Kenapa tak ada sesiapa nak beli syarikat dan bisnes yang sedang anda usahakan sekarang


Bagi yang miliki syarikat dan berniaga sepenuh masa sekarang, pernah tak tanya soalan berikut di bawah;

Jika anda buat keputusan nak jual syarikat dan bisnes yang sedang dijalankan sekarang, agaknya ada sesiapa yang berminat untuk membelinya atau tidak?

Banyak faedah yang anda akan dapat hasil dari pertanyaan di atas. Terutamanya dalam merangka strategi pengurusan perniagaan yang sedang dijalankan sekarang.

Kenapa nak jual bisnes

Ada macam-macam sebab kenapa orang yang ada bisnes atau syarikat perniagaan, terfikir nak jual bisnes yang dia sedang buat tu.

Paling kerap yang saya jumpa, dia nak jual sebab dah tak tahan menanggung rugi. Tak mampu lagi hadapi tekanan perasaan seorang diri.

Kerja teruk setiap hari cuba hidupkan bisnes. Tapi malangnya setiap bulan kena suntik duit poket sendiri, masuk ke dalam akaun syarikat sebab nak selesaikan segala pembayaran dan bil perniagaan.

Nak bayar gaji pekerja, duit syarikat tak cukup. Nak bayar bahan mentah dan segala kos tetap operasi perniagaan, duit dalam akaun syarikat tak ada dah.

Kalau perniagaan berada dalam keadaan begitu, ertinya jumlah jualan yang dibuat dalam perniagaan tak mencukupi. Sales tak capai titik pulang modal.

Atau satu lagi kes, sales meletup-letup. Banyak kerja sebab bisnes laku keras. Tapi malangnya, pembayaran tidak diterima dari pelanggan. Itu sering berlaku dalam bisnes yang berikan kredit pada pelanggan. Bisnes ok tapi aliran tunai koyak. Ini agak ok berbanding kes pertama di atas tu. Kita fokus hanya pada isu di pertama di atas dulu.

Agaknya, ramai ke orang yang sudi beli bisnes macam tu?

Anda sendiri tahu jawapannya.

Siapa nak beli bisnes yang merugikan?

Dalam kes macam tu, bukan cerita nak jual bisnes. Sebaliknya nak jual apa saja aset yang syarikat ada untuk berhenti terus dari perniagaan.

Kebiasaannya, harga jualan sedemikian adalah harga runtuh. Pembeli akan tekan penjual yang memang dah tak ada pilihan selain dari cuba rendahkan kerugian yang dah memang ditanggung selama ini.

Kalau anda buka bisnes workshop baiki kenderaan, anda akan jual segala peralatan yang ada. Tak timbul isu nak jual bisnes pun sebab terang-terang bisnes tu tak ada pelanggan.

Kalau anda buat perniagaan ajen pelancongan, anda mungkin nak jual lesen ajen pelancongan yang syarikat ada. Juga tak timbul nak jual bisnespun sebab memang tak ada bisnes yang mencukupi.

Bisnes untung tapi nak jual juga

Satu lagi sebab lain yang membuatkan seseorang nak jual bisnes adalah kerana dia dah malas nak teruskan perniagaan yang dia jalankan sekarang.

Bisnes memang ada buat untung.

Malah dia sendiri selama ini banyak buat duit beli harta di sana sini melalui duit yang dijana oleh bisnes yang diusahakannya.

Duti simpanan taukeh juga boleh tahan banyak. Juga hasil dari keuntungan perniagaannya selama ini.

Sekarangpun bisnesnya masih tetap berjalan lancar dan menjana keuntungan.

Cuma taukeh dah mula rasa letih sangat mungkin atas faktor umur.

Anak-anak pula kesemuanya tak berminat dengan bisnes yang ayahnya jalankan. Masing-masing ada kerjaya yang baik. Hasil dari usaha ayah selama ini memberikan pendidikan hingga semuanya jadi profesional dalam kerjaya masing-masing.

Bila dah jadi macam tu, taukeh tak ada pilihan lain untuk rehatkan diri selain dari buat tawaran untuk jual saja bisnesnya pada sesiapa yang berminat.

Kalau ada kes macam itu. Agaknya ada ke orang yang berminat nak beli?

