Cuba cara ini untuk selesaikan masalah kewangan dan hutang yang membelenggu hidup anda


Artikel ini adalah perkongsian satu teknik khas untuk anda yang sedang mencari satu cara mudah bagi atasi masalah kewangan terutamanya bebanan hutang yang bertapuk nampak macam tak akan dapat diselesaikan.

Anda perlu luangkan masa selama satu jam sehari bagi memikirkan persoalan wang yang sedang menghantui diri anda.

Semuanya bermula dari seorang lelaki, bernama Richard Carlson, seorang motivator yang terkenal di Amerika. Dia telah membuat kajian terhadap ramai pelanggannya yang menghadapi masalah kewangan.

Dalam kajiannya itu, dia melihat mereka yang meluangkan masa selama satu jam sehari untuk bersendirian dan berfikir mencari jawapan terhadap persoalan bagaimana nak tambah pendapatan berakhir dengan menjadi kaya.

Mereka hanya mengambil masa selama dua tahun sahaja secara konsisten meluangkan masa satu jam sehari untuk memikirkan persoalan tersebut.

Luang masa sejam sehari

Jika anda tidak menghadapi masalah kewangan sepertimana ramai orang lain, sekurangnya tentu masih ada sesuatu yang anda impikan dalam kehidupan yang belum terlaksana.

Ada orang impikan untuk ahli politik hebat. Ada yang nak jadi penceramah popular. Atau mungkin juga anda nak jadi seorang penulis paling laris.

Tak kisah sama nak jadi ahli sufi, usahawan, seorang bapa yang baik, seorang suami power dan sebagainya, boleh saja guna teknik yang sama.

Apa yang anda perlu lakukan hanyalah luangkan masa selama satu jam untuk diri anda dan fikirkan jawapan pada soalan yang anda mahukan jawapannya.

Berikut sedikit panduan bagaimana anda perlu amalkan teknik sejam sehari itu.

1. Luangkan masa betul-betul satu jam bersih setiap hari dan peruntukkan hanya untuk diri anda tanpa ada apa-apa gangguan dari orang lain.

2. Mula muhasabah kedudukan diri anda dalam ruang satu jam tersebut dengan tenang. Tak ada apa-apa yang nak dirisaukan. Tak ada sesiapa tahupun apa yang anda buat. Berfikir secara ikhlas apa kekuatan, apa yang anda boleh dan tidak boleh lakukan. Gariskan satu persatu apakah yang sedang anda lakukan sekarang yang boleh membawa anda mencapai matlamat. Lihat apakah yang kurang dan perlu ditambah dan bagaimana mendapatkannya.

3. Sekali lagi diingatkan. Jangan cemas dan merasa tertekan dalam masa satu jam itu. Relaks dan bersantailah sambil memikirkan semua perkara mengenai masa depan anda.

4. Jangan buang masa tersebut dengan menyesali kesalahan-kesalahan anda yang lalu. Anda hanya perlu memkirkan tentang sekarang dan apa yang anda boleh dan mampu dapatkan pada masa akan datang. Ingat fokus kepada kedudukan anda sekarang dan ke mana anda nak pergi sahaja. Tak payah nak patah balik ke masa lalu.

5. Sekali sekala, anda boleh luangkan masa sejam itu bersantai dengan membelek majalah santai, mendengar radio, menonton TV, membaca buku dan dalam masa yang sama pastikan telinga serta fikiran anda terbuka dan bersedia menerima segala pilihan yang terlintas bagi menyelesaikan masalah anda.

6. Selingkan juga secara berkala dengan berjalan kaki perlahan-lahan di taman seorang diri dan menghirup udara segar sambil memikirkan tentang diri anda selam satu jam.

7. Jangan lupa sesi membayangkan bagaimana keadaan diri anda apabila telah mendapat apa yang anda idamkan. Jika anda mahu menjadi ulama yang hebat berbahas, bayangkan keadaan diri anda ketika berdebat dengan semua mufti dari setiap negeri sebagai contoh. Lebih jelas anda dapat bayangkan keadaan ketika itu, lebih hampir anda mendapatkannya. Insyaallah!

Mulakan sekarang!

Jangan tertawa dengan idea yang saya utarakan di atas.

Nampak macam cerita lawak dan merepek saja untuk diamalkan. Tetapi cubalah terlebih dahulu, luangkan masa setiap hari selama sejam dan buat apa yang saya cadangkan di atas.

Anda akan merasa kekok pada mulanya, rasa bersalah macam buang masa dan sebagainya, sebab selama ini asyik sibuk dengan orang saja. Anda berseorangan hanya untuk tidur selama ini. Tapi, samada kekok atau tidak, teruskan sampai habis satu jam dan buat lagi keesokannya harinya.

Jika anda lihat bagaimana seorang kanak-kanak belajar membaca, anda akan dapati ia pada mulanya sesuatu yang amat sukar, membosankan, sukar memberikan tumpuan dan nampak macam tak ada jalan.

Tapi dengan kesabaran teruskan mengajar, sehari demi sehari, dia akan mula nampak sinar mampu memahami dan seterusnya sehari demi sehari dia akhirnya mampu membaca.

Selamat mencuba!

Post a Comment

Previous Post Next Post