Anda dah berniaga?
Kalau dah berniaga, artikel ini sangat relevan untuk anda.
Bukan setakat relevan, malah amat penting untuk dihadam sampai faham.
Kalau anda faham apa yang akan saya kongsikan dalam artikel ini, anda akan rasa mudah dan tak hilang punca mencari jalan bagaimana nak majukan perniagaan yang sedang dijalankan sekarang.
Tambah pulak jika baru berniaga. Elok sangat untuk saya dedahkan perkara asas ini.
Namun begitu, ramai yang dah lama berniaga pun sebenarnya tak berapa perasan formula ringkas ini Yang mampu berikan pedoman mudah untuk melayari perniagaannya.
Oleh itu jika anda dah lama berniagapun, sila berikan perhatian pada apa yang saya ak kongsikan ini.
Apa berlaku bila dah berniaga?
Seram sejuk!
Ya! mungkin ini yang sering berlaku bila dah berniaga.
Sebelum berniaga, ketika hanya sekadar angan-angan, semuanya dibayangkan hebat. Rasa idea anda terlalu hebat. Sure berjaya. Tentu tak menang tangan nanti orang berebut nak bagi duit kat anda.
Paling lucu, tak mahu share idea niaga tu dengan kawan-kawan.
Dengan sesiapa saja anda curiga. Takut kalau orang tahu idea niaga anda tu, orang akan libas curi idea hebat tersebut. Jadi diam-diam simpan semua idea tu dalam kepala.
Syok sendiri bila tak ada sesiapa yang cabar segala andaian hebat yang bakal membuatkan anda masuk TV dan keluar majalah serta semua akhbar harian di Malaysia. Semua orang yang pandang rendah keupayaan anda tentu akan terkedu nanti.
Begitulah andaian penuh bunga mengharum yang bersinar dalam benak kepala anda.
Tapi bila dah berniaga, mula rasa seram sejuk.
Awat semuanya yang dibayangkan macam tak jadipun?
Awat duit keluar laju sangat?
Yang masuk pula macam tersekat-sekat jauh terlalu lembab berbanding yang keluar?
Walau macam mana sekalipun yang berlaku, anda perlu relaks dan cuba faham proses perniagaan bila dah berniaga ini.
Berikut apa yang berlaku bila anda dah berniaga.
1. Siapa tahu kewujudan bisnes anda
Bila dah berniaga, ini soalan pertama yang anda perlu khuatirkan.
Berapa ramai yang dah tahu kewujudan perniagaan anda bila dah berniaga tu?
Ambil kertas dan buat anggaran dan kiraan sekarang.
Hanya ada dua kumpulan manusia sahaja di awal permulaan bisnes anda itu. Pertama mereka yang tahu pasal bisnes anda dan keduanya mereka yang tak tahu.
Hakikat yang anda perlu terima adalah, orang yang tak tahu terlalu jauh, amat jauh lebih besar daripada mereka yang tahu. Tak payah nak perasan hebat setakat manapun. Itu hakikat sebenar yang berlaku pada semua perniagaan yang baru bermula.
Itu berita baik sebenarnya.
Bila yang tahu pasal bisnes anda terlalu sedikit, mungkin boleh kira jari, ertinya untuk kenal pasti siapa mereka terlalu mudah. Oleh itu sila buat pemerhatian. Kenal pasti siapa mereka dan bagaimana mereka tahu kewujudan bisnes anda itu.
Anggar berapa ramai jumlah mereka.
Contoh mudah:
Kalau premis bisnes anda tepi jalan. Berapa ramai orang yang lalu lalang setiap hari depan kedai anda tu?
Itulah jumlah mereka yang tahu kewujudan anda.
Jumlah atau angka tersebut merupakan perkara pertama yang anda perlu cuba ukur dan buat anggaran.
2. Berapa ramai jadi pelanggan
Kalau tadi anda dah buat anggaran berapa ramai yang tahu kewujudan bisnes anda. Sekarang anda perlu kira pula berapa ramai yang berjaya anda jadikan pelanggan.
Ertinya, mereka yang tahu pasal bisnes anda dan mereka tertarik untuk datang dan seterusnya yakin lalu keluarkan duit dari poket mereka untuk mencuba apa yang anda jual.
Anda telah berjaya tukarkan prospek kepada pelanggan.
Berapa ramai jumlahnya?
Jumlah tersebut diperlukan untuk mendapatkan satu lagi angka yang amat penting dalam perniagaan anda.
