Hidup ringkas bukan bermakna hidup selekeh tiada keinginan untuk cemerlang


Ketika minum dengan kawan-kawan baru-baru ini, ada seorang melawak pada saya tentang amalan hidup ringkas. 

Katanya, jika semua orang amalkan gaya hidup ringkas maka habislah semua perniagaan yang tawarkan produk mewah-mewah akan bungkus gulung tikar kerana tidak ada lagi orang yang akan membeli produknya!

Semua barangan yang mahal-mahal sudah tidak mendapat perhatian lagi jika semua orang amalkan kehidupan yang ringkas. Begitulah gurauannya.

Walaupun melawak, saya yakin itulah yang terbayang dalam fikirannya tentang gaya hidup ringkas. Gaya hidup sederhana yang lebih mengarah kepada hidup selekeh. Pakaian, tempat tinggal, makan dan minum ala kadar saja.

Tapi hidup ringkas bukan macam tu. Malah jika kita mahu namakan hidup sederhana sekalipun. Sebab sederhana dalam kehidupan itu sendiri amat subjektif dan tidak mempunyai nilai yang tetap.

Asas kehidupan

Kehidupan mesti ada tanda aras minimun yang perlu dipenuhi. Perkara asas yang setiap manusia perlu adalah:

  • Makanan
  • Tempat berlindung

Itu 2 perkara asas yang mana kita tidak dapat elakkan diri untuk mendapatkannya jika mahu meneruskan kehidupan.

Kemudian, dalam arus kemodenan sekarang di mana semua kehidupan sudah dikuasai oleh teknik yang berteraskan hasil yang optimum, maka tak dapat dielakkan untuk tambah lagi perkara asas iaitu pendidikan.

Zaman tok nenek kita dulu, anda tak perlu ada apa-apa asas pendidikan untuk cari makan dan hidup. Tak reti membaca dan menulis pun tak ada masalah.

Tapi dunia sekarang sudah berbeza. Anda perlu ada perkara asas dalam pendidikan untuk membolehkan anda di ambil kerja. Manusia sudah dijadikan sebagai sah satu dari sumber atau alat pengeluaran sahaja.

Anda sendiri, yang sedang makan gaji sekarang, di mata para pemilik kekayaan dan perindustrian anda adalah sekadar sumber manusia. Seorang mampus, masuk seorang lagi ganti. Tiada apa-apa kepentingan dan macam kata mat saleh, nothing personal.

Kita tulis bab manusia moden dalam artikel lain jika ada kesempatan. Kali ni fokus bab hidup ringkas saja dulu.

Berbalik kepada keperluan asas yang semua manusia perlu dapatkan sekarang, iaitu, makanan, tempat berlindung dan pendidikan. Semua orang perlu tetapi, makanan jenis apa yang diambil, pendidikan tahap mana yang mampu dan tempat perlindungan bagaimana yang anda selesa adalah sesuatu yang subjektif.

Masing-masing ada keperluannya yang tersendiri bergantung kepada keadaan masyarakat, suasana muka bumi, keperluan untuk meneruskan hidup dan lain-lain seumpamanya. 

Itu semua menentukan tahap sederhana yang kita takrif.

Jika kita duduk di bumi khatulistiwa umpamanya, memakai kod, tali leher, kasut kulit tinggi, baju sejuk dan lain-lain bukanlah satu keperluan.

Malah mereka yang memakai kod, bertali leher yang menjerut leher dan berkemeja lengan panjang ditambah lagi dengan baju dalam sambil berbincang di kedai kopi tanpa penghawa dingin atau berjalan kesana sini melihat projek bangunan ditengah rembang adalah satu perbuatan yang boleh dikatakan agak bodoh.

Tetapi malangnya ada juga mereka yang berbuat begitu. Itulah satu contoh yang kita namakan gaya hidup yang menyusahkan diri sendiri, yang sepatutnya ringkas bersesuai dengan suasana mukabumi yang kita tinggal.

Barang mahal tak laku

Berkenaan barangan berjenama pulak, adakah ia akan mula hilang sebab pelanggan dah tak ada bila semua orang hidup ringkas.

Sudah tentu tidak sama sekali.

Ini disebabkan barangan berjenama datang sekali dengan kualiti. Kita tidak mempercayai suatu barang yang berjenama dan dijual dengan harga yang tinggi jika kualitinya sama sahaja dengan jenama berbeza dan berharga rendah.

Jika kualitinya sama, faedah yang kita dapat sama sahaja di antara dua jenama tetapi yang satu lagi lebih murah, maka tidak bijaklah jika kita masih meneruskan membeli jenama yang mahal.

Oleh itu bagi mereka yang mementingkan kualiti dalam kehidupannya dan dalam masa yang sama mahu amalkan gaya hidup ringkas akan memilih barangan berjenama yang terbukti kualitinya.

Apabila kita berfikiran sebegitu maka satu lagi kesan yang amat baik yang berlaku dalam masyarakat perniagaan adalah terbentuknya sistem ekonomi yang berfaedah dan bukan menjana sistem ekonomi yang membazir.

Aktiviti ekonomi positif akan terbentuk di mana kesemua produk perniagaan akan memikirkan kesesuaian dan faedah yang didapati oleh masyarakat berbanding hanya untuk menipu dan buat duit.

Keadaan aktiviti yang positif dan berfaedah secara lansung akan menghalang lambakan barangan tiruan yang mana ianya tidak berkualiti.

Bagi saya membeli barangan tiruan adalah satu pembaziran wang. Tujuannya semata-mata mahu menipu orang nak tunjukkan bahawa kita punya banyak wang. 

Hidup dengan menipu sebegitu bukalah cara satu gaya hidup yang sihat.

Hidup ringkas bukan bermakna hidup selekeh. Sebaliknya, hidup ringkas adalah hidup berdasarkan keperluan bagi memenuhi tugasan hidup anda secara optimum. Buat, beli, pakai, apa yang diperlukan sahaja untuk mencapai matlamat itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post