Anda boleh saja jadi kaya samada makan gaji atau berniaga - Ini caranya


Hampir semua buku motivasi kejayaan dari segi kebendaan berkata, kalau nak jadi kaya, pilihan terbaik adalah dengan menjadi seorang usahawan.

Itu juga merupakan pandangan saya sebelum ini.

Setelah sekian lama percaya dengan nasihat sedemikian, sampai saya sendiri berhenti kerja dan berniaga, pandangan itu berubah. 

Berhenti kerja makan gaji dan penuhkan aktiviti kehidupan dengan berniaga hanya membuatkan anda bebas memilih bagaimana nak isi masa yang anda ada sahaja. Jadi kaya atau tidak terpulang kepada pilihan kerja tersebut.

Jika anda berusaha mencapai kekayaan sejak sekian lama tapi masih juga tak jadi kaya, anda perlu duduk sebentar dan fikirkan semula apa makna kaya yang anda kejar itu.

Itu yang berlaku pada saya. Terpaksa renung betul-betul dengan mendalam supaya jelas terhadap perkara yang dikejarkan. 

Oleh kerana saya suka hidup ringkas, cuba mendalami apakah makna sebenar kehidupan yang ringkas, maka makna kaya juga perlu seiring dengan amalan kehidupan yang ringkas. Makna kaya mula berubah buat saya.

Fikir semula makna kaya

Saya yakin bahawa kekayaan bukanlah bermakna anda ada banyak wang. Tak perlu menunggu sampai memiliki RM1 juta untuk menjadi kaya.

Sikap suka mengukur jumlah wang yang anda ada berbanding berapa jumlah yang orang lain ada, membuatkan anda sentiasa berada dalam kemiskinan, sebab tak pernah cukup. Sebanyak manapun duityang anda miliki sekarang, akan ada orang lain yang punyai lebih banyak daripada jumlah tersebut.

Bila dah timbul perasaan tak cukup, hidup anda mula serabut dan tidak berpuas hati dengan apa yang ada. Akhirnya kekayaan yang anda cari tak pernah ditemui.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila anda meletakkan syarat untuk bahagia perlu memiliki banyak duit. Jadilah anda seorang pemburu duit tegar atas alasan mahu kepuasan untuk rasa bahagia.

Adakah itu yang anda mahu?

Saya yakin, sebagai warga yang waras, anda tidak suka jadi macam yang saya sebut di atas tu.

Maka perlu difikirkan semula makna kaya. Selagi anda tidak mengubah konsep kekayaan, selagi itulah anda tidak akan pernah merasakan diri kaya. Selagi itu anda tidak mampu membebaskan diri dari belenggu kewangan yang tak cukup.

Miskin dan kaya

Dari apa yang saya huraikan di atas, jelas bahawa kaya bukan bererti ada banyak duit. Elakkan definisi sedemikian.

Sebaliknya kaya adalah keadaan di mana anda ada duit yang lebih sedikit dari cukup. Jika anda pernah belajar bab zakat, tentu pernah bertemu definisi fakir dan miskin. Itu orang yang layak untuk menerima zakat.

Orang miskin adalah mereka yang pendapatan tidak cukup untuk penuhi kehidupan. Manakala fakir pula mereka yang pendapatan separuh pun tak sampai dari jumlah yang diperlukan. Ertinya, jika anda ada duit cukup untuk penuhi keperluan hidup, anda tidak lagi miskin.

Lawan miskin adalah kaya. 

Maka, orang kaya adalah mereka yang jumlah pendapatan lebih sedikit dari jumlah keperluan hidup. Bukan perlu ada banyak!. Hanya perlu pastikan mencukupi.

Dengan takrifan tersebut, samada anda berniaga atau makan jagi, boleh saja untuk masuk dalam golongan orang kaya. Pastikan jumlah duit masuk lebih tinggi dari jumlah duit keluar. Dah kaya la tu. Baki yang ada, sedekah sikit dan selebihnya, simpan.

Berhenti kerja kali ke-2

Kali pertama saya letak jawatan dan berniaga adalah pada tahun 1998. Semua duit simpanan yang saya ada hancur berderai. 

