10 amalan mudah yang anda boleh mula usahakan untuk jalani kehidupan yang lebih baik


Adakah anda pernah berhasrat untuk jalani satu kehidupan yang sihat. Lalu berfikir apa caranya, yang anda boleh lakukan untuk menterjemahkan amalan cara hidup tersebut.

Hidup sihat bukan bermaksud sekadar menjaga kesihatan tubuh badan saja. Tapi selalunya, ia dikaitkan dengan kehidupan yang baik. Dari segi fizikal mahupun mental.

Hidup yang baik pula bukan bermaksud sentiasa senyum bahagia girang bergelak ketawa. Itu hanyalah ekspresi senang dengan keadaan tertentu. Senang atau susah, berjaya atau gagal, naik atau turun adalah sebahagian dari rencah kehidupan yang semua manusia perlu melaluinya.

Hidup baik bermakna dapat sesuaikan diri untuk menerima saat sukar dan tidak lupa daratan ketika diberikan kesenangan. 

Untuk membincangkan amalan hidup yang sihat tak akan habis sebenarnya. Tapi, apa yang saya kongsikan di bawah ini merupakan salah satu usaha permulaan  untuk menuju ke arah hidup sihat.

Anda boleh mengamalkan 10 petua di bawah setiap hari untuk menjadikan diri anda seorang yang lebih baik kehidupannya, insyaallah!.

1. Keluar ambil angin

Kurangkan terperap dalam bangunan, keluar ambil angin di kedamaian alam sekitar. Jangan kita memandang remeh keupayaan aktiviti menikmati alam sekitar ini kerana kajian membuktikan ia mampu menurunkan kadar stress, menguatkan memori, meningkatkan kreativiti dan juga menjadikan anda seorang yang lebih baik.

(Amalan hidup sihat ini bersumberkan dari “Underestimating Nearby Nature, Affective Forecasting Errors Obscure the Happy Path to Sustainability” : Psychological Science.

2. Bersenam

Jangan asyik duduk tengok tv, pergi bersenam. 

Bila sebut sahaja bersenam, semua orang akan bosan, sebab bersenam memang diakui manfaatnya tapi ramai orang tak ambil peduli untuk amalkan. Sedangkan amalan hidup sihat dengan bersenam terbukti mampu menjadikan anda lebih bijak, membuatkan anda mudah tidur, menjadikan anda rasa selesa dengan tubuh badan anda, dan juga membuatkan sistem ransangan seks anda berfungsi lebih baik.

Malah kajian daripada Harvard menjejaki mereka yang bersenam selama 72 tahun membuktikan ia adalah rahsia amalan hidup sihat.

3. Bersama kawan-kawan / keluarga

Jangan asyik habiskan masa buat kerja, penuhkan juga masa anda bersama dengan kawan-kawan dan juga keluarga.

Kajian daripada Harvard mendapati aktiviti sosial ini merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada amalan hidup sihat dan kebahagian hidup. 

Ada masyarakat yang hidup lama menjadikan amalan bersosial dengan kawan dan keluarga lebih penting daripada bersenam dan mereka hidup sihat. 

Kawan-kawan amat penting untuk membaiki kehidupan anda, kongsi kegembiraan dengan mereka dan lahirkan rasa bahagia apabila kawan anda gembira. 

Tahukah anda bahawa kesunyian merupakan salah satu daripada punca serangan jantung dan kencing manis!. Elakkan diri dari kesunyian.

4. Hayati rasa syukur dan berterima kasih 

Ada dua rasa yang berbeza apabila berlaku pencapaian yang baik. 

Satu kita akan rasa bangga dan satu lagi kita rasa bersyukur.

Kebiasannya perasaan bangga terjadi banyak pada mereka yang hipokrit manakala perasaan bersyukur berlaku pada mereka yang jujur. 

