Tak perlu tunggu kaya raya untuk buat kebaikan dengan menjamu orang makan


Ada sekali tu, saya keluar pergi makan di sebah restoran yang menjual aneka sup. Sebaik saja sampai di restoran itu, saya duduk dan minta mihun sup daging bersama dengan secawan kopi ‘o’ panas.

Sambil duduk menunggu order sampai, di belakang kedai itu, terlihat seorang India yang berpakaian comot sedang duduk menyusun kotak yang dibuang orang.

Dalam asyik melihat lelaki India itu, mihun sup sampai. Dari jauh saya nampak mata India itu melekat pada makanan yang dibawa ke meja saya.

Terus jatuh rasa kasihan padanya. Saya beri isyarat, mengajak dia makan. Dia hanya anggukkan kepala.

Lalu saya buka mulut untuk bertanya, “mahu makan ke?”

Dia angguk sekali lagi bersungguh-sungguh.

“Nak makan apa?” tanya saya selanjutnya

“Sup ayam, mihun sup ayam", sambut lelaki India itu.

Ini peluang saya buat pahala!.

Saya panggil pelayan dan minta mereka berikan satu mihun sup ayam pada orang India itu.

India itu minta makanannya dibungkus. Dia tak mahu makan di situ. Mungkin dia mahu bawa balik dan berkongsi dengan keluarganya. Itu yang terlintas dalam fikiran saya. Kesian kat dia!.

Setelah mihun sup siap dan diberikan padanya. Dia ambil lalu bangun dan mengucapkan terima kasih banyak kali. Saya hanya mengangguk dan tersenyum puas dengan rezeki buat pahala yang saya dapat.

Rasa seronok tengok dia tahu berterima kasih. Dia berlalu membawa sebungkus mihun sup ayam sambil mengepil kotak kertas yang dikutipnya dari kawasan tong sampah berdekatan.

Sebenarnya, kita mampu saja untuk buat pahala dengan cara mudah. Belanja orang yang susah, yang anda temui di mana-mana untuk makan.

Di pusat bandar terutamanya, anda akan sering terserempak dengan orang yang merayau-rayau mencari rezki dari sumber bahan terbuang atau seumpamanya tanpa meminta-minta pada orang ramai. Ajaklah orang itu makan atau belanjalah dia minum.

Jika dia mahu membawa balik bungkusan makanan atau minuman itu, berikan padanya. Tentu dia teringatkan keluarganya yang kesusahan dan tidak sanggup makan seorang diri.

Buat pahala dengan berbelanja orang sebegitu adalah jauh lebih baik daripada memberikan wang pada mereka yang ke sana-sini meminta sedekah pada orang ramai.

Kebanyakan dari masa, mereka yang meminta sedekah adalah kumpulan sendiket yang punyai ketua yang jahat. Atau individu nak buat kerja mudah, sebenarnya hidup tak susah, tapi ambil kesempatan ke atas sifat pemurah rakyat Malaysia untuk buat kerjaya dapatkan duit melalui minta sedekah.

Tak salah belanja atau sedekah pada orang kaya, kita masih tetap buat pahala, tetapi biasanya sedekah pada orang yang betul-betul memerlukannya, akan diiringi dengan doa kesyukuran dan kebaikan pada kita, dan biasanya doa mereka mustajab.

Kawan baik rajin belanja orang makan

Dalam bab belanja makan ni, teringat saya pada seorang rakan yang dah meninggal ketika wabak covid-19 menggila di negara kita sebelum ini. Dia salah seorang mangsa yang tewas menghembuskan nafasnya dalam usia yang masih muda, pertengahan 40-an.

Masa mula-mula datang ke Lembah Kelang dulu, saya selalu balik ke utara dengan menumpang keretanya setiap kali musim cuti. Kami sering travel berdua.

Dia yang mula mengajar saya budaya belanja orang makan seperti yang saya kongsikan di atas tadi.

Ketika itu dia kerja bagus, di sebuah syarikat petroleum antarabangsa dengan pendapatan yang sangat baik.

Sekali tu kami singgah rehat makan di RnR Tapah, kalau tak silap saya. Selepas ambil makanan masing-masing, kami berdua duduk dan makan. Ketika makan, datang seorang lelaki, agak selekeh, memonon ehsan sedikit sumbangan duit dari kami.

Dia beritahu dan beberapa hari terkandas di situ dan tak ada duit untuk balik dan dia kelaparan. Saya lihat mulutnya kering dan tangannya menggigil.

Kawan saya tu, dengan selamba bangun dan ajaknya ke salah satu gerai makan di situ. Dia suruh kakak gerai buat sepinggan nasi, lalu anya lelaki tu nak makan lauk apa. Lelaki itu tunjukkan kari ayam. Itu saja yang dia mahu. Disuruh letak lagi sayur atau lauk lain dia tak mahu.

Kemudian, bila dah siap, diberikan nasi bersama lauk ayam tu padanya. "Pergi duduk makan!', kata kawan saya padanya.

Dia ambil dan pergi duduk di salah satu meja makan yang tak jauh dari kami. Sementara itu kawan saya pergi beli air pula lalu diletakkan pada lelaki tersebut.

Saya lihat dia makan dengan lahap. Memang lapar benar dia. Kesian!.

Kami selesai dan mahu beredar. Kawan saya hulurkan pula RM20 kepadanya. Tak henti lelaki itu ucapkan terima kasih. Kelihatan air matanya bergenang.

Itulah amalan baik yang arwah kawan saya tunjukkan dan saya tak pernah lupa untuk turut sama amalkan. 

Bagi orang makan, di mana saja anda jumpa mereka yang susah. Tak perlu tunggu kaya, jamu secara besar-besaran untuk buat kebaikan. Semua orang mampu saja amalkannya.

1 Comments

  1. SubhanaLLah.MasyaAllah tabarakaLLah.coretan Tuan Bihi tak pernah takde manfaat.berkongsi kebaikan nampak simple,tapi sangat bermakna buat yang memerlukan.Terima kasih.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post