Pengalaman berhadapan kes pekerja menipu dan pecah amanah sepanjang jalankan perniagaan


Kes pekerja menipu syarikat merupakan salah satu masalah yang semua usahawan bakal hadapi bila jalankan perniagaan.

Ini adalah sikap manusia yang punya budaya yang buruk dan tidak punya integriti dalam mempertahankan prinsip hidup mereka.

Bab pertahankan prinsip hidup dan mengamalkan budaya penuh integriti adalah salah satu perkara yang banyak ditekankan dalam Al-Quran. 

Namun begitu kebanyakan daripada mereka yang mengaku sebagai seorang muslim sering alpa dalam hal tersebut. Mengaku pada mulut tak sama dengan mengamalkannya.

Pekerja tipu syarikat nasi kandar

Saya pernah berbual dengan beberapa taukeh nasi kandar di Pulau Pinang. Kita biasanya merasa agak cemburu dengan kejayaan perniagaan nasi kandar ini terutamanya di Pulau Pinang.

Kesibukan para pekerja nasi kandar melayan pelanggan yang tak kunjung padam masuk ke kedai mereka menggambarkan betapa lumayannya hasil perniagaan tersebut. Apatah lagi perniagaan mereka semuanya dijalankan secara tunai.

Tak ada lagi perniagaan yang seronok untuk dimiliki selain dari perniagaan yang dilakukan secara tunai. Itulah yang saya usik pada taukeh kedai nasi kandar ketika bersembang.

Tapi mengejutkan, apabila mereka menceritakan kelebihan itu sebenarnya ada buruknya. 

Menurut salah seorang taukeh nasi kandar, mereka biasanya hilang duit secara tunai dalam lingkungan RM25 ribu sebulan.

Siapa agaknya yang songlap duti sebanyak itu.. cuba teka ?

Anda mungkin tak sangka duit itu semua diambil oleh para pekerja nasi kandar yang melayan para pelanggan di kedai mereka.

Sebab itu kedai nasi kandar di pasang CCTV di tempat-tempat yang strategik. Ia lebih diperlukan untuk mengawasi para pekerja yang licik memasukkan duit ke dalam poket mereka sendiri.

Pelanggan galak pekerja menipu

Ada juga situasi di mana pelanggan sendiri yang mengajar para pekerja penipu syarikat. 

Ini menjadi satu lagi faktor yang membuatkan pendapatan perniagaan menjadi berkurangan dan tak mustahil mengakibatkan kerugian sampai tutup kedai.

Baru-baru ini saya melayan seorang pelanggan yang menghubungi telefon bimbit saya. Prospek ini datang dari artikel lama dalam blog berkenaan bisnes pest control yang dah lama saya jalankan sejak tahun 2003 lagi. Walaupun dah lama, kesemua artikel dalam blog tersebut masih lagi menjana prospek untuk perniagaan saya itu.

Pelanggan itu menceritakan masalah rumahnya yang telah diserang anai-anai. Setelah memberikan penerangan, saya berikan anggaran harga untuk satu-satu rawatan anai-anai di rumah.

Setelah mendengar anggaran harga, maka dengan selamba pelanggan itu mencadangkan supaya saya buat kerja luar dan dia akan membayar secara terus kepada kerja saya itu. 

Dia kata, tak payah libatkan syarikat supaya saya boleh menawarkan satu harga yang rendah.

Saya jawab,  “tak boleh, ada masalah sikit !”.

Dia tanya, “kenapa ?”

”Masalahnya adalah syarikat itu saya punya sendiri ! “, jawab saya selamba juga.

”Takkan saya nak tipu syarikat saya sendiri ? “, sambung saya lagi padanya.

Dia terdiam sebentar. ” Saya ingat tuan pekerja kat situ ! “, kata prospek itu yang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu.

Saya kata, kalau pekerja pun tuan tidak sepatutnya buat macam tu. Mengajar pekerja menipu syarikat dan seterusnya membunuh hasil usaha majikan untuk membina dan menyara para pekerjanya selama ini.

Saya amat kesal dengan sikap sebegitu yang amat bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama kita.

Sempat juga saya berikan syarahan pada pelanggan itu dan seterusnya menamatkan perbualan.

Budaya pekerja menipu syarikat

Budaya pekerja menipu syarikat berlaku di mana-mana samada secara terang mahupun tersembunyi. Semuanya berpunca dari keinginan nak tambah pendapatan secara mudah.

Ramai yang tidak memikirkan halal haram dalam bab ini walaupun kadangkala pekerja itu jenis yang tak tinggal solat dan banyak bercakap pasal agama.

Menurut kajian, semakin jauh sesuatu benda atau perkara itu boleh ditukarkan kepada wang tunai, semakin mudah dan cenderung untuk para pekerja menipu syarikat.

