10 perkara anda perlu amalkan untuk dapat hasil banyak tetapi dengan usaha yang sedikit


Kerja sikit tapi hasil banyak!

Anda tentu pernah dengar ayat di atas tu. Lebih kurang sama juga dengan teori 20/80. Atau lebih terkenal dengan panggilan Teori Pareto

Saya secara peribadi memang berkenan sangat dengan konsep 20/80 ni. Perlu diguna pakai dalam amalan kehidupan seharian. Penting sebab masa untuk hidup ini tak panjang, sedangkan urusan yang perlu diselesaikan, tanggung jawab yang perlu di tunaikan sangat banyak.

Maka perlu ada usaha untuk mencari pendekatan terbaik bagaimana dapat amalkan konsep buat kerja sedikit tapi dapat hasil pulangan yang banyak, dari kerja yang dilakukan itu.

Ada banyak buku yang menghuraikan konsep buat kerja sedikit tapi dapat hasil banyak ini. Kebanyakkannya berasaskan penghuraian konsep Pareto. 

Pareto atau nama sebenarnya Vilfredo Federico Damaso Pareto ialah seorang ahli ekonomi dari Italy yang hidup antara tahun 1848 ke 1923. Dia melihat fenomena pengagihan kekayaan yang pelik di satu-satu bandar. Hanya 20% dari jumlah pendduk yang menguasai 80% dari kekayaan yang ada. Itulah asalnya penemuan konsep pareto.

Jika anda berminat nak mengamalkan budaya buat kerja sedikit dapat hasil banyak, saya sarankan supaya pergi cari buku berkenaan prinsip 80/20 itu dan buat kajian.

Khas untuk anda yang berniaga, amat rugi jika tak kenal konsep Pareto ni. Elok pergi beli buku dan baca. Insyaallah berbaloi!

Selain dari konsep Pareto, ada satu lagi konsep yang agak berbeza di amalkan oleh pengikut minimalism. Mereka sering mempromosikan ayat less is more, seperti dalam gambar di atas tu.

Matlamat kumpulan minimalism ni adalah untuk mengurangkan pemilikan peribadi sebanyak mungkin. Tak perlu berbelanja beli itu dan ini kemudian penuhkan rumah dengan seribu satu macam barang yang tak dipakai.

Cukup sekadar sediakan keperluan yang wajib sahaja untuk hidup, dalam rumah dan sebagainya.

Menarik juga konsep itu jika diamalkan. Untuk pastikan anda hanya simpan seminimum mungkin barangan, mahu tak mahu terpaksa benar-benar perhatikan mana barang yang benar-benar penting dan paling banyak diguna pakai.

Dari situ akan pergi ke arah pareto juga sebab akhirnya, dalam kesemua barang yang anda miliki, biasanya hanya dalam 20% sahaja dari barang itu anda gunakan dalam 80% dari masa yang ada. Buang saja baki barang yang 80% tu dan anda tak akan rasa ada kekurangan pun.

Itulah serba sedikit bab usaha sikit hasil banyak.

Kerja sikit, hasil banyak

Dalam artikel ini, saya cuma nak kongsikan, apakah 10 pendekatan yang boleh anda buat untuk mencapai matlamat kerja sikit dapat hasil banyak ni.

Semua 10 idea ini saya ambil dari salah sebuah buku* yang saya baca berkenaan konsep kerja sikit dapat hasil banyak.

Keta terus lihat apakah 10 pendekatan itu di bawah.

1. Guna kekuatan dan bakat

Gunakan secara maksimum kelebihan dan bakat yang ada.

Untuk itu, perlu kenal pasti apakah kelebihan diri sendiri. Apakah bakat atau kecenderungan yang anda ada. 

Bila dah kenal jangan sia-siakannya. 

Gunakan semaksimum mungkin. Hanya dengan cara itu, anda mampu pergi jauh melebihi orang lain. 

Jangan teragak-agak untuk beralih arah jika apa yang dilakukan sekarang tidak menggunakan bakat dan kelebihan anda secara maksimum.

2. Suka apa yang anda buat

Dalam bab buat apa saja urusan, kerja, anda perlu buat apa yang anda benar-benar suka. Atau sebaliknya, sila cari jalan dengan apa cara sekalipun untuk suka pada apa yang anda sedang buat.

Ramai dah biasa dengan ayat ini. Ramai orang yang dah berjaya sering kongsikan petua mudah ini. 

Adakah anda amalkan ? 

Atau masih takut tak berani ambil risiko. Jika tak pasti suka atau tidak, apa yang anda sedang buat, usaha untuk menyukainya sampai dapat. Itu saja pilihan yang ada. 

Kalau dah kenal pasti apa yang anda suka, pergi buat terus. Jangan buang masa. Nak  tangguh-tangguh lagi buat apa.

3. Percaya pada diri sendiri dan pada naluri

Ada masa perlu juga dengar apa orang kata. Tapi pegang kuat pada prinsip, jangan percaya pada orang lain jika apa yang dia katakan tentang anda adalah negatif tidak membantu untuk anda berusaha dapatkan apa yang anda sasarkan.

