Dalam pencarian formula untuk berjaya, tentu anda pernah tanya pada kawan atau sesiapa saja yang berjaya selesaikan sesuatu masalah dan menempa kejayaan.
Anda akan baca maklumat tentang orang yang jumpa idea menarik. Anda juga tentu teruja untuk tahu rahsia orang yang berjaya selesaikan masalah yang ramai orang lain tak boleh selesaikan.
Kalau nak berjaya dalam perniagaan, kena tanya orang yang dah terbukti berjaya dalam perniagaan yang dia lakukan. Itu pesanan yang sangat popular yang sering anda dengar. Terutamanya dari mereka yang jadikan kejayaan yang dia pamerkan sebagai umpan untuk menarik peserta ke seminar keusahawanannya.
Jika nak jadi millionaire, belajarlah dari orang yang dah jadi millionaire. Anda sangka, tentu anda akan bertemu dengan jawapan, macam mana dia berjaya jadi macam itu.
Jawapan logik orang berjaya
Bila soalan ‘bagaimana anda buat sehingga berjaya?’ di tanya kepada orang yang berjaya, dia akan jawab dengan panjang lebar.
Dengan penuh yakin, diberikannya formula bagaimana dia berjaya berdasarkan logik akalnya sahaja. Atau lebih tepat lagi berdasarkan prasangkanya terhadap amalan yang dia amalkan.
Contohnya, jika orang yang anda tanya itu banyak melakukan amalan keagamaan, maka rahsia amalan itulah yang dia akan berikan sebagai petua untuk berjaya. Kalau anda tanya orang yang rajin solat sunat Duha, sdah pasti dia akan masukkan amalan sunat Duha itu sebagai salah satu dari resepi kejayaannya.
Kalau dia baik dengan ibu bapa, maka dia akan masukkan pula petua itu. Kalau dia jenis suka sedekah (walaupun dia amat kemut dengan kaum keluarga dan putus hubungan dengan saudara mara), maka sedekah itulah jadi rahsianya.
Semua jawapan akan disertakan dengan hujah yang logik dan kukuh sebagaimana yang dia percaya dan diterima secara umum oleh orang ramai.
Jika anda tanya kepada orang yang banyak ilmu pemasaran dan banyak maklumat ekonomi sebab rajin baca buku dan pergi kursus pula. Maka jawapan atau rahsia kepada kejayaan itu sudah tentu akan dikaitkan dengan amalan suka belajar dan ada banyak maklumat pasaran dan teknik bisnes terkini.
Semua itu juga di anggap logik kepada rahsia penemuan atau kejayaannya.
Jawapan jujur orang berjaya
Saya ada baca banyak juga kisah hidup orang berjaya samada orang Malaysia mahupun luar negara. Dari berbagai bangsa dan agama. Saya dapat lihat semua jawapan yang cuba dilogikkan oleh semua orang yang dah berjaya. Dia memberikan cara atau teknik atau rahsia bagaimana dia berjaya berdasarkan kisah hidupnya yang dia yakin menjadi penyebab kepada kejayaannya itu.
Dalam buku memoirs seorang billionaire pertama dari Nepal, saya dapat lihat dia ketengahkan rahsia kuat berpegang dan amalkan agama serta taat kepada seorang sami yang sangat warak dari agama yang dia anuti dan percaya itu, sebagai rahsia kejayaannya.
Saya juga pernah dengar perkongsian dari seorang usahawan hebat yang punya beratus cawangan kedai di negara kita. Dia kaitkan rahsia jaga solat berjemaah dan jaga ibu dengan baik sebagai formula rahsia kejayaannya.
Jika anda baca buku macam mana nak tarik rezki pula, dia ketengahkan kesemua amalan zikir, bacaan tertentu, amalan sunat dan segala yang berkaitan untuk jadi kaya raya.
Mereka bukan cuba nak menipu!
Sudah tentu tidak.
Malah mereka memang yakin memberikan logik cara mereka amalkan untuk berjaya.
Sama juga dalam bidang lain contohnya, cuba tengok ulasan macam mana seorang saintis berjaya temui satu hasil sains yang baru dan hebat. Dia akan berikan semua teknik kajian, proses dia membuat penilaian dan seribu satu macam lagi teori itu dan ini yang membimbing dia kepada penemuan sainsnya itu.
