Untuk selamatkan diri dari belenggu hutang, tak ada cara lain yang lebih selamat selain dari membeli belah dengan menggunakan wang yang anda miliki. Dalam Bahasa Inggeris, disebut cash dan dalam bahasa kita biasa di sebut tunai.
Tunai tidak semestinya seketul atau seberkas dalam genggaman. Sekarang ni ada berbagai cara untuk lakukan transaksi tanpa perlu simpan duit fizikal dalam dompet anda.
Tunai di sini bermakna bayar terus dari duit yang anda ada.
Jika anda mahu pastikan aktiviti kewangan menjadi ringkas, dalam masa yang sama dapat mengawal aktiviti kewangan agar tidak tercicir dari landasan, anda perlu amalkan tabiat membeli barangan keperluan dengan menggunakan wang yang anda miliki sahaja.
Paling baik, beli dengan duit tunai. Biar nampak duit dikeluarkan, dikira satu demi satu, dan hulurkan kepada cashier. Berat mata memandang, berat lagi tangan yang menghulur ..
Bahaya kad kredit
Pusat membeli belah, pasaraya dan sebagainya, memang suka dengan amalan pembayaran menggunakan kad kredit.
Perkataan perangkap yang ada di situ adalah, MUDAH.
Peniaga tahu kelemahan manusia setiap kali berhadapan dengan perkara yang mudah. Ia menjadi salah satu sebab utama manusia membuat pilihan.
Contoh mudah adalah jika anda terpaksa pilih antara 2 perkara penting untuk dilakukan. Yang lebih mudah akan menjadi pilihan. Itu amalan biasa yang berlaku kepada semua manusia normal.
Apabila cara pembayaran dimudahkan, maka secara automatik, pengguna akan terbeli lebih dari yang sepatutnya.
Sebab itu kita lihat semua pasaraya serta pusat membeli belah menyediakan kemudahan sistem pembayaran kad kredit.
Kajian yang dijalankan terhadap tabiat membeli di kalangan pengguna menunjukkan bahawa pelanggan cenderung untuk berbelanja lebih dua kali ganda apabila mereka tidak perlu mengeluarkan wang tunai bagi membeli sesuatu. Hati tak pedih sangat bila tak lihat duit kertas tunai tu dihulurkan.
Dengan menggunakan kad kredit, pelanggan biasanya terleka untuk membeli apa sahaja yang dia inginkan, walaupun kebiasaannya barangan tersebut tak berapa diperlukan sangat.
Pelanggan juga akan terleka untuk terus berbelanja dengan menggunakan kemudahan kad kredit yang tidak memerlukan dirinya mempunyai wang tunai di dalam akaun bank. Lagipun, pengguna kad kredit hanya perlu membuat bayaran yang minima sahaja bila cukup bulan.
Daripada pembacaan, saya mendapat tahu bahawa kebanyakan orang kaya termasuklah tuan punya bank yang mengeluarkan kad kredit itu sendiri, tidak suka menggunakan kad kredit untuk membeli barang keperluan mereka.
Walaupun bank milik mereka sendiri ada menawarkan kemudahan kad kredit pada para pengguna, mereka sendiri tidak percaya akan sistem berbelanja tanpa wang itu.
Bayar tunai saja
Bermula daripada sekarang, jadikanlah amalan membeli belah dengan menggunakan wang tunai sahaja. Itu yang paling afdal. Kalau nak pakai kad, pakai yang debit. Terus tolak dari duit tunai yang anda ada dalam akaun bank.
Seandainya anda ke kedai dan tidak membawa wang tunai, tak perlulah membeli. Batalkan saja niat tersebut sehinggalah anda terpaksa datang semula bila ada masa nanti, datang dengan wang tunai.
Jika anda guna kad debit, pastikan sentiasa pantau baki yang ada dalam akaun. Setiap kali buat bayaran, bayangkan duit ditolak melayang keluar dari akaun anda dan meninggal bakinya yang makin berkurangan.
Saya senaraikan beberapa kelebihan membeli dengan menggunakan wang tunai. Antaranya adalah:
- Hanya barang yang berkemampuan sahaja kita akan beli. Seandainya tak ada duit dalam akaun atau dalam simpanan, anda tak dapat meneruskan niat membeli. Ini berbeza jika anda menggunakan kad kredit. Ia mengizinkan anda membeli walaupun tak ada wang dalam akaun bank.
- Pembelian dengan wang tunai membuatkan anda terpaksa mengira dengan betul antara barang dan jumlah wang di dalam poket anda. Selagi anda mengira begitu, terlajak membeli benda yang tak perlu tak akan terjadi. Jika terlajak beli dan wang tak cukup, anda terpaksa memilih yang lebih penting antara yang terpenting.
- Membawa wang di dalam poket dengan kadar yang berpatutan biasanya membuatkan diri kita berasa lega. Wang di dalam poket adalah cagaran jika ada berlaku perkara-perkara terkejut di luar jangkaan. Tapi janganlah bawa wang yang besar jumlahnya. Ianya amat merbahaya.
- Sikap berhati-hati untuk tidak membawa wang tunai yang banyak di dalam dompet juga menjadi satu alat kekangan berbelanja yang baik dan automatik untuk mengajar anda berjimat.
- Tanpa kad kredit bermakna anda hidup tanpa hutang yang tak patut. Bagi saya hutang kad kredit adalah satu jenis hutang yang buruk dan jelek yang tak sepatutnya terjadi. Tetapi hutang seperti pembelian rumah dan seumpamanya memang tak boleh dielakkan.
Susahkan proses membeli
Penjual dan peniaga tahu teknik memudahkan semua perkara dan urusan membeli untuk buatkan barangan yang mereka jual laku keras.
Bila dah tahu itu, anda boleh atasinya dengan menyusahkan diri sendiri setiap kali mahu membuat belian. Sebab itu saya syorkan lebih banyak guna duit tunai sahaja dalam pembelian.
Jadi sebagai langkah paling awal untuk anda menguruskan hutang yang membelengu diri, anda perlu pastikan mulai dari saat ini, akan hanya membeli barang keperluan atau membeli belah dengan hanya menggunakan wang tunai sahaja.
Tak ada wang tunai, tak payah beli. Semua kad kredit yang anda sekarang, jika ada simpanlah di dalam satu dompet yang berasingan. Simpan sekadar untuk anda selesaikan hutang yang masih ada sahaja di dalamnya.
Apabila selesai kesemua hutang tersebut, gunting sahaja kad kredit itu dan batalkan penggunaannya dengan segera. Mungkin anda hanya perlu simpan hanya satu kad kredit sahaja untuk tujuan kecemasan atau penggunaan ketika berada di luar negara, itupun jika perlu sahaja.
Anda tidak perlu risau jika selepas ini apabila berjaya mengekang diri sendiri sehingga selesai semua hutang kad kredit. Ini kerana tabiat membeli secara tunai yang telah dilatih akan berterusan dalam diri anda.
Apabila tabiat membeli dengan menggunakan wang tunai bertapak dalam diri, anda akan selamat sejahtera dan hidup akan tersa bahagia.