Katakan dalam sehari, anda berjaya kumpulkan seramai 100 orang pelanggan. Dalam anggaran anda di atas tadi, katakan seramai 1000 orang tahu kewujudan anda sebab mereka sentiasa lalu pergi dan balik depan premis perniagaan anda.
Dari semua angka tersebut anda boleh dapatkan angka yang dipanggil nisbah peratusan pertukaran jadi pelanggan berbanding prospek.
Dalam contoh yang saya berikan, nisbah tersebut adalah 100/1000. Dalam peratusan ianya bersamaan dengan 10%
Ertinya dalam 1000 orang yang tahu anda wujud, anda berjaya tukarkan seramai 100 orang menjadi pelanggan. Itu merupakan angka kedua yang anda perlu simpan dan pantau baik-baik untuk aktiviti memajukan perniagaan anda supaya lebih baik.
3. Berapa nilai belian mereka
Kalau tadi anda dah ukur berapa ramai berjaya dijadikan pelanggan, sekarang anda kena perhatikan pula berapa secara purata, pelanggan anda berikan duit pada perniagaan anda
Penting!
Nampak tak betapa pentingnya catitan dalam perniagaan.
Anda perlu cari jalan untuk buat kesemua catitan tersebut bila dah berniaga. Jangan main-main dengan aktiviti mencatit ini kalau mahu pergi jauh.
Anda boleh kira dengan mudah berapa ringgit purata setiap pelanggan berbelanja membeli produk atau servis anda jika setiap nilai jualan dicatit. Orang putih sebut ‘sales’. Itulah duit yang masuk ke dalam perniagaan anda.
Anda perlu tahu berapa hasil jualan perniagaan anda itu setiap hari atau bulan.
Dalam contoh yang saya berikan kat atas tadi, kalau pelanggan anda adalah seramai 100 orang sehari, anda hanya perlu bahagikan jumlah sales dengan jumlah pelanggan yang ada.
Katakan jumlah jualan anda adalah RM2000 sehari.
Maksudnya, setiap pelanggan, secara purata belanja sebanyak RM20 seorang untuk satu hari.
Nota:
- Pastikan jumlah 100 pelaggan yang anda catit atau pantau itu adalah orang yang berlainan.
- Penting untuk perhatikan dan kenal setiap pembeli supaya anda boleh ingat pelanggan anda itu. Berikan identiti pada setiap pelanggan anda supaya anda boleh ingat dan pantau.
Dah ada 3 perkara sangat penting saya sebutkan di atas tadi. Tolong cari jalan untuk mendapatkan ketiga-tiga angka yang saya sebut kat atas tadi.
Kalau anda masih berniaga secara koboi, tanpa membuat sebarang catitan angka, pastikan anda mula ubah cara koboi tersebut. Selagi perkara tersebut tidak dilaksanakan, jangan berangan-angan untuk memajukan perniagaan anda dengan mudah dan berkesan.
Semua kiraan itu adalah matematik mudah. Anda tak perlu lulus universiti untuk buat semua kiraan itu. Tak perlu masuk kursus diploma perniagaan, ambil diploma akaun, atau lain-lain seumpamanya untuk amalkan semua itu.
Lulusan darjah 6 pun mampu lakukan semua kiraan tersebut. Apa yang saya kongsikan adalah maklumat yang berorientasikan ilmu praktikal dalam perniagaan. Oleh itu tak perlu risau dan rasa kecil jika anda tidak belajar tinggi.
Saya ulang 3 angka pertama yang anda wajib ukur dan catit bermula dari sekarang:
- Berapa ramai orang dah tahu pasal perniagaan anda
- Berapa ramai dari yang tahu itu berjaya di ubah jadi pelanggan
- Berapa ringgit setiap orang belanja secara purata, membeli apa yang anda tawarkan.
Sekarang kita sambung ke langkah mengukur perkara yang ke-4 pula.
4. Berapa kerap pelanggan beli
Kalau sebelum ini anda dah ukur berapa, secara purata, setiap pelanggan berbelanja dalam bisnes anda, sekarang perlu pula kira berapa kerap dia ulang beli.
Sebab itu dalam artikel sebelum ini, saya tekankan perlu pastikan anda ukur setiap pelanggan secara unik.
Bergantung kepada perniagaan yang anda jalankan, kekerapan pelanggan ulang beli adalah berbeza. Kalau anda jual nasi lemak, anda boleh ukur dalam tempoh sebulan atau mungkin seminggu. Kira berapa kerap setiap pelanggan anda datang ulang beli.