(amalan hidup sihat ini bersumberkan dari: “Moral Hypocrisy, Of Proud and Grateful People” from Social Psychological and Personality Science).

Sentiasa luahkan rasa syukur anda dengan kehidupan, masih bernyawa, merasai lazat makanan, meneguk air membasahkan tekak, semua itu jika kita hayati membuatkan kita menjadi berbeza.

5. Kurangkan mengata, lebihkan bertafakur

Sebagai orang Islam, sia-sia jika anda tidak ambil kesempatan bertafakur dalam solat, dalam zikir dan dalam wirid selesai dari solat 5 waktu. 

Kajian membuktikan amalan hidup sihat dengan bertafakur membuatkan manusia bahagia, hilangkan stress, hilangkan kegelisahan, hilang keletihan, hilang marah, rasa hidup bermakna dan kuatkan daya tumpuan.

6. Rehat secukupnya

Jangan paksa diri selalu berjaga. Pastikan anda punyai rehat dan tidur secukupnya.

Tidak ada orang yang boleh menipu dirinya sendiri apabila dia tidak cukup tidur. Anda menjadi manusia yang lansung tidak cekap apabila keletihan. 

Kurang tidur membuatkan anda keletihan. Kurang tidur juga memungkinkan anda berperangai sewel, kurang tidur juga membuatkan anda mudah sakit.

Mereka yang cukup tidur biasanya mudah membuat keputusan yang baik. Oleh itu jangan abaikan amalan hidup sihat ini dan perhatikan masa tidur anda.

7. Cabar sedikit diri anda

Jangan hanya mahu benda senang sahaja, cabar sedikit diri anda dengan melakukan perkara yang berbeza dari biasa. 

Belajar bahasa baru salah satu daripada cara mencabar diri anda. Berbahas isu penting dan berhujah juga salah satu daripada aktiviti mencabar.

Amalan hidup sihat dengan melaksanakan azam yang kecil setiap hari juga mampu meningkatkan tahap kesabaran dan nekad anda dan ia sebenarnya lebih penting untuk kejayaan hidup melebihi daripada ketinggian IQ.

8. Senyum dan ketawa

Jangan hanya serius sepanjang masa, ketawalah sikit, dan senyumlah selalu. Amalan hidup sihat dengan tersenyum atau ketawa membuatkan sistem ketahanan penyakit anda meningkat.

Kketawa membuatkan risiko serangan jantung dan strok anda berkurang dan ketawa juga dapat menguatkan dan mengeratkan perhubungan. 

Mereka yang suka ketawa lebih tahan rawatan pergigian. Dan paling menarik adalah, mereka biasanya hidup lebih panjang.

9. Sentuh belai orang yang anda sayang

Kalau anda tidak ada anak, segeralah usahakannya. Jika tak ada isteri / suami carilah seorang. 

Bila anda ada anak-anak, ada isteri / suami, jangan lupa sentuh, belai mereka setiap hari. Amalan hidup sihat dengan sentuhan membuatkan anda hilang stress dan eratkan perhubungan.

Mendakap seseorang yang anda cinta membuatkan rasa bahagia. Melakukan seks dengan pasangan dapat mengurangkan risiko serangan jantung dan risiko kanser. Seks juga menguatkan sistem ketahanan badan. Seks juga membuatkan anda panjang umur.

10. Jadilah orang optimis

Jangan putus harap. Tanam keyakinan penuh pada segala yang positif. Mereka yang optimis lebih bahagia hidupnya. Mereka juga sihat dan kuat jiwa dan mereka yang kuat keyakinan biasanya lebih tinggi prestasinya. Jangan lupakan amalan hidup sihat ini.

Jika kita lihat kesemua senarai di atas, kesemuanya adalah perkara yang terlalu ringkas dan mudah untuk kita laksanakan. 

Jadi, buatlah!

Segeralah laksanakan semua amalan hidup sihat di atas.

Post a Comment

Previous Post Next Post