Anda rasa mungkin ramai berminat nak beli perniagaan macam tu. Tapi, sebenarnya, belum tentu.

Berniaga atau kerja sendiri

Samada orang beli atau tidak bergantung kepada, samada anda menjalankan perniagaan atau sekadar kerja sendiri.

Cara untuk tahu samada anda kerja sendiri atau berniaga sebagai seorang usahawan mudah saja.

Cuba bayangkan kalau anda tak pergi kerja macam biasa. Tutup semua telefon. Jauhkan diri dari perniagaan tu. Duduk rumah saja atau lebih bagus lagi pergi masuk ke dalam hutan Taman Negara di Pahang atau Perak berkampung dengan orang asli selama beberapa bulan.

Agaknya bisnes tu masih tetap berjalan lancar atau tidak?

Kalau dengan berbuat demikian, bisnes anda masih tetap berjalan lancar macam tak ada apa-apa yang berlaku. Masih tetap menjana keuntungan dan terurus dengan baik. Maknanya anda memang seorang usahawan yang berniaga dengan baik.

Tapi. Jika dengan berbuat begitu, bisnes anda terus mampus. Berterabur bertempiaran lari habis kesemua pekerja. Tak ada orang yang tahu nak buat apa-apa. 

Pintu kedaipun tak terbuka tanpa kehadiran anda. Maka itu jelas dan nyata anda selama ini hanyalah seorang yang makan gaji di premis perniagaan anda sendiri.

Bisnes jalan hanya sebab kemahiran anda.

Bisnes jalan hanya sebab anda ada.

Orang kenal bisnes yang anda buat sebab anda. 

Ertinya orang lebih kenal anda dari bisnes anda sendiri. Mereka mahukan perkhidmatan anda dan bukannya perkhidmatan atau produk yang ada dari bisnes anda.

Cuba fikirkan !

Siapa nak beli bisnes yang anda nak jual kalau macam tu?

Apa lagi jika orang yang nak beli tu tak dapat pastikan yang anda akan bantunya ambil alih dalam tempoh masa yang mencukupi sehingga dia dapat serap kesemua maklumat dan kemahiran yang anda simpan dalam diri anda itu selama ini.

Kalau orang yang nak beli bisnes itu ada kemahiran sama macam yang anda ada, isu lain yang mungkin timbul adalah, adakah pelanggan tetap yang ada selama ini nak berurusan dengan orang lain pulak?

Itu juga satu risiko yang besar pada orang yang nak beli perniagaan anda tu.

Maksudnya, jualan yang ada selama ini tidak solid. Mungkin tidak ada ikatan perjanjian atau kontrak yang jelas dan terjamin.

Siapa nak beli bisnes yang sebaik saja diambil alih, habis kesemua pelanggan lari?

Bisnes yang mudah untuk dijual

Sebelum fikirkan untuk jual saja perniagaan yang ada sekarang, anda perlu pastikan bisnes itu mudah untuk mendapatkan pembeli yang berminat.

Pastikan orang berminat nak beli syarikat anda dengan harga yang lumayan sebab bisnes anda memang terjamin menguntungkan walau siapa saja yang jadi taukehnya.

Bisnes anda dah auto pilot.

Bisnes anda ada jualan yang sangat solid dan terjamin kukuh.

Orang berurusan dengan bisnes anda sebab sistem perjalanan syarikat anda sangat cekap dan memuaskan hati semua pengguna.

Bukan anda yang jadi nyawa penting untuk bisnes itu hidup. Sebaliknya sistem perjalanan keseluruhan bisnes itu sendiri yang dah dibina dengan baik selama ini.

Macam nak buat semua tu?

Cari coach. Dapatkan bantuan pembimbing perniagaan yang ada pengalaman dan kemahiran menyusun sesebuah syarikat jadi auto-pilot.

Atau jika anda jenis rajin belajar sendiri, pergi saja kedai buku, cari buku yang berkaitan dan baca serta cuba laksanakan.

Tak ada jawapan cara untuk jadikan bisnes auto pilot dalam artikel ini. Sekadar mahu cetuskan idea untuk mengnalisa kedudukan perniagaan yang sedang dijalankan sekarang. Jawapannya mungkin ada dalam artikel lain di blog ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post