Makna bina keupayaan diri. Saya harap diberitahu perkara ini lebih awal ketika muda remaja dahulu


Ketika kerja makan gaji dulu, ada sekali tu, saya dipanggil oleh boss masuk ke biliknya. Dia beritahu tawaran kenaikan pangkat untuk saya dengan perinciannya.

Itu berita gembira buat saya. Sebab terasa adanya satu pencapaian yang membanggakan. Rasa bakat dan kemahiran saya di iktiraf oleh syarikat. 

Dalam masa yang sama, ia satu kejutan. Rasa tak bersedia untuk jadi ketua dan ambilo tanggung jawab ke atas keseluruhan kumpulan kecil yang saya bakal uruskan. Maka secara spontan, saya minta masa untuk fikirkan terlebih dahulu.

Tapi nampaknya boss tak mahu berikan ruang untuk saya berfikir. Dia mahukan jawapan segera. 

"Apa yang kamu mahu fikirkan?" itu soalan yang boss ajukan, bila lihat keadaan saya yang masih ragu-ragu dan tidak tahu nak cakap apa.

Jawapan jujur padanya adalah, saya tak pasti samada sudah bersedia untuk kendalikan orang bawah. Saya tak tahu apa yang perlu dilakukan sebagai ketua dalam jabatan yang diamanahkan kepada saya nanti.

"Jangan risau, saya akan bimbing kamu!' itu janji boss Singh pada saya.

Tandanya dia yakin saya mampu dan tak mahu buang masa untuk pujuk atau layan keraguan yang saya ada. Dalam masa yang sama dia nasihatkan untuk rajin mencari maklumat dengan banyakkan membaca. Siap di berikannya beberapa tajuk buku yang wajib saya baca.

Bina keupayaan diri

Itulah yang saya buat sejak hari itu. Saya pergi cari buku kepimpinan yang dia sarankan untuk dibaca dan amalkan. Bermula dari situ saya tambah lagi banyak buku dalam kategori motivasi untuk tiupkan semangat diri dan hilangkan keraguan.

Dua topik utama yang saya buat pencarian ketika itu adalah, 'leadership' dan 'self help'.

Banyaklah buku yang saya beli, baca dan cuba fahami apa yang dikongsikan oleh para penulis popular genre self help itu. Dari yang klasik seperti Napoleon Hill, Dale Carnegie, Stephen Covey, Anthony Robin dan banyak lagi termasuk penulis terkini yang popular dalam bidang masing-masing.

Bertahun-tahun saya terperap dalam pencarian mendalami ilmu membaiki diri dan menjadi seorang yang lebih baik, seorang pemimpin yang lebih cekap. Banyak duit habis diperuntukkan beli dan baca semua buku tersebut. Bukannya murah! Setahun saya habiskan lebih RM3,000 hanya untuk beli buku sampai penuh rumah dengan buku.

Disamping buku-buku berkaitan pengurusan, kepimpinan, baiki diri dan seumpamanya, saya teruskan juga baca buku berat yang tidak berkaitan dengan pengurusan. Mulanya buku berkaitan politik. Kemudian terlajak kepada sejarah, sebab desakan maklumat politik juga. Lepas itu terlajak lagi kepada pemikiran dan falsafah.

Makin lama jadi makin tenggelam dalam desakan rasa ingin tahu lebih banyak. Makin luas topik pembacaan yang saya berminat dan makin banyak buku yang saya beli sehingga akhirnya saya berhenti untuk melihat semula ke belakang. Saya putuskan untuk hadkan topik bahan bacaan saya supaya tak buang masa terikut-ikut dengan perasaan ingin tahu itu. Mustahil saya akan dapat tahu semua perkara. Jadi lebih baik saya tentukan perkara apa yang saya nak tahu.

Saya hanya lanjutksan kepada topik falsafah dan pemikiran selain topik pengurusan perniagaan. Bab bina keupayaan diri pula saya sudah hadkan tak mahu dalami lagi. Hanya beli dan baca apa yang dirasakan baru dan menarik sahaja sebab hampir kesemuanya ulang perkara yang sama. Yang berbeza, hanya cara penerangan dan dan proses untuk jadi seorang yang lebih cekap.

Cekap dan berkesan apa?

Lama saya terfikir-fikir semua proses yang para pengkaji dan berikan untuk jadi seorang pemimpin yang lebih mantap. Untuk jadi seorang insan yang lebih hebat. Semuanya bercampur aduk antara kedudukan seorang pekerja makan gaji dengan seorang usahawan. 