Semua jawapan sangat logik dan tersusun satu persatu sehingga membawa kepada satu kejayaan.
Orang pertama mendaki ke puncak
Perumpamaan kepada semua jawapan yang akan anda temui bila tanya orang berjaya boleh digambar begini.
Bayangkan anda cuba mendaki satu gunung yang belum pernah ada orang sampai ke puncaknya. Jadi, gunung itu sudah tentu masih belum ada lorong atau jalan paling mudah yang membolehkan orang naik ke puncak. Sebab masih belum ada orang naik, sudah tentu tidak ada lagi contoh jalan yang betul.
Katakan anda mencubanya. Walaupun semua orang berikan nasihat ‘jangan!’ sebab tidak ada orang pernah berjaya melakukannya lagi.
Anda jenis degil dan nak naik juga.
Dengan kedegilan anda itu, anda cari jalan juga, naik, patah balik, ada halangan, cari jalan lain pula, pusing tepi, kiri kanan, sedikit demi sedikit, penuh pancaroba, dah ada niat nak gibab, tapi teruskan juga.
Atau mungkin anda dah gibab-pun.
Maka nak turun patah balik. Dah tersesat pulak dan akhirnya sedar tak sedar anda rupa-rupanya berjaya menuju ke kemuncak.
Tentu hebat!.
Anda jadi orang pertama yang berjaya naik ke kemuncak gunung yang sangat sukar tu!
Bukan saja dah berjaya naik ke puncak, malah anda juga berjaya cari jalan turun dengan selamat. Ikut jalan naik tadilah semula.
Setelah pacakkan bendera di kemuncak dan selfie beberapa keping gambar di atas tadi, anda turun dan balik meraikan kejayaan.
Soalan pertama yang orang akan tanya sudah tentu bagaimana anda berjaya naik ke atas kemuncak. Sedangkan belum pernah ada orang yang berjaya mendakinya.
Jawapan yang anda akan berikan sudah pasti sangat jelas dan penuh dengan logik.
Anda cerita bagaimana anda pakai segala pengalaman dan ilmu yang anda ada sebelum mendaki gunung itu.
Anda kaitkan dengan pengalaman lalu secara teori dan rasional untuk temui jalan yang sepatutnya boleh dilalui dan selamat.
Macam-macam lagi teknik akan di keluarkan. Dan sudah pasti semuanya akan disokong oleh logik kenapa anda berjaya sampai ke kemuncak.
Logik hanya jelaskan kejayaan
Apa saja cerita atau jalan logik bagaimana anda berjaya sebenarnya hanya datang selepas berjaya.
Masa anda sedang berusaha cari jalan untuk naik tadi kebanyakan keputusan yang anda buat adalah berdasarkan naluri dan perasaan anda ketika itu sahaja. Yang pentingnya anda cuba dahulu dan terus mencuba sehingga terus bergerak naik sedikit demi sedikit.
Adakah anda pertimbangkan segala logik dan rasional yang anda dah tahu masa menerokai jalan yang tak pernah ditempuh tadi?
Biasanya tidak.
Begitu juga hampir kesemua penemuan sains dan teknologi atau teknik hebat sekarang, datang dari cubaan atau kejadian yang tidak sengaja.
Bila dah jumpa kemudiannya barulah diterangkan secara logik kenapa ianya jadi macam itu.
Cuba cari dan baca macam mana orang jumpa cara buat tayar dari getah. Ia datang dari kejadian yang tak sengaja.
Cuba baca macam mana Archimedes jumpa jalan nak ukur dan bezakan isipadu emas dan perak dengan merendamkan barang itu ke dalam air.
Semuanya ditemui secara tidak sengaja.
Bukan secara rasional dengan teori itu dan ini yang dah di ketahui selama ini.
Cuma selepas dah temui barulah cuba diterangkan secara logik kenapa jadi begitu.
Jadi, logik biasanya hanya datang selepas mendapat hasil baru. Bukannya menggunakan logik untuk menemui hasil baru.
Sebab itu saya tak ambil pakai dan pegang 100% cerita bagaimana orang berjaya jadi hebat.
