3 petua mudah yang anda boleh amalkan untuk jadi seorang yang kreatif


Samada anda seorang usahawan atau makan gaji, tahap kreativiti diri menentukan sejauh mana anda mampu maju ke depan.

Kehidupan makin hari makin mencabar. Dalam dunia perniagaan, persaingan sangat kuat. Silap hari bulan, boleh gulung tikar.

Dalam dunia pekerjaan juga sama kuat persaingannya. Majikan perlu pastikan setiap pekerja yang dia kekalkan mampu menaikkan keupayaan syarikat. Kalau anda tak berapa bagus, minta gaji lebih-lebih pula, ada saja orang lain, yang mungkin lebih bagus dan sanggup terima gaji yang lebih rendah.

Saya yakin anda sendiri tentu dapat rasakan bagaimana mencabarnya situasi persaingan kini.

Jom kita zoom ke dunia perniagaan sebentar - boleh dikatakan apa saja idea yang terlintas dalam fikiran anda untuk dijadikan strategi perniagaan, idea itu sudah tentu dah ada di pasaran sebelum sempat lagi anda merangka perancangannya.

Untuk kekal ke hadapan, mahu tak mahu anda perlu benar-benar membina tahap kreativiti tinggi yang ada dalam diri.

Saya kongsikan 3 langkah di bawah ini, yang boleh anda amalkan agar mampu membentuk pemikiran kreatif dalam diri.

1. Tekanan hidup secukup rasa

Hidup perlu ada tekanan. Itu tanda adanya tanggung jawab telah dipukul di atas bahu anda. Hanya orang yang ada tanggung jawab saja dapat rasakan adanya bebanan tekanan di atas bahunya.

Namun begitu, perlu dijauhi dari tanggungan bebanan yang terlalu berat. dan tak boleh juga hidup dalam keadaan sentiasa dalam tekanan tanpa henti sedikitpun. Jiwa yang sentiasa dalam keadaan tertekan membantutkan kreativiti. 

Dalam masa yang sama jiwa yang lansung tak ada tekanan, asyik relaks dan lepak maut juga tidak dapat membentuk pemikiran yang kreatif.

Oleh itu terima keadaan adanya sedikit tekanan pada diri anda. Hadapi tekanan itu dengan baik dan panjatkan rasa syukur kepada Tuhan kerana anda di beri peluang menerima ujian.

Kesedaran sebegitu akan dapat kekalkan rasa tenang dalam jiwa. Hanya dalam suasana seperti itu saja anda mampu menjana idea-idea yang kreatif.

Kajian tahun 2006, menilai tahap kreativiti yang dilakukan di Universiti Washington Business School terhadap pelajar mendapati mereka yang melaporkan diri berada dalam keadaan bercampur aduk antara relaks dan tertekan adalah jauh lebih kreatif berbanding pelajar yang samada sangat bahagia atau sangat tertekan.  

2. Keluar dari zon selesa

Anda berada dalam zon selesa apabila semua pergerakan aktiviti dan semua berjalan lancar tanpa anda sedari. Otak dah simpan secara terperinci segalanya sehingga anda mampu lakukan tanpa perlu sedar.

Untuk kejutkan semula otak supaya berikan perhatian kepada perkara baru, anda terpaksa keluar dari kebiasaan. Ertinya keluar dari zon selesa.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh 3 orang penyelidik, Suntae Kim, Evan Polman dan Jeffrey Sanchez-Burks dari Universiti New York mendapati peserta yang dibenarkan bebas ikut jalan yang mereka suka adalah 25% lebih kreatif dalam menghasilkan projek berbanding mereka yang disuruh ikut satu jalan yang tetap.

Biasakan diri sekali sekala untuk keluar dan tukar suasana persekitaran yang anda dah terbiasa itu. Lihat mana satu aktiviti yang anda sudah terperangkap dalam keadaan yang sama saban waktu. Bebaskan diri anda daripada kebiasaan itu.

Contohnya anda boleh ubah pergi kerja berjalan kaki dan naik bas atau pengangkutan awam. Anda boleh cuba naik basikal untuk ke pekan atau lain-lain seumpamanya yang berbeza daripada amalan harian selama ini.

Cuba rasai ketidak selesaan dengan menegur dan berbual orang yang anda tak kenal ketika dalam perjalanan atau ketika tunggu bas. Cuba permainan baru, kalau anda dah biasa cakap melayu, cuba cakap orang putih pula dengan kawan-kawan.

Banyak yang boleh dilakukan untuk mencetuskan satu pengalaman baru kalau nak disenaraikan. 

Jadikan amalan sebegitu satu kelaziman dan insyaalah kreativiti akan mula berputik dalam diri anda.

3. Biarkan fikiran hanyut bebas

Kita sering menegur kawan atau saudara yang kelihatan tercegat merenung sesuatu sedangkan fikirannya nampak hanyut melayang jauh. 

Anda sendiri tentu alami perkara sama terutamanya ketika duduk seorang diri sambil memandu atau berjalan kaki di taman.

Teruskan amalan itu sebab ia adalah aktiviti yang baik untuk menjalinkan kreativiti.

Dalam masa anda berjalan kaki meronda atau ke tempat kerja, mata dan deria lain perlu peka pada keadaan sekeliling sambil membebaskan fikiran berimaginasi dan melayang hanyut terawang-awangan. Orang utara sebut ''merayan'

Ini mampu membebaskan minda anda daripada terbelenggu dengan cara pemikiran yang mendatar sahaja.

Menyambung titik-titik berbeza

Dalam dunia ini semuanya telah tersedia dihamparan untuk kegunaan manusia. Kreatif tidak membawa makna mencipta sesuatu daripada tiada kepada ada. Itu adalah sesuatu yang mustahil dilakukan oleh makhluk. 

Kreatif membawa makna menjalinkan hubungan antara dua perkara berbeza untuk melahirkan satu lagi keadaan yang berbeza dan bermanfaat. Sebagai contoh mereka yang berjaya menjalinkan antara 4 batang kayu dengan sekeping papan lebar berjaya menghasilkan perabut yang dinamakan meja.

Jika anda sentiasa peka, melihat dan membuka minda, berbagai perkara, benda, peristiwa dan lain-lain berlaku di depan mata setiap saat.

Menjalinkan beberapa peristiwa atau benda atau objek atau perkara secara spontan itulah yang dinamakan idea atau inspirasi. Itulah yang dinamakan pemikiran kreatif yang perlu anda jadikan sebagai tabiat spontan diri.

Selamat beramal!

Post a Comment

Previous Post Next Post