Saya ambil masa rehatkan diri sebentar dengan kerja makan gaji semula.

Selepas itu, saya buat keputusan untuk berhenti sekali lagi daripada makan gaji buat kali keduanya pada bulan May tahun 2003.

Kali ini ada sedikit perbezaan. Berhenti bukan untuk menjadi kaya. Saya cuma mahu menyara kehidupan saya dan keluarga dengan berniaga. Ia merupakan satu keputusan yang cukup berat di mana pendapatan saya berkurangan sebanyak 65% bila berniaga berbanding ketika makan gaji.

Namun saya masih hidup dan mampu menyara seluruh keluarga dengan memotong segala keperluan yang mungkin.

Hampir keseluruhan gaya hidup saya berubah. 

Saya pindah menyewa rumah yang cukup murah, saya jual kereta dan tukarkan dengan kereta Kelisa terpakai, saya berhenti merokok, saya makan ala kadar, saya tak beli baju raya setiap kali datangnya hari raya, begitu juga dengan baju raya isteri.

Saya juga menunggu saat-saat akhir ramadan untuk mendapatkan baju raya kanak-kanak yang paling murah untuk semua anak-anak. Saya juga tak akan mendapatkan rawatan doktor sekiranya sakit yang boleh saya tanggung. 

Semua itu saya buat semata-mata untuk pastikan pendapatan yang telah menyusut sebanyak 65% itu mampu dan cukup untuk menyara keseluruhan keluarga.

Bukan tujuan nak ceritakan kehebatan tindakan yang telah saya buat pada masa itu. Malah saya rasa ramai yangt setuju jika dikatakan itu bukanlah keputusan yang bijak. 

Jika direnung semula kebelakang, saya terfikir, sebenarnya ada cara lain yang saya boleh buat pada waktu itu. Cara itu adalah dengan kekal makan gaji. Tetapi dalam masa yang sama melakukan usaha drastik pemotongan keperluan yang sama macam saya buat ketika berniaga.

Dalam keadaan masih makan gaji, dan berjaya menyelamatkan 65% daripada pendapatan, sudah tentu saya akan jauh lebih selesa dari berniaga. Jadi kaya juga! Apatah lagi semua penjimatan itu digunakan untuk menabung dan dilaburkan untuk menjana pendapatan pasif.

Kaya dengan makan gaji

Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah, dengan azam yang cukup nekad, anda semua yang sedang makan gaji di luar sana mampu menjadi orang kaya jika itu yang anda mahu.

Anda hanya perlu menyenaraikan semula segala keperluan dan lihat dari berbagai sudut untuk mengurangkannya. Lebih banyak yang anda potong bermakna lebih banyak wang akan masuk tabung.

Dalam keadaan makan gaji, segala keperluan asas anda seperti perubatan misalnya akan ditanggung oleh majikan. 

Anda juga boleh mengambil berbagai latihan atau kursus dengan pembiayaan majikan yang sudah tentu gembira dengan sikap anda untuk menambah kecekapan bekerja dan seterusnya membantu prestasi syarikat yang anda sedang bekerja. 

Dan yang paling penting sekali kekalkan gaya hidup anda yang berkos rendah selama mungkin.

Selain daripada itu anda juga perlu memberikan masa selama sejam setiap hari untuk bersendirian untuk memikirkan bagaimana anda boleh menambah gaji dan pendapatan.

Saya telah menulis tentang masa sejam untuk diri sendiri sebelum ini dan itu adalah untuk semua orang tak kira samada makan gaji atau usahawan.

Antara perkara yang anda boleh lakukan untuk pastikan anda menjadi pekerja yang cukup cekap dan layak naik pangkat setiap tahun adalah dengan lakukan perkara berikut di bawah.

Masuk kerja awal

Masuk awal sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari daripada waktu rasmi mula bekerja. Anda boleh menggunakan waktu tersebut untuk membuat penyediaan kepada tugasan anda untuk hari itu dan memikirkan bagaimana segalanya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Balik lewat

Pastikan anda sentiasa pulang kerja lewat sekurang-kurangnya setengah jam daripada waktu rasmi. Anda boleh menyusun segala tugasan yang tertangguh untuk disambung keesokan harinya. Anda juga boleh memikirkan bagaimana tugasa yang telah anda lakukan hari itu dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan ringkas di masa hadapan.