Semua orang tahu apa yang dia suka, jika dia sudi mendengar bisikan nalurinya. Semua manusia diberikan akal. Gunakan akal itu secara maksimum dan ambil tanggung jawab terhadap keupayaan akal anda dalam membuat pilihan. 

Jangan asyik guna akal orang lain sahaja!.

Maksudnya jangan jadi pak turut semata. Fikir dan fikir betul-betul.

4. Buat perkara betul pada masa yang tepat

Ini dua perkara penting untuk berjaya.

Pertamanya buat perkara yang betul. Kedua, lakukan perkara itu bersesuaian dengan masanya.

Perumpamanya adalah jika punya biji benih yang baik, pastikan anda semai di tanah yang sesuai pada musim yang sesuai pula. Gabungan dua perkata tersebut tidak boleh di pandang remeh.

5. Berupaya kenal pasti peluang

Bukan sekadar kenal pasti peluang biasa-biasa, tapi yang mampu menjana keuntungan yang maksimum.

Dah jadi resam kehidupan. Apabila anda mula mencari peluang, maka akan datang berbagai peluang dari berbagai sudut.

Jika tidak ada keupayaan untuk memilih peluang mana satu yang paling menguntungkan, anda akan gagal untuk pergi jauh dengan pantas. 

Teori 80/20 amat berguna dalam bab ini. Peka dengan apa yang berlaku, kumpul, ukur dan bandingkan segala maklumat. 

Pilih yang paling menguntungkan. Nekad untuk tolak selain dari itu.

6. Kenal pasti apa yang penting

Apa saja yang tak penting, perlu nekad dan bersedia melepaskannya.

Ini adalah lanjutan dari pendekatan no 5 di atas. Anda perlu pasti mana satu penting dan mana satu tak penting. 

Jika yang sedang dilakukan membuatkan anda dapat hasil banyak tapi hasil itu tak penting, masih tetap tak guna. Contoh paling mudah bila buat iklan, dapat like yang sangat luar biasa. Tapi satu salespun tak berhasil dari iklan tersebut. Nak buat apa?

Jadi pilih hanya yang penting dan lepaskan tanpa ragu-ragu apa saja yang tak penting. Tak payah nak berkalau-kalau tunggu, kononnya mana tahu satu masa nanti akan jadi penting.

7. Hasil banyak pada perkara penting

Anda perlu sasarkan dan berusaha untuk mencapai hasil yang banyak terhadap perkara yang penting dalam masa yang paling pantas.

Bila dah kenal pasti mana yang penting. Berusaha untuk mendapatkannya sebanyak mungkin. 

Bukan itu saja, sentiasa cari jalan bagaimana nak mengumpulnya dalam masa yang paling pantas.

Jadi sentiasa ukur, buka mata, peka telingan, dan deria rasa untuk membuat pembaikan. Sentiasa cari tindakan yang paling banyak memberikan impak.

8. Minta bantuan bila perlu.

Untuk itu anda perlu percaya pada orang lain yang anda boleh minta bantuan bila diperlukan.

Selain dari percaya pada diri sendiri, jangan abaikan keupayaan yang ada pada orang lain. 

Kenal pasti siapa yang dapat memberikan sokongan dan bantuan. Jangan segan-segan nak minta bantuan. Tapi ingat, terlebih dahulu, jangan kemut untuk bantu orang lain itu, tanpa sebarang ganjaran.

9. Bangun dari mimpi, lihat sekeliling

Sentiasa sedar secara maksimum apa yang sedang dilakukan dan memberikan tumpuan penuh dengan siapa anda bersama

Punca ramai orang tidak tenteram jiwanya adalah disebabkan fikiran sering melayang samada berada di hari semalam atau khuatir terhadap hari esoknya. 

Latih untuk sentiasa sedar dalam keadaan semasa, sedar dengan apa yang sedang dilakukan dan paling penting berikan tumpuan dengan orang yang ada bersama anda. 

Jika anda berikan tumpuan, anda dapat pastikan samada, anda bersama orang yang betul dan tidak membuang masa.

10. Nikmati dan hargai detip perjalanan

Anda perlu menikmati setiap detik perjalanan yang dilalui susah atau senang

Sama juga dengan no 9 di atas tadi.

Jika anda sedar dengan apa yang sedang dilakukan, sedar pula dengan siapa anda bersama, tidak dapat tidak, anda pasti menikmati pengalaman ketika itu. 

Jika ianya tidak mampu dinikmati, samada apa yang anda buat adalah salah atau orang yang bersama anda tidak sesuai.

Tinggalkan saja, jangan buang masa.

Begitulah lebih kurang secara ringkas dan padat tentang 10 pendekatan yang boleh anda amalkan untuk mendapatkan hasil yang banyak walaupun dengan melakukan kerja yang sedikit.

Saya masih cuba mengamalkannya. Masih tidak sempurna dan terlalu banyak kelemahannya. Tapi sekurang-kurangnya sudah ada sedikit usaha.

Peganglah prinsip atau pendekatan tersebut di atas dan jika anda memang dah lama mengamalkannya, sudilah kiranya kongsikan hasilnya kat ruang komen di bawah ini.

*Do less, get more – Shaa Wasmund

Post a Comment

Previous Post Next Post