Apa cara paling berkesan untuk buat perubahan pada diri menjadi seorang yang lebih bagus.
Tentu anda pernah tanya soalan yang di atas, bila melihat kawan-kawan lain yang nampak dah pergi jauh ke depan tinggalkan anda yang masih berada di takuk lama juga.
Bukan tak cuba nak berubah, tapi nampak macam tak berkesan. Pergi kem motivasi, sertai seminar, panas sekejap saja. Tak sampai seminggu dua, dah kembali hilang semangat.
Apakah semua itu ada kena mengena dengan kepercayaan atau pegangan diri?
Selalunya, orang kata macam tu lah. Kena buat perubahan pada 'mind setting'. Teorinya adalah, apa yang anda percaya, prinsip apa yang anda pegang, menentukan apa yang anda buat.
Sering orang sebut, anda adalah apa yang anda fikirkan. Banyak ayat power yang sama macam tu dah biasa kita dengar.
Betulkah macam itu?
Mari kita cuba semak.
Berapa ramai yang percaya bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu adalah amalan yang baik untuk kesihatan tubuh badan dan minda?
Siapa yang percaya bahawa tubuh badan sihat adalah baik untuk dirinya?
Saya 100% yakin semua orang akan angkat tangan setuju bila ditanya soalan di atas. Tapi berapa orang yang buat sebagai mana yang dia percaya tu?
Tak ramai!
Lebih ramai yang selesa duduk terperap atas sofa nonton TV daripada bersenam. Lebih ramai yang selesa lepak dengan kawan-kawan berjam-jam di kedai mamak dari bersenam. Tidur lebih diamalkan dari bersenam.
Apakah mereka percaya lepak tengok TV, lepak minum kedai mamak dan tidur bukan pada waktunya adalah amalan yang baik dan menjadikan diri sihat?
Tentu tidak.
Tapi orang kata, apa yang kita fikirkan, apa yang kita percaya, menentukan apa yang kita amalkan. Terbukti kenyataan itu tak betul.
Buat perubahan diri
Kebanyakan orang tidak buat apa yang dia percaya. Paling tidakpun, kepercayaan sahaja masih tak cukup untuk buat perubahan diri.
Kepercayaan dah betul. Cuma yang tak betul adalah amalan.
Punca utama jadi begitu adalah, 'segala tindakan anda ditentukan oleh otak separa sedar dengan dikuatkan lagi oleh emosi atau nafsu yang ada dalam diri.
Saya ada baca satu kajian yang mengatakan bahawa pemikiran rasional adalah dua kali ganda lebih lambat diproses berbanding pemikiran emosi separa sedar.
Maksudnya, dalam bab buat keputusan, pemikiran emosi separa sedar akan sampai dulu dan diproses. Tanpa disedari keputusan dibuat dan tindakan berlaku terlebih dahulu. Tak sempat pun pemikiran rasional nak bantah.
Keputusan dah dibuat, pemikiran rasional akhirnya membantu cari jawapan untuk halalkan saja keputusan tersebut.
Dalam urusan membuat keputusan, emosi sentiasa menang. Akal rasional sentiasa dipergunakan oleh emosi untuk mencari logik dan sebab kenapa keputusan yang anda buat tu betul dan bersesuaian.
Buat perubahan persekitaran
Dengan memahami perkara yang saya seut di atas, anda boleh gunakan emosi itu untuk buat perubahan yang diingini.
Salah satu caranya adalah dengan permudahkan perubahan yang anda nak buat tu.
Ambil contoh lepak tengok TV.
Anda boleh susahkan diri untuk tonton TV kat rumah. Letak TV kat dapur. Atau tempat yang tak ada kerusi, tiada tempat bersandar. Dalam keadaan begitu acara menonton TV adalah jadi satu siksaan.
Emosi atau otak separa sedar tadi, akan pilih untuk buat perkara yang lebih mudah dan selesa. Jadikan pula aktiviti untuk keluar ke taman dan bersenam sangat selesa mudah dan menyeronokkan. Dah sah emosi akan pilih bersenam.
Buat secara berkumpulan
Satu lagi otak separa sedar suka buat adalah ikut apa yang orang ramai buat. Manusia memang dah direka untuk elakkan diri jadi seorang yang janggal tak serupa orang lain.