Bila dah dapatkan kesemuanya, anda perlu buat kiraan purata pulak. Katakan dalam tempoh seminggu ada yang datang 5 kali, ada yang datang 2 kali dan ada yang datang sekali sahaja. Jadi campur semuanya dan kira berapa purata setiap pelanggan tu datang dalam tempoh seminggu.
Kalau anda buta matematik, pergi tanya anak atau adik anda yang darjah 6. insyaallah dia boleh tolong kirakan purata untuk anda.
Macam yang saya kata tadi.
Kekerapan pelanggan ulang beli bergantung pada produk yang anda jual. Kalau anda buat perniagaan jual kereta umpamanya, paling kerap pelanggan datang mungkin 2 kali dalam tempoh 5 atau 7 tahun. Susah nak cari orang sewel yang datang beli kereta kerap-kerap sebulan sekali.
Untuk industri kereta, kenalah buat kiraan dalam tempoh 5 tahun, untuk dapatkan gambaran kekerapan ulang beli setiap pelanggan. Kalau jual rumah pula nak kena kira tempoh 20 tahun sekali.
Itu semua adalah gambaran untuk berikan idea bahawa kekerapa ulang beli adalah salah satu faktor asas yang perlu anda pertimbangkan bila nak buat sesuatu perniagaan.
Kira jumlah jualan yang anda buat
Cuba perhatikan semula semua angka yang saya suruh kira setakat ini. Mula-mula anda kira berapa ramai yang tahu, katakan 1 ribu orang.
Kemudian kira pulak berapa ramai dari yang tahu itu datang beli. Katakan peratus prospek tukar jadi pelanggan adalah sebanyak 20%.
Ertinya akan ada 200 prospek yang jadi pelanggan anda.
Jika seorang belanja RM20 setiap kali datang ke kedai. Anda dah boleh kira berapa kesemua pelanggan anda belanja. Dalam contoh angka yang saya berikan kat atas tu, anda sekarang ada 200 X RM20 = RM2,000
Selepas itu anda dah kira berapa kerap seorang pelanggan tu ulang beli.
Katakan dalam kes jual nasi lemak, purata seorang pelanggan akan datang sebanyak 2 kali dalam tempoh seminggu.
Ada 200 orang datang seminggu, seorang belanja RM20 dan setiap orang akan datang 2 kali dalam tempoh seminggu.
Jadi hasil jualan perniagaan anda dalam tempoh seminggu adalah sebanyak RM4 ribu !
Cuba semak catitan hasil jualan anda dalam buku kira-kira perniagaan anda untuk seminggu berniaga. Anda akan dapat lebih kurang macam itulah hasil jualan.
Nampak tak?
Dengan semua kiraan yang saya suruh buat di atas tadi, ia sebenarnya menceritakan proses dari mula sampai akhir di mana bisnes anda buat jualan. Itulah asasnya dan tak ada apa lagi yang perlu ditambah.
Secara teori, semuanya mudah dan ringkas.
5. Berapa kadar untung bersih
Sekarang anda perlu kira perkara paling akhir dan juga perkara paling penting dalam perniagaan yang anda jalankan. Ia melibatkan aktiviti dalaman yang anda boleh kawal sepenuhnya. Tak libatkan pelanggan lagi.
Iaitu peratusan margin untung bersih yang perniagaan anda jana setiap minggu.
Saya andaikan anda dah tahu macam mana nak kira untung bersih perniagaan anda.
Campur semua hasil jualan, tolak kos jualan dan tolak kos tetap. Anda akan dapat untung bersih perniagaan.
Katakan setelah anda buat semua kiraan, dari hasil jualan sebanyak RM 4 ribu seminggu, anda dapat buat RM800 bersih setiap minggu.
Untuk kira margin untung bersih anda perlu bahagikan 800 dengan 4000. Anda akan dapat 0.2
Bila darab dengan 100, anda akan dapat angka peratusan margin keuntungan bersih perniagaan anda tu.
Iaitu 20%
Itu maksudnya bisnes yang ada jalankan buat 20% keuntungan bersih berbanding jualan.
Ukur perkembangan perniagaan anda sekarang
Panjang manapun anda buat kiraan, teruk manapun anda berniaga, akhir sekali, 20% itulah yang anda perlu tahu dan pantau setiap hari, minggu, bulan dan tahun.
Kalau anda ada guna sistem perakaunan, ada kerani yang masukkan semua maklumat invoice dan segala maklumat jualan dan perbelanjaan yang masuk dan keluar ke dalam perniagaan anda, semua itu jadi amat mudah.
Anda boleh semak berapa untung perniagaan yang sedang dijalankan.