Mereka hidangkan proses menjadi labih baik yang sama untuk pemimpin makan gaji atau pemimpin kerja sendiri sebagai usahawan.

Ayat sering diulang sebut adalah jadi lebih cekap, fokus, tajam fikiran, bergerak ke hadapan, maju setapak lagi naik ke atas, produktif, mantap dan sebagainya. Macam-macam lah formula untuk jadi semua yang saya sebut tadi tu.

Bangun awal, bersenam, baca, atasi gangguan, peruntukkan masa untuk diri sendiri, meditasi, jaga makanan, layan hobi, jumpa dan pilih kawan dan seribu satu nasihat lagi.

Berpusing-pusing dan berterusan begitu tapi tidak menjawab persoalan utama yang sering muncul dalam diri saya tentang matlamat akhir untuk lakukan kesemua tersebut di atas.

Soalan cepu emas saya selama itu adalah apa makna sebenar bina keupayaan diri tu?

Nak bina jadi diri yang macam mana?

Jawapan untuk soalan itu perlulah sentiasa relevan untuk semua peringkat umur, jenis pekerja dan tak kira masa, ketika, zaman, ugama, bangsa dan lain-lain lagi.

Saya ada tanyakan kawan-kawan apa yang mereka faham tentang bina keupayaan diri. Tapi semua jawapan tidak memuaskan hati sebab mereka hanya berikan proses untuk bina keupayaan diri, bukannya matlamat akhir yang nak dicapai.

Dah tentu proses akan berbeza-beza ikut keadaan dan kedudukan diri seseorang. Jadi ia sangat luas dan tidak tetap. Ia tidak memberikan rumusan asas untuk capai apa dalam usaha melaksanakan kesemua proses tersebut.

Akhirnya ada jawapan

Cari dan cari akhirnya barulah saya jumpa jawapan sebenar apa maksud membina keupayaan diri tersebut.

Apa yang nak di capai dalam kesemua usaha itu adalah untuk menjadikan diri kita cekap dalam 4 perkara berikut secara umumnya.

  1. Pemahaman - Cekap dalam melihat dan memahami apa yang masuk ke dalam deria yang ada. Lalu membuat rumusan yang betul. Ada orang dihidangkan dengan berbagai maklumat dan pengalaman, tapi dia sikitpun tak faham apa yang sedang berlaku. Itu yang mahu dielakkan.
  2. Kawal Emosi - Ini juga satu perkara yang sangat penting untuk dikuasai sebab emosi tidak berlandaskan sedikitpun pada logik. Emosi tidak punya etika, tiada agama, tiada betul atau salah, dia sangat kosong. Tapi malangnya dialah yang sering membuat keputusan. Tanpa keupayaan kawaln emosi yang baik, semua pemahaman jadi sia-sia saja.
  3. Motivasi - Tiada siapa yang dapat naikkan motivasi diri melainkan anda sendiri yang berusaha untuknya. Manusia adalah makhluk yang sentiasa dipengaruhi oleh hati atau kalbunya. Dan kalbu itu sifatnya naik dan turun. Masa semangat tengah mendidih, ok. Tapi masa semangat hilang dan anda amat perlukannya untuk terus bergerak ke depan, macam mana? Jadi perlu cekap membina motivasi diri.
  4. Membuat keputusan - Akhirnya, inilah yang akan menentukan apa hasil yang bakal dapat. Ia lanjutan dari kecekapan anda membuat keputusan. Semua yang berlaku pada diri anda, pencapaian selama ini adalah hasil dari kecekapan anda dalam membuat keputusan. 

Keempat-empat perkara tersebut di atas adalah matlamat utama yang mahu dicapai dalam proses membina keupayaan diri. Tak kisah siapa anda, di mana berada, kerja apa, 4 perkara tersebut perlu dibina supaya makin lama makin cekap.

Itulah sebenarnya hakikatnya membina keupayaan diri.

Kalau nak huraikan cara dan prosesnya memang tak akan habis sebab ia bergantng kepada siapa, di mana, apa yang anda mahu capai dan sebagainya. Banyak dah buku dan tulisan tentang perkara itu di luar sana. 

Moga bermanfaat!

2 Comments

  1. Keupayaan diri saya masih dibina dan dalam perjalanan untuk menuju kejayaan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pembinaan keupayaan diri memang akan berterusan sampai ke akhir hayat. Insyaallah moga Tuan berjaya hendaknya!

      Delete
Previous Post Next Post