Gunakan kelebihan itu untuk buat perubahan kepada diri anda sendiri. Dalam kes bersenam tadi, anda boleh cara kawan seramai mungkin yang memang kaki bersenam.
Contohnya cari taman yang majoriti penduduknya bersenam, berbincang pasal bersenam, dan pandang tinggi orang yang bersenam.
Secara, automatik, otak separa sedar anda buat keputusan untuk ikut apa yang semua orang buat.
Buat perubahan dengan tulisan
Anda mungkin tak perasan bahawa walaupun diri percaya bersenam itu baik untuk kesihatan, tapi secara tak disedari anda juga percaya bersenam itu membosankan dan menyusahkan.
Pegangan itu dah tertanam dalam diri sejak zaman kanak-kanak atas berbagai faktor. Orang tua jenis tak suka anak dia nakal suka keluar main contohnya, jadi sering dilarang dari pergi ke taman.
Untuk buang semua kepercayaan yang tertanam secara tak disedari itu, anda boleh gunakan tulisan.
Tulis samada dalam bentuk karangan atau dalam bentuk point kenapa bersenam itu amat mudah dan menyeronokkan. Kreatiflah sikit untuk cari semua hujah bagi menegakkan pendapat anda tersebut. Tulis dengan panjang lebar dan jadikan ianya real.
Selepas itu ajak kawan berdebat dalam tajuk yang sama. Suruh kawan anda jadi penyokong bersenam itu sukar dan anda pulak jadi pembangkang. Berikan masa untuk kawan anda cari hujah dan kemudian mula berdebat.
Jangan fkus kepada faedah bersenam. Hanya fokus pada kenapa ianya menyeronokkan.
Tulisan dan aktivit debat itu secara tidak anda sedari akan membentuk persepsi bahawa bersenam itu meneronokkan. Dan anda akan mula berubah, insyaallah.
Saya berikan contoh bersenam. Anda boleh cari perubahan lain yang nak dilakukan dan gunakan teknik yang sama.
Buat aktiviti dan tampal kebocoran
Dalam setiap perubahan yang anda nak buat, cuba catitkan bagaimana proses tersebut berlaku dari A sampai Z.
Tengok satu demi satu langkah yang terlibat dan semak kat mana boleh berlaku kebocoran yang membuatkan anda mengelak dari buat perubahan tersebut.
Macam kes bersenam tadi. Cuba buat proses macam mana anda akan pergi bersenam. Mulakan dengan bangun tidur, lepas itu solat subuh, tidur semula, kunci jam pukul 7, bangun semula, pakai pakaian sukan, turun bawah, ambil kasut… dan begitulah seterusnya sehingga akhirnya anda selesai bersenam.
Dari proses tersebut, pasti akan berlaku kebocoran yang membuatkan anda tak sambung proses seterusnya yang membawa kepada anda pergi bersenam.
Kesan kebocoran itu dan tampal supaya ianya tak bocor.
Contohnya lepas solat subuh anda sambung tidur. Kat situ biasanya banyak berlaku kebocoran, sebab sedap tidur dan tak dengar bunyi jam. Jadi anda boleh tampal kebocoran tersebut dengan elakkan dari sambung tidur.
Fokus pada amalan bukan pegangan
Dari cadangan kat atas tadi,anda boleh lihat bahawa untuk buat perubahan pada diri, tak payah nak cuba ubah apa pegangan anda.
Malah anda sendiri biasanya tak sedarpun apa sebenarnya pegangan dalam diri.
Jadi fokuskan pada amalan dan buat.
Biasanya amalan akan membentuk kepercayaan. Dan itulah yang sering berlaku pada diri kita semua.
Contoh mudah, kenapa anda sokong Pakatan Harapan, biasanya disebabkan anda dikelilingi oleh kawan-kawan yang sama sokong parti tu.
Agak sukar untuk anda seorang diri buat begitu tanpa ada dorongan yang memudahkan anda berbuat demikian.
Melainkan anda seorang yang kuat jiwa dan sentiasa buat keputusan berdasarkan rasional yang tinggi.
Sekian! selamat mencuba.