Soalan seperti tajuk di atas sering kawan-kawan utarakan setiap kali bersembang pasal baca buku.
Punca utamanya adalah sebab timbul rasa bersalah setiap kali beli buku dan baca hanya sekerat jalan. Bila dah jadi banyak buku macam tu, maka jalan terbaik adalah berhenti terus membeli buku. Diikuti oleh berhenti terus membaca buku!
Saya kongsikan apa yang saya faham dari amalan sendiri. Juga dari pengalaman orang lain yang rajin membaca.
Membaca itu baik untuk anda
Kenapa anda perlu jadikan amalan membaca sebagai rutin seharian hidup, telah saya tulis sebelum ini.
Saya rasa anda tentu setuju bahawa amalan membaca merupakan satu aktiviti yang berfaedah. Cuma ada sedikit masalah apabila ada sesetengah orang yang menyangka seseorang yang kuat membaca adalah individu yang pandai.
Secara peribadi khasnya untuk saya sendiri, jika saya banyak membaca tidak semestinya saya masuk dalam kategori orang pandai. Cuma yang pastinya hasil dari amalan membaca, saya lebih banyak ‘tahu’. Itu memang berlaku.
Banyak tahu tidak bermakna pandai
Orang yang pandai adalah orang yang tahu menggunakan apa yang dia tahu dengan menjalinkan ikatan serta menghubungkan segala perkara yang dia tahu itu.
Hasil daripada jalinan berbagai perkara yang dia tahu mencetuskan pula satu perkara yang baru. Itu hanya dapat dilakukan oleh orang yang pandai. Kalau kalau tak pandai, tak akan mampu buat begitu.
Jadi kalau setakat tahu berbagai perkara tetapi tidak tahu untuk apa kegunaan semua yang dia tahu itu serta tidak tahu menghubungkan perkara yang belum terhubung, bukanlah pandai namanya.
Oleh itu untuk mereka yang risau takut-takut orang akan mengatakan padanya ‘pandai’ sebab kuat amalan membaca a.k.a rajin, anda telah mendapat satu jawapan untuk menolak apa yang orang akan katakan pada anda itu.
Sebab apa saya kata begitu?
Kerana budaya orang kita (terutamanya tempat di mana saya membesar), seperti telah terlatih untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh membuatkan orang sangka kita hebat. Kononnya atas alasan merendah diri. Lalu lansung tak buat usaha untuk jadi hebat. Kalau buat, diam-diam saja takut orang tahu.
Dalam ertikata lain orang kita tak suka menunjuk-nunjuk sebab dilarang sejak kecil, segala perkara yang boleh ditafsirkan sebagai mahu menonjolkan diri menjadi sesuatu yang tidak digemari.
Bila cikgu tanya siapa nak jawab soalan, semua orang takut angkat tangan walaupun dia tahu jawapan kepada soalan yang ditanya. Ini semata-mata kerana dikhuatiri orang akan kata mahu tunjuk pandai.
Jika anda sudah bersetuju dengan apa yang saya tulis di atas, bermakna anda sudah bersedia mahu menjadikan amalan membaca sebagai tabiat harian.
Matlamat membaca
Sebelum kita lihat apa petua mudah untuk menjadikan kegiatan membaca seperti amalan makan nasi, kita perlu terlebih dahulu tahu kenapa anda lakukan amalan membaca.
Secara umum, anda bersusah payah mengeluarkan duit atau meminjam buku untuk dibaca sebenarnya atas 2 matlamat sahaja.
- Untuk berhibur
- Untuk belajar
Membaca untuk berhibur
Apa sahaja buku atau majalah yang kita pegang untuk dibaca tidak akan lari daripada dua matlamat tersebut di atas.
Setiap matlamat yang anda sasarkan mempunyai cara yang berbeza, bagaimana untuk membaca.
Bagi buku-buku yang anda baca untuk tujuan berhibur atau bersantai, biasanya anda akan baca habis satu ayat demi satu ayat dari awal hingga akhir.
Contoh buku-buku seperti ini adalah seperti kisah dongeng, hikayat, fiksi, novel dan seumpamanya.
Jadi ingat anda hanya perlu membaca habis keseluruhan buku yang berada dalam kategori bersantai sahaja.
“Amalan membaca buku sehingga habis adalah untuk buku dalam kategori santai hiburan sahaja.”
Membaca untuk belajar
Jika anda membaca buku atas dasar mahu belajar, anda buka buku itu untuk mencari perkara-perkara yang mahu didalami.
Kebiasannya ia berupa isi-isi penting atau laporan serta fakta yang anda belum tahu atau tak berapa mahir.
Secara purata sebuah buku tebal yang anda mahu belajar mengandungi 20% sahaja isi-isi penting di dalamnya, selebihnya 80% lagi adalah huraian dan goreng untuk persembahan buat tambah pemahaman saja.
Jadi jika anda mahu belajar sesuatu dari sebuah buku, anda hanya perlu membaca atau mencari 20% sahaja daripada keseluruhan tulisan yang terdapat di dalamnya.
Jika anda membaca keseluruhan buku tersebut untuk belajar, anda sebenarnya hebat kerana menjadikan buku ilmiah sebagai bahan bacaan hiburan santai!.
Ulang baca untuk belajar
Namun begitu, ada buku yang tulisannya padat berisi dari awal hingga akhir. Malah setiap perkataan dan ayat yang dipilih ada tujuannya tersendiri.
Contoh paling dekat adalah Al-Quran. Setiap pilihan perkataan dan ayat ada tujuan dan makna yang sangat mendalam. Untuk faham satu perkataan yang tak jelas, anda perlu rujuk pada perkataan sama yang digunakan pada ayat lain pula.
Dalam kitab atau buku sebegitu, baca sekali faham lain. Baca 2 kali lain pula fahamnya. Baca berkali-kali anda akan lebih faham dan faham. Itupun masih tak habis sebab pengalaman yang anda jalani setiap hari akan memberikan perspektif baru pula bila anda buka dan ulang baca.
Ada tulisan berat seperti falsafah, pemikiran, doktrin dan seumpamanya yang masuk dalam kategori sebegitu.
Tujuan tulisan sedemikian adalah untuk memerah dan menajamkan akal anda supaya berfikir. Itulah tujuan utama belajar.
Buku seperti itu biasanya akan diulang baca banyak kali.
Selamat membaca
Apabila kita memahami perkara di atas, amalan membaca akan menjadi sesuatu yang tidak menakutkan malah menyeronokkan.
Jika ada manusia yang tidak suka kedua-dua perkara yang saya sebutkan diatas, dia perlu segera pergi ke depan cermin untuk pastikan samada dia benar-benar manusia.
Adalah sesuatu yang pelik jika ada orang yang tidak suka bersantai dan tak ada lansung perkara yang mahu ketahui atau dipelajarinya.
Selamat bersantai dengan amalan membaca…!