7 kelebihan menulis yang tentu anda akan rasa pelik tetapi benar


Jika anda cari maklumat buta huruf di Malaysia, tentu akan rasa bangga dengan apa yang rakyat negara kita telah capai. Hanya kurang dari 5% rakyat Malaysia yang buta huruf.

Kadar itu naik dan turun sedikit sahaja tahun demi tahun.

Hampir semua orang boleh membaca. Sudah tentu mereka juga tahu menulis. Tapi berapa ramai yang ambil masa untuk menulis?

Maksud saya menulis panjang. Bukannya sekadar lemparkan pandangan ringkas di media sosial.

Saya sering syorkan pada kawan-kawan yang mahu membuat perubahan dalam hidup, agar memulakan satu perkara baru. Tak perlu perkara sukar. Cari saja yang mudah.

Antara aktiviti mudah yang hampir semua mampu lakukan sekarang adalah menulis. Oleh kerana anda sudah tahu menulis, maka elok dipanjangkan lagi mengamalkan ilmu tersebut secara yang lebih bermanfaat.

Ruang untuk melakukan penulisan sangat luas di zaman sekarang. Namun jarang sekali kesempatan itu digunakan untuk menulis. Tak ramai yang mahu ambil kesempatan membuat penulisan yang diolah sendiri yang boleh mendatangkan faedah besar terutamanya pada diri sendiri.

Blog contohnya, merupakan salah satu cara menarik yang mana boleh anda gunakan untuk mula menulis. Anda boleh tumpahkan buah fikiran dalam bentuk penulisan yang santai atau serius di blog anda sendiri. Semuanya percuma, asalkan anda ada akaun gmail.

Niat menulis ada tapi ..

Ramai juga kawan-kawan yang saya kenal, memang ada keinginan untuk menulis, tapi setiap kali mereka mencuba untuk melakukannya, ada saja masalah datang.

Paling kerap, setiap kali nak menulis di blog, jari jemari mula menjadi kaku, fikiran terhenti secara tiba-tiba dan tidak tahu di mana harus bermula. Akhirnya hanyut, sekadar menjadi pembaca dan leka melayan FB atau tiktok.

Jika anda juga ada masalah seperti itu, saya mahu berikan motivasi yang diharapkan dapat membantu anda paksa diri untuk mula menulis.

7 kelebihan menulis

Berikut disenaraikan 7 kelebihan yang anda akan dapat dari aktiviti menulis.

1. Membuatkan anda rasa bahagia

Pelik tetai benar. Menulis mampu membuatkan anda jadi bahagiaKajian mendapati bahagia dicetuskan oleh 3 faktor berikut di bawah.

a. Aktiviti terancang – 40%

b. Faktor genetik – 50%

c. Keadaan semasa atau suasana – 10%

Melakukan aktiviti terancang bagi mencetuskan kepuasan dan kebahagian boleh diberikan tumpuan jika anda mahu hidup tenang dan bahagia.

Antara aktiviti seperti itu yang terbukti memberikan kepuasan hidup, ketenangan dan rasa bersyukur adalah dengan amalkan menulis sekurang-kurangnya 3 tulisan yang menzahirkan rasa kesyukuran anda dalam bentuk surat atau artikel. Anda boleh buat semua itu di blog anda sendiri atau di media sosial.

2. Turunkan berat badan

Ini juga agak pelik tetapi benar! 

Anda boleh menguruskan berat badan dengan hanya menulis berdasarkan satu kajian yang dilakukan terhadap wanita yang mahu menurunkan berat badan mereka.

Apa yang ada perlu buat adalah tulis sesuatu yang menyentuh nilai-nilai murni kehidupan yang anda pandang tinggi. Contohnya seperti disiplin, keyakinan, akhlak yang baik, cara hidup yang sihat dan lain-lain seumpamanya.

Dalam kajian tersebut, saintis mendapati mereka yang berbuat begitu berjaya menguruskan berat badan tanpa disedari.

Bukankah itu sesuatu yang hebat yang semua orang boleh lakukan secara percuma dan tidak perlu pergi ke akedemi menguruskan badan?

