-kawan yang memang dah punya sikap itu. Memang pada mulanya hati akan meronta meluat pada kawan-kawan sebegitu. tapi bila dipaksa, bertahan, lama kelamaan hati akan lembut dan mula menerimanya.
Bila hati dah terima, maka ianya akan mula bertukar menjadi amalan.
Oleh itu, pergilah berkawan dengan kawan-kawan yang anda lihat berjaya. Usaha supaya menjadi rapat dan tambah supaya lebih ramai kawan-kawan sebegitu ada di sekeliling anda.