Maksudnya, kebanyakan pekerja yang biasanya baik tidak akan mudah untuk ambil wang tunai syarikat tempat dia berkerja. Itu dianggap sebagai satu kesalahan yang wajib dielakkan. 

Contohnya kalau dia menerima wang tunai dari pelanggan, pekerja akan serahkan semua wang tersebut kepada syarikat.

Tetapi sebaliknya, para pekerja tidak segan silu untuk ambil produk atau barangan kepunyaan syarikat samada untuk kegunaannya sendiri atau untuk dijual dan ditukar dalam bentuk wang.

Di situ perlu ada sedikit proses untuk membolehkan barangan bertukar kepada wang.

Dalam kes syarikat pest control saya, pekerja biasanya akan ambil bahan kimia kepunyaan syarikat, menggunakan peralatan syarikat, guna van syarikat dan minyak petrol yang diisi atas duit syarikat, untuk pergi ke rumah pelanggan buat kerja secara diam-diam bukan atas nama syarikat.

Guna semua kemudahan syarikat dari peralatan sampai marketing kemudian belasah semua hasilnya masuk poket sendiri!

Mereka anggap dengan ada sedikit usaha begitu, mungkin menghalalkan segala aktiviti menipu syarikat. 

Anda sendiri boleh menilai samada duit yang mereka ambil, digunakan untuk membela anak isteri dan digunakan untuk makan dan minum adalah halal atau tidak.

Walau apapun jawapan anda, budaya menipu syarikat sedemikian tetap sentiasa berlaku setiap kali ada peluang. 

Tawaran yang diberikan oleh pelanggan supaya pekerja buat kerja luar dan dibayar secara terus kepada pekerja adalah terlalu sukar untuk ditolak melainkan seseorang itu punya integriti yang amat tinggi.

Bangla yang tak mahu tipu syarikat

Ada satu ketika saya sengaja nak menguji seorang pekerja berbangsa Bangladesh yang menjaga dan mengutip bayaran parking. 

Bayaran sekali masuk ke tempat letak kereta itu adalah RM5. Saya tawarkan kepada Bangla itu RM3, tak payah berikan resit dan duit itu masuk ke dalam poketnya.

Dia tersenyum dan gelengkan kepala tanda tak mahu. Saya kata, tak perlu risau sebab tak ada orang tahu dan taukehnya pun tak akan tahu.

Bangla itu senyum sekali lagi dan menudingkan jarinya ke atas langit…

”Tuhan tahu… ! “, jawabnya perlahan.

Saya senyum dan berikan RM5 padanya, sambil mengambil resit dari tangannya, saya memujinya dan berkata moga Tuhan memberkati kejujurannya.

Tutup kemudahan pekerja tipu syarikat

Pengalaman dengan Bangla di atas sudah tentu merupakan kes terpencil. 

Jika benar dia seorang yang punya integriti tinggi, dia merupakan keturunan atau spesis rare yang wujud di atas muka bumi. Biasanya golongan tersebut hanyalah dalam lingkungan 1% sahaja.

Satu lagi kes ekstrim adalah pekerja yang akan tetap tipu syarikat walaupun kita buat berbagai usaha untuk mengelakkan kena tipu. Walaupun di kunci dan dipasang bedal ayam, pekerja jenis ini akan pecahkan dan masuk mencuri.

Itu juga meliputi 1% daripada jenis manusia yang memang jahat dan berniat nak buat jahat. Mereka mungkin dari kalangan penjenayah yang tegar.

Dari jumlah 1% yang ekstrim baik dan 1% dari yang ekstrim jahat, hanya tinggal 98% sahaja golongan manusia lain-lainnya.

Itu termasuklah saya dan mungkin juga anda. Golongan 98% inilah yang segala usaha untuk mengelakkan pekerja mudah tipu syarikat disasarkan.

Ini kerana usaha elak pekerja tipu syarikat tidak dperlukan sama sekali untuk kumpulan ekstrim baik.

Begitu juga tidak akan berkesan untuk golongan ekstrim jahat, mereka akan tetap cari jalan sampai dapat menipu.

Jika kemungkinan untuk mencuri atau menipu syarikat menjadi agak sukar, golongan yang akan terkesan adalah kumpulan 98% tadi.

Mereka biasanya akan mengelak dan syarikat akan selamat. Sebagai contoh, jangan benarkan pekerja kutip wang tunai dari pelanggan dengan kenakan syarat pembayaran mestilah dalam bentuk bank-in terus atau keluarkan cheque.

Atau contoh paling mudah adalah simpan barang kepunyaan syarikat dalam stor yang kukuh dan berkunci dengan segala aktiviti dan pergerakan barangan di rekodkan. 

Itu semua adalah usaha untuk memungkinkan pekerja menipu syarikat menjadi lebih sukar.

Post a Comment

Previous Post Next Post