3. Mereda kekecewaan dari perpisahan

Perpisahan kebiasaannya mengundang rasa marah, dendam, kecewa dan tidak tenteram. Untuk mengatasi masalah itu, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan menulis semula cerita asal terjadinya perpisahan itu.

Tulis semula kenapa ia berlaku, bagaimana ia berlaku dan apakah kelebihan atau faktor positif terhadap segala yang telah terjadi.

Kajian terhadap mereka yang berbuat sebegitu mendapati, mereka berjaya melupakan cerita lama dan memulakan fasa baru kehidupan dengan lebih yakin dan bahagia.

4. Tingkatkan daya ingatan

Menulis juga dapat meningkatkan daya ingatan dan kemampuan untuk anda belajar. Ini juga dirumuskan dari satu kajian

Mereka yang menulis karangan tentang apa yang telah mereka alami sebelum ini yang memerlukan luahan rasa serta emosi, telah menunjukkan peningkatan daya ingatan yang baik.

Peningkatan terhadap daya ingatan berlaku setelah para responden ditugaskan menulis selama 5 minggu.

Bayangkan jika anda menjadikan aktiviti menulis sebagai rutin harian dan ia sentiasa dilakukan selama bertahun-tahun, sudah pasti daya ingatan anda meningkat dengan amat hebat sekali.

Menulis juga membuatkan daya pembelajaran akan meningkat, namun untuk itu, anda perlu lakukan dengan menggunakan pen dan bukannya melalui keyboard.

Apa salahnya sekali sekala membuat catitan terhadap idea yang muncul atau maklumat yang anda baca atau dengar, ini diperlukan jika anda mahu tulisan anda bagus.

5. Mudah dapat kerja

Menulis membuatkan anda mudah dapat kerja. Jika anda baru saja dibuang kerja dan masih dalam trauma dan tak tahu nak buat apa, boleh tulis pengalaman bagaimana anda hilang pekerjaan tersebut.

Tuliskan segala-galanya dan luahkan perasaan. Nyatakan juga kesan baik serta buruk daripada pengalaman tersebut. Anda sudah tidak perlu pergi kerja, jadi tentu ada banyak masa untuk semua itu.

Kajian terhadap mereka yang dibuang kerja lalu disuruh menulis apa yang saya nyatakan di atas mendapati mereka yang menulis berjaya mendapatkan pekerjaan jauh lebih cepat dan baik daripada yang tidak menulis.

6. Percepatkan penyembuhan luka

Bunyi macam pelik sedikit tetapi itulah yang berlaku apabila mereka yang luka disuruh menulis dan meluahkan pengalaman ketika mengalami trauma.

Satu kumpulan lagi yang turut sama luka disuruh menulis tentang pengurusan masa didapati tidak menunjukkan sebarang perubahan berbanding mereka yang menulis pengalaman trauma.

7. Meningkatkan daya saing

Jika anda alami tekanan kerana terpaksa menghadapi cabaran temuduga atau peperiksaan dan sebagainya, selesaikan semua itu dengan menulis secara terperinci apa yang anda risaukan.

Mereka yang berbuat begitu ternyata jauh lebih baik mengharungi cabaran tersebut berbanding yang tidak menulis.

Banyak lagi kesan positif yang mampu diraih jika anda mula menulis terutamanya dari segi kemahiran anda bercakap memberikan penerangan kepada orang lain.

Dengan menulis juga anda dapat memperbaiki perhubungan, mencapai sasaran atau matlamat. Anda juga boleh melupakan kenangan pahit masa lalu dengan kerap menulis.

Jadi bagi anda yang memang ada keinginan untuk menulis tapi masih tak buat-buat sampai sekarang, diharapkan senarai panjang di atas mampu memberikan anda motivasi.

Apa lagi! mulkana menulis!

2 Comments

  1. saya menulis lega dan lepas ,membaca sendiri rasa seronok

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah! Tuan Hanafi memang dah jadi penulis tegar :-)

      Delete
Previous Post Next Post