Dengan sistem perakaunan, dan dengan ada seorang kerani yang berdedikasi buat semua catitan dan masukkan segala rekod ke dalam sistem, anda dapat semua maklumat sekali gus. Maklumat berkenaan pelanggan, produk apa yang dia beli, berapa ringgit dia belanja sekali beli, berapa kerap dia ulang datang ke premis perniagaan anda dalam tempoh yang tertentu.
Kalau anda buat bisnes kecil-kecilan, terpaksalah buat secara manual kesemua itu. Manual atau sistem, yang pentingkan kena buat.
Kalau tak tahu tolong belajar.
Bukannya susah sangat pun. Tak perlu masuk Universiti untuk kira untung dan rugi.
Tingkatkan untung bersih perniagaan anda
Macam mana nak tingkatkan keuntungan bersih perniagaan anda?
Paling asas, anda perlu mulakan dengan mengukur berapa yang anda buat sekarang. Macam contoh yang saya terangkan kat atas tadi, saya berikan peratusan margin untung bersih perniagaan anda adalah 20%.
Ertinya, dalam setiap RM1 jualan yang anda buat, ada 20 sen untung bersih masuk ke dalam akaun perniagaan anda.
Sebab itu saya suruh ukur MARGIN !
Tak kisah berapa hasil jualan yang anda buat, margin sepatutnya tak ada perubahan.
Samada anda jual RM4 ribu seminggu, atau RM10 ribu seminggu, kalau betul kiraannya, margin anda tetap lebih kurang dalam 20%. Kalau lari jauh, tentu ada yang tak kena dengan perniagaan anda tersebut.
Itu perkara paling awal yang anda perlu pantau sekarang.
Semak semula semua data sebelum ini, Tengok balik bulan lepas, dua bulan dan sampai ke 6 bulan lepas. Betulkah margin keuntungan perniagaan anda adalah 20%.
Atau mungkin peratusan margin naik turun macam yoyo. Tak tentu hala dan tak stabil. Jika itulah keadaannya, itulah kerja pertama yang anda perlu selesaikan sekarang.
Buat analisa dan cari punca kenapa margin untung bersih anda tidak stabil. Cari punca dan selesaikan supaya ianya lebih stabil dan anda boleh kawal perniagaan itu.
Ukur perkembangan perniagaan berterusan
Saya ingatkan artikel ini akan pendek saja. Tapi nampaknya, apa yang nak saya sampaikan masih belum habis, tapi dah lebih dari seribu perkataan dah saya taip.
Saya dah terangkan kesemua 5 perkara penting yang anda wajib ukur dalam perniagaan.
Apa saja perniagaan anda, kesemua 5 perkara asas itu adalah sama sahaja. Yang akan membezakan bila nak buat peningkatan nanti adalah strategi yang boleh digunakan bergantung kepada jenis perniagaan.
Kalau anda jenis yang mudah belajar sendiri hanya dengan bacaan, artikel ini perlu saya tambah sikit saja lagi untuk anda lebih faham kemudian mula buat perlaksanaan. Kalau yang cekap tu tentu dah boleh tangkap macam mana nak majukan perniagaan anda tu.
Tapi jika anda jenis yang tak suka belajar secara DIY, memang amat perlukan seorang mentor atau coach perniagaan. Pergi cari mentor atau coach yang ada ramai kat luar tu, tanya berapa harga untuk mereka bimbing dan pantau kesemua perkara yang saya terangkan kat atas tu.
Atau anda boleh berhubung dengan saya sendiri kalau nak saya yang jadi coach anda. Email ke mohdshubhi@gmail.com
Kalau anda rasa berkenan nak pakai khidmat saya, kita boleh atur sesi bimbingan secara 4 mata selama 6 bulan. Kita boleh mula belajar buat semua aktiviti tingkatkan perniagaan itu bersama, sebulan sekali, sampai anda fasih dan tahu bagaimana nak teruskan ukur perkembangan perniagaan secara berterusan.
Akhir sekali, sila fikirkan bagaimana nak guna kesemua 5 ukuran yang saya dah kongsikan kat atas tadi.
Saya berikan sedikit panduan. Ideanya mudah saja. Anda hanya perlu fikirkan bagaimana nak naikkan kesemua angka yang anda dah ukur tu.
Untuk kerja rumah, saya cabar anda untuk tingkatkan kesemua angka sebanyak 10%
Saya jamin jika anda naikkan kesemua 5 angka tersebut sebanyak 10% setiap satu, untung bersih keseluruhan perniagaan anda akan meningkat sebanyak 61% !
Cubalah !