Satu ketika dulu ada sebuah rancangan TV yang menawarkan jumlah duit yang banyak untuk peserta yang mampu menjawab segala soalan umum dengan tepat.
Untuk menang program tersebut anda perlu jadi seorang professor serba tahu. Tanyalah apa saja soalan, dalam apa saja jurusan, anda boleh jawab. Malah anda tahu perkara-perkara pelik seperti, apa kah nama kucing yang dipelihara oleh artis terkenal.
Adakah orang yang menang pertandingan tersebut boleh dianggap bijak?
Ada dua aliran yang saya rasa dipegang oleh masyarakat umum.
Aliran pertama percaya bahawa mereka yang kuasai banyak ilmu pengetahuan dan pemahaman yang sangat luas dalam berbagai perkara adalah insan yang hebat, terbaik dan sangat kreatif.
Aliran kedua pula percaya anda bijak dan lebih kreatif jika memberikan tumpuan penuh hanya dengan mendalami subjek kepakaran anda sahaja dengan lebih terperinci. Tak perlu nak sibukkan diri habiskan masa untuk mendalami subjek lain yang bukan kepakaran anda.
Saya lebih cenderung kepada aliran kedua.
Berbalik kepada soalan di atas tadi, samada orang yang tahu semua perkara sampai ke tahap nama kucing artis terkenal, saya rasa tidak semestinya seorang yang bijak.
Jika tidak, sudah tentu dia tak akan buang masa penuhkan otak dan daya ingatannya terhadap perkara-perkara yang tak ada manfaat seperti itu.
Keupayaan manusia terbatas
Berdasarkan apa yang saya faham dalam usaha untuk menjalani satu kehidupan yang baik, perlu diakui bahawa sebagai manusia biasa anda tak mampu mendalami terlalu banyak perkara dalam tempoh hidup anda yang pendek di dunia ini.
Dengan umur dan keupayaan yang terbatas itu, anda terpaksa memilih hanya beberapa perkara tertentu saja yang anda minat untuk diberikan sepenuh tumpuan.
Manakala perkara yang lain eloklah ditinggalkan kepada orang lain untuk mendalaminya berdasarkan kecenderungan masing-masing. Kalau buat macam itu maka kehidupan anda tidak menjadi terlalu berserabut.
Contohnya jika anda bertugas sebagai seorang guru. Hidup menjadi lebih ringkas jika anda, yang dah habiskan banyak masa untuk jadi seorang guru, lalu berterusan memberikan tumpuan yang mendalam sebagai seorang guru dengan mendalami segala ilmu yang ada berkenaan perguruan serta cabang-cabangnya.
Perkara selain daripada yang dapat menjadikan anda seorang guru yang baik eloklah anda tinggalkan sahaja, agar masa yang ada dapat dipergunakan dengan penuh bermakna.
Ada ramai juga kawan-kawan yang saya kenal dari kalangan guru mengambil sikap sambil lewa dengan kerjaya perguruan mereka. Selain daripada menjadi guru mereka banyak menghabiskan masa dengan berniaga, pergi ke laut jadi nelayan tangkap ikan, belajar ilmu-ilmu yang tidak dapat membantu mereka jadi cemerlang sebagai seorang guru.
Bukankah hidup mereka lebih ringkas mudah dan berkesan jika segala tumpuan diberikan pada aktiviti untuk menjadi seorang guru yang terbaik sekurangnya di sekolah tempat anda mengajar?
Itu adalah contoh mudah yang saya berikan untuk anda fikirkan.
Tumpu kepada kepakaran anda
Kajian buktikan bahawa apa yang saya pegang di atas adalah lebih betul.
Kajian tersebut mendapati bahawa mereka yang kreatif dan menghasilkan pencapaian yang hebat lagi menakjubkan datangnya daripada golongan yang memberikan sepenuh tumpuan mereka kepada subjek kepakaran yang telah dikuasai.
Malah, kajian itu juga mendapati tumpuan penuh terhadap subjek kepakaran secara mendalam tidak menyebabkan seseorang itu hilang daya kreativiti. Malah ia berlaku sebaliknya.
Baca kajian tersebut di buku yang bertajuk:
“Talent Is Overrated: What Really Separates World-Class Performers from EverybodyElse“
Jika anda mahu jalani satu kehidupan yang baik dan sederhana tetapi penuh kejayaan dan hebat, anda perlu pastikan dari sekarang apa sebenarnya yang anda pandai, dan cenderung untuk mendalaminya.
Setelah dapat jawapan, berilah sepenuh tumpuan pada subjek tersebut sedalam-dalamnya dan tinggalkanlah saja perkara yang lain yang tak berikan apa-apa manfaat sekalipun ianya baik.
Jika anda mahu jadi seorang ahli peniagan, dalam masa yang sama tak payahlah nao sibuk jadi seorang ahli politik, begitulah contohnya.
Masa hidup ini terlalu singkat. Hidup lebih bermakna jika anda degil dengan hala yang dituju.
Walaupun sesuatu aktiviti itu baik, tetapi hakikatnya tidak mendatangkan faedah kepada hala tuju hidup anda, elok tinggalkan sahaja.
Itulah hidup ringkas ..