Pening jadinya nanti jika anda baca Orang Kaya Nepal suruh taat pada sami, orang Cina suruh buat persembahan pada roh tok nenek, orang Islam suruh giatkan amalan sunat. Orang sufi suruh bersuluk dan orang liberal suruh pakai mantik rasional dan teori ekonomi universal.
Bukan nak kata mereka berbohong.
Tapi saya yakin cerita sebenarnya bagaimana berjaya, mereka sendiri mungkin tak sedar. Atau banyak lagi cerita lain yang mereka sendiri tidak dapat kesan secara terperinci.
Oleh itu, nak dengar, boleh.
Sebagai panduan dan proses pengumpulan maklumat. Tapi tak perlulah nak pegang 100%
Jadi tak boleh pakai logik rasional la?
Mungkin itu soalan anda.
Bukan tak boleh pakai logik. Itulah yang terbaik untuk cari jalan penyelesaian. Itu juga jalan terbaik untuk buat keputusan bisnes atau cari idea bisnes yang terbaik.
Keputusan rasional dan logik akan jadi betul jika anda tahu keseluruhan semua perkara, satupun tak tertinggal.
Di situlah masalahnya.
Masih terlalu banyak yang anda sendiri tak tahu. Malah banyak lagi yang manusia masih tak tahu. Sekadar meraba berpegang kepada contoh kejadian dan kajian yang terdahulu saja secara zahirnya.
Dalam dunia sains dan teknologi juga, masih terlalu banyak yang manusia tak tahu dan tak ada jawapannya.
Jadi kalau anda hanya gunakan logik dan rasional akal saja, maka anda akan terlepas pandang banyak lagi kemungkinan idea baik lain yang logik akal dan rasional akal anda belum tahu.
Oleh itu, jangan terlalu terikat sangat dengan logik akal dan rasional untuk cari idea dan pendekatan baru dalam bisnes.
Kalau itu saja yang anda pakai selama ini, maka tak hairanlah anda masih tak berapa naik pun ke mana-mana. Tak hairanlah anda tak pernah mencuba idea pelik yang berlawanan dengan teori ekonomi dan rasional. Belum cuba dah kata tak boleh.
Pakai logik akal masuk tender
Saja nak ceritakan pengalaman saya masuk tender sebelum ini.
Saya dah buat semua homework. Dah uruskan semua ground work. Dah tahu bajet yang diperuntukkan oleh penender. Spesifikasi dan sebagainya dah ada dalam tangan.
Saya deal dengan supplier yang terbaik. Dapatkan produk yang terbaik dari segi kualiti dengan harga yang terbaik dan menjimatkan penender.
Maka saya masuk dengan harga yang saya kira sangat berpatutan. Dengan harga itu saja saya akan untung berjuta. Dalam untung berjuta itu, harga saya masih rendah dan amat kompetitif.
Saya gunakan logik ekonomi dalam menentukan harga.
Apa lagi teori ekonomi yang terbaik saya boleh buat selain dari berikan produk yang memenuhi spesifikasi berkualiti dengan harga yang paling rendah berpatutan.
Logiknya tentu saya akan dapat kan kan kan ???
Tapi malangnya tidak!
Saya tak masuk dalam senarai pendek sebab harga murah melebihi 20% daripada harga bajet. Mereka hanya mahukan produk yang ikut spek dengan harga yang mahal. Kriteria mereka fokus hanya pada berapa bajet yang dah diluluskan!.
Lansung tak logik !
Pada mulanya memang saya dah nak masukkan harga begitu. tapi tak tergamak sangat sebab saya akan untung berlipat ganda.
Kenapa nak cekik darah.
Itulah logik pemikiran saya, ikut teori logik ekonomi.
Tapi malangnya, dalam bisnes, logik tak boleh pakai sangat !
Alahai!
Itu satu pengajaran penting yang saya belajar tahun ini.
Selepas ni saya akan cuba saja berdasarkan apa yang saya nak capai. Pakai saja jalan yang boleh mebawa saya ke arah itu, dan buat kemudian lihat hasilnya.
Kalau berjaya, barulah cari alasan logiknya kenapa berjaya.
Selagi belum berjaya, jangan abaikan jalan yang tak logik untuk mencuba dan lihat hasilnya.
Nota: Idea ini sangat penting untuk diguna pakai terutamanya jika anda nak cuba idea atau usaha baru atau nak cari pendekatan baru dalam perniagaan.