Jauhi orang negatif

Elakkan berkawan rapat dengan mereka yang sering menyalahkan syarikat tempat anda bekerja dan merunggut dengan kerja yang mereka lakukan. Sebaliknya berkawan rapatlah dengan mereka yang berfikiran positif dan sentiasa mahu maju dalam karier mereka. Biasanya golongan ini adalah mereka yang pangkatnya lebih baik sedikit daripada kita dan pastikan mereka berada di jabatan yang berlainan daripada kita. Ia secara lansung menjadikan tugasan anda di syarikat menjadi lebih cekap.

Terima cabaran

Jangan sesekali menolak tugasan baru dengan memberikan berbagai alasan sebelum mencubanya. Jika boss anda memberikan tanggung jawab ia bermakna ia yakin dengan anda dan dia sudah tentu dan gembira untuk membantu anda dalam melaksanakan tugasan baru tersebut.

Permudahkan kerja

Sentiasa memikirkan cara yang paling ringkas dan berkesan dalam semua urusan yang anda lakukan ditempat kerja anda. Jangan sesekali menerima begitu sahaja cara kerja yang telah diajarkan pada anda tanpa menyoal samada ia adalah cara yang terbaik. Cabar minda anda dan juga orang lain bahawa anda mampu melakukannya dengan lebih baik.

Cari kerja

Jika anda berjaya mempercepatkan perlaksanaan tugasan anda, anda akan mempunyai masa terluang. Jangan biarkan masa itu berlalu dengan bergossip atau berpolitik ditempat kerja, sebaliknya berjumpalah boss anda dan bertanya kalau-kalau ada tugasan yang anda boleh bantu laksanakan.

Lihat pasaran

Dalam masa yang sama anda berdisiplin dan konsisten melakukan semua perkara di atas, jangan lupa untuk sentiasa mencari peluang kerja baru di pasaran luar. Anda tidak semestinya melompat tukar kerja di syarikat lain, tetapi ia adalah sebagai usaha mengambil tahu pasaran kerja dan apa yang sedang berlaku. Memohonlah bekerja di syarikat lain sekurang-kurangnya setiap 3 tahun sekali. Ia boleh memberikan anda keyakinan dan memberikan mesej yang jelas pada majikan anda sekarang bahawa anda laris di pasaran.

Dengan apa yang saya cadangkan di atas, anda telah menggandakan pendapatan dan setiap tahun wang simpanan anda akan bertambah.

Apabila wang yang anda ada mencukupi, mulakan mencari peluang dengan melaburkannya pada tempat yang selamat. Lakukan penyelidikan agar risiko yang anda ambil adalah berpatutan. Ingat, jangan sesekali lakukan sesuatu yang anda tidak ada ilmu tentangnya, Insyallah wang anda selamat.

Wang yang anda simpan itu jangan dihabiskan dengan membeli barang yang boleh susut nilainya. Antara barang tersebut yang kebanyak orang kita di Malaysia suka membelinya adalah kenderaan. Jangan bandingkan kereta yang anda pandu dengan rakan sekerja anda. Tidak ada faedahnya lansung dan tidak ada sesiapa yang boleh paksa anda berlumba tunjuk siapa lebih mahal barangannya.

Untuk pastikan anda tidak tertipu menghabiskan wang simpanan anda, pastikan anda elakkan diri daripada menonton iklan di TV atau mana-mana media. Iklan kebanyakannya hanya mahu mempengaruhi anda untuk mengeluarkan wang membeli barang-barang yang anda tidak perlu. 

Ingat setiap kali anda habiskan wang untuk membeli sesuatu barang, anda sebenarnya telah melepaskan peluang membeli barang yang lebih baik di masa yang akan datang.

Bayangkan sekarang anda lakukan semua yang saya sebutkan di atas selama 5 tahun. Dimana kedudukan anda sekarang?

Adakah anda masih menjadi hamba yang tidak pernah cukup wang? 

Anda sendirilah yang menjawabnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post